Alhamdulillah, masih dikurniakan nikmat menghirup oksigen sehingga mata masih mampu melihat keindahan dunia, telinga yang masih mampu mendengar suara tasbih memuji-mujiNya, lisan yang masih mampu digetarkan mengalunkan kalam suci Ilahi dan paling penting, hati yang sihat dan merasa seronok bersama Allah azzawajalla.
Selepas seminggu menyibukkan diri dengan beraya, terasa suam-suam kuku mahu mula menulis. Nasib baik belum ‘dingin’ terus. Saya mahu menulis ringan-ringan dulu. Saya mahu berkongsi diary 3 Hari Raya bersama pembaca. Mungkin ada yang mahu memberi pandangan terhadap peristiwa-peristiwa itu. Insya Allah, saya cuba paparkan apa yang bermanfaat untuk semua.
1 Syawal 1430H
Cerita 1:
Seperti lazimnya, selepas Solat Hari Raya, saya sekeluarga beraya di rumah ibubapa saya. 9 adik beradik saya akan berkumpul di rumah Abah dan Ma. Tali silaturrahim dipereratkan. Abah dan Ma punya 9 anak, 7 menantu dan 28 1/2 cucu. 1/2 bermaksud janin dalam kandungan adik ipar saya yang sedang sarat.
Namun tahun ini, kakak ipar yang sulung bersama 10 orang anaknya berpagi raya di kampung mereka. Saya sempat beraya dengan mereka setelah malam menjelang di ruman (gemulah) We (Wan). Selepas beraya di rumah Abah dan Ma, baru kami pulang ke rumah Mak di kampung suami. Biasanya kami menziarahi ibu-ibu saudara yang tinggal berhampiran rumah mak. Petang kami pulang ke rumah dan malam kembali semula menziarahi keluarga di sebelah saya.
Rutin begini kami lalui semenjak tahun pertama perkahwinan kami. Kami bersepakat dalam hal ini kerana setiap Eidul Adha (Raya Korban), kami mesti berada di rumah Mak untuk menolong menyiang daging. Petang-petang baru kami pulang ke rumah ibubapa saya pula.
Cerita 2:
Saya menerima sms dari seorang sahabat. Dia menyatakan kesedihannya kerana terpaksa beraya dengan anak-anak yang masih kecil tanpa suami di sisi. Suami beraya di rumah isteri kedua. Kemudian dia pulang ke kampung bersama adik dan anak-anak sahaja.
2 Syawal 1430H
Saya menerima sms jemputan menghadiri majlis akad nikah dengan isteri kedua dari seorang sahabat suami saya. Geram juga saya kerana saya sudah dua kali beritahu dia nombor telefon suami saya yang baru serta meminta dia ‘save’ nombor baru. Maklumat yang diberikan terperinci sekali yakni lokasi dan masa akad nikah. Isterinya sahabat saya. Oleh kerana dia menyebut di dalam sms itu hal itu rahsia, saya membalas sms tersebut bertanyakan apakah isteri pertama mengetahuinya. Dia membalas isteri beri kerjasama yang baik. Tidak mengapalah kalau begitu. Saya hanya mampu mendoakan yang terbaik buat mereka semua.
Petang, saya bertanya sendiri kepada sahabat saya untuk memastikan perkara itu benar. Sahabat saya membalas sms dengan menyatakan dia sudah jumpa bakal. Selepas perkataan bakal… dia letak noktah tanpa menyebut apa-apa istilah. Selepas noktah, dia hanya menyebut sudah izinkan (suami kahwin lagi). Saya tidak tahu apa perasaannya kerana menulis begitu. Yang saya pasti, sahabat saya akan keluar bekerja sementara suaminya akan bernikah lagi pada keesokkannya (3 Syawal 1430H). Saya berfikir ‘kerelevanannya’ dengan sunnah Nabi s.a.w. Sahabat saya itu juga punya ramai anak kecil dan sedang hamil anak ke 8. Pembantu rumah pula baru lari dari rumah.
Saya baru tahu dia punya pembantu rumah kerana sebelum ini dia memang tiada pembantu rumah. Waktu kerja pula dari pagi sampai ke petang.
Ya Allah, berilah kekuatan kepada sahabat saya itu. Limpahkanlah rahmat dan pertolonganMu padanya. Tenangkanlah jiwanya dan sabarkanlah hatinya.
Saya sampaikan mesej jemputan dan mesej balasan saya kepada suami. Kemudian saya diam sahaja tanpa memberitahu kepada sesiapa pun.
