Berbuka dengan Kangaroo

Diberi makan.

Bismillah

Ini entry ketinggalan kapal terbang.  Apa pun saya mahu berkongsi juga sekurang-kurangnya dalam usaha mendokumentasikan pengalaman di sini, insya Allah.

********************

“Kak Nur, apa hukum makan daging kangaroo ye?”

“Setahu Kak Nur, hukumnya harus.”

“Oh… tetapi ada orang cakap tidak boleh sebab kukunya tajam.  Ada kawan suami beli daging kangaroo dan makan.”

“Daging kangaroo yang disembelih ada dijualkah?”

“Ada tapi jarang jumpalah.”

“Kalau begitu, bolehlah makan.  Sudah tentu ianya telah mendapat panduan dari syeikh-syeikh di sini.”

Teringat pula pertanyaan seorang sahabat tidak lama dahulu.  Selepas mengetahui terdapat kawan-kawan yang mencari daging kangaroo untuk dimakan, saya mula teringin juga merasainya.  Apa pun, eloklah kita pastikan dulu  secara ringkas status halalnya berdasarkan ilmu.

Ulama membahagikan kepada 2 kumpulan haiwan yang halal di makan iaitu haiwan darat dan haiwan air.

1) HAIWAN DARAT
Semua haiwan darat halal dimakan kecuali:

a) Haiwan yang disembelih tidak mengikut hukum syarak.
b) Babi.
c) Anjing.
d) Haiwan yang bertaring yang digunakan untuk mencakar dan membunuh iaitu
haiwan-haiwan buas seperti harimau, serigala, singa, gajah dan seumpamanya.
e) Burung yang mempunyai kuku pencakar atau makan menyambar seperti
burung helang dan seumpamanya.
f) Haiwan-haiwan yang diperintah oleh Islam membunuhnya iaitu seperti ular,
tikus, cicak, kala, burung helang, lipan dan seumpamanya.
g) Haiwan yang dilarang oleh Islam membunuhnya iaitu seperti semut, lebah
dan burung belatuk.
h) Haiwan yang dipandang jijik (keji) oleh umum seperti kutu, lalat, ulat
dan seumpamanya.
i) Haiwan yang hidup di darat dan di air (dua alam) seperti katak, buaya,
ketam batu dan seumpamanya.

2) HAIWAN AIR

Haiwan air ialah haiwan yang mampu hidup  di dalam air sahaja.
Haiwan air harus dimakan kecuali yang beracun, memabukkan dan
membahayakan kesihatan manusia.

Sekarang kawan-kawan bolehlah semak kangaroo itu termasuk dalam kategori mana ya.

****************

Petang akhir Ramadan 1433H di Melbourne bersamaan 18 Ogos 2012 , masyarakat postgrad Kg Vic North (KVN) telah mengadakan iftar berjemaah (iftar jama’ie) dan takbir raya.

Alhamdulillah, ini adalah salah satu bentuk sambutan Ramadan kelompok pelajar-pelajar muslim Malaysia saban tahun di Melbourne.  Saya sekeluarga menyambut Ramadan buat kali ke 3 di sini.   Bezanya tahun lepas, kami pulang beraya di Malaysia 5 hari sebelum 1 Syawal.

Sudah menjadi fitrah manusia, suka mencari kelainan agar hidup sentiasa ceria dan melalui pengalaman menarik.  Tahun ini, KVN menganjurkan program iftar dengan jamuan istimewa iaitu gulai ayam belanda (turkey) dan daging kangaroo goreng.  Alang-alang berada di Australia (OZ atau juga dieja Aussie) , menunya biarlah bermanhaj OZ.

Dek menunya yang berbeza dari kebiasaan, ramai jugalah yang teruja mahu merasa daging kangaroo [termasuk saya 🙂 ].  Itu pun, ramai juga yang belum merasa daging ayam belanda.

Dimakan 🙂 .  Daging kangaroo goreng.

Dewan Belle Vue lokasi berbuka KVN itu berhampiran rumah saya.  Ia juga merangkap dewan sekolah anak-anak.   Selepas Asar, si kecil tidur.  Lalu saya mengisi masa dengan menyiapkan bahan-bahan masakan untuk juadah di pagi 1 Syawal keesokan harinya.

Hampir Maghrib, si kecil masih tidur sedangkan suami dan anak-anak yang lain sudah ke dewan.  Saya memutuskan untuk berbuka di rumah sahaja mengambil kesempatan si kecil yang sedang tidur.  Saya juga lebih mudah solat.   Selesai solat, suami pulang untuk membawa kami ke dewan.  Alhamdulillah, sedang elok sahaja si kecil sedar dari tidurnya.

 

“Abang, daging kangaroo ada lagi?”

“Sudah habis”

“Alamak… bukankah baru sahaja menjamu selera?”

“Iyalah… orang ramai”

“Hmm… tidak mengapalah.”  Saya reda dengan rezeki yang sudah ditetapkan oleh Allah.  Saya sendiri lewat ke dewan.

 

*******************

Tiba di dewan, nasi juga sudah habis.  Saya mengambil roti, kuah gulai turkey dan sebuku turkey.  Alhamdulillah,  syukur dengan apa yang ada.

Saya mengambil tempat di kalangan kawan-kawan yang sedang makan.  Kak Sham yang jadi chef hari itu berkata, “Nur, nasi sudah habiskah?”

“Iya, sudah habis Kak Sham.”  Tersenyum.

“Kak Sham sudah tambah nasi tadi.  Tidak cukup juga.”

“Ok je… Nur suka juga makan roti dengan gulai.  Sudah biasa makan roti tanpa nasi.”  Tersenyum lagi.

“Oh begitu”

**********

Sedang makan-makan dan sembang-sembang.

“Nur, ini ada lagi daging kangaroo.  Bahagi-bahagi pada sesiapa yang belum makan.”  Suami menghulurkan pinggan plastik berisi sisa daging kangaroo berserta sos pencicah di dalam sudu plastik.

Alhamdulillah.  Segala puji bagi Allah yang menentukan rezeki setiap hambaNya.  Kalau sudah rezeki kita, tidak ke mana… betulkan?

Sambil merasa sedikit, saya hulurkan kepada kawan-kawan.  Semuanya menolak kerana sudah merasainya.  Akhirnya saya juga yang habiskan di rumah.

Dagingnya lembut, mudah digigit dan sedap.  Rasanya hampir sama dengan daging lembu serta tidak berbau.

Allah itu Maha Baik kan… jika kita berakhlak baik dengan segala ketentuanNya, Allah juga memperlakukan dengan baik dalam setiap urusan kita.  Tidak pernah rugi hamba yang berbaik dengan Allah swt.  Itu baru dalam perkara kecil, apatah lagi jika kita sentiasa menjaga perkara-perkara besar seperti melaksanakan yang wajib dan meninggalkan yang haram.

Belum terlewat rasanya untuk mengucapkan,

Wassalam.

Ummu Abbas

10.27am

3 Syawal 1433H/22 Ogos 12

Melbourne

2 thoughts on “Berbuka dengan Kangaroo

Add yours

  1. setengah ulama memfatwakan Haram…sebab ulama mengatakan mukanya menyerupai anjing…akan tetapi ia tiada Nas…mengharamkan..Wuallahualam

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: