Mahu rawat resdung, dara yang hilang

Seorang ibu membawa anak gadisnya berjumpa bomoh resdung.  Bomoh  itu menggelarkan dirinya Bomoh Muda.  Kedua beranak itu membayar lebih RM300 untuk membuat rawatan resdung.  Bomoh itu segera menunaikan kewajipannya.

Bomoh1 

Keesokan harinya, Bomoh Muda menelefon si gadis, “Saya akan buat rawatan susulan secara percuma tapi tolong duduk jauh sikit dari ibu.  Saya lihat ibu adik seorang yang lemah dan rawatan ini mungkin memberi kesan kepadanya”.

 Gadis itu menurut nasihat bomoh.  Dia menjauhkan diri dari ibunya.

Bomoh itu kemudian berkata,”Rawatan susulan ini harus dibuat di luar rumah saya.  Rumah saya selalu sibuk dengan pengunjung, jadi agak sukar menumpukan perhatian pada rawatan.  Kita jumpa di Kota Bharu”.

Gadis itu seperti dipukau mengiyakan sahaja kata-kata Bomoh Muda.  Gadis itu lalu keluar bersama seorang sepupunya dan pergi ke sebuah hotel di tengah bandar Kota Bharu.  Sepupunya meninggalkan gadis itu di situ untuk menyelesaikan urusannya. 
 
Bomoh Muda itu datang dan meminta gadis itu ambil sebuah bilik di hotel tersebut.  Gadis itu berkata, “Saya tiada duit untuk sewa hotel”.

Bomoh Muda lalu memberikan si gadis RM70 dan meminta gadis itu tunggu di bilik hotel.  Kemudian dia keluar.

Gadis itu terus menurut arahan si bomoh.  Dia menunggu di bilik.  Bomoh Muda itu datang dan merogolnya.  Semasa bomoh membuka pakaiannya, si gadis mengaku dia nampak apa yang dilakukan tetapi tidak dapat berbuat apa-apa.  Dia hanya membiarkan sahaja bomoh itu merogolnya dua kali.  Kali terakhir, si bomoh menyapu sejenis minyak hitam di bahagian kemaluannya.  Belum sempat si bomoh meneruskan pekerjaannya, handphone berdering.  Si bomoh lalu mengangkat handphone kemudian memberitahu akan keluar sekejap.

Selepas bomoh itu keluar, si gadis tiba-tiba tersedar apa sebenarnya yang sudah berlaku.  Dia segera memakai pakaiannya dan keluar meninggalkan bilik itu.

Si gadis lalu mengadu kepada seorang kakaknya.  Kakaknya segera pulang dari sebuah negeri yang agak jauh dan memberitahu perkara tersebut kepada ibu.  Si ibu amat terperanjat dan mereka segera melaporkan kepada pihak polis.

Pihak polis membawa mangsa ke hospital yang mana doktor yang merawat mangsa adalah kawan saya.

Menurut doktor itu, ibu si gadis sangat menyesal dan merasa bertanggungjawab kerana membawa anak gadisnya berjumpa bomoh itu.  Semasa mereka membuat laporan, kejadian baru berlaku kira-kira dua atau tiga hari.  Ia kes baru dan wajah si gadis memang ketara kelihatan tertekan.  Apatah lagi gadis itu merupakan gadis yang baik dan bertudung pula.  Air muka dan keadaan mangsa rogol akan dijadikan bukti dalam prosedur kehakiman bahawa mangsa benar-benar dirogol, dan bukannya dilakukan secara sukarela.

Selepas diselidiki, rupa-rupanya Bomoh Muda memang tidak disukai oleh jiran dan orang kampung.  Hanya orang luar yang tidak tahu sahaja yang berubat dengan bomoh tersebut.  Pelanggannya datang dari pelbagai negeri.  Paling menyedihkan, seorang isteri pernah dirogol oleh bomoh berkenaan namun mangsa tidak menghebohkan pada orang ramai lantaran malu. 

Kawan saya menerima kes tersebut minggu lepas.  Kemungkinan bomoh itu sudah ditangkap atau masih dalam siasatan polis.  Justeru itu, saya tidak dapat mengiklankan siapakah bomoh tersebut.  Jika dia sudah ditangkap, maka orang ramai tidak lagi terdedah kepada kejahatannya.  Jika belum, saya tidak berhak menyiarkan namanya kerana ia perlu melalui prosedur penghakiman yang betul bagi membuktikan kesalahannya.

