Semua Muslimah Adalah Ratu!

Ratu Inggeris
Foto hiasan

Pakcik berbangsa Tionghua itu menghulur tangan kepada suami untuk bersalam.  Kemudian menghulurkan tangannya  kepada saya pula.  Saya senyum seraya menolak dengan baik.  Pakcik itu senyum juga.  Kemudian berlangsung perbualan antara kami.  Pakcik ini berasal dari Malaysia.  Selepas pencen, datang ke Sydney kerana mengikuti anaknya lalu berkerja sebagai ‘salesman’ di kedai kereta yang kami sering lintasinya menuju Paramatta.  Itu kali pertama dalam hidup sejak beberapa tahun sebelum baligh, saya berdepan dengan situasi lelaki ajnabi menghulurkan tangan kerana mahu bersalam.  Pada tahun 2007, kali pertama kami berkunjung ke Australia dan bermastautin di sana selama 3 bulan.

 

 

Selepas 3 tahun,  kami berhijrah ke Melbourne atas sebab suami sambung belajar.  Kali pertama mendapat rumah sewa, kami berkunjung ke pejabat agen untuk menandatangani kontrak.  Wakil agen iaitu Anthony menghulurkan tangan kepada suami, kemudian kepada saya.  Saya ‘membalas’ huluran itu dengan menundukkan sedikit badan tanda hormat dan langsung tidak mengangkat tangan.  Anthony hanya senyum.

 

Sebagai surirumah sepenuh masa, pergaulan dengan ajnabi memang terbatas.  Jadi tidak banyak pengalaman berdepan dengan ajnabi non muslim di sini.  Dalam banyak keadaan bila berurusan hal jual beli, ia satu situasi yang memang biasa orang tidak bersalam. Ada beberapa keadaan lagi selepas itu, menemui ajnabi non muslim yang secara adatnya pertemuan dimulakan dengan bersalaman namun Allah memudahkan urusan apabila mereka tidak menghulurkan tangan kepada saya untuk bersalam.  Agaknya mereka sudah faham apabila melihat imej muslimah yang dibawa.

 

salaman_guru_murid

Ini pentingnya muslimah berpenampilan sebagai muslimah dengan hijab sempurna.  Daripada pakaian sahaja, orang yang memahami tahu kita muslimah bermaruah.  Tanpa kata-kata, banyak perkara dapat diselesaikan secara mudah.  Jika ada yang tidak tahu, kita berpeluang ‘memberitahu’ serta ‘memahamkan’ mereka dengan tindakan menolak salam secara terhormat.  Apabila ditanya atau perlu, berpeluang pula menjelaskan tentang salah satu ajaran Islam secara lisan dan praktikal.  Maka semua keadaan tetap memberi ‘pulangan yang baik’ buat wanita-wanita beriman.  Bak kata pepatah Inggeris, “Actions speak louder than words”.  Maksudnya lebih kurang apa yang kita lakukan adalah lebih berkesan serta memberi makna dari apa yang diperkatakan.

 

Salah satu dialog menarik disebarkan di Facebook berkenaan salam;  Seorang lelaki British telah menemui seorang syeikh lalu bertanya,” Kenapa Islam tidak benarkan wanita bersalam dengan lelaki?” Syeikh berkata, “Bolehkah kamu bersalam dengan Ratu Elizabeth?”.  Lelaki British itu berkata, “Sudah tentu tidak.  Hanya orang tertentu yang boleh bersalam dengan Ratu Elizabeth”.  Syeikh lalu menjawab, “Wanita kami semuanya ratu dan ratu-ratu tidak bersalam dengan lelaki asing”.

 

 

Dalam artikel ini, saya tidak bermaksud memberi dalil secara terperinci mengenai hukum bersalam dengan ajnabi.  Para pembaca boleh merujuk kepada ramai pakar-pakar agama di luar sana dan penulisan ilmiah sedia ada di banyak website dan buku-buku.  Memadai kita memahami serta meyakini bahawa perbuatan Nabi Muhammad s.a.w memberi kesan terbaik kepada semua aspek iaitu fizikal, spiritual dan mental, maka hujjah-hujjah sahih tersebut cukup untuk dijadikan pegangan.

 

Antara hujjah tersebut ialah hadis A’isyah r.a yang berbunyi, “ Wanita-wanita beriman yang mengikrarkan syarat ini, maka Rasulullah s.a.w berkata kepadanya, “Sesungguhnya aku telah membai’atmu.Yakni beliau membai’atnya hanya secara ungkapan. Dan demi Allah, tangan beliau tidak pernah menyentuh tangan seorang wanita pun dalam berbai’at. Beliau tidak pernah membaiat mereka kecuali dengan ungkapan, “Sungguh, aku telah membai’atmu atas perkataan itu.” Hadis ini dikuatkan oleh Yunus, Ma’mar dan Abdurrahman bin Ishaq dari Az Zuhri. Ishaq bin Rasyid berkata; dari Az Zuhri dari Urwah dan ‘Amrah. – Hadith direkod Imam Bukhari. 

 

 

Jika di Malaysia, ramai non muslim mengetahui bahawa muslim tidak bersalam antara lelaki dan wanita ajnabi, begitu juga di sini.  Ada yang tahu dan ada yang tidak tahu.  Namun dalam keadaan muslim itu sendiri ada yang praktis dan tidak ajaran Islam tentang bersalam ini, maka sebahagian mereka mungkin keliru yang mana satu pendirian Islam sebenar.

 

jabat tangan

Pengalaman adalah guru terbaik selepas kita belajar secara teori.  Ia adalah asas dalam mana-mana ilmu baik ilmu duniawi mahupun ilmu akhirat.  Meskipun membesar di zaman Barisan Nasional memerintah Kelantan yang mana premis atau aktiviti maksiat diberi lampu hijau, namun adat budaya masyarakat Kelantan yang menitik beratkan amalan agama masih mewarnai persekitaran.  Antaranya berpakaian sopan menutup aurat, tidak bergaul bebas lelaki perempuan, menghormati tetamu, majlis-majlis ilmu hidup di merata tempat dan lain-lain.

 

Walaupun masih ramai masyarakat yang tidak beramal sepenuhnya dengan ajaran Islam namun keadaan mereka tidak mampu menenggelamkan dominasi segolongan rakyat yang mahukan Islam dan mahu Islam hidup di dalam diri-diri, rumahtangga dan masyarakat mereka.  Budaya masyarakat Kelantan yang unik dan tersendiri meletakkan mereka berada di aras tertentu dalam menentukan iklim politik tanah air.  Sementelah pula, di Serambi Mekah ini, Allah anugerahkan seorang ‘Tok Guru’ yang mempunyai aura yang begitu kuat di kalangan rakyat Kelantan meskipun waktu itu beliau hanya seorang wakil rakyat biasa.

 

 

Sama ada Tok Guru Nik Abdul Aziz ini seorang wakil rakyat atau tidak, ia tidak begitu penting buat saya.  Yang saya faham dan tahu ialah Tok Guru adalah seorang ulama yang ungkapannya banyak membekas di hati.  Saya dibawa oleh ibubapa untuk mendengar kuliah-kuliah beliau setiap pagi Jumaat di Kota Bharu sejak di sekolah rendah.  Dalam banyak sifat atau akhlak beliau yang mengagumkan sesiapa sahaja yang memandangnya, antara yang menarik perhatian ialah ketegasan Tok Guru untuk tidak bersalam dengan wanita ajnabi sehinggalah beliau menjawat jawatan Menteri Besar lebih dari 20 tahun.

 

Memegang jawatan ketua sebuah kerajaan dalam kondisi sosial negara yang kurang Islamik, bahkan negara bermasyarakat majmuk, Tok Guru terdedah kepada pergaulan yang luas melibatkan bangsa-bangsa pelbagai latar budaya dan cara hidup.  Juga terlibat dengan banyak majlis umum.  Bukan itu sahaja, Tok Guru juga sering menerima tetamu lelaki dan wanita sama ada di rumah, pejabat atau di mana sahaja beliau pergi.

LARANGAN-BERJABAT-TANGAN-DAN-BERSENTUHAN-DENGAN-LAWAN-JENIS

 

Kalau Tok Guru yang mempunyai jawatan sebesar itu dan wajib berkomunikasi dengan ramai rakyat lelaki dan wanita mampu istiqamah untuk tidak bersalam dengan wanita, maka apakah saya yang sekadar rakyat marhaen dan sekali-sekala sahaja diuji Allah dengan huluran tangan lelaki ajnabi mahu bersalam atas alasan ‘menjaga air muka’ mereka?  Saya pernah membaca tulisan yang mengharuskan salam dengan ajnabi atas rasional untuk ‘jaga air muka’ mereka yang belum Islam.  Ini kerana ia budaya mereka.  Jadi andaikata mereka menghulur tangan dahulu, haruslah disambut.  Lalu saya berfikir, bagaimana dengan ‘air muka saya sebagai muslimah?’.  ‘Air muka’ siapa yang wajib didahulukan?  Sejak baligh, saya berusaha memelihara diri tidak bersalam bersentuhan kulit dengan ajnabi, tidak juga secara berlapik sebagaimana yang dilakukan oleh sesetengah makcik.  Kebiasaan amalan berlandaskan tuntutan syarak ini menguatkan diri untuk tetap berpegang teguh dengannya walau apa pun yang berlaku.

 

 

Adakah Nabi s.a.w tidak tahu dan faham kepentingan menjaga ‘air muka’ orang dalam persekitaran masyarakat di zaman tersebut adalah jauh lebih jahil, lebih sesat, berlaku penindasan teruk kepada kaum wanita dan pergaulan yang tidak terkawal?  Namun Rasulullah s.a.w dengan petunjuk wahyu menjaga ‘air muka’ para wanita dengan tidak menyentuh kulit-kulit mereka.  Inilah panduan sempurna dari Nabi s.a.w yang tetap menolak untuk bersalam ketika para wanita menghulurkan tangan untuk berbai’ah, maka umat selepasnya hanya perlukan kefahaman dan keyakinan akan kebaikan perbuatan Rasulullah s.a.w untuk menirunya.  Bahkan waktu itu adalah fasa awal kedatangan cahaya Islam menerangi kegelapan jahiliyah, maka umat selepasnya sudah tentu mampu beramal dengannya selepas lebih 1400 tahun cahaya Islam itu menerangi alam.

 

Ummu Abbas

24 Zul Q’idah 1434H/

30 Sept 2013

Coretan di Melbourne untuk kolum Travelog Iman, Majalah Era Muslimah

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: