Bolehkah pakai purdah on-off?

Assalamualaikum k.nor..

Saya memang ada niat untuk berniqab.  Suami memang amat2 menggalakkan..tetapi saya terikat dengan kerja yang tidak boleh berniqab.  Apa pendapat k.nor jika saya berniqab kecuali di tempat kerja sahaja buka….rasa tenang bila berniqab..

Nurul

******************************

Wa’alaikum salam wbh.

Alhamdulillah kerana diberikan hidayah Allah utk melakukan kebaikan. Apatah lagi mendapat dorongan dari suami pula.

Pada pendapat Kak Nur… harus Nurul berbuat demikian yakni mengenakan niqab dan membukanya semasa bekerja sahaja.

Ada kawan Kak  Nur yang membuat perkara yang sama.  Dia pensyarah perubatan di universiti. Dia hanya membukanya semasa ke pejabat. Sebaik habis waktu pejabat, dia akan mengenakan semula purdahnya.

Dari sudut hukum pun sebenarnya terdapat keharusan wanita berniqab untuk membuka niqabnya semasa menjadi saksi di mahkamah, semasa berjual beli, melalui pemeriksaan di bahagian imigresen dan pelbagai urusan lagi yang mana terdapat keperluan mengenali wajah.

Seorang lagi kawan akak bertugas sebagai guru kementerian namun alhamdulillah, pengetua sekolah di tempat dia mengajar mengizinkan dia memakai purdah. Jadi dia membuka purdah hanya semasa berada di bilik guru perempuan dan juga semasa mengajar di dalam kelas.

Petuanya mudah sahaja, dia selalu solat hajat agar Allah permudahkan hasratnya untuk istiqamah dengan niqab meskipun bekerja. Allah makbulkan doanya dengan mentakdirkan majikan tempat dia bekerja lunak hatinya untuk mengizinkan dia memakai purdah.

Ada seorang lagi kerja di bank.  Sebaik sampai di pejabat, dia buka purdah.  Habis waktu pejabat, dia pakai semula.

Ada seorang lagi, Akak pernah tengok dia tetap memakai purdah semasa bekerja kerana ruang dia bekerja terbuka kepada staf lelaki juga.  Dia bekerja di jabatan kerajaan.

Sebaiknya diusahakan tempat bekerja itu diasingkan ruang untuk pekerja wanita dan pekerja lelaki.  Banyak kebaikan yang akan diperolehi.

Harap jawapan di atas membantu.

Wassalam.

Ummu Abbas

5.21pm

15 Rabiul Awwal 1433H

Melbourne

Wanita Kelantan Juga Mahu Berhibur

Wanita yang jaga PA System semasa acara sesama wanita. Kredit untuk Islam Saintifik, blogspot.

 

Mahasiswi Malaysia di Jordan Berlakon, Menari dan Menjadi Peragawati

Siapa sangka golongan yang dianggap bakal menjadi ustazah-ustazah [walaupun tidak semestinya begitu] selepas pulang ke Malaysia turut aktif menjayakan Minggu Kebudayaan Malaysia (MKM) di Jordan kira-kira 16 tahun yang lalu.  Salah satu slot dalam MKM itu ialah persembahan kebudayaan meliputi pantomim, tarian tradisional, peragaan pakaian kebangsaan dan nyanyian.  Ia julung-julung kali diadakan di University of Jordan memandangkan pada tahun tersebut pelajar Malaysia meningkat jumlahnya.  Rentetan dari itu, Persatuan Mahasiswa Malaysia University of Jordan [PMUJ] baru ditubuh.  Dengan adanya persatuan, pihak universiti lebih mudah berurusan dengan wakil-wakil pelajar Malaysia.

Persembahan kebudayaan ini diserahkan kepada mahasiswi sahaja dek kerana mahu memelihara syariat semasa persembahan dibuat. Boleh dikatakan hampir semua mahasiswi terlibat sama ada untuk acara di pentas atau di belakang pentas.

Kami membahagi kepada beberapa kumpulan dan berlatih dengan tekun.  Bila teringat kawan-kawan yang mengambil bahagian, kadang-kadang saya tersenyum sendiri.  Walhal ada yang tidak pernah pun terlibat dengan aktiviti kebudayaan semasa di sekolah dahulu.  Antara kami ada yang menari Kuda Kepang, Ulit Mayang dan Boria.  Ada yang masuk kumpulan Dikir Barat.  Si tinggi lampai berlatih ‘cat walk’ untuk menjadi peragawati memperagakan kurung dan kebaya.  Saya sendiri menjadi pelakon pantomim bersama rakan-rakan yang lain.  Kisah pantomim ialah mengenai adat perkahwinan Melayu.

Acara berlangsung dengan meriah yang mana penontonnya hanya terbuka kepada mahasiswi dan staf universiti wanita sahaja.  Ramai juga dari kalangan warga Arab yang datang menonton serta mendapat tepukan gemuruh.  Dewan Samir Rifa’ie hari itu diserahkan kepada kaum wanita sepenuhnya termasuk di bahagian sistem PA dan audio.

Kami seronok dapat berhibur sesama sendiri dalam suasana memenuhi syariat begitu.  Tiada lelaki ajnabi walau seorang pun.  Semasa acara perasmian, Presiden PMUJ memberi ucapan.  Seusai berucap, dia segera keluar dan pintu dewan ditutup rapat.  Apa lagi, pada masa inilah kami bebas berhias dan mengenakan pakaian untuk persembahan dalam acara penuh warna-warni serta iringan muzik.  Jubah-jubah, tudung labuh dan purdah boleh disangkut sahaja.  Kami gembira dan tenang kerana dapat berhibur secara berpahala dan bukannya menambah dosa.

 Hiburan Sesama Wanita di Sekolah-sekolah Yayasan Islam Kelantan

Terdahulu dari pengalaman di Jordan, ialah pengalaman di Maahad Muhammadi (P) dahulu.  Maahad Muhammadi Lilbanat (untuk perempuan) sudah biasa memasuki pertandingan nasyid, syair, membaca sajak dan tilawah antara sekolah-sekolah Yayasan Islam Kelantan.  Biasanya pertandingan diadakan secara tertutup untuk wanita sahaja.  Selain acara nasyid dan tilawah, pantomim juga biasa dipersembahkan di peringkat sekolah.  Jika di peringkat sekolah seliaan kerajaan negeri sahaja sudah biasa hiburan diadakan sesama wanita, adalah munasabah kerajaan mengangkatnya ke peringkat negeri setelah Islam menguasai pemerintahan.  Tujuannya agar rakyat yang tidak berpeluang mendapat pendidikan agama dapat memahami seterusnya memahami konsep berhibur cara Islam.  Insya Allah, selepas Pakatan Rakyat berjaya menguasai Putrajaya, kita boleh laksanakan di peringkat nasional pula.

Hiburan Sesama Wanita di Universiti Sains Malaysia Kampus Kubang Kerian

Pengalaman selanjutnya di Universiti Sains Malaysia Kampus Kubang Kerian, saya pernah dijemput menjadi juri pertandingan, juga bagi acara hiburan sesama wanita untuk Minggu Penghayatan Islam.  Coretan mengenainya pernah dipaparkan di sini.

Saya percaya program seumpama ini realitinya sudah tersebar luas di kampus-kampus lain juga.

Ladies Nite 2012 & Wanita Kelantan Got Talent

Apabila rakan-rakan saya di Negeri Serambi Mekah menyebarkan banner dan poster Ladies Nite 2012 dan Wanita Kelantan Got Talent, tanpa ragu-ragu saya meminta izin dari mereka untuk mempromosikan di dalam blog ini.  Sudah tentu saya tidak tahu latar belakang penganjuran tetapi bentuk pengisiannya sedia difahami kerana ia bukan sesuatu yang asing.  Kalau pun ada sedikit kepelikan hanyalah kerana ia  tidak pernah dibuat oleh Kerajaan Barisan Nasional.  Seingat saya, kerajaan yang memerintah Malaysia sekarang tidak pernah mengadakan program hiburan khusus untuk wanita – Dari wanita, untuk wanita.

