Posted in Famili, MyDiary

Kena Tukar Baju Dulu…!

Mak Teh telah lama sakit. Umur Mak Teh menjengah 80 tahun.

21 Mac 2009.

Mak Teh bercerita kepada salah seorang anak saudaranya, Yah.

“Mak Teh sudah tengok syurga dan neraka.”

Yah memberi sepenuh perhatian pada kata-kata Mak Teh. Yah pernah menemani Mak Teh semasa kecil kerana Mak Teh hanya memiliki 2 orang anak perempuan. Justeru hubungannya agak rapat dengan Mak Teh. Yah sering tidur di rumah Mak Teh tatkala anak kedua Mak Teh meningkat dewasa. Usia Yah lebih muda dari usia anak bongsu Mak Teh.

“Syurga itu cantik dan baunya wangi,” Mak Teh berkisah lagi.

“Kalau kita bau tandas itu busuk, neraka lagi busuk dan teruk.”

“Mak Teh tengok ada dua orang yang tinggi, besar dan hitam menjaga neraka,” ujar Mak Teh sambil menangis.

“Mak Teh takut. Mak Teh kena jaga solat. Mak Teh tidak boleh tinggal solat,” Mak Teh terus menangis.

“Ada orang ajak Mak Teh berjalan jauh. Kemudian Mak Teh mahu ikut dia. Orang itu cakap Mak Teh tidak boleh ikut. Orang itu pesan pada Mak Teh, ‘Kena tukar baju dulu baru boleh ikut dia. Baju yang Mak Teh kena pakai ialah baju warna putih.”

Yah tekun mendengar sambil sekali-sekala memberi respon untuk menenangkan Mak Teh.

Mak Teh bercerita seolah-olah dia memang pernah melihat syurga dan neraka dengan mata kepalanya sendiri.

Rabu
1 April 2009

Kira-kira 3.30 pagi, lagu In-Team bergema dari telefon bimbit saya. Suami saya mengangkatnya.

Dari perbualannya, saya mengagak, “Siapa Bang? Kak Nik ke?”

“Iya. Mak Teh telah meninggal dunia,” suami memaklumkan.

Inna lillahi wainna ilaihi raaji’uun.

Saya menyahut perlahan.


Kak Nik, Mak (ibu mertua saya yang juga adik Mak Teh) dan 3 orang lagi ahli keluarga terus bertolak menuju Kajang jam 4 pagi itu.

Suami saya tidak dapat turut serta kerana tugasan yang menunggu esok pagi adalah mustahak.

“Lama kita tidak jumpa Mak Teh. Rasanya sejak Hari Raya Haji tahun lepas. Boleh Abang ganti tempat Abang dengan orang lain?” saya bertanya.

“Tidak boleh,” suami menjelaskan.

***************

Pagi esoknya, saya menyiapkan anak-anak ke sekolah seperti biasa. Suami turut membantu. Hati masih teringat Mak Teh. Teringin benar saya menatap wajah Mak Teh buat kali terakhir.

Saya baik juga dengan Mak Teh walaupun tidak rapat. Sebelum Mak Teh dibawa anak sulungnya ke Kajang, Mak Teh tinggal di rumah berhampiran rumah Mak di kampung. Saya sering menjenguknya setiap kali balik kampung. Kadang-kadang lepak di rumahnya bila ada kenduri di rumah Mak. 5 Bilik di rumah Mak tidak dapat menampung anak-menantu-cucu bila semua berkumpul. 2 orang anak Mak Teh mengupah seorang bibik untuk membantu Mak Teh.

Sedang kami bersarapan, suami saya dihubungi lagi oleh kakaknya. Kak Nik meminta kalau-kalau suami saya dapat hadir walau sekejap dengan menaiki ‘flight’. Nampaknya masa suami saya tetap tidak mengizinkan. Saya yang mendengar perbualan itu terus mempelawa diri untuk menjadi wakil sekaligus melawat Mak Teh.

Alhamdulillah, saya terbang dari Pengkalan Chepa ke KLIA bersama anak kecil yang berusia bawah 2 tahun kira-kira jam 9.40 pagi. Aqil kali pertama menaiki ‘flight’ sepanjang usianya. Saya mahu merakam fotonya di atas ‘flight’ namun dek keletihan, saya membiarkan sahaja masa berlalu. Semasa berada di sanalah, sepupu suami bercerita tentang pengalaman Mak Teh di atas.

Bila Allah mahu berikan peringatan kepada kita, Allah datangkan peringatan itu dari mana jua.

Minggu lepas ada 5 kes kematian yang berlaku pada keluarga, jiran dan sahabat kami.

Sesungguhnya bila Allah kasihkan kita, Allah sering mengingatkan kita agar kita tidak terus lalai dan membuat persediaan untuk mati.

Adakah kita mahu ambil iktibar atau tidak, terserah pada kita.

**************

Saya yang baru selesai solat Zohor keluar ke ruang tamu. Saya tinggalkan Aqil tidur nyenyak di bilik. Saya menghampiri Mak Teh yang lengkap ‘berbaju putih’. Saya teringat-ingat cerita Kak Yah yang baru didengari tadi. Rupa-rupanya inilah ‘baju putih’ yang dimaksudkan oleh orang yang mengajak Mak Teh berjalan jauh itu.

Saya merenung wajah Mak Teh yang tenang dan berbau wangi lantas mencium lembut dahi, hidung, pipi kanan dan pipi kiri Mak Teh.

Air mata tidak dapat ditahan lagi. Ia bergenang dan melimpah di bibir mata.

Saya puas hati kerana dapat menghantar Mak Teh buat kali terakhir tatkala melihat keranda diusung keluar. Alhamdulillah.

Jam 6.30pm, saya terbang semula ke Kota Bharu.

Ummu Abbas
3.49pm
11 Rabiul Akhir 1430H

Advertisements

Pengarang:

Seorang isteri, ibu, permaisuri rumah, anak kepada Ma dan Abah yang masih hidup, penulis dan da'ie, insya Allah. Menyintai ilmu yang mendekatkan diri kepada Allah.

One thought on “Kena Tukar Baju Dulu…!

  1. Innalillahi wainna ilaihi raajiun.
    Kematian mak teh rupanya yg kak nor gi ziarah.
    Semoga Allah tempatkan ruhnya bersama ruh orang-orang yang soleh.
    Kematian cukup dekat dan menginsafkan terutama setiap kali melihat diri yang masih boleh bangkit setiap pagi dan melihat wajah tua ibu bapa.
    Entah bila pula kita akan dipanggil pulang.
    Bekalan pun masih terlalu sedikit.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s