Rasa sedih atas pemergian Wan beransur kurang. Semalam, kira-kira jam 11.45am, satu suara memberi salam. Salam segera dijawab.
Ha…saya tahu siapa yang datang. Apatah lagi kelihatan satu lori besar berwarna putih di hadapan rumah.
Saya menjenguk menerusi tingkap meminta pemberi salam menunggu sementara saya bersiap menghijab diri saya selengkapnya. Waktu itu saya hanya bertudung labuh, memakai baju lengan pendek dan skirt labuh. Biasanya saya hanya menyarung jubah yang memang tersedia di dalam bilik untuk berhijab secara sempurna bila ada tetamu.
Belum sempat saya berlalu dari tingkap, suami saya sampai.
Hmm…selamat. Suami saya menandatangani resit terima barang. Kemudian dua buah kotak sederhana besar itu di bawa masuk ke dalam rumah.
Alhamdulillah. Hadiah hari lahir saya tiba tepat pada 8 Julai 2009.
Terima kasih suamiku.
Baki rasa sedih diiringi rasa gembira.

Sebenarnya saya pun tidak tahu apakah suami belikan hadiah sempena hari lahir atau tidak. Sebabnya, boleh dikatakan suami saya sering memberi hadiah walaupun bukan pada hari lahir. Bila dia rasa mahu belikan hadiah, dia akan belikan.
Masya Allah. Subhanallah. Baiknya Allah kerana Dia tidak pernah memungkiri janjiNya lewat surah Al-Syarh ayat 5 dan 6,
[5] (Sekali lagi ditegaskan): Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,
[6] (Sekali lagi ditegaskan): Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.

Set laptop dan printer ini merupakan yang kedua saya terima dari suami. Kali pertama, suami hadiah satu set PC di tahun pertama perkahwinan kami. Kami meronda Jalan Imbi waktu itu. Dengan PC itulah saya siapkan tesis Sarjana saya. Syukran Bang.
Kali kedua, suami hadiahkan laptop Acer yakni selepas tamat ijazah Sarjana. Harapannya saya menaip tesis PhD pula namun keadaan belum mengizinkan saya menyambung pelajaran. Dengan laptop Acer, yakni yang sedang saya gunakan sekarang, saya mula menulis buku dan membuka blog.
Selepas menulis buku dan semakin banyak foto di simpan, laptop saya ini semakin berat bebannya. Tambahan pula anak-anak asyik berebut dengan saya dan sesama mereka untuk main ‘game’.
Saya berkira-kira untuk mengumpul royalti buku bagi membeli laptop baru. Saya memang jenis suka berusaha sendiri untuk dapatkan sesuatu yang bersifat peribadi. Daripada suami, cukuplah kalau dia tunaikan nafkah yang wajib. Saya tidak pernah mengharapkan lebih dari itu. Alhamdulillah, saya masih dapat istiqamah dengan hati begitu sejak dari awal perkahwinan walaupun suami berikan macam-macam perkara juga.
Kebaikan yang suami lakukan akan kembali kepada dia juga di akhirat kelak. Dia akan dapat dua pahala, satu pahala memberi hadiah kepada isteri sendiri. Keduanya pahala memberi kegembiraan buat isteri dan ibu kepada anak-anaknya. Paling besar sekali ialah Allah kasihkan suami yang menitik beratkan kebajikan isteri dan anak-anak. Allah akan balas dengan ketaatan isteri dan anak-anak di dunia, insya Allah.
Bila suami mahu “Qurratu A’yun’ dalam rumahtangga, sebagai pemimpin rumahtangga, suamilah yang perlu ‘shaping’ dirinya terlebih dahulu untuk menjadi penyejuk mata isteri dan anak-anak dalam rumahtangga. Secara fitrahnya, orang perempuan ini lembut hatinya. Anak-anak yang masih bersih juga lembut hatinya. Mereka akan mudah menurut pemimpin mereka bila dipimpin dengan cara Nabi s.a.w.
Suami minta saya survey jenama Acer di kedai dan Dell di internet. Saya suka rekabentuk Acer yang baru-nipis dan ringan. Kelihatan ‘smart’. Saya lakukan survey tanpa ada niat langsung untuk meminta bajet dari suami. Saya akan beli selepas wang saya cukup. Saya anggap saranan suami tidak lebih dari agar saya berhati-hati memilih.

Sukanya saya pada jenama Acer yang sangat ‘slim’ itu tidak kesampaian dek suami saya kata, Acer susah untuk servis di negara lain. Kalau Dell, mudah untuk dapatkan servis di banyak buah negara. Memang ya, kami sebenarnya akan ke Sydney awal tahun depan. Suami akan sambung belajar lagi. Peringkat PhD. Nampak gaya, saya kena beri laluan pada suami dulu untuk selesaikan PhDnya. Dua-dua mahu sambung belajar, tidak mungkin. Saya perlu fikir anak-anak dan rutin harian.
Suami ‘survey’ Dell dalam internet. Dia kata ada banyak warna pilihan. Oklah… saya akur dengan kelebihan Dell untuk mudah diservis di banyak negara. Saya pilih warna ‘pink’.

Suami cakap warna ‘pink’ mudah kotor. Dia syorkan warna merah. Saya akur lagi. Saya pun tidak sanggup lihat laptop mudah kotor dan susah dijaga. Bila kotak laptop dibuka, saya lihat warna pink juga yang dia order. Alhamdulillah. Satu warna dengan kamera digital Sanyo yang dia hadiahkan. Kamera itulah yang saya gunakan untuk ambil foto-foto hadiah ini.
Allah berkata dalam surah Al-Dhuha, ayat 11,
Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.
🙂 🙂 🙂
Ya Allah, sesungguhnya aku berpagi hari dariMu dalam kenikmatan, kesihatan dan perlindungan.
Ya Allah, segala kenikmatan yang kunikmati di waktu pagi sama ada yang terjadi langsung pada diriku atau diberikan oleh seseorang, sesungguhnya semua nikmat itu hakikatnya dariMu ya Allah.
Tiada sekutu bagiMu ya Allah.
Segala puji hanya untukMu.
Dan rasa syukurku hanya padaMu.
Al-Faqiirah ila Rabbiha,
Ummu Abbas
16 Rejab 1430H
12.25pm
PS: Bang, terima kasih daun keladi.
Kalau boleh beri hadiah lagi 🙂
salam k nor…
ada sedikit waktu terluang ni saya layari rumah maya k nor lagi…
hehehe..sukanya dapat laptop pink yer..
saya jgk la jarang bebenor dpt hadiah…kalau nak apa2 kena beli snderi jek..:(