Di sebalik tabir penganjuran, rupa-rupanya rakan-rakan saya di Kelantan menerima kritikan hebat terhadap perlaksanaan program tersebut.  Baca selanjutnya di sini.

Agak tersentak juga bila membaca laporan penuh perasaan itu.  Berikut adalah antara petikan laporan,

Sungguh, saya terpegun! Saya baru perasan, Kelantan punya mereka sebagai anak  jati negeri. Kelantan punya ramai  rakyat yang berbakat dan berminat dengan seni, namun apa khabar dengan mereka? Tersisihkan mereka apabila Kelantan diterajui pemerintahan ulama’? Apakah mereka akan memberontak jika minat itu dihalang terus? Adilkah muzik menjadi haram sedangkan al-Quran juga beritma muzikal? Sedangkan jantung kita berdegup ada rentaknya, dan nadi mengusung darah dengan iramanya nan tersendiri? Bagaimana mungkin semua ini boleh disucikan dengan Islam? Bagaimana sebuah irama dan lagu itu menjadi halal dan memicu kepada pertumbuhan sihat pada jiwa, rohani, fizikal dan mental manusia? Bagaimana kerajaan Negeri Kelantan mengapresiasi fitrah kemanusiaan yang satu ini…? Bagaimana ya….

Melalui Got Talent ini, sekurang-kurangnya kita berkenalan dengan mereka.. kita menghubungkan silaturrahim kepada golongan ini. Golongan pencinta seni ada kelompok mereka yang tersendiri. Mereka punya rangkaian berjuta-juta, namun mereka agak jauh daripada ceramah-ceramah agama dan urusan kemasyarakatan. Lalu bagaimana untuk menyentuh hati mereka? Sekurang-kurangnya langkah ini adalah yang pertama, akan ada susulannya dan pengakhiran yang baik.. insya Allah.

Apabila ditanya, mereka menjawab;

“Kami selalu buat ‘show’ dan kali ini kami rasa sungguh bertuah kerana apa yang kami usahakan selama ini diiktiraf oleh Kerajaan Negeri Kelantan.”

“Jika diberi ruang dan saluran yang betul, apa salahnya? Terima kasih kepada UPWKK dan Kerajaan Negeri Kelantan.”

Hasrat Urusetia Pembangunan Wanita untuk mendekati golongan pencinta seni nampaknya berhasil. Syabas!

Salah satu kritikan pula berbunyi,

 “Semenjak Negara Islam bertukar kepada Negara Berkebajikan, Negeri Kelantan pun mahu menukar matlamat kah? Apa mereka ingat dengan menjemput artis masuk ke negeri ini, makin ramai orang akan sokong mereka?”

Sifat kebajikan adalah salah satu kandungan kepada daulah Islam.  Memandu cara rakyat berhibur pula merupakan salah satu bentuk kebajikan itu sendiri.  Tiada percanggahan sama sekali antara tiga kalimah tersebut; Islam, kebajikan dan hiburan.  Berkenaan sokongan politik, itu di bawah daerah kekuasaan Allah swt.  Saya kira Kerajaan Islam Kelantan telah berusaha menterjemahkan pada kadar maksimum apakah yang dikatakan Islam adalah cara hidup.  Praktikal yang diketengahkan kepada rakyat adalah agar rakyat memahami dan dapat menghayati keindahan ajaran Islam yang bersifat syumul (menyeluruh) dan kamil (sempurna).

Apabila rakyat dapat menjiwai Islam dan merasakan ketenangan berada dalam dakapan Islam, saya percaya tiada manusia normal yang akan menolak bahagia yang mula berputik di dada.   Lazimnya, yang menolak hidangan yang lazat ini hanyalah mereka yang punya banyak penyakit dan lidah sudah terasa pahit.

Saya juga percaya, apabila sudah ada pihak swasta yang berminat serta mampu menganjurkan program-program hiburan khusus untuk wanita mengguna pakai resepi syariat, Kerajaan Negeri bolehlah menumpukan perhatian kepada agenda rakyat yang lain pula.

Persembahan 'Coral Speaking'. Sumber foto.

Wanita Berhibur Dalam Sirah Muhammad s.a.w

Kisah 1

Suatu hari, Rasulullah s.a.w melihat orang-orang Habsyah bermain anak panah dan tombak  di dalam Masjid Nabawi.  Permainan begitu sudah menjadi kebiasaan mereka.  Rasulullah s.a.w dengan perasaan manusiawinya mempelawa Aisyah r.a untuk menonton bersama-samanya.  [Rujuk hadis yang direkodkan oleh Bukhari dalam Kitab Dua Hari Raya]

Reaksi Rasulullah s.a.w menunjukkan bahawa Baginda memahami fitrah wanita yang suka berhibur.  Alangkah peliknya bila ada sesetengah suami dan bapa melarang keras anak isterinya keluar ke program hiburan yang berlandaskan Islam; tiada pendedahan aurat, tiada ikhtilat dan tiada kalimah lagha.

Alhamdulillah, suami saya sejak awal menikah memahami minat saya melihat konsert nasyid tidak pernah melarang.  Bahkan dia juga turut serta membawa saya dan anak-anak ke konsert Islami yang jarang-jarang sekali diadakan sekitar Kota Bharu dahulu.  Kami ke konsert Mawi yang mana Tuan Guru Nik Aziz dan ramai lagi pimpinan negeri turut hadir.  Terbaru, kami baru menonton konsert Maher Zain, Irfan Makki dan Mesyari al-Aradah di Melbourne.

Kisah 2

Pada ketika yang lain, terdapat dua orang hamba perempuan menyanyi-nyanyi di sisi Aisyah r.a.  Abu Bakar lantas menegurnya dengan mengatakan, “Seruling-seruling syaitan di kediaman Rasulullah!”  Lalu Rasulullah s.a.w berkata, “Wahai Abu Bakar, setiap kaum mempunyai hari raya dan sekarang ini adalah hari raya kita.” [Hadis direkodkan Imam Bukhari]

Dalam hadis di atas menunjukkan Rasulullah s.a.w memandu cara berhibur agar tidak melampaui batas.  Dua orang hamba perempuan yang menyanyi itu berhibur bersama Aisyah r.a.   Sedangkan Rasulullah s.a.w sendiri tidak menyertai mereka.  Rasulullah s.a.w juga mengizinkan dalam konteks bersempena hari raya yang mana boleh difahami boleh mengadakan majlis hiburan sempena sambutan tertentu dan tidaklah sering dilakukan.  Kerajaan Islam Kelantan sudah menepati ciri-ciri ini kerana menganjurkannya sekali sekala sahaja dalam setahun.  Bukannya setiap bulan atau setiap minggu.

Untuk memahami lebih lanjut hukum wanita menyanyi, boleh lihat di sini.

Kisah 3

Pada satu hari, satu majlis menghantar pengantin perempuan kepada pengantin lelaki yang dibuat diam-diam tanpa diiringi dengan hiburan dan nyanyian. Rasulullah s.a.w  lalu berkata,

“Kenapa tidak diiringi dengan hiburan? Orang-orang Ansar sukakan hiburan.”

[Hadis direkodkan Imam Bukhari]
Bangsa Ansar sukakan hiburan untuk acara tertentu.  Jadi meraikan fitrah bangsa, Rasulullah s.a.w mengingatkan mereka untuk meneruskan tradisi mereka yang tidak bercanggah dengan Islam.  Sama seperti bangsa Melayu yang mempunyai tradisi memukul kompang dan berselawat tatkala mengiringi pengantin.  Hal ini bila ditanggapi dengan baik, akan terserlah keindahan ajaran Islam yang tidaklah hanya mempunyai hukum,

“Haram!”

“Tidak boleh!”

“Tidak harus!”

Yang haram belum tentu haram secara mutlak.  Ia boleh berubah menurut suasana.  Samalah seperti wanita membuat persembahan, menyanyi-nyanyi sesama mereka, menari dan sebagainya.  Ia dibenarkan dalam suasana aman dari fitnah.

Tahun 1 pengajian di Jordan, saya menghadiri satu majlis perkahwinan Arab Jordan.  Oleh kerana kami tiba agak lewat, kami lihat acara telah bermula.  Yang berada di dalam dewan adalah semua wanita.  Mereka menyanyi, ber’zaghridi’ (sorakan Arab) dan menari gelek.  Pakaian mereka cantik-cantik dan tidak bertudung.  Aduhai… aduhai… tarian gelek mereka menyebabkan saya pun tidak sanggup melihatnya.  Malah gadis-gadis kecil juga tidak ketinggalan bergelek sama.  Ini kali pertama saya menonton secara ‘live’  tarian gelek Arab.  Dalam keasyikan berhibur, tiba-tiba semua orang berhenti menari dan masing-masing bergegas menyarung jubah, abaya dan ada yang berpurdah.  Oh… rupa-rupanya, sebentar lagi pengantin lelaki akan masuk menemui pengantin perempuan.   Hanya pengantin perempuan yang kekal dalam gaun pengantinnya.   Suasana yang gamat tadinya tiba-tiba bertukar hening.

Pengantin lelaki masuk sebentar menemui pengantinnya dan bergambar.  Selepas itu, dia keluar semula.  Kaum wanita menyambung acara mereka dengan gembira.

 

INDAHNYA ISLAM

Bila Islam berjaya digarap dengan baik dalam kehidupan masyarakat, akan terserlah sifat tulen Islam yang progresif, anjal dan memenuhi fitrah manusia.

Sesiapa yang suka berhibur dengan mendengar lagu, dengarlah lagu.  Sesiapa yang sudah cukup terhibur dengan alunan bacaan al-Quran, baca dan dengarlah al-Quran.  Sesiapa yang terhibur dengan solat tahajjud di tengah malam, maka bertahajjudlah.

Hiburan dalam Islam bersifat luas dan ia merupakan pilihan individu.  Individu yang suka mendengar nasyid dan lagu tidak semestinya dia tidak suka kepada al-Quran dan tahajjud.  Namun jika seseorang yang baginya sudah cukup terhibur dengan al-Quran dan tahajjud, peliharalah diri dari bersikap melampau terhadap orang lain dengan mengharamkan perkara yang telah dihalalkan oleh Allah seperti marahkan anak isteri menonton konsert halal dan sebagainya.  Begitu juga bagi mereka yang suka mendengar lagu, berpada-padalah jangan sampai tiada masa untuk membaca al-Quran dan memahami makna ayat-ayatnya.  Bak kata Zizan Raja Lawak, “Jangan sampai jadi najis”.

Rasulullah s.a.w sendiri tatkala membiarkan Aisyah r.a berhibur dengan dua orang hamba perempuan dan tatkala menyarankan kaum Ansar supaya meneruskan hiburan di majlis pernikahan, tidaklah bererti Baginda s.a.w sendiri sukakan perkara-perkara tersebut.

Zahirkan kecintaan kita kepada Rasulullah s.a.w dengan meneladani sikapnya yang cukup memahami jiwa manusia.

Ummu Abbas

2.49pm

6 Rabie Awwal 1433H

Melbourne

Tip Penting Untuk Gadis Pilih Calon Suami

Bismillah.

