Bismillah.
Rabu malam Khamis, 4 Dzul Qi’dah 1433H
“Ok, malam ini kita baca kisah yang ke 29 bertajuk Bayi Bercakap. Siapa tahu nabi apa?”
“Nabi Isa”, salah seorang anak menjawab.
“Iya, benar. Dia bercakap semasa baru dilahirkan, bukan macam ini… kalau macam ini, sudah besar sedikit”, jelas saya lagi sambil menunjuk kepada anak paling kecil, Aleeya yang berusia setahun setengah.
Lalu kisah ditata berselang seli ‘ibrah untuk santapan minda anak-anak. Insya Allah, saya kongsikan ‘ibrah itu dalam entry akan datang.
Sabtu, 6 Dzul Qi’dah 1433H.
“Azzam bawa stroller. Abi bawa Aleeya”, kata Tuan Suami.
“Bas sudah sampai. Cepat… cepat… Iya, Azzam tolong bawa stroller, Abi dokong Aleeya dan biar Ummi yang kemas alas solat ini. Abbas, Aziz dan Aesya pergi beratur dahulu,” saya membahagi tugas sambil menunjukkan arah perhentian yang berhampiran.
Bas kecil (coaster) untuk bersiar-siar di sekitar National Rhododendron Gardens kelihatan tiba seusai kami solat berjemaah tengahari tadi.
Alhamdulillah. Bagusnya Tuan Suami buat keputusan solat dulu sambil menunggu bas tiba. Hati lebih tenang dan perjalanan terasa lebih berkat. Sedangkan anak sulung mahu kami bersiar-siar dahulu dek bimbangkan bas tiba lebih awal.
Tuan Suami dan semua anak-anak sudah mula menaiki bas. Ditemani bunga-bunga Daffodil, saya melipat kain pelikat lama dan alas yang dijadikan sejadah.
Baru sahaja mahu menaiki tangga menuju ke arah perhentian bas, seorang pemuda yang memerhati kami solat dari tadi menyapa, “Adakah kamu sembahyang tadi?”
“Iya.”
Pemuda itu berada bersama kawan-kawan mat salehnya di bahagian belakang semasa kami solat.
“Kamu sembah apa? Tuhan Bapa?”
Tersenyum di sebalik purdah dengan tenang menjawab, “Allah”.
Saya sengaja memilih perkataan ‘Allah’ dibandingkan ‘God’ kerana percaya serta yakin kalimah itu mampu menundukkan hati-hati manusia yang masih ikhlas mencari tuhan mereka yang sebenar.
Juga sengaja memilih lafaz “Allah” untuk menggerakkan pemuda itu mencari ‘Siapa Allah?’ selepas perbualan singkat itu.
” Allah?”, pelat-pelat dia mengulangi lafaz yang disebut tadi.
Saya menganggukkan kepala, “Ya. Hanya Tuhan yang satu”. Sedikit rasa gembira terulit di jiwa mendengar sebutan nama agung itu ditirunya.
“Kamu percaya kepada Jesus?”
“Iya”, tersenyum lagi.
“Dia adalah anak tuhan atau nabi?”
“Dia seorang nabi”.
Pemuda itu menganggukkan kepalanya sambil kelihatan reaksi wajahnya berfikir-fikir.
Keadaan tidak mengizinkan kami berbual panjang. Saya terus berlalu dan menaiki bas. Di atas bas, saya ceritakan semula perbualan itu kepada Tuan Suami dan anak-anak.
Ya Allah! Berilah hidayahMu kepada pemuda itu. Saya percaya dia sedang mencari sesuatu dalam hidupnya.

Sehari selepas itu… Ahad 7 Dzul Qi’dah 1433H/23 Sept 2012.
Kami bertolak dari rumah untuk menyertai rombongan MECCA melawat sekitar Werribee. Saya mengisi masa dengan membaca al-Quran di atas kereta. Tilawah (bacaan) saya tiba pada ayat-ayat di bawah;
“Demi sesungguhnya! Telah kafirlah orang-orang yang berkata, “Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam”. Padahal Al-Masih sendiri berkata,”Wahai Bani Israil! Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu. Sesungguhnya sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka pasti Allah haramkan kepadanya syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka. Tiadalah seorang penolong pun bagi orang-orang yang berlaku zalim”. [72]
Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata, “Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga tuhan”. Padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan yang Maha Esa. Dan jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang-orang yang kafir di antara mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya. [73]

Oleh itu tidakkah mereka mahu bertaubat kepada Allah dan memohon keampunannya (sesudah mereka mendengar keterangan-keterangan tentang kepercayaan mereka yang salah dan balasan seksanya)? Padahal Allah Maha pengampun, lagi Maha Mengasihani. [74]
Tiadalah Al-Masih Ibni Maryam itu melainkan seorang Rasul yang telah mendahului sebelumnya beberapa orang Rasul, serta ibunya seorang perempuan yang amat benar. Mereka berdua memakan makanan (seperti kamu juga). Lihatlah bagaimana kami jelaskan kepada mereka (ahli kitab itu) keterangan-keterangan (yang tegas menunjukkan kesesatan mereka), kemudian lihatlah bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsu mereka dari menerima kebenaran yang jelas nyata itu). [75]
Katakanlah (wahai Muhammad), “Patutkah kamu menyembah sesuatu yang lain dari Allah, yang tidak berkuasa memberi mudarat kepada kamu dan tidak juga berkuasa memberi manfaat? Padahal Allah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”. [76]
*********
“Eh Bang, bacaan Nur sampai ke ayat berkenaan Nabi Isa ini… baru semalam pemuda itu bertanyakan hal ini dan baru beberapa hari lepas, Nur baca kisah ‘Isa a.s kepada anak-anak. Menariknya!,” saya tidak dapat menyembunyikan keterujaan atas peristiwa yang berlaku.
*****

Tiba waktu Asar, Tuan Suami berkata kepada ketua rombongan iaitu Haji Hamid (Presiden MECCA), “Kami mohon beransur dahulu ya”.
“Kita akan ke masjid Werribee sekejap lagi. Singgahlah dulu”.
Mendengar perkataan masjid, kami terus bersetuju. Sementelah kami mahu solat Asar dahulu sebelum pulang. Masjid Werribee pun kami belum kenal lagi. Sampai di hadapan pintu masuk ke kawasan masjid, ada sesuatu yang menarik perhatian [Lihat gambar].
“Eh Bang, bagusnya nama masjid ini. Ini kali pertama Nur lihat nama masjid diletakkan sempena nama perempuan. Biasanya nama lelaki sahaja. Sesuai sangat kerana Maryam (Ibu Nabi ‘Isa a.s) pun ada mihrab sendiri”.
Subhanallah walhamdulillah! Mengagumi apa yang Allah telah aturkan dalam kehidupan saya berkenaan kisah Nabi ‘Isa a.s ini. Ia berlaku secara teratur dan saling berkait pada satu topik tanpa saya rancang. Seolah-olah mahu saya menghadam kisah ini dengan mengingati dalil-dalil (fakta) yang jelas dari kalamNya sendiri. Juga mendekati lagi perwatakan Maryam, ikon wanita suci yang mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah swt. Insya Allah, semoga Allah mempermudahkan jalanNya untuk saya menghayati perwatakan Maryam a.s.
Dalam taman berbunga hidayah… Insya Allah.
Seru manusia kepada Islam dengan kasih sayang.
Ummu Abbas
9 Dzul Qi’dah 1433H
12.30am
Melbourne.
Tinggalkan Jawapan