Foto belajar menembak yang saya upload dalam Facebook mendapat komen menarik iaitu teknik tambahan untuk berjaya semasa menembak. Ia satu teknik yang saya tidak buat. Patutlah asyik tersasar sahaja. Baru saya faham, teknik menahan nafas merupakan salah satu cara agar tangan tetap stabil ketika tembakan dilepaskan. Bila kedudukan tangan tetap, maka ia lebih berpotensi mendapat sasaran secara tepat.
Dari Warkworth ke Hamilton
Dari A Kiwi Farmstay, Kaipara Hill, kami berpindah ke Hamilton dan bermalam di hotel. Pada asalnya, kami merancang untuk bermalam di Rotorua selama 3 malam tanpa singgah di Hamilton. Dek kerana pada masa itu waktu cuti Easter, banyak penginapan yang sudah ditempah oleh pelancong.
Usaha menempah dari awal beberapa penginapan akhirnya dibatalkan oleh pengusaha dengan pelbagai alasan. Ada yang mendahulukan keluarga walaupun keluarga memohon lewat dari kami dan ada yang mengutamakan pelanggan yang menempah untuk tempoh lebih lama. Kami percaya dan yakini setiap ketentuan Allah ada hikmahnya.
Jadi kami terpaksa bermalam juga di Hamilton semalaman dan baki 2 malam di Rotorua.
Memanah di Hamilton
Seorang mahasiswi memberitahu saya, “Kami merancang untuk memanah di Hamilton.”
“Kak Nur mahu join jugalah.”
Pada hari itu, mahasiswi senior telah membawa pelajar-pelajar baru perempuan mengenali Hamilton dan melakukan aktiviti di sana. Jumlah mereka semuanya 21 orang. Selepas mengetahui waktu mereka akan memanah, saya merancang untuk bertolak ke Rotorua sebaik selesai acara memanah.
Jika di Warkworth, kami sekeluarga berpeluang belajar menembak,di Hamilton kami berpeluang belajar memanah pula.
Sesuatu yang menarik tentang memanah diberitahu Nabi s.a.w,
Uqbah bin Amir r.a melaporkan, ‘Saya mendengar Rasulullah s.a.w berkata di atas mimbar:
وَأَعِدُّوا لَهُمْ ما اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ، أَلآ إِنَّ الْقُوَّةَ الرَّمْيُ، ألا إن القوة الرمي، ألا إن القوة الرمي
“Persiapkanlah semua kekuatan yang kalian miliki. Ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah memanah, ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah memanah, ketahuilah sesungguhnya kekuatan itu adalah memanah.”
Hadis direkod oleh Imam Muslim no. 1917
Nabi s.a.w mengulangi sebanyak 3 kali bahawa ada kekuatan pada aktiviti memanah.
Melihat busur (bow) yang bersaiz besar itu sahaja, sudah dapat dibayangkan perlunya modal daya tarikan yang kuat untuk melepaskan panah. Itu yang lihat yang terzahir secara nyata sahaja. Saya percaya lebih banyak rahsia yang tersembunyi di sebalik aktiviti memanah… mungkin baik untuk kesihatan jantung, paru-paru dan sebagainya.
Ia hanya hipotesis sahaja buat masa sekarang. Saya katakan begitu setelah mendapati sukan yang lebih tertumpu menggunakan kaki seperti bola sepak tetap memberi risiko sakit jantung pada pemainnya. Saya tinggalkan isu ini kepada mereka yang pakar untuk mengulasnya.
Selepas instructor memberi penerangan, kami mula mempraktikkan ilmu yang dipelajari. Saya sungguh teruja untuk mencuba.

Benar, Kekuatan Adalah Pada Memanah
Memanah ada sedikit perbezaan dari menembak. Memanah memerlukan lebih tenaga untuk menarik anak panah. Teknik memegang dan melepaskan panah juga berbeza dengan teknik menembak.
4 ibrah menembak yang saya berikan sebelum ini adalah sama dengan ibrah dari aktiviti memanah. Begitu juga dengan tip tambahan yang diberikan oleh Saudara Own di atas. Ia juga relevan untuk memanah tepat pada sasaran.

Oleh kerana memanah memerlukan lebih tenaga (atau mungkin juga kerana busur yang ada bersaiz besar), maka kanak-kanak berusia di bawah 11 tahun tidak dibenarkan mengambil bahagian. Saya menggalakkan anak sulung, Abbas agar mencuba. Saya gembira dan suka jika anak-anak dapat belajar sesuatu dari sunnah Nabi s.a.w ini.
“Ummi, beratlah… Abbas sudah pernah cuba di Adventure Park di Melbourne”
Pada mulanya Abbas menolak, akhirnya dia juga mahu mencuba lagi. Mungkin teruja setelah melihat Umminya begitu bersemangat belajar memanah.
Selepas kali pertama melontarkan panah, walau tidak kena… saya terus merasa ingin mencuba lagi. Saya tidak mudah berputus asa apabila mahu melakukan sesuatu yang diyakini baik walaupun banyak halangan. Akhirnya saya mendapat juga satu sasaran. Untuk rekod peribadi saya berpuas hati bagi latihan pertama kali ini.
Ramai adik-adik yang lain jauh lebih baik pencapaiannya walaupun sama-sama baru belajar. Tahniah saya ucapkan atas percubaan dan pencapaian menarik.


Di sini saya temui satu forum menarik mengenai aktiviti memanah. Sesiapa yang baru mahu belajar, info di dalam forum ini sangat membantu.
Ummu Abbas
9.54pm
28 Jumada 1 1433H/ 20 April 2012
Melbourne
islam itu indah…