Kalau pelacur itu dibayar untuk mendapat habuan seks, kes di atas terjadi sebaliknya.  Bomoh itu masih untung setelah ditolak RM70 untuk sewa hotel.

(Bolehlah berbangga di dunia ini dengan keuntungan tersebut.  Tunggu apa yang ‘untung’ di akhirat kelak jika tidak bertaubat)

Kejadian bomoh yang mengambil kesempatan dari pesakit ini kerap juga disiarkan di media.  Kes terbaru di atas adalah sebahagian dari kes jenayah dalam masyarakat yang perlu diberi perhatian oleh semua pihak.  Bukan bomoh sahaja malah ada yang menyamar sebagai agamawan mengambil kesempatan dari kaum wanita yang jahil dan lemah.

Menurut pemerhatian saya, ada beberapa keadaan yang menyebabkan jenayah ini mudah dilakukan;

1.   Jahil.

Wanita yang menjadi mangsa biasanya tidak tahu hak-hak mereka apabila berhubungan dengan lelaki ajnabi.  Contoh:  Jika lelaki meminta wanita ditinggalkan bersendirian dengan alasan melakukan rawatan dan sebagainya, maka tuntutan begitu wajib ditinggalkan.  Ini kerana dalam apa jua keadaan, wanita ditegah bersendirian dengan lelaki ajnabi.

 2.  Terlalu percayakan bomoh/ orang asing yang tidak dikenali.

3.  Menuruti kaedah pergaulan yang bertentangan syarak.

4.  Tidak taat kepada wali.

5.  Tidak menyelidik adakah bomoh/ lain-lain itu mengamalkan kaedah yang dibenarkan Islam atau tidak.  Juga tidak menyelidik keperibadian bomoh tersebut adakah mereka boleh dipercayai atau tidak.

 

Tip mengelakkan kejadian ini menimpa kita ialah;

1.   Rasulullah s.a.w sudah berpesan sejak lebih 1400 tahun dahulu,

Apabila seorang lelaki berkhalwat dengan  seorang perempuan (menimbulkan fitnah)  maka syaitan  adalah yang ketiga.

Hadis direkodkan oleh Imam Ahmad.

 

Berdasarkan hadis di atas, maka dilarang berdua-dua antara lelaki dan wanita tanpa ditemani mahram wanita tersebut dalam apa jua keadaan.  Ini termasuk sesi kaunseling, rawatan antara doktor dan pesakit, dalam teksi dan lain-lain kecuali dalam keadaan darurah. 

Contoh keadaan darurah ialah peristiwa Aisyah r.a yang dibawa pulang oleh sahabat Nabi s.a.w  bernama Sofwan bin al-Mu’attal.  Kemudian Abdullah bin Ubay yang terlihat mereka berdua melemparkan fitnah yang memburukkan Aisyah dan Sofwan. 

Saya tidak mahu menumpukan kepada Peristiwa al-Ifk (fitnah) dalam kisah ini tetapi sekadar menunjukkan contoh darurah untuk berduaan antara lelaki dan wanita ajnabi yang dibenarkan.  Dalam peristiwa tersebut, Sofwan berjalan kaki dan Aisyah menaiki kenderaan.  Mereka tidak naik bersama-sama kenderaan tersebut sebagaimana yang banyak dilakukan oleh umat Islam hari ini.  Perempuan membonceng lelaki di atas motosikal adalah perkara biasa meskipun ia satu dosa.  

Jika pesanan ini dapat dijaga oleh semua kaum wanita, maka mereka akan selamat.

Oleh itu saya ingin tegaskan sekali lagi, jika terdapat permintaan agar ditinggalkan wanita bersendirian dengan lelaki ajnabi, hendaklah bangun dan tinggalkan sahaja bomoh tersebut.  Ia jelas bertentangan dengan kaedah Islam dan niat bomoh tersebut harus diragui walau apa alasan yang diberikan.  Tidak kiralah bomoh atau doktor , kaunselor, pensyarah, guru lelaki, ustaz dan lain-lain.  Semua itu hanya tipu daya iblis untuk menyesatkan manusia dari jalan Allah.

2.   Jika mahu mengadakan sebarang rawatan, selidik dahulu adakah bomoh itu mengamalkan kaedah Islam atau tidak.  Jika tidak, maka hendaklah mengelak diri dari berjumpa bomoh tersebut.  Dibimbangi, walaupun kita hanya mahu meminta nasihat sahaja terlebih dahulu, bomoh menggunakan ilmu pukau untuk melaksanakan niat jahatnya.  Kaedah menyelidik ini signifikan dengan tajuk entri sebelum ini (Spesis ISA dalam PAS). 

Risiko paling tinggi berbomoh dengan mereka yang tidak menurut syariat ialah berlaku perbuatan syirik.  Syirik merupakan satu-satunya maksiat yang tidak diampunkan oleh Allah.

3.   Kebanyakan wanita mudah menjadi mangsa kerana kelemahan emosi mereka yang mudah dipujuk .  Oleh sebab itulah, Islam meletakkan wali bagi wanita ialah kaum lelaki.  Turutan wali seperti bapa, suami, datuk, adik beradik lelaki, bapa saudara dan lain-lain adalah untuk memelihara maruah dan memberi perlindungan kepada mereka.

Wali bagi kaum wanita selama-lamanya adalah lelaki.  Ia tidak pernah dipindahkan kepada kaum wanita.  Sebagai contoh:  Dalam hal pernikahan, jika wali dari pihak keluarga perempuan tidak ada walau seorang, maka hak wali berpindah kepada wali hakim yang juga lelaki.  Ini menunjukkan betapa kaum lelaki diberi kelebihan akal dan tanggungjawab yang besar dalam melindungi kaum wanita.  Wali itu pula mesti memenuhi syarat tertentu seperti berakal, baligh dan adil.

 
Berdasarkan pemerhatian saya secara rambang, golongan yang suka berjumpa bomoh kebanyakan kaum wanita.  Mereka tetap mahu berbomoh meskipun pihak wali seperti suami atau bapa tidak membenarkan.  Risiko tidak menurut perintah wali ini amatlah besar yang mana wanita mudah ditipu dan dipujuk rayu.  Bila sudah kena, siapa yang malu dan rugi?

 ISLAM Itu ertinya SELAMAT

Asas kepada semua tip di atas ialah sentiasa menambah ilmu Islam dan mengamalkannya.  Islam yang diamalkan akan menyelamatkan penganutnya.  Jika sudah tahu kemudian kita enggan menuruti perintah Allah dan melakukan juga laranganNya, maka jika terjadi apa-apa musibah, salahkan diri sendiri.  Itu baru azab di dunia.  Jika tidak bertaubat, tunggulah azab Allah di akhirat yang lebih pedih.

 Allah berkata dalam surah al-Syura ayat 30,

Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.

 Iya, dalam keadaan kita menanggung akibat dari dosa-dosa kita, hakikatnya Allah telah memaafkan sebahagian besar kesalahan kita.  Jika Allah mahu mengambil kira kesemua kesalahan kita, tentulah azab yang lebih besar menimpa.

 Surah al-Nisa’ ayat 79 pula menyatakan,

Apa jua kebaikan (nikmat kesenangan) yang engkau dapati maka ia adalah dari Allah; dan apa jua bencana yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri. Dan Kami telah mengutus engkau (wahai Muhammad) kepada seluruh umat manusia sebagai seorang Rasul (yang membawa rahmat). Dan cukuplah Allah menjadi saksi (yang membuktikan kebenaran hakikat ini).

 

