Bismillah.
Khamis lepas, saya hadir kelas BI. Hari ini hari pertama. Hanya 4 muslimah yang hadir untuk belajar. Guru yang mengajar, Mrs Aneta warga Australia jati. Sedang dia bercakap, berbunyi suara azan dari handphone. Saya segera menutup suaranya.
Salah seorang dari kami memberitahu, ” Itu suara memanggil kami solat”.
” Oh begitu. Kalau kamu mahu solat dahulu, pergilah”, beritahu Mrs Aneta meraikan kami.
” Tidak mengapa. Kami boleh solat selepas kelas”
” Pergilah. Saya tidak apa-apa”
Kami saling senyum antara satu sama lain. Salah seorang dari kami berkata, ” Ada tempoh masa untuk kami solat. Masih ada waktu lagi”.
” Ok”
Mrs menyambung bicara. Seketika kemudian, “Allahuakbar! Allahuakbar! Asyhadu alla ilaha ilallah.. “, kedengaran iqamah pula.
Sekali lagi Mrs kelihatan terperanjat.
Kami tersenyum-senyum sahaja melihat gelagatnya.
” Itu panggilan supaya bersedia untuk solat”
” Adakah kamu dipaksa bersegera untuk solat?”
” Tidak. Kami boleh solat selepas habis kelas. Ia sekadar pemberitahuan”
Mrs berbual lagi. Sekejap-sekejap berbunyi, “Allahuakbar”, menandakan Imam rukuk, sujud dan seterusnya. Setiap kali berbunyi, dia kelihatan terperanjat.
Saya berkata, ” Adakah ia (suara-suara) itu mengganggu awak?”
“Oh tidak… ini kali pertama saya mendengar suara seperti ini. Sungguh menarik!”
Saya menarik nafas lega bimbang dia merasa terganggu. Mendengar responnya, teringat kisah-kisah ramai non muslim kembali ke agama fitrah setelah mendengar suara azan. Terfikir juga, andai masjid di sini lebih bebas mengumandangkan azan, tentu lebih ramai non-muslim mendapat pendedahan tentang Islam dan berusaha mendekatinya.






Tinggalkan komen