![IMG_20170523_060547[1]](https://keranacinta.files.wordpress.com/2017/09/img_20170523_06054711.jpg?w=435&h=580)
Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Itulah perumpamaan tepat dalam sisa travelog kami di Bumi Kangaroo ini. Dalam keluaran lepas, diceritakan prosedur dan kerenah menyewa rumah di Melbourne ini. Debaran berkenaan status kontrak menyewa kembali terasa tatkala suatu hari, jiran (yang membeli rumah kami) memaklumkan – Anak perempuannya mahu mendiami rumah ini kerana rumah lamanya sudah dijual. Anaknya pula sedang hamil dan dijangka bersalin pada Ogos 2013. Sebolehnya dia mahu tinggal di sini bulan Ogos. Dia menegaskan bahawa kontrak lama tidak terpakai antara dia dan kami sebab perjanjian tersebut antara kami dengan pemilik lama. Mereka akan dapat hak milik pada penghujung Ogos 2013.
Ini adalah situasi biasa yang dialami manusia iaitu perkara-perkara mendatang mampu mengubah pendirian seseorang. Untuk kesekian kalinya, kami bertanya agen status kontrak. Kontrak masih sah dan pemilik baru tidak boleh menamatkannya tanpa persetujuan penyewa. Notis perlu dikeluarkan dalam tempoh 60 hari bermula dari tarikh tamat kontrak untuk penyewa mencari rumah lain dan berpindah. Perkembangan terbaru itu agak menganggu konsentrasi sebab plan kami sudah elok untuk ‘back for good’ akhir tahun. Sedang elok dengan tempoh tamat kontrak, kami akan mencari penempatan sementara untuk seminggu atau 2 minggu sebagaimana yang biasa dilakukan oleh kawan-kawan di sini.
Saya berusaha menenangkan diri dan berfikir mencari solusi berpandukan wahyu. Mengenangkan bagaimana kami mendapat rumah ini dulu memberi kekuatan dan mengembalikan keyakinan bahawa jika Allah yang mengizinkan kami tinggal di sini sedangkan kami tidaklah beriya-iya mahu mendiaminya dahulu, maka hanya dengan izinNya jua, kami akan keluar dari rumah ini pada masa yang sudah ditakdirkan sejak azali. Ia sesuai dengan maksud ayat 8 al-Ra’d, “ Dan tiap-tiap sesuatu adalah ditetapkan di sisiNya dengan kadar yang tertentu”. Selain itu Ayat Kursi dalam Al Baqarah 255 yang bermaksud, “ Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya”. Mengingatkan dan memahami ayat-ayat Allah melimpahkan rasa tenang sekaligus menghalau debar dan resah.
Saya berdoa dan terus berdoa,
“Ya Allah, berilah jalan terbaik untuk kami keluar dari permasalahan ini. Jalan yang tetap memelihara ukhuwwah antara kami dan dalam masa yang sama kami tidak teraniaya. Ya Allah, perelokkanlah natijah dalam semua urusan kami, serta peliharalah kami dari kehinaan di dunia dan juga di akhirat”.
Selepas itu, jiran kami berusaha berbincang lagi dengan cara baik. Kali ketiga mereka menukar pendirian iaitu bersetuju kami keluar selepas tamat kontrak, kami segera mengatur langkah menempah ‘homestay’ kawan yang akan balik Malaysia untuk sementara waktu. Selepas selesai urusan ‘homestay’ pada suatu pagi, tengahari selepas Zohor, jiran datang lagi dengan keputusan terbaru iaitu kami dikehendaki keluar akhir September. Beliau telah tolong carikan rumah lain tetapi kontraknya diperbaharui setiap bulan. Ini antara tanggungjawab pemilik jika mahukan penyewa keluar lebih awal dari tempoh tamat kontrak dengan persetujuan penyewa. Bukan itu sahaja, dia juga mahu mendakwa kami dan agen ke tribunal jika kami tetap tinggal di situ sehingga tamat kontrak. Saya terasa lucu bercampur tersinggung dengan pendirian yang berubah-ubah acap kali dalam jangkamasa pendek begitu.
Alhamdulillah rumah kami dihiasi ‘Taman-taman Syurga’ setiap hujung minggu. Setiap pagi Sabtu, diadakan Kelas Fardu Ain untuk anak-anak post-grad Melayu di dalam garaj yang mampu memuatkan 4 buah kereta. Di bahagian laman belakang berkumpul beberapa orang bapa untuk belajar tarannum. Manakala setiap 2 minggu diadakan kelas ibu-ibu post-grad di ruang tamu atas rumah. Dengan asakan terakhir daripada jiran ini, suami memaklumkan kepada kawan-kawan kondisi rumah kami supaya pihak jawatankuasa kelas dapat memikirkan lokasi baru Kelas Fardu Ain seberapa segera. Syukur alhamdulillah, kawan-kawan datang memberi sokongan moral dan penghulu yang juga merupakan peguam telah memberikan nasihat dari sudut undang-undang.
Saya turut Solat Istikharah dan berbincang dengan senior yang sudah lebih 20 tahun tinggal di sini. Akhir sekali kami mengunjungi pejabat agen untuk mendapatkan pandangan mengenai ‘ugutan’ terbaru itu. Wakil agen menyatakan dakwaan tersebut jika dilakukan ianya tetap tidak relevan. Dia berpesan kepada kami untuk tunggu dan lihat dahulu. Kami memutuskan untuk tidak lagi berurusan secara langsung dengan jiran berkenaan hal rumah bagi mengelakkan perbalahan serta menyerahkan urusan tersebut kepada agen. Itulah yang sepatutnya jika benar-benar dia mahu menurut dan menggunakan undang-undang. Selama ini kami melayannya sebagai jiran sahaja. Apabila sampai ke satu tahap dia menyebut mahkamah, maka segala perbincangan selama ini adalah tidak sah kerana dia belum lagi pemilik yang sah dan kami pula menyewa melalui agen yang dilantik oleh pemilik asal.