Ummu Abbas

2.26pm

6 Zul Qi’dah 1430H

9 thoughts on “Mahu rawat resdung, dara yang hilang

Add yours

  1. salam,

    masa saya belajar di mrsm pc, saya adalah salah seorang pelajar yang lemah semangat. pd satu musim dekat2 nak exam, hampir 7 org pelajar perempuan terkena histeria dan saya salah seorang darinya. warden membawa kami berjumpa seorang bomoh di kwsn kota bharu (saya tak ingat nama tmpt detail). saya masih ingat lagi, bomoh minta kami mandi bunga seorang demi seorang. proses ini berlansgung di rumah bomoh tersebut, warden dan isteri serta anak2 berada di ruang tamu. kemudian, bomoh tersebut berkata, ‘benda’ tu hinggap di kemaluan kami semua. dan cara unt memulihkannya, kena rawat di bahagian kemaluan. syukurlah, proses merawat ditangguhkan ke satu ms lain. kami semua balik ke asrama. apabila warden memanggil kami unt proses rawatan, saya dan bbrp org rakan tidak ikut serta. saya rasa ada sesuatu yg tidak kena. namun, ada 2 org yang ikut proses rawatan itu. warden melabelkan kami degil, dan jika dirasuk lagi, jangan menyusahkan dia. syukur, alhamdulillah lepas itu tiada kejadian buruk. saya tidak tahu apa kesudahan dan nasib 2 org rakan saya yg mengikut proses itu.
    Bila bc blog kak nur, baru saya teringat. saya mengharapkan tiada apa yg buruk berlaku pd rakan2 sekolah saya. Ianya sudah 8 tahun berlalu..sudah cukup lama.
    saya masih ingat wajah bomoh itu, dia bekerja sbg cikgu. rumahnya, rumah kg.

    ya Allah, jauhkanlah anak2 gadis dr bahaya rogol ini.

  2. kisah diatas mungkin sinonim dgn “BOMOH”..tetapi, bagaimana pula jika pengalaman sama dilalui dgn seorang yang bergelar “DOKTOR”..anda mungkin pelik kan? memang ada kisah sebegini, tetapi jarang dibincangkan kerana apa yang dilakukan oleh seorang “DOKTOR” adalah mengikut prosedur biasa pemeriksaan kesihatan dan ditambah pula dengan kelayakan yang dimiliki..mungkin tidak sampai ke tahap rogol, tapi boleh disebut sebagai “MENCABUL” atau bahasa istilah B.Inya “SEXUAL HARRASEMENT”..saya sendiri melalui pengalaman ini, dan beberapa rakan sekerja yang lain..kami amat kecewa dengan sikap “DOKTOR” itu yang mengambil kesempatan dengan jawatan yang dimilikinya..insaflah wahai “DOKTOR”, jangan jadikan kopiah di atas kepala itu untuk menutup segala dosa yang kamu lakukan…

    Iya… saya pernah mendengar ‘doktor’ mengambil kesempatan ke atas pesakitnya. Apa pun… kembali kepada peraturan Fiqh al-Awlawiyyat dalam usaha berubat terutama apabila melibatkan aurat yakni berusaha mendapatkan doktor muslimah. Jika tidak ada, maka boleh berpindah kepada doktor perempuan non-muslim. Jika tidak ada, baru diharuskan berubat dengan doktor muslim yang boleh dipercayai. Jika doktor muslim tiada, boleh berubat dengan doktor lelaki non muslim.

    Setelah kita menurut segala prosedur aturan syarak dalam ikhtiar berubat, bertawakkallah kepada Allah kerana Allah itu sentiasa melihat segala perbuatan hamba-hambaNya. Dia membalas baik usaha baik yang dilakukan dan membalas setimpal dengan kejahatan yang dilakukan.

    Berkenaan doktor lelaki yang mengambil kesempatan tersebut, sekiranya diyakini dia berbuat demikian dengan sengaja, boleh dihebahkan kepada mana-mana wanita agar menjauhi doktor tersebut dan mendapatkan doktor lain yang boleh dipercayai.

  3. Assalamualaikum…
    Mengapa begitu sekali dong?…Untuk kalian yg masih mencari jln solusi mengobati penyakit resdung ini, cobalah meluangkan masa memahami apa yg tertera di web page ini:

    Rawatan Resdung

    Semoga dgn info tersebut dpt membantu kalian. Ok, tq.

  4. Saya rasa org yg sama sy hampir2 kena… Jahat. Taktik yg sama. Tp sy selamat… Cuma resdung mkin kuat sbb x buat rawatan susulan… Sy temui dia akhir april… Dia masih aktif… Apakah tindakan selanjutnya…????

    Laporkan kepada polis jika saudari hadapi sendiri kes tersebut. Beri bukti yang jelas.

  5. Saya nak kongsikan masaalah yang mengganggu saya secara ringkas.
    Di tempat tinggal saya ada 17 orang yang pengamal ilmu wali ghaib, salah seorangnya adalah jiran sebelah rumah saya.
    Mereka mengawal diri saya dan rutin harian saya diganggu sejak beberapa tahun ini. Semenjak itu beban seksaan semakin bertambah.
    Saya mencari ikhtiar rawatan.
    Tubuhsatu@gmail.com

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: