Minggu lepas di suatu pagi, saya bersarapan dengan Nasi Kerabu kegemaran. Sambil makan, ada sesuatu yang menarik perhatian di helaian akhbar pembungkus Nasi Kerabu. Saya membaca satu berita tentang Wan Zaleha Radzi, mantan pembaca berita TV3.
Melihat tajuknya, suspen juga… cerita cerai berai lagi ke? Ohh… rupa-rupanya kereta dia kena rompak. Kasihan dia. Tarikh kereta Wan Zaleha dicuri bersamaan dengan kereta abang saya yang sulung dicuri.
Menjelang Subuh
Tradisi orang-orang soleh yang merasa dirinya hamba, menjelang subuh adalah waktu yang tenang untuk berkhalwat bersama Tuhan. Tahajjud didirikan, doa dirafakkan dan keampunan dipohon sambil tersedu sedan menangis kesal.
Sebahagian insan pula, enak diselimuti gebar sehingga solat subuh pun terlajak siang. Tidur diiringi muzik dengkur, sehingga orang masuk bilik pun sudah tidak sedar.
Golongan ketiga pula, masa inilah, “Waktu kerja aku yang paling berkualiti! Yeahh…”
Dinihari 4 Januari itu, Kelisa Abang Zul dicuri oleh golongan ketiga tadi. Dia hanya sedar semasa mahu keluar bekerja pagi itu. Sliding door daripada kayu di ruang tamu terkuak lebar. Ruang tamu rumahnya agak terpisah dari ruang-ruang lain. Bilik anak-anak berada di atas. Bilik utama dipisahkan oleh ruang keluarga di bahagian tengah. Justeru sebarang kesan bunyi yang perlahan tidak mungkin kedengaran dari ruang tamu ke ruang tidur.
Nampaknya, pencuri itu berpuas hati dengan barangan yang ada di ruang tamu. Ruang-ruang lain tidak terusik. Sebuah laptop, wang RM100 dan kunci kereta Kelisa diambil lalu dibawa pergi.
Jiran sebelah mendengar bunyi kereta keluar dari garaj, namun tidak terfikir pula ia dicuri. Cuma rasa hairan, ke mana tuan rumah mahu pergi pagi-pagi buta begini.
Abang Zul tenang sahaja menghadapi musibah tersebut. Syukur alhamdulillah. Dia bersikap sesuai dengan tuntunan al-Quran,
مَاۤ اَصَابَ مِنْ مُّصِيْبَةٍ فِىْ الْاَرْضِ وَلَا فِىْۤ اَنْفُسِكُمْ اِلَّا فِىْ كِتٰبٍ مِّنْ قَبْلِ اَنْ نَّبْرَاَهَاؕ اِنَّ ذٰلِكَ عَلَى اللّٰهِ يَسِيْرٌۚ ؕ لِّـكَيْلَا تَاْسَوْا عَلٰى مَا فَاتَكُمْ وَلَا تَفْرَحُوْا بِمَاۤ اٰتٰكُمْؕ وَاللّٰهُ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُوْرٍۙ
Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya. Sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. Mudah-mudahan kamu tidak bersedih hati terhadap apa yang telah luput daripada kamu dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu. Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri. [Al-Hadid, 22-23]
Laporan kepada polis
Hari itu, Abang Zul tidak dapat pergi kerja. Urusan laporan polis agak memakan masa. Kereta yang masih ada satu lagi terpaksa bekerja keras sepanjang hari. Ma (ibu kandung saya) menghubungi semua anak-anak memaklumkan hal tersebut termasuk saya. Tatkala mendengarnya, terluncur kata-kata,
اِنَّا لِلّٰهِ وَاِنَّـآ اِلَيْهِ رٰجِعُوْنَ
Petunjuk al-Quran ketika menghadapi musibah berbunyi,
وَلَـنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَىْءٍ مِّنَ الْخَـوْفِ وَالْجُـوْعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْاَمْوَالِ وَالْاَنْفُسِ وَالثَّمَرٰتِؕ وَبَشِّرِ الصّٰبِرِيْنَۙ
الَّذِيْنَ اِذَآ اَصَابَتْهُمْ مُّصِيْبَةٌ ۙ قَالُوْٓا اِنَّا لِلّٰهِ وَاِنَّـآ اِلَيْهِ رٰجِعُوْنَ
Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit rasa takut (kepada musuh), kelaparan dan berkurangnya harta benda, jiwa serta hasil tanaman. Berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami pulang. [Al-Baqarah, 155-156]
Kami 9 adik beradik. 2 bekerja di Johor, seorang mengajar di Dabong (Hulu Kelantan), seorang masih belajar di UPM dan si bongsu di UIA. Bakinya menetap di sekitar Kota Bharu, Kelantan.
Hari kedua, Ma bangun sebelum subuh membaca Yasin Fadilat. Abang Zul solat hajat pada waktu Dhuha. Saya sendiri menjelang Zohor baru terasa mahu doakan untuk Abang Zul agar dikembalikan hartanya selagi ia masih rezekinya. Itu pun setelah bermuhasabah dan saya sedar Abang Zul seorang yang tidak berkira dalam soal wang terhadap adik-adiknya. Begitu juga dengan Ma dan Abah. Abang Zul banyak menolong kami sepanjang kami masih belajar. Abang Zul juga tidak berkira menghantar semua anak-anaknya ke sekolah rendah Islam dan sekolah menengah Islam walau yurannya agak mahal daripada sekolah kerajaan. Itu semua dilakukan demi memastikan anak-anak mendapat didikan Islam yang baik. Dengan gajinya dan isteri sebagai guru, tanggungan agak berat dalam perbelanjaan mendidik anak-anaknya seramai 10 orang. Nilaian Kelisa itu sekitar lebih RM20,000.
Saya percaya Allah senantiasa membantu hambaNya selagi hambaNya menolong sesama sendiri. Saya insaf dan terasa mahu terus berharap pada pertolongan Allah. Ikut lojik, hari kedua itu sudah berapa jauh pencuri tersebut boleh melarikan kereta.
Abah berjumpa dengan seorang hamba Allah yang warak untuk meminta nasihat. Adik-beradik yang lain turut mendoakan. Kami pasrah pada kehendak Allah. Tidak dapat di dunia, di akhirat diganti jua dengan rezeki yang jauh lebih baik.
Kereta ditemui
Malam tersebut, Ma telefon dan beritahu Kelisa Abang Zul berjaya ditemui semula. Ia ditemui selepas Asar. Alhamdulillah. Airmata berlinangan. Janji Allah pasti benar. Sepanjang saya berdoa siang tadi … kalamullah berikut terusan bergema di dalam hati,
وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُوْنِىْۤ اَسْتَجِبْ لَكُمْ
Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. [Ghafir: 60]
وَاِذَا سَاَلَـكَ عِبَادِىْ عَنِّىْ فَاِنِّىْ قَرِيْبٌؕ اُجِيْبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ اِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيْبُوْا لِىْ وَلْيُؤْمِنُوْا بِىْ لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُوْنَ
Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul. [Al- Baqarah: 186]
Apa yang menakjubkan kami ialah lokasi kereta itu ditemui kira-kira 1 km sahaja dari rumah Abang Zul. Penduduk berhampiran telah melaporkan keadaan kereta yang mencurigakan itu kepada polis. Ia disembunyikan di dalam semak berhampiran rumah yang tidak berpenghuni. Ada kad pengenalan wanita dan pakaian di dalamnya. Saya tidak pasti wanita itu geng pencuri atau mangsa pencuri. Kunci kereta tiada. Jadi polis angkat ke dalam lori untuk di bawa ke balai.
Doa ibubapa mudah dimakbulkan
Saya percaya doa ibu kami serta adik beradik membantu menguatkan usaha diperkenankan Allah. Saya yakin pada doa ibu kandung untuk anaknya. Tiada kasih manusia di dunia ini yang dapat menyamai kasih ibu pada anak kandungnya. Saya ibu kepada 5 anak dan saya dapat rasakan betapa besar kasih seorang ibu.
ثلاث دعوات مستجابات لا شك فيهن دعوة الوالد ودعوة المسافر ودعوة المظلوم.
Maksud hadis;
3 doa mustajab yang tidak syak lagi yakni doa ibubapa, doa orang yang sedang bermusafir dan doa orang yang dianiaya.
Hadis direkodkan oleh Sunan Abu Dawud
Ibrah
Setiap takdir Allah adalah untuk direnung dan dicari unsur-unsur yang boleh menambah iman dan taqwa di dada. Ujian untuk orang lain juga ujian untuk kita. Namun menurut tahap dan aspek yang sesuai dengan individu yang sedang menghadapinya.
Secara ringkasnya, daripada pengalaman kami ini dapat saya adunkan beberapa resepi bagi mendapat semula barang yang dicuri;
1. Tenang dan reda sebaik mengetahui musibah yang menimpa. Perbanyakkan istighfar dan mohon petunjuk Allah bagaimana cara mengatasinya.
2. Yakin pada rezeki yang telah ditentukan oleh Allah. Jika ia memang milik kita, Allah tetap akan kembalikan semula pada kita. Allah hanya mahu menguji usaha dan tawakkal kita kepadaNya.
3. Solat hajat dan berdoa penuh harapan serta bersangka baik dengan Allah. Doa mangsa kes jenayah ialah doa orang yang dianiaya. Juga termasuk doa mustajab.
4. Membaca Yasin Fadilat dengan kaedah-kaedah yang telah ditentukan.
– Seorang muslimah di kampung saya mengamalkan Yasin Fadilat untuk mendapatkan semula handphone yang dicuri. Muslimah itu rasa terkilan kerana handphone itu diberikan untuk memudahkan urusannya yang menyelia hal-ehwal wanita kampung tersebut. Dia sendiri bukan orang senang. Ibu tunggal yang mengajar di PASTI sahaja. Selepas seminggu handphone dicuri, berkat membaca Yasin Fadilat, handphone ditemui di tempat ianya diambil. Seolah-olah ada orang yang menghantarnya kembali. Alhamdulillah. Kepada Allah jua dikembalikan segala pujian dan kebaikan.
5. Boleh juga dapatkan doa-doa lain dari mereka yang mengetahuinya.
6. Di samping empunya diri yang ditimpa musibah berdoa, mintalah doa dari mereka yang paling hampir dengan anda. Selain ibu dan adik-beradik, mintalah doa dari pasangan atau anak-anak atau mereka yang hampir dengan Allah SWT. Pasangan di sini ialah pasangan yang sah sahaja. Bukannya pasangan kekasih yang bercinta di luar batas syariat Allah.
Ummu Abbas© Islam Itu Indah 2009
12.12am
Tarikh artikel ditulis 20 Januari 2009/ 23 Muharram 1430H
Tarikh diperbaharui 27 Januari 2009.
Salam Ziarah,
mencari-cari hal berkaitan Ustaz jamnu ke Gaza, terjumpa blog ini. Saya telah LINK ke blog saya, sebagai koleksi ukhwah. TQ
Alhamdulillah..Kak Nur, saya suka artikel ni..saya pun ada kehilangan brg2 berharga baru2 ni. Sejuk hati baca artikel ni.
“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit rasa takut (kepada musuh), kelaparan dan berkurangnya harta benda, jiwa serta hasil tanaman. Berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami pulang. [Al-Baqarah, 155-156]”
Dah bukan rezeki saya Kak Nur, takpe…ada hikmah di sebalik semua kejadian tu kan. Tak sabar nak tunggu sambungannya…
Assalaamu’alaikum;
Mohon sekiranya sudi berkongsi dengan saya mengenai ilmu Yasin Fadhilat.
Terima kasih…
Wa’alaikum salam Siti, Ibu saya memiliki naskhah Yasin Fadilat itu. Dia membacanya semasa ada sesuatu masalah yang berat. Saya cadangkan Siti dapat merujuk mereka yang belajar secara khusus mengenai penawar dengan al-Quran seperti Dr Harun Din dan anak-anak muridnya. Ilmu sebegini perlu diambil dari guru secara berdepan. Wallahua’lam.
as salam..apa beza Yassin fadilat dgn surah Yassin biasa?..confuse…