Kali pertama menjejakkan kaki di airport Melbourne, sudah dapat melihat suasana masyarakat majmuk. Sedikit terkejut bila disambut seorang pegawai kastam wanita bertudung yang bertugas di bahagian pemeriksaan pasport. Penulis tidak tahu berbangsa apa. Dari rias wajah mungkin dari rumpun India, Pakistan atau negara-negara Arab. Situasi itu sudah cukup membuatkan hati berasa sedikit lega. Kali pertama ke sana, diri yang masih lemah iman ini memilih tidak memakai purdah di airport. Bila keluar dari airport, baru kenakan semula purdah. Pengalaman tinggal di Sydney selama 3 bulan pada tahun 2007 membantu menambah keyakinan untuk tetap berpurdah selama bermastautin di Melbourne.
Perasaan risau serta bimbang tetap ada di awal waktu berada di sana. Dalam masa yang sama, ada pula beberapa siaran di televisyen yang berdiskusi isu purdah (atau niqab) di kalangan wanita Islam. Sudah tentu mereka mahu melihat pro dan kontra dalam isu ini. Satu rancangan membuat tinjauan di kalangan masyarakat awam, alhamdulillah mujurnya undian yang tidak menyokong ‘ban niqab’ lebih banyak. Penulis ada bercerita tentang pengalaman mencari rumah sewa sebelum ini. Selain jiran yang baik, syukur bertambah-tambah apabila didapati penempatan golongan tabligh berhampiran rumah dihuni oleh ramai juga muslimah berniqab. Mengagumi seorang kenalan berbangsa Jepun yang turut memakai niqab. Juga mengagumi beberapa orang muslimah berbangsa Inggeris yang memeluk Islam yang memakai niqab serba hitam lengkap berjubah atau berabaya hitam. Biasanya mereka bernikah dengan muslim asal sama ada Melayu, Pakistan dan Arab. Situasi-situasi ini membantu menguatkan hati penulis untuk terus istiqamah berniqab.
‘Cemburu’ Pada Syariat Itu Indah
Hati mana yang tidak cemburu melihat muslimah yang ‘revert’ pun mahu berniqab setelah memahami dan menikmati kelebihan memakainya, inikan pula penulis pernah diberi nikmat yang sama lebih awal dari itu. Sejak membuka akaun Facebook, penulis lebih mudah mendapat kenalan dari sesama muslimah berniqab. Mereka juga menubuhkan grup untuk saling menguatkan.
Penangan kisah Ayat-ayat Cinta, membuatkan masyarakat lebih terdedah dengan pemakaian purdah ini. Diikuti drama-drama Melayu tempatan yang turut menerima tempiasnya walaupun dizahirkan dalam konotasi negatif. Meskipun kumpulan al-Arqam sudah dilupuskan dan amalan berpurdah di kalangan muslimah mereka semakin pupus, kelihatannya salah satu ajaran Islam ini tidak mudah dilupuskan begitu sahaja. Cabarannya besar namun kegigihan sesetengah muslimah yang memahami dan mahu memakainya juga besar. Alhamdulillah.
Wanita Berhak Menutup Wajahnya
Penulis pernah bercerita ringkas dalam artikel, “Purdah Tidak Menghalang Komunikasi Dengan Masyarakat”. Ia berdasarkan pengalaman lebih 20 tahun memakai purdah dengan segala cabaran yang ada. Fokus tulisan ini ialah hak muslimah berpakaian menurut kehendak agama yang perlu diraikan oleh semua pihak, baik keluarga atau pemimpin masyarakat.
Secara umumnya, selagi mana sesuatu amalan itu dinaskan oleh wahyu, maka amalan tersebut sudah diiktiraf oleh Allah swt bahawa ia baik untuk manusia. Setiap individu bebas mengamalkan perkara yang difikirkan ada manfaat untuk agama, dunia dan akhiratnya. Justeru jika ada yang tidak faham, maka belajar adalah lebih baik dari mengutuk, menghina bahkan melarang. Siapalah kita mahu menyekat perkara yang sudah dihalalkan oleh Allah swt walaupun terhadap anak isteri, saudara mara, rakan-rakan dan masyarakat umum. Sama seperti lelaki yang mempertahankan hak mereka berpoligami kerana ianya diharuskan syarak, maka dalam isu berpurdah, para muslimah memiliki hak yang sama. Berlaku adil itu lebih dekat kepada taqwa. Maksud petikan ayat 8 surah al Maidah.
Mahu Berpurdah Anugerah Allah swt
Penulis sering menerima luahan dan aduan dari muslimah-muslimah yang mahu berpurdah mendapat halangan dari insan terdekat sama ada ibubapa, suami, adik beradik, majikan bahkan dari golongan berpendidikan agama itu sendiri seperti para ustaz dan ustazah. Rasa ingin berpurdah itu bukan boleh dibuat-buat, tidak boleh dibeli dan juga tidak boleh dipaksa-paksa melainkan ia datang dari Allah swt. Cetusan hati dari Allah swt pada perkara yang diharuskan oleh Dia sendiri begitu berharga buat mereka yang mendambakannya. Justeru sebagai hamba yang terhad lojik akalnya dan lemah pula pertimbangannya, sewajarnya diberikan kebebasan buat mereka yang mahu beramal tanpa syarat. Sebaliknya bantu mereka untuk memperelokkan ibadah yang lain, mempercantikkan akhlak dan sentiasa menambah ilmu supaya penampilan yang baik itu bergerak seiring dengan peningkatan kualiti diri dari aspek aqidah, ibadah dan akhlak.
Jika masyarakat barat yang memeluk Islam semakin menerima dan selesa untuk berniqab, adalah wajar salah satu cabang ajaran Islam ini mendapat dokongan dari semua pihak di negara umat Islam itu sendiri. Islam sebagai agama moden dan bertamadun telah menyerlahkan salah satu aplikasi kemodenan bukan sahaja dengan konsep hijab menutup aurat melainkan muka dan tapak tangan, malah menutup wajah juga termasuk dalam makna tamadun yang tinggi tersebut. Islam sebagai agama fitrah turut memberi makna bahawa mana-mana syariatnya adalah sesuai dengan fitrah manusia. Tidak terkecuali dari fitrah wanita ialah mereka lebih tenang berpurdah apabila keluar di hadapan ajnabi.
Realitinya, hal ini jika diperhatikan lebih meluas dan mendalam, pasti ditemui hal-hal yang memeranjatkan umum bagaimana purdah termasuk dalam perkara yang sesuai dengan fitrah wanita. Sama ada dari aspek sejarah atau situasi yang wujud sekarang, banyak petunjuk yang membuktikan hal tersebut. Contohnya, segolongan wanita Yahudi yang digelar ‘ultra ortodok’ bebas berjalan dengan berburqa dan berjubah serba hitam di wilayah Palestin yang dikuasai Yahudi. Burqa ialah helaian kain yang digunakan untuk menutupi keseluruhan wajah sedangkan purdah atau niqab ialah helaian kain yang digunakan untuk menutup wajah kecuali mata. Mereka kelihatan seolah-olah lebih warak daripada muslimah yang berpurdah menampakkan mata sahaja..

Tatkala menonton filem-filem yang menyelitkan unsur latar budaya bangsa, penulis dapati budaya tradisional wanita China, India dan Kristian juga mengamalkan pemakaian menutup wajah ini sekalipun semasa majlis perkahwinan sahaja. Amat menarik hati bila melihat pengantin-pengantin baru itu menutup wajah mereka terlebih dahulu sama ada kain itu tebal atau nipis. Sebaik lafaz persetujuan dimaterai, barulah pengantin lelaki mengungkapkan kain yang menutupi wajah isteri yang mana saat itu berlakulah saling memandang antara satu sama lain.
Dalam Islam, sememangnya disunatkan melihat terlebih dahulu bakal pasangan yang ingin dinikahi dalam suasana terhormat yang mana para gadis atau wanita ditemani mahramnya. Atau boleh melihat secara curi sahaja. Apa yang penting dalam amalan bangsa dan agama lain itu ialah persamaan dari aspek bahawa sesungguhnya saat terbaik menikmati keindahan wajah wanita ialah setelah sah bergelar isteri. Selain itu haruslah berpada-pada dalam melihat wanita jika wanita itu tidak berpurdah. Terdapat sesetengah muslimah memilih berpurdah semata-mata mengelakkan rasa kurang selesa dek cara komunikasi ajnabi yang kurang menjaga pandangan. Betullah, jika mereka tidak mampu mengawal mata mereka, adalah lebih baik kita menjaga diri sendiri. Kita tidak mampu mengubah orang lain tapi mampu mengubah diri sendiri.
“ Apa pandangan awak berkenaan ura-ura kerajaan mahu mengharamkan niqab?”, saya mengajukan kepada seorang rakan berbangsa Inggeris warga Australia.
“ Saya tidak setuju! Apa pun yang mereka akan lakukan, sekali-kali saya tidak akan tanggalkan niqab”, dia menjawab dengan nada tegas sekali. Sampai saya pun terperanjat melihat reaksinya. “ Awak bagaimana?”.
“Saya akan pulang ke Malaysia for good”.
“Oh, untunglah awak kerana Malaysia negara majoriti muslim. Tentu awak lebih mudah mengamalkan Islam di sana”.
“Hmmm… tidak juga”.
“ Apa pun, awak masih punya kelebihan kerana Malaysia lebih bebas mengamalkan Islam”. Kasihan pula melihatnya namun jawapannya itu membuatkan saya berasa lega sebenarnya. Sekurang-kurangnya jika pihak kerajaan Australia benar-benar mahu mengharamkan niqab, yang akan bangkit menentangnya ialah rakyat mereka sendiri yang berbangsa Inggeris juga. Dari sudut politik ia lebih memberi impak dibandingkan tentangan itu datang dari muslim imigran. Cetusan soalan saya disebabkan beberapa minggu sebelum bertolak pulang ke tanah air, timbul lagi isu mahu ‘mengharamkan niqab’ di Queensland. Ia menjadi antara bahan kempen pilihanraya dari calon yang bertanding.
Pengantin InggerisPengantin India Pengantin lelaki sedang membuka helaian kain yang menutupi wajah pengantin wanita China dalam pakaian tradisional. Pemuda Amerika dalam acara perkahwinan tradisi China
Setakat ini hanya West Australia yang membuat undang-undang baru berkenaan niqab iaitu hendaklah membuka niqab semasa melalui pemeriksaan polis. Undang-undang tersebut masih selaras dengan syara’ kerana hukum asal dalam Islam pun, mana-mana muslimah berpurdah harus membuka purdahnya dalam situasi yang memerlukan. Contoh ketika berjual beli, ketika mahu memberikan kesaksian dan lain-lain. Syariat Islam bersifat fleksibel dan memudahkan urusan orang ramai namun dalam masa yang sama janganlah pula orang ramai atau pihak berkuasa cuba melangkaui privasi individu yang mahu beramal dengan amalan terbaik untuk agama, dunia dan akhiratnya. Bantulah insan terdekat dan masyarakat mendapat ketenangan dari amalan-amalan yang diredai Allah swt.
Berpurdah bukan kerana berasa diri baik, tetapi kerana mahu mendidik diri ke arah lebih baik, in syaa Allah.
Ummu Abbas
7 April 2014
7 Jamadil Akhir 1435H
Edited: 2 Rejab 1442/ 14 Feb 2021
Tinggalkan Jawapan