Nabi Muhammad s.a.w berkata,
“ Perumpamaan berkawan dengan orang yang baik dan orang yang jahat, adalah seperti pembawa minyak wangi dan peniup dapur tukang besi. Pembawa minyak wangi, mungkin dia akan memberikannya kepadamu atau kamu akan membeli darinya, atau mungkin kamu akan mendapati aroma harum darinya. Adapun peniup dapur, mungkin dia akan membakar pakaianmu, atau mungkin kamu akan mendapat bau busuk darinya.”
Direkodkan oleh Bukhari dan Muslim
********
Saya mengorek pasir itu lagi. Belum kelihatan apa-apa. Eh…dalam juga anak-anak kecil ini buat kubur ye…
Kemudian, saya menguis lagi… Ya Allah… kelihatan perut yang kemerah-merahan masih bergerak-gerak. Saya cepat-cepat mengeluarkan si comel yang tercungap-cungap bernafas itu.
Saya sedih dan sungguh kesal dengan apa yang saya lihat. Rhino@Mimo masih hidup lagi rupa-rupanya. Saya marahkan Aziz dan Aesya sekadar memberi peringatan, “Lain kali beritahu Ummi dulu kalau ada apa-apa. Hamster ni masih hidup lagi. Siapa yang cakap dia dah mati?”
“Afikah yang suruh tanam, Ummi,” beritahu Aziz, 6 tahun.
Aesya pula menyampuk, “Aesya cakap hamster tidur sahaja tapi Afikah cakap hamster tu dah mati”.
“Lain kali jangan ikut cakap Afikah. Sama-sama kecil, sama-sama tidak tahu,” saya mengeluh.
Aesya berusia 4 tahun dan kawan mereka, Afikah berusia 6 tahun.

**************
26 Julai, Ahad.
Jam 12 tengahari pada hari tersebut, Aziz dan Aesya baru pulang dari sekolah. Aziz membawa sangkar hamster turun ke bawah. Kawan mahu lihat katanya.
Saya berpesan, “Tengok sahaja tau… tapi sebelum tu tukar pakaian sekolah dulu”.
Aziz mengiyakan. Saya meninggalkan mereka bermain di bawah dan naik ke tingkat atas rumah. Kira-kira jam 1 lebih, Aziz dan Aesya naik ke atas rumah beritahu saya seekor hamster sudah mati.
Saya terperanjat, “Macam mana boleh mati?”
“Aesya pegang kuat sangat lepas tu hamster tu mati,” Aziz menceritakan.
“La… kenapa pegang hamster tu. Tengok sahaja…”
“Mana hamster tu…Ummi nak tengok, betul ke dah mati?”
“Dah tanam kat belakang, Ummi…”
“Dah tanam? Siapa yang tanam? Aziz pergi korek semula dan bawa kepada Ummi. Ummi nak cek betul ke dah mati…”
Kesaksian kanak-kanak yang belum mumaiyyiz tidak dapat diterima sepenuhnya. Itulah yang saya belajar. Sebagai orang tua, kita perlu menyelidik perbuatan anak-anak kecil meskipun pada dasarnya mereka belum pandai berbohong.
Aziz tidak bergerak. Kemudian Aesya menokok, “Betul Ummi, dah mati. Aesya tengok hidung dia berdarah…Lepas tu Afikah suruh tanam”.
Ya Allah…saya terasa berdosa membiarkan anak-anak itu bermain sendiri dengan hamster itu. Sebenarnya ini kali pertama Abi mereka belikan hamster@ haiwan peliharaan. Sudah lama Abbas minta belikan hamster. Namun kami tidak mengizinkan kerana bimbang mereka tidak dapat menjaga dengan baik.
Sabtu lepas, semasa kami melintasi perkarangan stadium di Kota Bharu, kelihatan ada ekspo sempena Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2009. Suami dan 4 orang anak singgah melihat pelbagai haiwan dan hasil pertanian. Di situlah Abbas mendapat sepasang hamster dari Abinya. Kami berharap dengan usianya 10 tahun, Abbas sudah pandai ‘take care’ haiwan peliharaan.
Saya juga dapat merasakan Allah mahu beri peringatan tentang pengaruh kawan-kawan kepada anak-anak. Iya, anak sekecil itu sudah mampu mempengaruhi antara satu sama lain tanpa mereka sedari dan rancang. Apatah lagi anak-anak remaja yang sedang meningkat dewasa.
***************
Suami saya pulang tengahari itu dan keluar solat Zohor di masjid berhampiran. Saya sempat beritahu suami apa yang telah dibuat anak-anak.
“Patutlah Ummi tengok baju Aziz dan Aesya dibasahi peluh. Rupa-rupanya mereka baru lepas gali kubur.” Suami saya ketawa.
Selepas pulang dari masjid, dia beritahu kubur hamster yang dibuat anak-anak saya cantik siap ditabur bunga lagi. Kubur itu dibuat di kawasan berpasir di luar pagar rumah jiran saya.
Oleh kerana suami akan menghadiri mesyuarat jam 2.45pm, saya diminta mengambil anak-anak dan membeli pasangan baru kepada Rhini@Mimi yang keseekoran sekarang. Saya bergegas keluar tanpa sempat melihat kubur Rhino@Mimo.

Selepas pulang kira-kira jam 4.15 petang, saya segera ke belakang rumah melihat kubur Rhino@Mimo. Selepas snap foto, hati saya tergerak untuk melihat Rhino@Mimo lalu mengorek kubur itu. Saya juga mahu tahu sedalam mana hamster itu ditanam.
Setelah mengeluarkan hamster itu, hati diulit rasa sayu. Saya meletakkan di atas tapak tangan dengan maksud mahu memanaskan Mimo. Saya mengusap perlahan. Adakah ia masih dapat diselamatkan? Tahan juga nyawa dia… sudah tertimbus lebih dari dua jam masih bernafas. Mimo terus bernafas sehingga ke malam. Abbas berusaha memberi makan dan minum namun Mimo sudah tenat dan tidak lalu makan. Kelihatan seperti ada sendi yang patah.
Abbas sedih namun saya melarang Abbas memarahi adik-adiknya. Saya beritahu saya sudah tegur dan marah mereka. Cukup setakat itu. Mesej sudah sampai maka tidak perlu ditambah-tambah lagi. Lagi pun usia mereka masih mentah untuk membezakan antara hidup dan mati.
************
Saya bertafakkur mencari ilmu Allah yang mahu disampaikan melalui kejadian hari itu. Iya…Allah mahu mengingatkan saya agar berusaha menjadi teman dan sahabat yang baik kepada anak-anak sendiri. Sebelum mereka rapat dan lebih terpengaruh kepada rakan-rakan yang belum pasti baik buruknya.
Saya juga perlu sentiasa memantau permainan mereka agar tidak memudaratkan antara satu sama lain. Juga tidak menganiaya makhluk Allah yang lain. Mereka masih kecil dan perlu dibimbing selalu.

Sering juga bila ada katak atau haiwan lain yang tidak berbisa dalam rumah, anak-anak memberitahu, “Ummi, ada katak”.
“Ummi, ada labah-labah”.
Saya segera menjelaskan, “Biarkan dia. Dia tidak ganggu kita”.
Ya Allah, ampuni dosa-dosaku dan peliharalah anak-anakku dari kemurkaanMu..!
Amin…ya Rabbal ‘aalamin.
Ummu Abbas
10.15am
6 Syaaban 1430H






Tinggalkan komen