Hari ini, mahu kongsi status di Facebook mengenai calon suami pilihan hati untuk gadis-gadis.  Tentu banyak ciri-ciri yang adik-adik gariskan dan tampal dalam hati, iya tak?  Akak mahu beri satu sahaja hari ini.  Ia bukan paling penting tetapi termasuk yang penting antara yang penting-penting.

Tip untuk gadis pilih calon suami. 

Antara perkara penting yang perlu dirisik ialah sejauh mana ‘putera pujaanmu’ itu menghormati ibunya. Jika dia seorang yang menghormati ibunya menurut peraturan Allah, insya Allah, dia juga akan bergaul denganmu sebagai isterinya dengan cara makruf. Ujian pertama seorang lelaki dalam melayani kerenah wanita ialah ibu kandungnya sendiri. Namun satu perkara perlu dibezakan, cari yang ‘hormat mak’, bukannya yang jenis ‘anak mak’ 🙂

Pertanyaan dari seorang kawan FB:  Apa beza ‘hormat mak’ dan ‘anak mak’ ? 🙂

Ada satu jawapan tepat dari seorang kawan FB yang lain pula:  Hormat mak ialah meletakkan mak di tempatnya utk dihormati & dengar cakap mak selama mana ia tidak melanggari syariat Allah Al-Khaliq.

Manakala anak mak ialah anak yang tidak akan buat apa-apa keputusan kecuali keputusan maknya sahaja.  Dia di’control’ maknya=)

Sedikit penambahan dari saya:  ” Itulah yang dimaksudkan antara ‘hormat mak’ dan ‘anak mak’.

Pernah berlaku kes dua orang yang jenis ‘anak mak’, nikah & cerai walaupun isterinya orang baik-baik sahaja. Kekurangan ‘cerdik’nya itu dalam membezakan antara hak ibu dan hak isteri menyebabkan ‘tocang’ ibu makin naik di atas kepala, manakala isteri pula teraniaya. Impaknya dalam rumahtangga bukan kecil.  Salah seorang darinya nikah cerai, nikah cerai sampai dua kali  dengan dua isteri yang berlainan (kalau tidak silap) semata-mata kerana menurut telunjuk ibunya.  Dapat isteri yang ketiga, baru ‘cerdik’nya itu datang. Alhamdulillah, yang ketiga ini rasanya setakat ini masih bertahan.

Ok… berhati-hati pilih suami 🙂

Moga dikurniakan suami yang baik.

Ummu Abbas

29 Safar 1433H/ Melbourne

12.38am

‘Ladies Nite’ 2012 untuk Gadis-gadis Kelantan

Assalamu’alaikum.

Anda berbakat?

Anda suka melalak?

Jika sebelum ini anda hanya melalak dalam bilik air, sekarang peluang menterjemahkan bakat di hadapan juri bertauliah.

Persembahkan bakat anda dalam keadaan selamat dan maruah terpelihara.

Dibawa khas untuk gadis-gadis comel Kelate oleh Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri Kelantan.

Sapo kato keraja’e negeri berjiwa Islam tok pehe jiwo anok mudo puwe Kelate?

Pehe doh ni… jom ajak saing-saing gi rama-rama ke sana…

Hukum Nikah Dua Beradik Serentak dan Nikah Tanpa Pengantin

salam kak nur…

sy skrg berada dlm dilemma…sy masih belum bersedia utk berkahwin..ttapi keluarga pihak lelaki telah mnetapkan prkahwinan ini..mngikut janji…kami sepatutnye berkawin tahun depan…namun disebabkan adat keluarga pihak lelaki..anak lelaki tidak boleh kahwin serentak pada tahun islam yg sama(memandangkan si ibu pihak lelaki mahu menikahkan kedua-dua anaknya tahun ini)…maka sy dipaksa bernikah selewat-lewatnye pada 26 nov ini sebelum masuk waktu asar…iaitu sehari sebelum awl muharram….sy berasa sangat tertekan kerana masih belum bersedia dari segala segi..

