Manisnya Menundukkan Pandangan

Sedapnya makanan di sini’.  Kita memuji sambil menyuapkan nasi ke mulut.  Persekitaran yang bersih dan nyaman menambahkan lagi keselesaan kita menjamu selera.  Bukan itu sahaja, terdapat perkara yang lebih utama menyebabkan kita dapat menikmati kelazatan sesuatu makanan.  Iya! Badan yang sihat dan lidah tiada masalah. 

Begitulah perumpamaan kalau kita punya hati yang sihat.  Bersih pula.  Sudah tentu apa sahaja perintah dan larangan Allah dapat dirasai kelazatan melaksanakannya.  Hati yang sihat dapat merasakan manisnya iman.  Indahnya taqwa.  Berdebar-debar hati tatkala disebut nama Allah.  Itulah tanda cinta.  Selagi kita tidak merasakan demikian, percayalah bahawa jiwa kita sedang sakit.  Apatah lagi apabila mendengar suruhan dan larangan Allah, hati memberontak.  “Susahlah…”.  ‘Malaslah…’  Itu simpton hati kita yang sudah dijangkiti virus.   

Bila badan tidak sihat, sudah tentu kita akan mencari ubatnya.  Ubatnya pula mesti sesuai dengan jenis penyakit.  Tersilap ubat, menambahkan lagi penyakit.  Tak pun… terus KO!.  Na’uzubillah.  Begitu juga hati kita.  Kenal pasti dulu penyakitnya.  Kemudian baru dapatkan kaedah rawatan dan ubat yang sesuai. Sebagai contoh;  Kita punya penyakit kedekut.  Kita pun mulalah bangun tahajjud setiap malam untuk membuang penyakit tersebut.  Sedangkan kita tidak pula cuba-cuba ‘transfer’ akaun kepada individu atau badan yang memerlukannya.  Natijahnya penyakit kedekut kekal melarat pada diri kita.  

 Ambil cara mudah, kalau kita ternampak iklan mohon derma atau datang si fakir meminta sedekah, hulurkan sahaja apa yang ada di tangan.  Mula-mula memang kena paksa dulu.  Alah bisa tegal biasa.   

Penyakit Seks 

Akhir-akhir ini, kita sering dihadapkan dengan masalah dan penyakit berkait zina.  Dari sekecil-kecil skandal seperti yang menimpa orang awam (kena tangkap khalwat) hinggalah sebesar-besarnya (dapat VCD percuma aksi seks menteri).  Hebat.  Memang cukup hebat.  Kalau dulu terpaksa cari secara sembunyi-sembunyi pita video atau VCD lucah.  Hari ini diberi percuma tanpa diminta.  Kalau dulu hanya pelacur kelas bawahan yang berlakon (?) aksi seks.  Hari ini profesional bertaraf menteri pun mahu merasa kerjaya yang jelik itu.  Belum lagi dikira acara bebas melayarinya di internet.  

 Islam mempunyai kaedah  ‘mencegah lebih baik dari berubat’.  Justeru dalam merawat penyakit zina ini, Islam menganjurkan ummatnya lelaki dan wanita supaya menundukkan pandangan.  Menundukkan pandangan bukan bererti menundukkan kepala sehingga berjalan terlanggar tiang! 

   Allah perintahkan kita melalui ayat 30 surah an-Nur,

Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.’ 

Ayat seterusnya yakni ayat 30 surah yang sama menitahkan pula kepada kaum wanita,

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka serta janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya’ 

Allah perintahkan kaum lelaki dahulu supaya menjaga pandangan.  Kemudian barulah diperintahkan kaum wanita supaya memelihara pandangan mereka serta menutup aurat.  Ia membuktikan bahawa lelaki sebenarnya mampu mengawal pandangan mereka walaupun terdapat wanita yang tidak menutup aurat di hadapannya.  Allah tidak membebankan hambaNya dengan perkara yang tidak mampu dilakukan.  Selebihnya bergantung pada hati kita sendiri, mahu atau tidak.   

Menundukkan pandangan ialah mengalihkan pandangan daripada melihat perkara yang diharamkan Allah.  Lagi pula, seperkara yang kita perlu sedari mata kita bukan milik kita.  Pinjaman sahaja dari Allah.  Ibarat kita meminjam barang orang.  Bolehkah kita menggunanya sesuka hati kita?.  Selepas pinjam, kita hantar sambil mengucapkan terima kasih.  Begitu juga dengan mata. Kita guna ikut cara yang diredai Allah.  Itu tanda terima kasih kita sebagai peminjam.  Sampai masanya, kita terpaksa pulangkan semula nikmat tersebut.  Sama ada di dunia lagi seperti menjadi buta (minta dijauhkan Allah) atau setelah hayat berpindah ke alam barzakh. 

