“Assalamualaikaum;
Saya ingin bertanyakan pendapat, saya dan suami telah berkahwin lebih 5 tahun tapi tidak dikurniakan cahaya mata. Pada tahun lepas kami ada mengambil anak angkat. Sememangnya rumahtangga kami lebih bermakna dengan kehadiran si kecil ini. Baru-baru ini saya mendapat tahu yang suami saya pernah menyatakan hasratnya untuk berkahwin lain kepada ibunya dengan alasan untuk mendapatkan zuriat (kejadian ini sebelum kami ambil anak angkat). Namun hasrat suami dibantah oleh keluarganya kerana mereka mengasihani saya.
Saya amat berkecil hati dengan suami dan saya nyatakan hasrat untuk berpisah dengannya agar dia dapat membina keluarga yang baru. Saya tidak mahu dimadukan kerana tahu saya tidak mampu tanganinya begitu juga dengan suami. Jadi lebih baik saya undur diri bagi membolehkan dia tumpukan kepada satu keluarga sahaja. Kemudian suami menjelaskan yang dia tidak lagi mahu meneruskan hasrat berkahwin lain dan mahu tumpukan pada saya dan anak (angkat) kami.
Tetapi hati susah mahu percaya lagi pada kata-katanya sebab dari dulu saya pernah bertanya samada dia mahu berkahwin lain demi mendapat anak tapi dia nafikan sekerasnya, katanya tidak pernah terlintas pun tetapi di belakang saya dia menyatakan sebaliknya. Saya berasa adalah lebih adil pada kami berdua sekiranya kami berpisah sahaja.
Sekiranya ada nasihat yang boleh dikongsi bersama saya, saya amat alu2 kan, terima kasih.”
Mar.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Wa’alaikum salam warahmatullah Mar.
Ummu cuba dapatkan pandangan kawan-kawan di Facebook. Ini antara respon terpilih yang Ummu mahu kongsikan di sini.
Respon 1:
Pada pendapat saya Puan, masalah yang dihadapi Puan jadikan batu loncatan untuk mendekatkan diri dengan Allah swt.. bangun solat malam..luahkan isi hati, ketidakpuasan Puan pada-Nya …di situ Puan akan ketemui jawapannya..insyaAllah.
Respon 2:
Salam… sekadar pandangan saya :). Sebelum itu, saya harap kita jelas dengan beberapa perkara:
1. Allah itu Tuhan kita dan MATLAMAT kita. Akhirat itu Matlamat kita, Syurga itu Matlamat kita. Sebaliknya segala di dunia ini hanyalah ALAT atau medium untuk mencapat matlamat di atas – seperti suami, anak-anak, pekerjaan, perkahwinan, ibubapa dan lain-lain.
2. Suami dan perkahwinan sebagai alat mencapai keredaan Allah – maksudnya, kita taat suami kerana Allah, bukan supaya suami tidak kahwin lain, tapi supaya Allah reda dengan kita walaupun ada masanya suami tidak hargai kita (contohnya).
3. Bila kita sedar, fahami dan hayati dengan sesungguhnya bahawa Allah itu Tuhan kita dan kita ini hambaNya, maka seharusnya kita tidak boleh jadikan hawa nafsu dan perasaan sebagai tuhan kita dan janganlah menjadi hamba perasaan sehingga sampai ke satu tahap di mana kita telah menidakkan hukum Allah lantaran hukum itu berlawanan atau menyelisihi perasaan dan nafsu kita. Berhati – hati bila berkata-kata, membuat keputusan dan tindakan jangan sampai keputusan atau tindakan kita menyebabkan kita menderita di akhirat. Biar menderita di dunia tidak mengapa asalkan tidak menyesal di akhirat. Memanglah kalau boleh kita mahu bahagia di dunia dan akhirat, tapi realitinya dunia ini bukan semuanya indah…. akhir sekali, jadikan rutin untuk membaca Zikir Pagi dan Petang (Hisnul Muslim) yang sahih dari Nabi saw, kerana di dalamnya ada ‘ayat2 pelindung’ yang melindungi kita dari hasutan syaitan. Syaitan tidak datang menerkam dan menggigit leher kita macam vampire, sebaliknya dia meniupkan kata – kata perasaan berbisa yang akhirnya membawa kita ke neraka. Bacalah nota di atas dengan rasional dan tenang, insyaAllah hati Puan akan terbuka untuk membuat keputusan yang sebaiknya untuk akhirat Puan :).
Maaf di atas coretan yang panjang ini. Semoga Allah merahmati dan melindungi Puan sekeluarga.
Respon 3 ~
Empunya pandangan ini boleh ditemui diblognya, Ummu Husna.
******************
Kak Nur, pertamanya Ina turut simpati dengan masalah yang sedang dialami oleh penanya. Sekadar cuba meletakkan diri di tempatnya seketika dan bagai merasakan gelodak perasaan yang sedang menyelubungi jiwanya saat ini. Namun, Ina percaya berat hati membaca luahannya, berat lagi dia yang menanggung beban perasaan yang menimpa.
