Bismillah.
Rasulullah s.a.w pernah berkata,
Kamu harus belajar memanah karena memanah itu termasuk sebaik-baik permainanmu.
Direkodkan Bazzar dan Thabarani dengan sanad yang baik
Sejak mengetahui tentang hadis galakan belajar memanah, saya menanam hasrat untuk melakukannya suatu hari nanti. Hadis di atas adalah umum untuk lelaki dan wanita. Jadi saya kira tidak salah saya menaruh minat untuk mempelajarinya.
Menembak Kias Kepada Memanah
Dalam catatan kembara ke Auckland baru-baru ini, saya telah ceritakan dalam entry sebelum ini bahawa kami menginap di farmstay. Tuan rumah pula seorang yang peramah dan baik hati. Semasa kami mengikutinya menghantar anak ke sekolah yang terletak di Bandar Warkworth, Simon dengan sukarela menunjukkan kami tempat-tempat menarik sekitar bandar tua tersebut.
Selepas itu, Simon membawa kami ke sebuah pusat sukan yang menyediakan aktiviti latihan menembak, bermain golf, baseball dan lain-lain. Saya merasa teruja ketika sampai ke The Range Warkworth itu. Hasrat lama yang terpendam sejak menetap di Kota Bharu akhirnya Allah makbulkan di Bumi Kiwi. Ia berlaku tanpa dirancang. Malahan Allah takdirkan semua itu melalui hambaNya yang belum pun memeluk Islam.
Semasa menetap di Kelantan dahulu, saya penah survey juga dan mencari kawan yang sama berminat belajar menembak di pusat di Pengkalan Chepa. Namun hasrat itu berlalu begitu sahaja dek budaya masyarakat awam yang tidak begitu memberi perhatian kepada sukan jenis ini. Sedangkan ia adalah jenis sukan yang disebut oleh Rasulullah s.a.w yang mana jika betul kaedah dan niat, ia menjadi ibadah di sisi Allah.
Sememangnya Rasulullah s.a.w tidak pernah menyebut perkataan menembak… iyalah zaman tersebut mana ada senapang dan pistol, kan? Namun realiti kita hari ini menembak dikiaskan kepada sukan memanah yang disebut Nabi s.a.w di dalam hadis di atas.
Saya juga begitu bersemangat mahu mendedahkan jenis sukan yang disebut oleh Rasulullah s.a.w kepada anak-anak lelaki. Bila saya sendiri mempelajarinya, saya dapat menghayati hikmah dan mengutip ibrah darinya untuk dikongsi bersama anak-anak.
Di Warkworth, pada sesi pagi itu, hanya saya, suami dan anak sulung yang berpeluang belajar menembak. 3 orang lagi anak tinggal di farmstay kerana mahu menonton kartun di TV.
Simon berkata kepada Abbas, “Itulah kan, mereka tidak mahu ikut tadi maka tidak dapat merasa belajar menembak”. Abbas tersenyum-senyum.
Simon yang baik hati itu memberi tunjuk ajar cara memegang senapang dengan betul dan melihat sasaran.




Bila berpeluang menembak, baru terasa ia bukan tugas yang mudah untuk mengena pada sasaran. Apatah lagi untuk menjadi penembak tepat!
Sesi Petang
Waktu pagi saya hanya berkesempatan melatih diri membiasakan diri memegang senapang sahaja. Petangnya, kami pergi lagi kerana membawa anak-anak yang tidak datang pada sesi pagi. Ia satu aktiviti yang menarik dan menyeronokkan. Lebih-lebih lagi dilakukan bersama keluarga.
Saya asyik menyiapkan kertas kerja di dalam kereta. Bila laptop kehabisan bateri, baru saya berhenti dan melihat anak-anak berlatih. Saya rasa tidak berpuas hati kerana paginya tidak mendapat walau satu sasaran. Tanpa rasa putus asa, saya mencuba lagi dengan saki baki peluru yang ada. Akhirnya, alhamdulillah, setelah mengubah sedikit kaedah yang diajar Simon, saya berjaya mendapat satu sasaran.
Ibrah Yang Terpendam
1. Ia melatih saya untuk fokus pada sasaran dengan hati yang tenang. Jika kita tidak tenang dan tidak fokus, sasaran mudah terpesong. Saya dapat lihat sukan ini dapat melatih saya mengawal emosi dan menstabilkan kedudukan badan terlebih dahulu sebelum menembak sasaran.
Dalam apa jua tindakan yang mahu dilakukan, ia memberi signifikan bahawa saya harus fokus pada objektif dan berusaha menenangkan diri sebelum memulakan satu-satu tindakan.
2. Ia melatih saya untuk menepati kaedah-kaedah asas yang relevan untuk mencapai target. Kaedah asas itu ialah teknik memegang senapang dan juga cara melihat sasaran dengan tepat. Kaedah dan teknik adalah usaha memenuhi syariatullah dalam berusaha. Kalau saya baca Bismillah 90 kali dan berselawat 70 kali pun tanpa berusaha mengikut teknik yang betul, saya tetap tidak akan berjaya membidik sasaran. Dalam apa jua hal, syariatullah dan sunnatullah harus sentiasa berkerjasama untuk mencapai hasil terbaik.
3. Selepas melihat Abbas berjaya menembak 5 sasaran, saya bertanya Abbas bagaimana dia lakukan. Saya katakan bahawa terasa sukar sekali mencapai target dengan kaedah menyandarkan pangkal senapang ke bahu. Abbas nyatakan dia cuba mengubah kedudukan senapang dari bahu asalkan ‘point’ yang dikehendaki benar-benar dapat dilihat dari arah senapang dihalakan.
Saya cuba mengikut kaedah yang Abbas gunakan barulah saya berjaya menembak target. Pengalaman ini mengajar saya agar mengikut pada kaedah-kaedah asas sahaja. Kaedah lain boleh diubah suai agar bersesuaian dengan diri kita dan kita juga merasa selesa dengannya.
Ia menjentik satu keyakinan bahawa sesuatu amalan yang sesuai dengan orang lain belum tentu sesuai dengan diri kita. Begitu jua sebaliknya. Dalam bidang fiqh yang saya pelajari, Islam mengatur prinsip-prinsip asas dan juga menyediakan kaedah-kaedah fiqh bagi menentukan permasalahan cabang yang bersifat fleksibel.
4. Bersukan dalam Islam memberi manfaat pada jasmani, akal dan spritual manusia. Bahkan ia juga menjadi ibadah di sisi Allah bila dilaksanakan dengan niat yang betul dan sentiasa mengingatiNya.
Ummu Abbas
12.56pm
25 Jumada 1 1433H/ 17 April 12
Melbourne
bestnya kak..belajar menembak…betapa sunnah nabi diikuti dan dipraktikkan kaum dan agama lain..org melayu Islam, tertinggal dlm bab2 gini…trmasuk sy.hu
Cik Sufi, nak cadangkan pada Nisa’ Kelantan untuk anjurkan sukan menembak dan memanah pada ahli Nisa’. Tentu seronok!
Assalamulaikum..seronoknya belajar menembak…saya juga berminat nak belajar memanah…tp semenjak duduk di Arab Saudi nih..sy belum jumpa lagi tempat utk org perempuan belajar memanah…dulu masa di Malaysia saya pernah belajar sekejap tp bukan belajar secara pro..tmptnya di shah alam..Denai Alam Recreation Centre (DARC)..disitu bukan sahaja ada xtvt memanah tetapi berkuda juga ada disediakan..selain drpd itu kalau yg berminat utk bermotor bolehla menunggang ATV..cuma disini saya berpeluang menunggang motor ATV di padang pasir…