saya seolah2 telah membelakangkan keluarga kerana mengikut semua rancangan pihak lelaki..pada hakikatnya…hati saya sangat tertekan…saya telah menyatakan kepada bakal suami bahawa sy masih belum bersedia berkahwin secara tergesa-gesa tetapi tidak dihiraukan.

saya ingat bertanya pemdapat kak nur..adakah adat ini wujud dr segi islam…dan adakah sy akan bahagia sekiranya berkahwin tanpa rasa rela…

terima kasih

Ros

*****************************

Wa’alaikum salam warahmatullah.

Pertamanya, mohon maaf kerana terlewat membalas persoalan penting ini. Terlepas pandang adanya.

Dua orang adik beradik lelaki memang tidak boleh nikah serentak pada tahun yang sama jika dengan orang yang sama. Eh…eh… melalut pula. Jangan marah ye… nanti cepat tua, lari pula tunangan tu karang

Saja mahu bagi Ros tersenyum sedikit.  Moga berkuranglah rasa tension tu , insya Allah.

Oklah… realitinya, tiada satu nas al-Quran atau hadis atau qiyas yang menghalang pernikahan dua orang adik beradik serentak sama ada kedua-duanya lelaki atau kedua-duanya perempuan atau seorang lelaki atau seorang perempuan. Juga tiada kaitan sama ada dibuat serentak pada tahun Hijrah atau tahun Masihi atau tahun Cina dan lain-lain.

Apa yang dipercayai orang tua itu sekurang-kurangnya usah dibiarkan hinggap di dalam sanubari kerana ia menjadi khurafat jika mengaitkan takdir yang berlaku selepasnya dengan amalan tersebut. Jika berlaku juga sesuatu yang tidak diingini, maka kembalikan semuanya pada qada dan qadar Allah yang telah tersurat sejak azali.

 

Imam Bukhari merekodkan satu hadis dari Al-Mughirah bin Syu’bah,

“Telah terjadinya gerhana matahari pada hari Ibrahim meninggal dunia.   Orang ramai pun berkata, “Matahari gerhana disebabkan Ibrahim wafat”.   Lalu Rasulullah s.a.w berkata, “Sesungguhnya matahari dan bulan merupakan dua tanda dari tanda-tanda kebesaran Allah.  Tidaklah gerhana kedua-duanya disebabkan mati atau hidupnya seseorang.   Sekiranya kamu melihat keduanya gerhana, maka berdoa dan solatlah sehingga ia nampak semula.”

Hadis 1000, Kitab Jumaat, Bab Berdoa Saat Terjadinya Gerhana.

Hadis di atas memberi panduan agar tidak mengaitkan sesuatu bencana atau sesuatu yang tidak diingini berlaku dengan sebab-sebab yang tiada nas padanya.   Ia juga menunjukkan bahawa Islam menolak segala prasangka dan bentuk khurafat yang masih tersisa dalam masyarakat.

 

Allah berkata di dalam surah At Taubah ayat 51,

“Katakanlah (Wahai Muhammad) tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami.  Dialah pelindung yang menyelamatkan kami dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakkal.”

 

Sebolehnya, sampaikan pandangan Ros pada kedua orang tua atau mana-mana ahli keluarga yang punya autoriti dalam urusan pernikahan ini. Kemudian biarlah mereka memutuskan bagaimana hal ini harus diselesaikan.

 

Nikah Tanpa Pengantin

Berkenaan soal bahagia atau tidak, mari kita susuri kisah benar di bawah ini;

Suatu hari, seorang sahabat baik berkata kepada Akak, “Kak Nur, ayah ana telah menerima lamaran seseorang di Malaysia”.

“Eh… betul ke Maya (nama samaran)…”

“Betul.”

