Sehari dua ini, pelbagai judul artikel mahu dikongsi isinya di sini. Namun hati sedang sugul lagi masyghul mengenangkan saudara sedarah daging dan seakidah di Palestin. Pelbagai sms dan email diterima. Terima kasih dan jazakumullah kepada pengirimnya. Moga ia memberi manfaat kepada semua penerima dan mengejutkan yang tidur lena diulit mimpi duniawi.
Saya pernah tinggal sebilik dengan seorang rakan Palestin di Jordan dulu. Apa khabar dia agaknya? Apakah dia masih bernafas seperti kita?
Kami tinggal 3 orang sebilik. 2 Melayu dan hanya dia berbangsa Arab. Dia agak culas dalam menunaikan solat 5 waktu. Saya dan seorang lagi rakan terpaksa mendisiplinkan dia dengan solat. Subuh dikejutkan. Zohor ditanya. Bertambah kerja kami sebagai pelajar untuk sama-sama menjaga solatnya agar cukup 5 waktu.
Pernah juga saya membebel pada dia menyebut tentang keadaan Palestin. Pelik bin ajaib, saya yang tidak pernah menjejakkan kaki ke Palestin beriya-iya mengingatkan dia yang memang tinggal di sana tentang situasi genting ummat Islam berhadapan dengan Yahudi. Entahlah… agaknya dia sudah kalih dengan keadaan di sekelilingnya.
Cuti semester, pulanglah dia ke Palestin. Saya lagi hairan, pada siapa dia bergantung harap untuk berdepan dengan para musuh Allah itu. Setiap langkah melintasi Yahudi di sempadan dan sepanjang jalan menuju kampung halaman mengundang risiko.
Walau apapun, dia akur juga dengan nasihat saya. Dalam malas dan liat, setiap kali dikejutkan, bangunlah dia mengambil wuduk dan solat.
Saya berharap dia masih sihat ketika ini dan solatnya serta ibadah wajib yang lain dijaga dengan baik.
Seorang lagi yang saya ingat ialah pensyarah saya berbangsa Palestin. Saya mengambil subjek ‘Qadhiyyah Palestiniyyah’ (Isu Palestin)dengannya. Saya masih ingat lagi riak wajahnya setiap kali membicarakan tajuk-tajuk dalam subjek. Terasa benar, beban berat yang terpikul ke bahunya untuk mempertahankan tanah airnya.
Menjadi tanggungjawab kita membantu dari segenap sudut menurut kemampuan kita terhadap saudara kita di Palestin. Kecaman, demonstrasi, boikot dan godam web-web Yahudi (Jangan sebut mereka Israel kerana Israel ialah nama Nabi Yaakub as) sudah dan sedang dilakukan. Pertolongan paling mudah tapi memberi kesan jika berkualiti ialah doa. Bukankah doa senjata orang mukmin setelah segala usaha dikerah dan diperah?
الدعاء سلاح المؤمن و عماد الدين و نور السماوات و الأرض
Maksudnya;
Doa itu senjata orang beriman, tiang agama serta cahaya bagi langit dan bumi.
Mustadrak al-Hakim
Setakat itu dulu bicara hari ini. Jumpa lagi di lain waktu, insya Allah.
Ummu Abbas 2009
12.43pm
15 Muharram 1430/ 12 Januari 2009
memang hati ini sebak, sedih dan marah mengenagkan palestine!
salam kenal ya ukhti!
Selamat berkenalan. Salam ukhuwwah fillah. Terima kasih atas kunjungan.
Ummu Abbas