Kami tahu jiran agak tertekan dengan tindakan dan kemahuan anaknya namun ia bukan alasan untuk menekan kami pula. Anak-anak perlu dididik untuk bersikap lebih matang, berani menanggung risiko hasil keputusan sendiri dan bukannya menurut kemahuan mereka yang akan melampaui hak-hak orang lain. Bila orang tua menuruti sahaja kemahuan anak walau dalam perkara salah, di situ telah berlaku dua penganiayaan. Pertama anak memberati ibubapa dengan hasil keputusan dan tindakan di luar perbincangan. Kedua, ibubapa membiarkan anak-anak kekal dalam situasi yang salah tanpa bertegas supaya mereka menghormati hak-hak orang lain. Penganiayaan ketiga boleh berlaku jika ia melibatkan hak-hak orang ketiga sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Benarlah pepatah “Kusangka panas hingga ke petang rupanya hujan di tengahari” kerana hujan adalah salah satu tanda rahmat Allah swt kepada manusia. ‘Hujan’ juga merupakan tanda-tanda dari Allah untuk menetapkan pendirian hamba yang beriman dalam menghadapi cabaran-cabaran.
Firman Allah swt dalam Surah al-Anfal ayat 11 yang bermaksud,
“Ingatlah) ketika kamu diliputi perasaan mengantuk sebagai satu (pemberian) aman dari Allah (untuk menghapuskan kecemasan kamu). Dan (ingatlah ketika) Ia menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk mensucikan kamu dengannya dan menghapuskan dari kamu gangguan syaitan, dan juga untuk menguatkan hati kamu dan menetapkan dengannya tapak pendirian (kamu di medan perjuangan).”
Saya lebih suka mengambil makna positif dari kejadian hujan berdasarkan ayat di atas dibandingkan konotasi negatif yang lazimnya difahami dari pepatah tersebut.
Hujan di tengahari yang dialami di sini adalah rahmat Allah untuk kami sekeluarga. Antaranya ialah memberi peluang anak-anak membuat persediaan menghadapi sistem persekolahan di Malaysia yang sudah lama ditinggalkan. Sudah ramai kawan-kawan yang pulang bercerita perlu ambil masa untuk anak-anak sesuaikan diri dengan sistem persekolahan Malaysia yang lebih mencabar sama ada dari etika guru-guru, persekitaran kawan-kawan, kemudahan dan juga silibus pelajaran. Persediaan dari aspek subjek boleh ditampung dengan menghantar mereka ke kelas tuisyen. Sebenarnya persekolahan di Australia akan habis pada pertengahan Disember dan bermula pada awal Februari. Jika mahu menunggu anak-anak habiskan persekolahan untuk tahun ini, tempoh mereka bercuti di Malaysia akan menjadi pendek sebelum persekolahan baru di buka awal tahun.
Tidak rugi merancang, bermesyuarat dan beristikharah
Anas bin Malik melaporkan, kata Rasulullah berkata,
” ما خاب من استخار ، ولا ندم من استشار ”
Maksudnya; Tidak akan binasa sesiapa yang beristikharah dan tidak akan menyesal sesiapa yang berbincang (bermesyuarat)”.
Inilah langkah-langkah yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w buat umatnya dalam membuat sesuatu keputusan dan tindakan. Kalau bab bermesyuarat, ramai orang mengamalkannya meskipun non muslim namun untungnya Islam ada panduan solat memohon petunjuk Ilahi yang Maha Mengetahui sebagai panduan memutuskan sesuatu perkara. Langkah-langkah ini sentiasa kami amalkan dalam banyak perkara termasuk semasa mencari rumah sewa dahulu. Jadi kami bersangka baik dengan Allah tatkala menghadapi situasi tidak diduga.
Dari awal menghadapi situasi ini, saya meyakini ada hikmah di sebalik setiap ketentuan Ilahi. Kita merancang, Allah juga merancang dan perancangan Allah itu yang terbaik buat kita. Keyakinan dan disiplin ini sudah lama diamalkan yang mana didapati semua natijah adalah baik untuk iman, dunia dan akhirat saya. Kalau kita mencari iman dan taqwa, bahkan selalu pula berdoa meminta hal tersebut dari Allah, maka apa yang kita cari dan pinta itulah Allah bukakan jalan menujunya. Selalu bersangka baik dengan Allah pula adalah perencah penting bagi meningkatkan tawakkal dan tidak berputus asa dari rahmatNya. Ya Allah, tiadalah yang paling indah di dunia ini melainkan dibentangkan sedikit ujian yang tidak menepati kehendak untuk kami lebih khusyuk dalam menyembah dan berdoa kepadaMu. Dibandingkan ujian nikmat yang realitinya lebih banyak membuatkan manusia ingkar dan kufur daripada bersyukur.
Ya Allah, jadikanlah kami dari kalangan hamba yang diredaiMu. Amin.
# Catatan untuk kolum Travelog Iman, majalah Era Muslimah
pada 24 Syawwal 1434H/ 31 Ogos 2013
Ummu Abbas
17 Zulhijjah 1438H/8 Sept 2017
Tanah Serendah Sekebun Bunga
Tinggalkan Jawapan