Pintu masuk kepada ‘kawah api’ zina ini bermula dari pandangan.  Dari mata jatuh ke hati.  Sebab itu Rasulullah menegah kita mengulangi pandangan pada tempat yang diharamkan.  Haram bererti ‘penyakit’ atau dosa.  Kalau pun kita merasa ‘lazat’ pandangan tersebut… hakikatnya ia adalah simpton bahawa hati  kita sedang sakit.  Keseronokan syahwat bersifat sementara dan mengundang pelbagai bala.  Bala pertama ialah hilang ketenangan jiwa.   Hati yang sihat secara automatik menolak perkara-perkara jelik dan hina.  Tiada rasa ‘syok’ atau ‘best’.  Sebaliknya merasa benci, loya atau mual.  Seperti kata Tok Guru Nik Abdul Aziz suatu ketika dahulu (lebih kurang beginilah bunyinya),  

Perempuan yang keluar tidak menutup aurat dan berhias-hias tidak menurut syarak hakikatnya iblis.’ 

Jangan salah sangka pula.  Kata-kata di atas hanya perumpamaan Tuan Guru yang bersifat ‘mursyid’ dan ‘murabbi’ agar kita tidak merasa seronok melihat perkara yang diharamkan.  Bayangkan di sebalik wajah dan bodi yang tidak menutup aurat itu, iblis sedang menjelirkan lidahnya menyorak kebodohan kita mengenepikan larangan Allah.  Manusia hanya alat iblis untuk melalaikan kita dari mengingati Allah dan mengabdikan diri kepadaNya. 

  Allah yang mencipta kita mengetahui dan sangat memahami kegemaran kita.  Justeru Dia menjanjikan nikmat atau kelazatan yang jauh lebih umph!  Allah menyebut dalam ayat 40 dan 41 surah al-Naa’ziaat, ‘  Sesiapa yang takut akan kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari menuruti hawa nafsunya.  Maka sesungguhnya syurgalah tempatnya. 

Di syurga itu ada bidadari.  Kalau kita diperlihatkan dengan seorang sahaja dari bidadari itu, nescaya semua perempuan di dunia ini kelihatan hodoh belaka.  Yang cantik hanya perempuan solehah.  Hanya perempuan beriman dapat mengalahkan kecantikan bidadari syurga.  Fikir-fikirkan…

 

Berikut adalah kelazatan, kenikmatan, keseronokan, keindahan, kemanisan akibat menundukkan pandangan;

  1. Menunjukkan bahawa seseorang patuh pada perintah Allah.  Akibatnya dia dapat merasa puncak kebahagiaan seorang hamba di dunia dan di akhirat.   Allah akan mengganti keseronokan syahwat dengan ketenangan jiwa, kesenangan dan kegembiraan hati yang sangat lazat.
  2. Dapat menangkis anak panah berapi syaitan dan sangat beracun, yang mana semuanya mengakibatkan kemusnahan moral manusia.
  3. Dapat menghiasi hati dengan cahaya serta melenyapkan kegelapan pada wajah dan anggota badan.
  4. Menyuci hati dari akibat sedih.  Orang yang tidak mahu menundukkan pandangan di dunia akan kekallah dia dalam kesedihan.
  5. Mewariskan firasat yang sihat dan benar yang dapat membezakan antara yang baik dan buruk.
  6. Membuka pintu pengetahuan, iman dan makrifat kepada Allah serta peraturanNya.
  7. Mewariskan keteguhan hati dan keberanian.
  8. Menyucikan hati dari syahwat yang tersembunyi.  Seterusnya menawan nafsu untuk disalurkan pada tempat yang betul dan diredai Allah.
  9. Membebaskan hati dan minda dari berangan-angan tinggi.
  10. Menguatkan dan meningkatkan daya berfikir.  Seterusnya mewarisi sikap waspada terhadap akibat buruk yang akan berlaku dalam setiap tindakan.
  11. Mengurangkan sikap lalai.  Sekaligus dapat meningkatkan hubungan dengan Allah dan cintakan kampung akhirat.



 Ummu Abbas© Kerana Cinta’s Weblog 2008

1047am

3 Safar 1429H/ 1o Februari 2008 

2 thoughts on “Manisnya Menundukkan Pandangan

  1. Salam. Ummu Abbas. SubhanALLAH…artikel yg baik! menyentuh hati saya. Ummu, sy bmbg bl wujud sikap malas beribadah. kdg2 saya lawan dan alhamdulillah, bila lawan terasa nikmatnya kerana xnak tndk pd godaan syaitan. sebnrnya, sy sdg bcuti bljr. 3 bln lamanya. dkt kolej,area2 kl sy bekesempatan hadiri majlis2 zikir, tazkirah etc. tp, bila pulang ke rumah (pantai timur), xtvt tiada. byk xtvt d area KL.sunyi sgt.nk ke KL tdk dbnrkn ibubapa krn tdk dbnr prg berseorangn. 3 bln ni sy prlu psdiaan sblm ke oversea nnti. sy rs xckp sgt ilmu ummu.sy takut akn jd malas.sy kuatkn diri istiqamah tp kdg2 wujud bpuas hati..meraskan diri lebih baik.salahkn ummi rasa bg2.mcm mn ye nk tndukkan hati agar amalan2 yg sy buat ini tdk menjadikan sy riya’ atau malas. sy rindu la ummi nk prg majlis2 zikir…

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s