Justeru itu, buat sahabat yang bertanya, saya tidak berhasrat untuk me’nunjuk ajar’ atau seumpamanya kepada puan. Saya tahu, ujian poligami itu berat bagi sesetengah wanita tetapi tidak kepada sebahagian yang lain. Sebagaimana ujian cahayamata, kewangan, kerjaya dan lain-lain.
Apapun puan, sepanjang 37 tahun usia saya di dunia ini, dengan pelbagai pengalaman dari orang sekeliling, saya mendapati, sememangnya ALLAH SWT menurunkan ujian atau lebih manis jika kita sebut sebagai CABARAN HIDUP dalam bentuknya yang pelbagai kepada setiap orang berdasar kepada kemampuan masing-masing. Saya yakin puan pernah membaca firman ALLAH yang dekat maksudnya dengan kata-kata saya tadi.
Jika puan pernah membaca sebuah hadis nabi Sallallahu’alaihiwasallam ketika baginda ditanya “Siapakah orang yang paling berat ujiannya?”. Maka Baginda menjawab:
“Para Nabi, kemudian orang yang seperti mereka sesudahnya, dan orang semacam mereka berikutnya. Seseorang itu akan diuji sesuai dengan kadar agamanya. Apabila orang itu kuat agamanya maka semakin keras ujiannya. Kalau agamanya lemah maka dia akan diuji sesuai dengan kadar agamanya. Maka musibah dan ujian itu sentiasa menimpa seorang hamba hingga dia ditinggalkan berjalan di atas muka bumi dalam keadaan bersih dari dosa.”
(Riwayat Imam Tirmizi)
Lalu, tanggapilah setiap ujian sebagai penghapus dosa dan sebagai jalan yang ALLAH hamparkan seluasnya buat manusia yang lemah seperti kita untuk berjalan hampir dan hampir dan hampir kepada-NYA.
Dunia ini adalah medan kita membuat pilihan hidup. Namun, dek kelemahan kita sebagai manusia, selalu pilihan kita tersasar dari kebenaran, lantas ramai yang menyesal di penghujung jalan. Andai perasaan puan ketika ini merasakan perpisahan sebagai jalan terbaik, sebaiknya tanyakanlah dahulu kepada DIA Yang Maha TAHU agar pilihan puan tidak mengundang penyesalan nantinya kerana tidak semua yang kita rasakan baik, adalah baik di sisi Yang Maha Kaya.
Puan, tiada siapa yang mahu derita dalam perkahwinan, tetapi tidak ramai yang menyedari bahawa bahagia atau tidak sebenarnya, ia adalah pilihan diri sendiri.
Puan, pilihlah bahagia dengan ‘bertanya’ kepada pemilik BAHAGIA yang hakiki. Saya doakan puan dilimpahi rahmat dan dipermudahkan dalam menilai dan membuat pilihan itu nanti, ameen.
Respon 4
Link ini diberikan; Wanita Tidak Boleh Meminta Cerai
Respon dari Ummu.
Ummu setuju dengan semua pandangan pilihan di atas. Tinggal lagi Puan perlu memilih pendapat (penawar) yang sesuai dengan keperluan Puan kerana Puan lebih mengetahui dan memahami diri Puan.
Ummu mahu menambah sedikit yakni berkenaan sifat bohong. Sewajarnya setiap yang bernama muslim berusaha menuruti sifat wajib bagi para nabi iaitu ‘benar’. Benar pada perkataan dan benar pada perbuatan. Ummu percaya jika para suami jujur, ia lebih mengurangkan risiko penolakan dari pihak isteri. Berdasarkan pengalaman poligami dua orang yang dikenali, tentangan peringkat awal adalah lumrah@normal namun ia lebih mudah diatasi berbanding berbohong dahulu kemudian baru berterus terang.
Isu besar yang timbul bukan lagi pada poligami tetapi isu sikap yang bertentangan dengan sunnah membuatkan para isteri ‘confuse’ pada sunnah poligami yang mahu diamalkan oleh suaminya. Sikap adil pertama yang dinilai isteri ialah adil dalam mengamalkan sunnah. Sifat adil ini boleh memberi keyakinan kepada isteri jika suatu ketika nanti si suami perlu bernikah lagi.
Seperkara lagi yang harus kita fahami ialah, dosa-dosa suami kita tidak menanggungnya. Contoh dosa berkata bohong. Jika kita sabar, memberi peringatan kesan buruk dari sifat berbohong dan ‘ignore’ sahaja sikap tersebut sambil mendoakan suami, kita mendapat ganjaran pahala yang besar. Ada perbezaan antara apa yang orang lain lakukan pada kita dengan apa yang patut kita lakukan.
Jika mereka memilih sifat mazmumah, mereka derita… dan kita membalasnya dengan sifat mahmudah, kita bahagia kerana yang memberi bahagia adalah Allah, bukan suami. Fakta ini mungkin lebih menjelaskan lagi pandangan Ina di atas.