3 Syawal 1430H.
Saya masih teringat-ingat pada sahabat saya yang suaminya akan nikah lagi pagi ini. Saya hanya mampu mendoakannya dari jauh. Saya merasa sedih juga kerana kondisinya yang pada pendapat saya, suami perlu menumpu perhatian kepada satu keluarga terlebih dahulu. Namun hati dan keperluan manusia hanya Allah yang lebih mengetahuinya. Seorang sahabat yang lain sms pada saya memaklumkan hal tersebut. “Alhamdulillah, saya sudah tahu…,” balas saya. Saya cuma berharap segalanya berlaku menurut sunnah dan isteri-isteri dilayan secara adil. Itu sahaja.
Belum habis saya memikirkan tentang perkara yang berlaku dan kaitannya dengan sunnah, pada tengaharinya, seorang isteri yang lain meluahkan kepada saya mengenai suaminya yang mahu bernikah lagi. Kes yang ini lebih berat. Selain anak-anak juga masih kecil dan masih perlukan perhatian dari bapa, dimaklumkan bakal isteri kedua bercerai semata-mata kerana mahu berkahwin dengan suaminya. Sejauh mana benarnya perkara tersebut, saya belum berkesempatan bertanyakan sendiri kepada si suami. Semoga Allah jauhkan dari perkara yang dimurkaiNya dari keluarga tersebut.
Aduhai.. dari hari raya pertama, saya didatangi kes poligami. Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Apa yang Allah mahu saya lakukan sebenarnya. Topik ini sering saya cuba elakkan dari menulisnya kerana justifikasinya sangat luas serta tiada hukum yang rigid mengenainya. Cuma kebanyakan lelaki memandang poligami adalah satu hak mereka yang isteri sepatutnya patuh- sepatuh-patuhnya. Benarkah begitu?
Kebanyakan mereka juga memandang poligami satu sunnah yang sangat rugi jika tidak mengamalkannya sedangkan sunnah solat tahajjud, solat berjemaah di masjid terutama Isyak dan Subuh, sunnah menundukkan pandangan, sunnah membataskan pergaulan dengan wanita ajnabi, sunnah nafkah zahir batin, sunnah berlemah lembut dengan anak isteri sedia ada tidak pula mereka peduli. Benarkah mereka golongan penegak sunnah?
Kemudian saya biasa dengar lelaki yang berjaya berkahwin ramai berbangga-bangga dengan jumlah isteri yang lebih dari satu. Saya hanya pernah dengar Nabi Muhammad s.a.w berbangga kerana dapat melayan isteri-isterinya dengan adil dan dengan cara terbaik. Saya tidak pernah jumpa satu hadis yang mana Nabi Muhammad s.a.w berbangga kerana ALlah izinkan dia punya 9 isteri. Nabi Muhammad s.a.w tidak melihat kepada kuantiti tetapi kualiti menunaikan tanggungjawab dan memelihara hati isteri. Jika ada sesiapa yang pernah jumpa Nabi s.a. berbangga dengan isterinya yang ramai, bolehlah berkongsi di sini. Saya akan menelitinya dan mengambil iktibar darinya.
Jika mereka bertegas mahu menunaikan hak mereka berkahwin ramai, kenapa sunnah solat tahajjud, sunnah solat berjemaah di masjid dan banyak lagi sunnah-sunnah lain, mereka tidak beriya-iya mahu menunaikannya. Sedangkan Nabi Muhammad menegakkan sunnah tersebut terlebih dahulu sebelum dibebankan dengan tanggungjawab isteri-isteri yang ramai. Saya mahu lihat lelaki-lelaki yang mengejar poligami ini melenting bila isteri melarangnya ke masjid atau membaca Quran atau melarangnya bangun tahajjud. Wujudkah lelaki-lelaki begini?
Sehari sebelum raya, saya mendengar ceramah Ramadan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz. VCD itu dibeli oleh suami. Sambil memandu, saya pasang VCD tersebut dalam kereta. Hujung ceramahnya, Tok Guru menyinggung hal poligami. Tok Guru marah-marah juga kepada suami-suami yang berpoligami kerana menurut sunnah Nabi s.a.w tetapi bab-bab nafkah dan lain-lain tidak pula menurut Nabi s.a.w.
Setakat ini dulu catatan saya.
Ummu Abbas
12.51pm
6 Syawal 1430H
salam alaikum k.nur.
terasa sayu membaca tulisan kali ni. sebelum aidil fitri chik pun ada mendpt berita akan pernikahan tersebut tapi belum ‘confirm’. pada 4 Syawal baru chik perasan ada sms dr sabahat kita memaklumkan yang akad sudah pun dilaksanakan. tak terkata mengingatkan sahabat kita yang entah bagaimana perasaannya sekarang ni. chik hanya mampu doakan semoga rumahtangga mereka menjadi lebih baik selepas ini.
Apabila timbul soal poligami ini, ia bukan sekadar perkara yang melibatkan dua ataupun tiga pihak dan hak tetapi banyak pihak dan hak yang mesti ditunaikan. Tugas khalifah, bukan tugas untuk hanya memimpin jemaah/oragnaisasi tetapi asas yang paling penting ialah Baitul Muslim.
Kita terpaksa menempatkan diri dalam banyak tempat dan keadaan apabila ingin membuat keputusan untuk berpoligami dan menerima poligami. Dalam suasana ekonomi hari ini, di mana seorang isteri masih perlu keluar untuk mencari rezeki membantu keluarganya sendiri, Apakah halal poligami diteruskan? Seorang isteri juga ada kalanya masih terpaksa menanggung keluarganya sendiri, spt ibubapanya, adik-adik yang masih bersekolah, selain mendapatkan pendapatan untuk keluarganya (anak dan suaminya) Dalam kes yang ummu abbas sebut di atas, yang saya baca, isteri pertamanya bekerja. Kemudian anak-anak yang masih kecil. Sekali lagi saya ingin bertanya, Apakah poligami itu Halal? (Walaupun ia diredhai dan mendapat persetujuan dari isteri pertama?)
Kita baca sirah Rasulullah s.a.w, bagaimana baginda dicadangkan untuk berkahwin semula setelah kewafatan khadijah. Antara puncanya ialah perlunya kepada orang yang boleh menjaga anak baginda yang masih kecil ketika itu dan wanita yang dikahwini bukanlah wanita yang bercerai ataupun masih anak dara kerana perkahwinan tersebut memiliki erti sunnah yang sebenarnya yakni, pentarbiyahan anak yang masih belum dewasa dan perlunya seorang ibu yang boleh mentarbiyah Fatimah menjadi seorang srikandi Islam yang baru kehilangan bondanya Khadijah bintu Khuwaid. Sunnah yang diajar oleh Rasulullah ialah mengisi tempat seorang ibu dalam hidup anak-anak. Keduanya, perkahwinan Rasulullah s.a.w, adalah berkahwin dengan balu – perintah ataupun keizinan berkahwin lebih dari satu dalam surah al-Nisa’ diturunkan setelah berlaku perang uhud yang mana tentera Muslimin ramai yang syahid, meninggal isteri dan anak-anak. Di atas rasa kemanusiaan dan simpati, perlunya tempat bapa diisi untuk mengisi kekosongan tempat ayah, para sahabat r.a berkahwin dengan para balu dan mengambil anak-anak yatim tersebut sebagai anak-anak mereka. Bukan sekadar membantu institusi keluarga yang baru hilang tempat pergantungan tetapi baru tanggungjawab sosial, ekonomi dan tarbiyah untuk anak-anak yang masih kecil.
Kita ada contoh mereka yang berpoligami yang amat baik akan tetapi kita juga ada contoh berpoligami yang amat memalukan kita sehingga membuatkan kita berasa marah apabila makna sunnah poligami yang diajar dan dibawa oleh Rasulullah s.a.w telah diselewengkan baik dari sudut amalan dan juga pemahaman. Jadilah golongan muslim tersebut golongan yang telah menyelewengkan ajaran sunnah Rasulullah s.a.w. Betapa dahsyatnya kondisi ini dan apakah kita mampu menanggung dosa terhadap Rasulullah s.a.w kemudian dosa kita terhadap golongan-golongan yang perlu ditunaikan hak mereka. Ayat saya ini agak kasar tetapi sampai bilakah kita tidak boleh berkasar dengan golongan yang berkasar dengan Rasulullah s.a.w? Ini belum lagi termasuk suami yang membiarkan isteri keluar bekerja mencari nafkah zahir untuk keluarga. Belum lagi kita berkasar dengan si ayah yang memukul anak dan membuat penderaan mental terhadap anak-anak melalui perkahwinan lain?
Saya pernah dengar, seorang wanita memberitahu saya yang dia bangga dengan akhlak dan juga layanan suaminya kepadanya dan kepada anak-anaknya.Malah dia akan bangga sekiranya suaminya boleh melayan wanita lain dan anak-anak yang lain seperti layanan yang dia alami. Untuk mencari suami seperti ini dan juga ayah seumpama ini, amat-amat sukar. Kepada kaum lelaki yang ingin berkahwin, tanyalah pasangan anda, setakat manakah layanan kalian terhadap isteri dan juga anak-anak. Tanyalah mereka, apakah pada pandangan isterinya sekiranya dia berkahwin lain suatu hari masa akan datang, isterinya berasa berbangga dengan tanggungjawab barunya? isteri berpuas hati dengan hak-hak yang telah ditunaikan? Perlu ditanya anak-anak (seperti dalam kes hadhanah – bersesuaian dengan usia yang ditetapkan oleh para imam 4 mazhab) wajarkan ayah berkahwin lagi? Jika dapat jawapan yang memuaskan, saya percaya poligami akan menjadi rahmat kepada banyak pihak dan bukan lagi dilihat sebagai azab ataupun negetif dalam masyarakat muslim.