“Maya sudah tengok atau belum jejaka itu.”

“Belum.  Ana ikut sahaja keputusan ayah.”

Berdebar-debar juga jantung Akak mendengarnya. Bukan calang-calang anak di zaman moden ini mampu menurut kehendak ayah sedemikian rupa.

Hari-hari selepasnya…

“Kak Nur, ana sudah dinikahkan ayah…nak buat macam mana ni

Jantung Akak juga yang berdegup tidak sudah mendengar khabar terbaru itu. Ayah sahabat Akak itu telah menikahkan Maya di Malaysia. Pernikahan itu sah walaupun pengantin perempuan nun berada beribu batu jauhnya.

“Ana sudah jadi isteri orang…huwaa…”

Sudah jadi isteri orang tetapi tidak seperti isteri orang.  Mana tidaknya, akad nikah tidak disaksikan dan pengantin lelakinya juga tiada.

“Maya pernah lihatkah jejaka itu?”

“Tidak pernah. Ana serah semua pada ayah”

“Mintalah foto dari keluarga…” saya menyarankan.

“Tak naklah… ”

Masya Allah! Hati Akak pun tidak se’power’ itu.  Betul-betul anak bertuah si Maya ini.

 

Sementara Akak pulang bercuti ke tanah air. Tinggallah Maya bersama sahabat-sahabat yang lain yang tidak pulang. Maya pernah pulang bercuti pada tahun sebelumnya.

 

Musim Panas di Jordan tahun itu menjadi saksi pertemuan antara dua pasangan kekasih yang sudah termateri cintanya nun jauh di Malaysia.

Sebagaimana diceritakan semula pada Akak, oleh kerana beberapa orang rakan karibnya tiada saat itu, maka Maya pergilah seorang diri ke airport untuk menyambut suaminya.

Maya gabra habis… mana tidaknya, rupa suami pun tidak dikenali. Tiba-tiba akan menyambut suami seorang diri, tanpa keluarga mengiringi… tanpa sahabat di sisi.

Maya gagahkan diri ke airport… tiada kelibat pemuda Melayu di sana. Maya cuba cari di hotel transit… pun tiada juga. Akhirnya Maya pulang semula ke rumah.

Tiba di rumah, satu nota ditinggalkan di muka pintu,

“Suami enti ada kat rumah ana”.

Seorang ustaz yang sudah bernikah menulis nota itu.

[hahaha… sampai di sini, Akak memang tergelak mendengar cerita sahabat Akak ini… macam barang pula…hehehe..]

Bagus juga ye… bertemu kali pertama, terus berbulan madu, di Bumi Anbiya’ pula. Mana-mana drama dan filem cinta pun kalah kalau begini.

Ringkas cerita, Maya dan suaminya hidup bahagia sekarang. Mereka juga sudah jadi jutawan selepas melalui asam garam perkahwinan dan pahit maung mengusahakan rezeki dalam keadaan nikah semasa belajar. Alhamdulillah. Pokoknya, reda Allah pada reda orang tua selagi mana ia tidak bertentangan syarak. Bila reda Allah bersama kita, bahagia sentiasa bertamu tiba, dalam seluruh kehidupan kita, insya Allah.

 

[Psst… tau tak?  Suaminya handsome…cukup lengkap dengan dua mata, satu hidung, dua telinga dan mulut di bawah hidung ]

Banyak lagi persoalan yang perlu diambil kira dan mungkin masih ada pertanyaan serta kekeliruan yang berlegar-legar di kepala. Namun apa yang Akak highlightkan ialah pada perkara asas dalam isu pernikahan ini.

Dipersilakan tanya jika masih ragu-ragu.

Malu bertanya sesat jalan:)

Apa yang baik datangnya dari Allah.

 

Wassalam.

Foto hiasan.

Ummu Abbas- pun nikah pada 26 November:)

Melbourne
11.40pm
20 Zulhijjah 1432H/ 16 Nov 2011