Bahkan Ummu percaya, jasa dan kebaikan suami Puan realitinya lebih besar dari kelemahan yang ada. Cuba kenang kembali apa yang menyebabkan Puan menyukainya dahulu. Juga cuba hitungkan sebanyak mana kasih sayang dan rasa tanggungjawabnya pada keluarga yang sudah dicurahkan sepanjang perkahwinan Puan dengannya.
Andai kita mahu suami berlaku adil pada kita, seharusnya kita terlebih dahulu berusaha menilai suami secara adil juga. Jika kita nampak kekurangannya, hitung juga kelebihannya selama ini. Begitu pula bila kita melihat sumbangan yang telah dilakukan dalam Baitul Muslim yang dibina, maka hitung juga kelemahan kita dalam menunaikan tanggungjawab sebagai isteri.
Berdasarkan pengalaman kawan-kawan Ummu yang dimadukan, walaupun ada yang berdepan dengan sikap suami yang melayakkan mereka menuntut fasakh, namun mereka tetap bertanyakan Allah apa keputusan terbaik untuk meneruskan kehidupan mereka. Mereka patuh pada keputusan istikharah yang mana sehingga sekarang, Ummu lihat kehidupan mereka lebih harmoni dalam pernikahan di bandingkan berpisah.
Risiko berpisah adalah besar walaupun hidup dalam perkahwinan terasa derita. Derita ada di mana-mana walau apapun keadaan kita. Oleh kerana kita tidak tahu risiko mana yang lebih mampu kita hadapi, maka bertanya kepada Allah swt sebelum membuat keputusan adalah wasilah terbaik.
Perpisahan dari ikatan pernikahan ada 3 cara menurut fiqh; Talak, khulu’ dan fasakh.
Talak hanya milik suami. Khulu’ (tebus talak) dan fasakh boleh diusahakan pihak isteri dengan syarat-syarat tertentu. Boleh rujuk dan dapatkan kaunseling di pejabat agama berdekatan berkenaan hal ini untuk mengetahui prosedur lanjut.
Bahagia itu adalah milik hati-hati orang beriman yang melakukan sesuatu perkara kerana Allah swt sama ada meneruskan kehidupan bersama suami dengan memaafkan kekurangannya atau membuat keputusan berpisah.
Sekian dahulu dari Ummu.
Wassalam.
Ummu Abbas
10.55am
19 Syawal 1433H/ 6 September 2012
Melbourne.
Apakah dengan peceraian itu akan membahagiahkan diri? Apakah dengan peceraian semuanya akan selesai? Apakah dengan peceraian itu kita mampu memiliki yang lebih baik…. ?
Apakah mula perkhawinan itu sudah tertera lafaz cerai dalam benak masing masing?
Berbahagiahlah dengan apa sahaja keputusan. jangan ambil peduli apa pandangan orang, kalau sesuatu keputusan itu akan ditanggung sendiri
Nabi berkahwin ramai kerana menyelamat kan kaum wanita di zaman itu. Lelaki zaman sekarang nak kawin lagi untuk selamat kan apa? Nak anak? Ada hikmah disebalik itu. Apa salah ambil Anak angkat?…begitu ramai sekarang terbiar. Allah ada rancangan nya sendiri ke atas anak-anak itu dan manusia yang istimewa dipilih untuk menjadi ibu dan bapa mereka. Tentang isteri yang mandul.. betul ke isteri yang mandul bukan suami nya? pernah kah melakukan pemeriksaan? Kawan saya suami nya pun begitu, atas nasihat kawan2 , dia memaksa suami nya pergi membuat pemeriksaan doktor dan doktor mengesah kan yang suami nya yang mandul! Siap dengan lapuran lengkap perubatan! Nah! sekarang giliran suami nya pula rasa merundung. Allah maha pengasih dan maha adil. Kerana itu, saya dah tak berapa menyukai Islam…kerana penganutnya yang semakin sempit fikiran…saya sedih dengan keadaan Muslim sekarang yang semakin fanatik. Iblis semakin pintar. Mereka tidak lagi mempengaruhi ke arah yang salah terus seperti menyembah berhala, pergi disko atau minum arak tetapi menyerong secara perlahan2 perkara2 dalam Islam sendiri agar semakin terpesong dari hubungan sebenar dengan ketuhanan. Ramai ustaz2 terkenal bersyarah dan memberi erti pada ayat2 quran dan hadis dgn menyesuaikan perkataan huraian pada cara hidup mereka. Jika mereka berbini ramai, maka dia kempen org kawin ramai, cuba menegak kan perbuatan kawin ramai mereka. Geli sungguh! Allah melihat kita dari dalam diri kita bukan menyuruh melaku kan perkara yang menyusah kan. Pakai niqab , pakai stokin…ingat mati…kawin ramai…kawin muda…semua benda keterlaluan, tidak berfikir panjang punya tindakan dan negatif pada jiwa yang menutup cahaya mengenali kearah ketuhanan yang sebenar. Approach secara sudut positif jauh sekali pada kaum muslimin. Segala suruhan berbunyi KERAS, KASAR, MARAH, BENCI, MENAKUT-NAKUT KAN!