Melihat Alam Dari Kacamata Hamba

*  Tajuk artikel ini diambil sempena tema jaulah Sambutan Pelajar Baru Auckland awal tahun ini yang mana saya diminta menyampaikan tazkirah ringkas mengenainya.

 

~~~~~~~~~~~~~~~~

Melihat Alam Dari Kacamata Hamba

New Zealand terkenal dengan landskap semulajadinya yang indah.  Jika Australia sudah cukup indah dipandang, saya kira New Zealand lebih indah. Kehijauan pergunungannya serta ladang-ladangnya menyegarkan pandangan mata.

Tinggal di rumah ladang di Warkworth menggamit kenangan pada kisah Heidi yang pernah dibaca semasa kecil.  Antara faktor saya menyukai kisah Heidi ialah latar lokasi yang menceritakan tentang pergunungan yang menghijau, segar dan berudara bersih.  Hari ini terasa kebesaran Allah yang mengizinkan saya melihat suasana itu walaupun tidak pernah memasang niat untuk berada di tempat begini suatu hari nanti.

Subhanallah!

3:191

(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka”

 

Ali ‘Imran 3: 191

Selaku hamba, tatkala melihat keindahan alam dan keunikannya, doa di dalam ayat di ataslah yang paling layak diucapkan kepada Pencipta Keindahan.

Hamilton Gardens

 

 

Hamilton Gardens memang indah.  Terletak kira-kira 131 km dari Auckland.  Di dalamnya dibina pula taman-taman indah bertema.    Terdapat 6 taman bertema negara tertentu iaitu Chinese Scholars Garden,   English Flower Garden, Japanese Garden of Contemplation,  American Modernist Garden, Italian Renaissance Garden dan Indian Char Bagh Garden.  Selain pepohon menghijau dan subur, bunga-bungaan baki dari musim bunga, terdapat tasik dan Sungai Waikato yang mengalir tenang.

Seperti biasa, di samping melihat pemandangan, saya juga tertarik dengan manusia yang ada di sekitarnya.  Saya memerhatikan reaksi pengunjung yang melawat.  Kebanyakan mereka non muslim.  Muslim yang ada pun adalah kami, anggota rombongan yang terdiri dari pelajar-pelajar Malaysia yang belajar di Auckland dan beberapa kerat pengunjung.

Mereka kelihatan mengagumi keindahan taman-taman serta begitu asyik bergambar.  Saya terfikir, “Alangkah bagusnya jika mereka melihat yang tersurat dari yang tersirat… taman-taman indah ini merupakan gambaran taman-taman syurga Allah yang jauh lebih indah di akhirat kelak.  Al Quran banyak menceritakan tentang syurga dengan sungai-sungai yang mengalir di dalamnya.  Ia disediakan untuk hamba-hamba yang beriman.”
Hari ini kita diberi nikmat menghuni taman dunia yang indah.  Adakah kita layak mendiami syurga Allah yang luas? Apabila terfikir hal begini, terasa ia satu gamitan dari Allah supaya sentiasa berusaha menjadi hambaNya yang baik.  Adakah solat saya sudah sempurna?  Adakah saya berusaha menunaikan perintah yang wajib dan menjauhi yang haram?  Terasa begitu rugi sekali, andai peluang yang ada untuk memburu syurgaNya di dunia ini tidak dimanfaatkan sebaik mungkin.

Jika di sini ada taman-taman bertema, syurga juga mempunyai tema tersendiri yang menunjukkan status yang berbeza.  Benar… benar sekali.  Fitrah manusia yang sukakan taman-taman itu tetap dapat direalisasikan selepas mati.  Yang pentingnya kunci syurga diperolehi dahulu iaitulah kalimah syahadah, “La Ilaha Illallah, Muhammadar Rasulullah”.  Merasa amat kasihan melihat para non muslim yang ramai itu.  Saya hanya mampu mendoakan mereka agar Allah berikan hidayah sama seperti Allah berikan hidayah kepada saya.

Menyebut tentang nikmat melihat keindahan alam, pagi tadi saya mendengar ucapan saudara seislam secara langsung dari Medan Ilmu, Kota Bharu.  Ukht ‘Alaa yang berasal dari Gaza berkata (Pada minit ke 1.14 dalam rakaman), “Gaza buminya lebih kecil dari Malaysia tetapi mempunyai pemandangan yang indah juga.  Apabila saya berdiri di tepi pantai untuk mencari ketenangan, apa yang saya nampak adalah penderitaan saudara-saudara saya.”

Saya kira menjadi tanggungjawab setiap muslim untuk merasa kebersamaan dengan saudara-saudara seaqidah di sana.  Apatah lagi Masjid al-Aqsa yang menjadi kiblat pertama umat Islam adalah milik semua umat Islam tanpa mengira di mana mereka berada.  Jika saya mampu merasa nikmat-nikmat duniawi tanpa gangguan dari mana-mana pihak, saya juga mahu saudara-saudara Islam di Palestin menikmati hal yang sama.

Keindahan alam ini lebih mampu dinikmati apabila saudara-saudara Islam di merata pelusuk dunia berada dalam keadaan aman seperti kita.  Mengambil berat urusan orang Islam yang lain salah satu ciri muslim yang beriman kepada Allah dan RasulNya.  Rasulullah s.a.w berkata,

“Sesiapa yang tidak mengambil berat akan urusan kaum muslimin maka dia bukanlah termasuk dalam kalangan mereka”. 

Hadis  direkodkan oleh Imam Baihaqi. 

Derita umat Islam Palestin derita kita juga.  Keperitan berdepan dengan kekejaman Basyar Asad di Syria keperitan kita juga.  Kezaliman yang dilakukan ke atas umat Islam di Rohingya merupakan penganiayaan kepada saudara kita.  Dalam melihat alam, saya sedar alam ini bersatu di semua sudut.  Antara benua dan lautan, antara langit dan bumi, antara cakerawala, bintang-bintang, bulan dan matahari. Ummat Islam di seluruh dunia juga perlu begitu. Mereka saling melengkapi bagi memakmurkan dunia ini dengan satu pemerintahan yang adil, menentang kezaliman dan memelihara kebajikan semua rakyat tanpa mengira bangsa, budaya dan agama.

Hati orang-orang beriman saling bertaut – jika mereka bahagia, kita turut bahagia.  Andai tidak dapat bersama mengharungi derita mereka, sekurang-kurangnya kita menghulurkan pertolongan dengan derma dan doa berpanjangan.

Ummu Abbas

7 Muharram 1434H

Melbourne

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: