Eifa
2009/03/16 at 2:29am
saya nie mulutye agak kurang ajar dgn kawan-kawan saya macam cakap suke lepas aje….mengumpat pasal dye….n macam-macam lagi lah…so masalahye sekarang macam ne nak kawal mulut saya nie….
***************
Assalamu’alaykum Eifa,
Alhamdulillah, pertama-tamanya syukurlah kepada Allah yang memberi hati yang masih sensitif dengan perkara negatif.
Sebelum Kak Nur pergi lebih jauh, Kak Nur ingin mengajak Eifa berfikir sejenak.
Eifa yang dikasihi Allah,
Eifa pernah lihat orang demam? Demam ada pelbagai jenis; demam selsema, demam kepialu, demam denggi dan lain-lain. Bagaimana cara merawat demam yang dihidapi bergantung kepada jenis demam tersebut. Kalau demam selsema, memadai Panadol dan Piriton. Ada demam yang memerlukan ubat antibiotik.
Panas badan, batuk-batuk, bersin, tiada selera makan dan pahit lidah itu kita panggil simptom penyakit. Apabila kita mahu berubat, kita tidak akan beri ubat kepada simptom tersebut tetapi kepada punca yang mengakibatkan simptom itu berlaku. Contoh demam yang diakibatkan bakteria, maka ubat Panadol tidak memadai kerana ia bukan untuk mematikan bakteria. Bakteria mesti dilawan dengan antibiotik.
Begitu jugalah dengan penyakit ‘lisan’ yang bukan sahaja Eifa menghadapinya, bahkan ramai manusia mengidap penyakit yang sama. Ironinya, penyakit ini boleh menimpa sesiapa sahaja termasuk golongan yang tinggi pengetahuan agamanya.
Penyakit ‘lisan’ itu ada pelbagai jenis juga. Antaranya:
1. Berbual-bual pada perkara batil atau maksiat seperti bercerita tentang sifat dan keadaan wanita, tentang parti liar yang ada arak dan pergaulan bebas dan sebagainya.
2. Bertengkar dan berbantah-bantah meskipun dalam hal kebenaran.
3. Berkata lucah dan keji atau memaki-hamun.
4. Me’laser’ (cakap lepas).
5. Janji bohong.
6. Mengumpat.
7. Menfitnah.
Kalau pengetahuan agama yang tinggi pun tidak mampu menyekat seseorang dari menjaga lidahnya, jadi apakah sebenarnya yang perlu dirawat?
Allah berkata dalam surah al-Ahzab ayat 53,
“Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka.”
Banyak ayat-ayat al-Quran yang bercerita tentang hati manusia.
Terdapat segolongan manusia yang Allah jauhkan mereka dari mendapat hati yang bersih. Allah menyebut dalam surah al-Maidah, ayat 41,
“Mereka ialah orang-orang yang Allah tidak mahu membersihkan hati mereka.”
Apakah yang Eifa dapat kutip dari contoh ayat di atas?
Iya Eifa, hati seseoranglah yang mengawal segala tingkahlakunya.
Kak Nor tidak bermaksud menafsirkan ayat-ayat di atas secara panjang lebar. Eifa boleh rujuk kitab-kitab tafsir untuk memahami lebih lanjut.
Nabi Muhammad s.a.w memberitahu tentang hati,
“Ketahuilah kamu di dalam badan manusia terdapat segumpal darah. Apabila ia baik maka baiklah semua tindakannya dan apabila ia buruk maka buruklah seluruh tingkah lakunya. Ketahuilah kamu bahawa ia adalah hati.”
Kalau Eifa mahu perbaiki penyakit cakap lepas dan mengumpat, tidak dapat tidak Eifa wajib bersihkan hati terlebih dahulu.
Badan yang kotor mengundang penyakit pada jasad manusia.
Minda yang kotor mengundang penyakit pada fikiran manusia.
Hati yang kotor mengundang penyakit pada akhlak manusia.
Berbalik pada persoalan Eifa, Eifa perlu tanya hati sendiri, “Kenapa aku cakap lepas?”, “Kenapa aku mengumpat” dan lain-lain lagi.
Berikut beberapa tip yang mampu Kak Nur senaraikan di sini bagi membantu Eifa;
1. Bersihkan hati dari rasa sakit hati yang melampau pada kelemahan orang lain.
Biasanya bila timbul sesuatu yang menyebabkan seseorang itu terasa hati, maka orang yang sedang sakit hati itu akan merasa puas bila dapat menyebut-nyebut keburukan orang yang menyakitinya.
2. Kawal hati dari rasa marah yang melampau.
Dalam keadaan marah, tanpa disedari lidah akan menyebut perkara yang bukan-bukan mengenai orang sedang dimarahi.
3. Penyakit mengumpat juga biasanya datang dari hati yang merasa dirinya lebih dan tiada kekurangan. Justeru sebaik sahaja melihat kekurangan orang lain, hati terus menghina kelemahan yang ia nampak. Lintasan dalam hati yang memandang rendah orang lain itulah akan mendorong lidah untuk berkata-kata perkara yang tidak baik. Hasil yang dia mahu ialah orang ramai melihat kelebihan yang ada padanya dan memandang rendah orang yang diumpat. Justeru itu usahakan hati mencapai sifat tawaduk dan sentiasa melihat kekurangan diri sendiri.
4. Bersihkan hati dari kotoran hasad dengki. Perasaan hasad ini mendorong seseorang menyebut keburukan orang yang sedang dipuji oleh orang lain di hadapannya. Hati yang dengki itu akan rasa tidak senang dengan sanjungan serta pujian orang ramai terhadap seseorang. Justeru dia menyebut keburukan individu yang dipuji agar orang ramai tidak lagi memuji dan menyanjungnya.
5. Mencari reda kawan-kawan yang sedang mengumpat juga salah satu punca seseorang mengumpat. Hal ini boleh berlaku bila kita suka berkumpul dengan rakan-rakan yang suka bercerita keburukan orang lain. Oleh kerana kita tidak mahu dipinggirkan oleh kumpulan tersebut, maka kita turut memperkatakan keburukan yang sedang dibualkan.
Mengumpat itu diharamkan oleh Allah. Justeru bersihkan hati dari suka mencari reda manusia dengan mendapat murka Allah. Hindarkan dari berkawan dengan pengumpat. Biar mereka marah pada kita asalkan Allah reda dan sayangkan kita.
Tip secara umum ialah jika ada lintasan negatif dalam hati, segera beristighfar dan memohon pertolongan Allah agar menyucikan hati kita. Lintasan negatif merupakan racun iblis untuk memusnahkan manusia. Apabila kita terus memberikan penawar istighfar dan mohon kekuatan dari Allah terhadap bisikan-bisikan yang tidak baik, hati akan kembali murni dan merendah diri kepada Allah.
Dalam keadaan merendah diri kepada Allah dan tidak pula menyimpan perasaan negatif sesama insan, hati yang baik itulah akan mencegah lidah dari berkata yang tidak baik.
Selain kaedah membersihkan hati yang disenaraikan di atas, penawar mengumpat juga boleh diusahakan dengan mengingati balasan azab Allah bagi pengumpat.
1. Allah menyifatkan bagi pengumpat dengan perkataan ‘celaka’. Ia disebut dalam ayat 1 surah al-Humazah, “Celakalah bagi setiap pencaci (pengumpat).”

2. Suatu hari Eifa datang bertamu ke sebuah rumah. Kemudian tuan rumah mengangkat hidangan yang dari jauh lagi Eifa sudah tercium bau yang tidak enak.
Rupa-rupanya hidangan itu adalah sekeping daging manusia yang sudah busuk dan berulat pula. Adakah Eifa sanggup memakannya?
Itulah perumpamaan yang Allah bawa dalam surah al-Hujurat ayat 12 yang berbunyi,
“Janganlah setengah kamu mengumpat orang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Sudah tentu kamu merasa jijik kepadanya. Takutlah kamu kepada Allah. Sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”
Orang yang mengumpat saudaranya umpama memakan daging mayat. Bayangkan setiap kali mahu mengumpat, daging mayat yang busuk sedang terhidang di depan mata. Apakah kita sanggup lagi untuk terus mengumpat?
3. Sebelum mengumpat, fikirkan juga apa perasaan kita bila ada orang lain mengumpat diri kita? Jika kita tidak suka orang mengumpat kita, jangan lakukan perkara yang sama pada orang lain.
Ibnu Abbas pernah berkata, “Andaikata kamu ingin menyebut keaiban sahabatmu, terlebih dahulu sebutkan keaiban dirimu sendiri.”
Pesan Nabi Muhammad s.a.w,
“ Bertuahlah orang yang sentiasa berkerja kuat untuk membetulkan diri sendiri, daripada menyebut-nyebut keaiban orang lain.”
Eifa saudaraku dalam Islam,
Kak Nor telah sebutkan di atas tentang orang yang tinggi ilmu agamanya pun ada yang tidak dapat mengawal lisannya.
Ketahuilah, selepas kita tahu dalam sesuatu perkara, kemudian muncul rasa mahu
mengamalkannya, raihlah MAMPU melaksanakannya dengan memohon kekuatan dari Allah.
Sesungguhnya orang-orang baik yang Eifa lihat itu, mereka mendapat belas kasihan dari Allah dengan merendah diri kepadaNya, maka Allah bantu dan beri kekuatan kepada mereka untuk menghayati ajaran Islam.
Mereka tidak semestinya bersekolah agama namun punya rasa rendah diri dan sentiasa merayu pada Allah.
Orang-orang yang belajar agama namun buruk akhlaknya ialah mereka yang sudah dihinggapi penyakit tinggi diri dengan ilmu yang ada. Hati mereka jauh dari Allah, maka Allah tidak membantu mereka melaksanakan apa yang mereka tahu.
Segala kebaikan milik Allah jua dan kembalikan pujian padaNya semula.
Ummu Abbas
12.31pm
9 Rabiul Akhir 1430H
5 April 2009-04-05
Assalamualaikum..
kak nur saya bagi link artikel ni ke blog saya ya..
kak nur dah bagi kebenaran kat tepi tu kan..hehe..
tak perlu lagi saya tunggu kak nur verify komen ni ya..
syukran lampu hijau tu kak
wuuiih keren si ? aku baru tau klo hukum nya mengumpat tu kaya gitu . makasih deh atas ilmu nya .
salam,sy da baca post awk ini..dan rasa juga berkenan isi-isi yg bernas…harap halal ek