Purdah Tidak Menghalang Komunikasi Dengan Masyarakat

Bismillah.

Assalamu’alaikum.

Alhamdulillah, sehingga ke saat ini masih menerima persoalan-persoalan mengenai niqab sama ada secara online atau offline. Syukur kepada Allah di atas nikmat kecenderungan daripada sahabat-sahabat muslimat sama ada yang belum atau sudah bergelar isteri dan ibu kepada perkara yang sama.

Sayangnya saya tidak mampu memberi respon kepada persoalan yang datang dengan kadar segera. Di bawah ini ialah artikel lanjutan dari entry “Kia Ora” dan pernah diterbitkan oleh Majalah Era Muslimah.  Sebahagian isi artikel pernah dimuatkan di dalam blog ini.  Semoga perkongsian ini dapat memberi sedikit inspirasi kepada mereka yang berminat.

**************

Pemandangan bandar Auckland dari Mt Eden.

Kerisauan mengenai pemakaian purdah di sana berlalu begitu sahaja tatkala menjejakkan kaki di lapangan terbang.  Seperti biasa, saya membuka purdah semasa berada di hadapan pegawai imigresen untuk pemeriksaan pasport dan memakainya semula selepas itu.

Saya melihat reaksi biasa dari orang ramai yang ada di lapangan terbang. Mungkin ada seorang dua yang memandang pelik namun ia situasi yang biasa saya alami. Hari ini mereka rasa pelik, tetapi bila sudah biasa lihat, bak kata pepatah, ‘Alah bisa, tegal biasa’. Apa yang penting kita pelihara akhlak dan berkomunikasi dengan cara baik. Insya Allah, dengan sikap positif, banyak pandangan prejudis dapat dileburkan.

Seorang makcik tua berbangsa Inggeris menyapa dan bertanya bas yang harus dia ambil untuk ke destinasinya. Hati bertambah lega bila mendapati seorang non muslim di negara non muslim sudi bertanya tanpa riak prejudis dan ragu. Saya berusaha membantunya dengan menunjukkan tempat bas awam yang berhampiran.

Sehari sebelumnya saya menerima tag dalam Facebook mengatakan New Zealand membuat ‘survey’ untuk ban niqab. Hati terasa sedikit terganggu selepas kawan share status tersebut kerana Allah takdirkan saya mengetahuinya sehari sebelum bertolak ke Auckland… Allahu Allah. Akibatnya, penulis mula mahu berdoa lebih khusyuk dan bersungguh-sungguh. Pagi sebelum bertolak ke Lapangan Terbang Melbourne, ambil peluang solat hajat sebelum Subuh dan semasa membaca al-Mathurat pagi pun (atas kapal terbang), cuba menghayati doa-doa yang dibaca.

Setiap ujian kecil atau besar merupakan lambaian Ilahi agar kita kembali kepadaNya. Allah sentiasa merindukan doa yang khusyuk dari para hambaNya… Allah mahu setiap hambaNya bertawakkal hanya kepadaNya…saya sudah terperangkap dalam perancangan Allah meskipun survey itu rupa-rupanya sejak Tahun 2010. Alhamdulillah. Nikmat yang paling besar bila Allah datangkan sesuatu yang menyebabkan kita mahu mengingatiNya secara bersungguh-sungguh.

Bersiar-siar bersama Pemilik Farmstay

Dalam keluaran lepas, saya bercerita bahawa kami menginap di farmstay. Ketika Simon mahu menghantar anaknya ke sekolah di pekan berhampiran, suami meminta untuk keluar bersama. Simon tidak keberatan bahkan gembira menunjukkan kami perkara menarik yang ada di sekitar Warkworth. Simon kelihatannya tiada masalah untuk berkomunikasi dengan penulis walaupun penulis mengenakan purdah ketika menaiki keretanya. Bahkan ketika saya memanggil anaknya Sophie untuk bergambar bersama, Simon mendorong Sophie agar menerima pelawaan tersebut.

Suatu ketika, Sophie ditinggalkan di dalam kereta bersama saya oleh Simon yang mahu ke pasaraya. Suami dan anak sulung mengikut Simon. Sophie berkata, “Bukalah ini!” sambil tangannya memegang tudung yang saya pakai. Pada masa itu, saya sudah menanggalkan purdah disebabkan suasana yang aman.

“Saya tidak boleh”

“Kenapa? Bukalah”

Saya berfikir-fikir untuk mencari jawapan yang sesuai. Teringat juga untuk memberitahu ia satu kewajiban bagi muslimah dewasa namun terfikir dia tidak mampu memahami jawapan begitu. Saya hanya mampu mengatakan ‘Saya tidak boleh lakukan’. Hari ini, bila mengenang kembali peristiwa itu, terasa kesal setelah berfikir bahawa boleh sahaja menyebut perkataan ‘Allah’ di hadapannya pada masa itu dengan menjawab, “Allah yang suruh”. Bukankah fitrah bertuhankan Allah itu ada pada semua manusia sejak kecilnya?

Mendapat ‘perintah’ mendadak dari si kecil yang membesar di persekitaran bukan Islam begitu buat kali pertama membuatkan saya ‘buntu’ idea. Ia berbeza jika ditanya oleh anak-anak orang Islam. Ya Allah,ampuni daku kerana tidak mengambil peluang memperkenalkan namaMu kepadanya waktu itu.

Tatkala mengenangkan hal tersebut, Allah mengingatkan saya bahawa hakikat yang mengenalkan diriNya kepada semua makhlukNya adalah Dia sendiri. Manusia perantara sahaja. Lagi pun, belum tentu masanya sesuai kerana tabiat kanak-kanak yang suka bertanya. Kemungkinan dia akan bertanya bapanya, “Siapa Allah?”. Saya hanya mampu mendoakan dari jauh agar Allah memelihara Sophie, 3 tahun dan Lukah, 5 tahun agar diberi jalan untuk mengenal pencipta mereka. Moga kesucian mereka hari ini terus berkekalan hingga ke syurga abadi. Juga semoga Allah berikan hidayah Islam kepada Simon.

Selepas dua kali ‘permintaan’ Sophie agar saya membuka tudung tidak dipenuhi. Sophie mengalih perhatian penulis dengan bersembunyi di belakang kerusi. Oh… dia mahu saya mencarinya. Saya melayan Sophie bermain sembunyi-sembunyi.

Beberapa ketika kemudian, Simon kembali bersama suami dan anak. Bapanya bertanya Sophie, “Adakah kamu merasa selamat?” Sophie mengangguk sahaja. Saya kira Simon mahu menguji rasa selesa anaknya bersama saya, seorang muslimah berhijab. Semoga ia menjadi salah satu jalan untuk Simon mencari dan mendalami Islam. Saya tahu, Islam, muslim dan muslimahnya yang komited dengan ajaran Islam sering dimomokkan dengan tohmahan sebagai pengganas dan banyak perkara negatif. Jalan terbaik meleraikan persepsi itu ialah men’jual’ Islam dengan akhlak yang baik. Akhlak yang baik tidak boleh dinilai dari imej atau pakaian semata.

Sebagai muslimah berniqab, kalih dengan tanggapan negatif seperti ‘syadid’, ‘ekstrim’, ‘melampau’, ‘tidak sederhana’ dan lain-lain walau dari kalangan ummat Islam sendiri. Hati kecil memang terasa namun percaya Allah pasti gantikan dengan pahala dan penghapusan dosa sekiranya terus bersabar menghadapi semua itu. Selagi tafsiran para sahabat Rasulullah s.a.w dan ulama mengenai maksud ‘jilbab’ dalam Ayat 59, Surah al-Ahzaab itu termaktub di dalam kitab-kitab tafsir muktabar, maka setiap muslimah berhak beramal dengannya jika mereka fikirkan itu pilihan terbaik buat iman dan taqwa mereka.

Pengalaman bersama non muslim setelah berniqab bermula sejak di Malaysia dan sedikit pengalaman ketika melawat Beijing 2 tahun lepas. Setakat ini, alhamdulillah, tidak punya masalah untuk berkomunikasi dengan mereka. Bahkan banyak juga pengalaman, mereka terlebih dahulu menyapa saya. Sampai penulis sendiri merasa hairan dan berfikir, “Tidak takutkah mereka melihat saya berpurdah?”, “Apa yang mereka fikir dan rasa sebenarnya tatkala melihat saya?”. Saya tidak mampu menyelami apa yang mereka fikirkan.

Apa yang boleh difahami, yang berhubung dengan hati manusia ialah hati juga. Yang mendekatkan kita kepada manusia ialah teknik berkomunikasi. Jika memakai skirt singkat dan tidak memakai tudung tetapi hati tidak ikhlas menjalinkan silaturrahim sesama insan dan tidak pandai pula berinteraksi, orang ramai akan menjauh jua. Faktor dominan dalam berinteraksi sesama manusia ialah keikhlasan hati dan mahir menggunakan teknik komunikasi positif. Pandangan awal pada penampilan bersifat sementara sahaja. Leburkan persepsi negatif dengan akhlak positif. Allah jua sebaik-baik penolong yang akan mencampakkan perasaan kasih manusia kepada kita, insya Allah.

Ummu Abbas

1 Dzul Hijjah 1433H.

17 Okt 12

Melbourne, 11.47am.

One thought on “Purdah Tidak Menghalang Komunikasi Dengan Masyarakat

Add yours

  1. Alhamdulilah , sangat suka entri kali ini . Semoga simon dan keluarga diberi peluang mengenal penCiptanya. Amin

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: