Bau Telur Busuk Yang Menginsafkan

Taman Jepun di Hamilton Garden
Taman Jepun di Hamilton Garden

“Bila dekat dengan tasik, kita akan tercium bau seperti telur busuk,” suami memberi info ketika perjalanan kami hampir ke daerah Rotorua.  “Abi, kenapa?,”  anak-anak bertanya.  “Ia bau sulfur”, suami menjelaskan.  Pada masa itu kami dalam perjalanan dari Hamilton ke Rotorua, sebuah daerah yang mengandungi 16 tasik.  Tasik Rotorua dikatakan bekas kawah gunung berapi yang meletus lebih 200 ribu tahun yang lampau.  Tasik ini berdiameter 22km.  Ia merupakan tasik kedua besar di New Zealand.  Tasik Rotorua terletak di zon gunung berapi Taupo, Utara New Zealand.

“Siapa yang kentut?”, anak-anak bising tatkala kami mula tercium bau busuk.  “Ha… inilah bau sulfur yang Abi cerita tadi.  Ini bermakna kita sudah hampir tiba di Rotorua.”  “Ooo…begitu”.  Benar bagai dikatakan suami.  Kami singgah di Bandar Rotorua sekejap dan meneruskan perjalanan ke tempat penginapan yang sudah ditempah awal iaitu di pinggir Tasik Rotoma.  Kami melewati Rotorua dengan iringan bau seperti telur busuk sepanjang perjalanan.  Tasik Rotoma juga dikatakan bekas kawah gunung berapi.

Semasa belajar tentang gunung berapi dalam subjek geografi, saya merasa takut dengannya. Saya percaya tiada siapa yang sanggup terkena percikan api yang kecil, inikan pula lahar gunung berapi yang membawa api bersamanya.  Setelah mendapat tahu Malaysia tidak termasuk dalam lingkaran gunung berapi, hati merasa lega. Walaupun pernah melawat Medan, Indonesia dan menyaksikan gunung berapi di sana namun dek melihatnya dari jauh, saya melihatnya seolah-olah kebanyakan gunung di Malaysia sahaja. New Zealand adalah sebuah negara yang termasuk dalam kawasan lingkaran gunung berapi.  Di pinggir kota Auckland terdapat kawah Mt Eden yang sudah mati.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA
Kawah Mt Eden

Antara Hamilton Garden dan Wai-O-Tapu.

 

Antara tempat menarik di Rotorua yang kami lawati ialah Wai-O-Tapu Thermal Wonderland.  Wai-O-Tapu adalah bahasa Maori bermaksud “Air Suci”.  Ia merupakan kawasan aktif geoterma.  Kawasan ini memiliki banyak kolam air panas yang terkenal dengan airnya yang berwarna-warni.  Wai-O-Tapu memiliki keindahan pemandangan yang tersendiri tetapi menakutkan.  Itu yang saya fikir.

Dari permulaan jalan masuk ke dalam kawasan Wai-O-Tapu, diteduhi dengan pepohon menghijau serta rendang, kami melintasi jambatan kecil yang terbentang di atas sebuah sungai yang mengalir jernih.  Persekitaran awal itu seolah-olah mengingatkan saya kepada syurga yang dijanjikan Allah kepada hamba-hambaNya yang beriman dan beramal soleh.  Iktibar yang diperolehi sama seperti melawat Hamilton Gardens yang sudah diceritakan dalam artikel bulan lepas.  Bezanya kawasan ini dihiasi dengan bau sulfur.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA
Huge Volcano

Di hadapan kami sudah menanti kawasan yang kelihatan membahang dan mengeluarkan asap.   Apabila dijenguk ke bawah, kelihatan air kehitaman mendidih.  Ya Allah… Subhanallah… Ia begitu menakutkan.  Sudahlah tebing-tebing curamnya kelihatan berdebu kesuraman, bau-bau sulfur pula semakin kuat menyengat hidung.  Banyak juga lubang-lubang kawah gunung berapi yang kami saksikan di sini.  Airnya bercampur lumpur.  Warnanya bermula dari warna kelabu kehitaman dan hitam.  Saya percaya tiada siapa pun yang sudi terjun ke dalamnya apatah lagi mendiaminya.  Segala gambaran buruk ada di situ.

Suasana yang kontra dengan Hamilton Gardens ini mengingatkan saya kepada azab neraka Allah.  Allah menjanjikan balasan buruk kepada muslim yang banyak melakukan maksiat serta tidak bertaubat.  Allah menjanjikan kediaman yang kekal di dalam neraka buat mereka yang tidak mempunyai kunci syurga.  Mereka itulah yang memilih kekufuran dan mati dalam keadaan kufur kepada Allah.  Banyak ayat-ayat yang memberitahu hal ini.  Antaranya firman Allah di dalam Surah Al Baqarah, ayat 39, “Dan orang-orang kafir yang mendustakan ayat-ayat keterangan kami, mereka itu ialah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.”

Ayat-ayat Allah daripada kejadian alam ini sudah cukup untuk memberi peringatan supaya bersungguh-sungguh menjauhi maksiat dan bertaubat segera dari dosa-dosa sebaik sahaja terkhilaf melakukannya.  Kita terlalu lemah dan mustahil suci dari dosa namun Allah Yang Maha Pengampun sentiasa menyediakan peluang bertaubat berserta rahmatNya yang terlalu luas.  Allah berkata di dalam Surah Al Nisaa’ ayat 110, “Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Sungai di pintu masuk ke kawasan Wai-O-Tapu
Sungai di pintu masuk ke kawasan Wai-O-Tapu

Wai-O-Tapu yang unik   

Selain lubang-lubang dalam dari kawah gunung berapi yang menyeramkan, Wai-O-Tapu menghidangkan kami kawasan air panas yang menarik.  Kolam-kolam air panas ini ada pelbagai warna seperti kuning kehijauan, merah dan berwarna pelangi. Setiap kolam diberi nama.  Sebuah nama kolam menarik perhatian saya iaitu The Devil’s Bath (Mandian Syaitan).  Kelihatannya nama itu sesuai kerana kolam itu berair panas dan berbau busuk.  Terdapat juga kawasan tanah berasap kesan dari haba yang mendap di dalamnya.  Ya Allah… terlalu banyak perkara realiti menafsirkan apa yang tersirat.  Ia berguna buat setiap hamba yang mahu berfikir tentang kebesaran Allah dan mempercayai bahawa setiap janji Allah pasti benar khususnya berkenaan syurga dan nerakaNya.

“Ummi… Abi, Aesya mahu balik.  Busuklah di sini”.  Anak-anak asyik merungut mahu balik kerana tidak tahan dengan bau sulfur.  Hmm… tiada manusia yang suka kepada perkara negatif seperti bau busuk ini.  Saya teringat perumpamaan yang menyatakan andai kata dosa-dosa itu berbau, nescaya ramai manusia akan menjauhi maksiat.  Namun Allah tidak takdirkan semua itu berlaku kerana mahu menguji keimanan setiap hambaNya.  Doa melihat alam tidak dilupakan tatkala melihat semua kejadian Allah yang hebat ini, “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.”

Busuuuk....
Busuuuk….

Anak-anak asyik berjalan sambil tangan menutup hidung.  Saya bernasib baik kerana memakai purdah.  Purdah cukup membantu menapis bau yang tidak menyenangkan itu.  “Busuk… panas…”  Anak-anak terus merungut.  “Sabarlah… banyak lagi kawasan menarik yang kita mahu lihat”.  Pujukan begitu kurang membekas.  Saya berfikir lagi akhirnya saya memberi panduan, “Cuba fikir yang tempat ini tidaklah berbau busuk seperti yang disangka dan jangan sebut lagi perkataan ‘busuk’, insya Allah, kita akan rasa biasa”.  Selepas berulang kali menyarankan, akhirnya anak-anak merasa kalih dengan bau itu.  Masing-masing tidak lagi menutup hidung dan rungutan menghilang begitu sahaja.  Alhamdulillah.

Info lanjut mengenai Wai-O-Tapu boleh didapati di website  http://www.waiotapu.co.nz/.

 

Ummu Abbas

Melbourne 

31 Dic 2012

 

One thought on “Bau Telur Busuk Yang Menginsafkan

Add yours

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: