Bulan Berkasih

Orang yang sedang bercinta tentu sensitif dengan perkataan kasih, sayang, rindu dan sewaktu dengannya.  Tiada erti kasih tanpa rindu.  Siapa yang faham apa itu rindu tanpa cinta?  Bagaimana mahu rindu kalau hari-hari sudah berjumpa.  Setiap saat, minit dan jam pula asyik berSMS, MMS dan ber’chatting’.  Sayang begini tidak mengenal rindu.  Terlebih hubungan, jemu pula bertamu.  Justeru Islam mementingkan sederhana dalam semua perkara.

 

Kalau seantero dunia kenal dan tahu apa itu ‘valentine day’.  Ummat Islam pula sangat-sangat tahu apa itu Ramadan.  ‘Valentine Day’ memuja cinta sesama manusia dan melalaikan golongan bercinta dari cinta qudus.  Ramadan menggamit hati untuk kembali kepada Yang Maha Menyintai.  Bagi memastikan hamba-hambaNya dapat memadu kasih dan melepaskan rindu yang suci pada diri dan Rabbnya, maka Allah sediakan penjara buat musuh luaran nombor wahid manusia yakni iblis.  Kalau telenovela ‘Soleha’ yang sedang ditayangkan TV9 setiap petang Isnin-Sabtu menampilkan watak ‘Adel’ yang begitu iri dengan cinta Ervan dan Rendra terhadap Soleha.  Maka iblis adalah raja dengki nombor satu bagi cinta patuh manusia pada penciptanya. 

 

Orang bercinta yang terrasuk dengan aura ‘Valentine day’ sentiasa menunggu-nunggu hari tersebut sehari setiap tahun.  Ummat Islam yang sayangkan diri sendiri pula sentiasa merindui kedatangan sebulan Ramadan.  Ramadan bulan ‘spa membersihkan hati’ dan peluang mengikis karat dosa di minda dan jiwa.  30 hari Allah sediakan medan menundukkan hawa nafsu sendiri yang jahat dan sememangnya teramat jahat.  Tanpa iblis dan syaitan yang berjalan dalam aliran darah manusia pada bulan ini, ia satu peluang yang sangat besar kembali ke jalan yang benar dan lurus.  Tinggal lagi, tanya hati sendiri – ‘Kasih Allahkah yang aku dambakan selama ini atau cinta makhluk yang penuh debu dosa?’

 

Puasa: Kesan Positif Pada Jasmani, Rohani dan Intelektual

 

Ramadan menjanjikan pelbagai nikmat hidup. Nikmat pada kesihatan badan.  Nikmat pada kebersihan hati yang memberi impak kepada kestabilan emosi.  Nikmat pada meningkatnya potensi daya intelek [IQ].  Nikmat pada bertambahnya kasih sayang sesama manusia.  

 

Lapar, dahaga dan letih yang sedikit itu buat menyuci penyakit jasmani manusia.  Perubatan moden hari ini mengiktiraf puasa adalah kuasa penyembuh segala penyakit.  Lebih awal dari kuasa menyembuhkan penyakit ialah puasa sebagai pencegah datangnya penyakit.  Setiap ubat ada dosnya sendiri.  Begitu juga dengan puasa, ia perlu dilakukan dengan disiplin menurut sunnah doktor pakar rohani manusia yakni Nabi Muhammad (salam dan selawat ke atas beliau, ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya).  Barulah puasa menjadi penawar paling efektif bagi apa jua rawatan.  Sebagai contoh, bersahur dekat dengan waktu Subuh dan segera berbuka tatkala Maghrib menjelang.  Apabila berbuka, mengawal jenis dan kadar makanan yang diambil.  Dalam hal ini, peranan empunya badan ialah mendidik hawa nafsunya pula agar mengawal keinginan makan minum yang tidak baik.  Insya Allah, dijamin tiada kesan sampingan.  Bahkan kesan positif berganda pula akan diperolehi pada hati, akal dan emosi sekaligus. 

 

Sepanjang tempoh berpuasa di sebelah siang, kita dilarang makan, minum dan melakukan hubungan intim bagi mereka yang berkahwin.  Juga diperintahkan agar mengawal anggota badan agar senantiasa menahan diri dari melakukan maksiat.  Sebagai alternatif, banyakkan istighfar, membaca al-Quran serta tadabbur maknanya dan mengingati Allah.  Betapa besar kurniaan Allah pada ummat Muhammad bin Abdullah melalui universiti Ramadan.  Kalau manusia mudah terpengaruh dengan skim cepat kaya yang berlambak hari ini tetapi menipu, maka kenapa tidak merebut peluang menambah saham akhirat yang berlipat kali ganda di bulan Ramadan.  Sedang Allah pasti menepati janjiNya.  Setiap amal baik seperti solat, sedekah, berkata baik, menutup aurat, puasa, memudahkan urusan orang lain dan pelbagai lagi akan dibalas oleh Allah dengan peratus pelaburan yang sangat menguntungkan.  Faedah yang tidak mampu ditawarkan mana-mana agensi yang ada di dunia.    

 

Rasulullah SAW berkata, “ Sesiapa yang berpuasa penuh sebulan bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan reda Allah, maka diampunkan semua dosanya yang lalu.” Hadis direkodkan oleh Bukhari dan Muslim.

 

Imam Muslim dan Imam Bukhari juga merekodkan kata-kata Rasulullah SAW  yang berbunyi,  Apabila datang bulan Ramadan, pintu-pintu syurga dibuka.  Dan pintu-pintu neraka ditutup.  Para syaitan pula dibelenggu.

 

Persediaan Menyambut Ramadan 1429H.

 

Sudah menjadi sunnah hidup, kita perlu bersedia dan merancang apabila melakukan suatu perkara walau sekecil mana pun.  Contoh kita mahu masuk ke bilik air, setidak-tidaknya perlu ada kelengkapan seperti tuala dan sebagainya.  Contoh lain, Mat Rempit perlu sediakan motor sekalipun motor curi, baru boleh merempit.  Kemudian perlu dipastikan daya pecutan motor supaya dapat meraih juara.  Inikan pula mahu masuk ke sebuah universiti tarbiyah yang sungguh gah.  Persiapan perlu ada agar mendapat sijil yang memuaskan hati.  Berikut beberapa perkara asas sebagai garis panduan menerima tetamu Ramadan yang dirindui;-

 

1.  Kenal Pasti Tahap Diri

Tahap diri atau pencapaian peribadi yang dimaksudkan ialah apakah jenis nafsu yang kita miliki sekarang.  Al-Quran menyebut 3 tahap asas nafsu manusia iaitu nafsu ammarah [gagal/ rasib/ fail],  nafsu lawwamah [lulus / maqbul/ satisfactory] dan nafsu mutmainnah [cemerlang/ mumtaz / excellent].  Sebahagian ulama membahagi tingkatan nafsu ini kepada 7 peringkat iaitu;

1.       Nafsu Ammarah [Gagal/ rasib/ fail ]

2.       Lawwamah [ Lemah/ maqbul/ weak ]

3.       Mulhamah [ Lulus/ mutawassit/ satisfactory ]

4.       Mutmainnah [ Baik/ jayyid/ good ]

5.       Radhiah  [ Sangat baik/ jayyid jiddan/ very good ]

6.       Mardhiah [ Cemerlang/ mumtaz/ excellent ]

7.       Kamilah   [Sangat cemerlang]

 

Nafsu ammarah ialah nafsu yang sentiasa mengajak kepada melakukan perkara jahat adalah dominan.  Nafsu lawwamah pula lebih berhati-hati dalam memilih antara yang haq dan batil dan antara halal dan haram.  Nafsu mutmainnah merupakan tingkat tertinggi bagi manusia kerana ia berjaya memenjara nafsu jahat sehingga jiwa pemiliknya sentiasa tenang.  Allah berkata dalam surah al-Fajr, ayat 27 hingga 30, “ Hai jiwa yang tenang (mutmainnah)!  Kembalilah kepada tuhanmu dengan rasa reda lagi diredai.  Masuklah ke dalam kumpulan hamba-hambaKu dan masuklah ke syurgaKu.”

 

2. Meletak target.

Maksudnya ialah kita mesti ada target pencapaian setelah mengenal pasti tahap nafsu kita sekarang.  Kalau sekarang nafsu kita ialah ammarah, maka setidak-tidaknya kita mahu hasil lawwamah.  Bagi nafsu lawwamah, mahu capai tahap mutmainnah.  Sementara yang sedang menikmati nafsu mutmainnah, mahu tingkatkan lagi taqarrub kepada Allah serta berusaha agar dapat konsisten.  Peningkatan ini berdasarkan kepada pembahagian 3 tahap asas sebagaimana yang telah disebut sebelum ini.  Kalau mahu merujuk kepada pembahagian 7 marhalah, maka letak target menurut urutan nombor.  Kalau kita sekarang berada di tahap nombor 2, target kita paling tinggi pun 2 marhalah selepasnya yakni nombor 4.  Namun perlu diingatkan, tahap 7 di atas hanya dimiliki oleh para nabi dan rasul. 

 

3.  Memicu usaha dari sekarang.

Setelah ada target yang hendak dicapai, maka gerakkan usaha untuk mencapai target tersebut.  Bagi mereka yang menghidap gastrik, dari sekarang boleh melatih puasa berdikit-dikit.  Jaga makan minum dan dapatkan nasihat pakar perubatan.  Bagi yang suka berbual kosong, kurangkan sedikit demi sedikit.  Usaha membantu tindakan ini ialah kurangkan bergaul dengan insan yang melalaikan.  Sebaliknya cari sahabat yang berkualiti peribadinya.  Juga boleh bersahabat dengan buku-buku yang bermanfaat.  Mereka yang suka mengakhirkan solat 5 waktu , cuba-cubalah awalkan sikit tunaikan solat.

Bagi mereka yang masih segan menutup aurat dengan sempurna, boleh mula melatih rasa segan pada nasfu syahwat sendiri itu menjadi malu pada Allah.

 

Lagikan pelajar yang mahu periksa UPSR pun mesti bersedia dari seawal darjah lima bagi meraih keputusan cemerlang 5A, inikan pula kita yang mahu capai prestasi cemerlang di universiti Ramadan.  Tidak dapat tidak, kita mesti berjinak-jinak dari sekarang dengan perkara-perkara baik.  Sebaik mendengar pengumuman 1 Ramadan baru mula melangkah untuk bermujahadah secara serius, dibimbangi mujahadah itu membuatkan kita lesu dan jemu di akhir Ramadan.  Sedangkan akhir Ramadanlah, kita mahu perhebatkan amalan justeru untungnya bertambah besar.  Ibarat orang berlumba basikal, kalau permulaan garisan sudah buat pecutan, di garisan penamat sudah kehabisan tenaga untuk buat pecutan akhir. Rohani kita sama seperti jasmani kita.  Ia tidak boleh dipaksa-paksa untuk mencapai satu tahap dalam masa singkat.  Kelak mudaratnya lebih besar dari maslahah yang bakal diperolehi. 

 

Berbeza dengan nafsu jahat, ia perlu dipaksa dan ditekan untuk taat pada Allah tapi mestilah dengan ilmu dan faham.  Bukan diberus dengan amalan lahir dengan semangat jahil semata-mata.  Akhir sekali, jangan lupa pada penyudah yang cantik kepada target dan usaha kita iaitu hati yang mengharapkan pertolongan dan belas kasihan dari Allah.  Tanpa bimbingan dan inayahNya, siapalah kita.

 

Selamat berpuasa untuk mata yang membaca artikel ini.  Selamat berpuasa buat akal, jasmani dan rohani empunya mata yang menatap coretan ini.  Ramadan, kedatanganmu dirindui!

 

Ummu Abbas© Kerana Cinta’s Weblog 2008

 8.55am

 4 Syaaban 1429H bersamaan 6 Ogos 2008

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: