Stesen bas SKMK Kota Bharu pada waktu tengahari dan petang biasanya dipenuhi para pelajar dari pelbagai buah sekolah sekitar Kota Bharu. Sekolah-sekolah sekitar Kota Bharu terdiri dari sekolah Arab (YIK), sekolah menengah kebangsaan agama, sekolah Melayu, sekolah Cina dan sekolah Inggeris.
Suatu hari, seorang gadis warga MMP menaiki bas awam seperti biasa untuk pulang ke rumah.
Gadis bernama Asmah (nama samaran) itu duduk bersama rakan satu sekolah. Pelajar perempuan dari Maahad Muhammadi Lilbanat pada waktu itu mudah dikenali melalui warna kain dan lencana yang dipakai.

Kerusi di sebelahnya juga diduduki pelajar MMP. Seorang pelajar lelaki kemudiannya duduk di belakang Asmah.
Pelajar lelaki itu asyik menoleh ke arah pelajar perempuan di kerusi sebelah. Dia berfikir-fikir bagaimana mahu mengusik pelajar perempuan itu.
Pelajar lelaki itu mendapat idea lalu berbisik perlahan ke telinga Asmah yang duduk di hadapannya, “I love you dalam Bahasa Arab apa dia?”
Asmah tidak terus menjawab. Dia diam sejenak lalu mengajar sesuatu.
Sebaik mengetahui perkataan itu, lantas pelajar lelaki itu berkata dengan yakin kepada pelajar perempuan di sebelahnya, “Ana qirdatun!”
Apa lagi, pelajar-pelajar MMP yang agak ramai dalam bas tersebut tergelak mendengar ungkapan pelajar lelaki itu.
Pelajar lelaki itu terpinga-pinga dan hanya dapat menahan malu.
***************
Bagi pembaca yang tidak memahami Bahasa Arab, “Ana qirdatun” bermaksud “Saya monyet (atau beruk)”.
Kisah di atas diceritakan seorang kawan saya zaman sekolah dahulu.
Moral:
1. Jangan mudah percaya orang yang tidak dikenali.
Asmah dalam cerita di atas memang berniat mahu mengenakan pelajar lelaki yang tidak tahu malu itu.
2. Fahami dahulu sesuatu perkara sebelum mengamalkannya.
Ummu Abbas
14 Rabiul Awwal 1430H
11.52pm
Jangan Tiru Gaya Monyet…