Tajuk lain bagi artikel ini: Gadisku, di sini engkau bermula…
atau
Pemudaku, dari sini asalmu… (tapi kena pandai-pandai ambil point untuk huraian di bawah)
Keturunan kaum wanita yang pertama
Adam tinggal di syurga. Syurga yang penuh dengan kemudahan dan kenikmatan. Walaupun begitu, Adam hanya seorang diri. Tiada kawan-kawan. Tiada isteri. Adam merasa kesunyian. Sebenarnya Allah bukan sahaja menganugerahkan ruh dan ilmu pengetahuan kepada Adam yang baru diciptanya. Bahkan Allah juga membekalkan keinginan tertentu pada Adam yang dinamakan fitrah atau naluri. Fitrah mahu makan, minum, berkerja, berbual, tidur, seks dan lain-lain sama seperti yang kita rasa hari ini. Allah sudah mengetahui sejak azali saat dan ketika mana Adam memerlukan seseorang sebagai teman.
Suatu hari, Adam tidur. Setelah sedar, Adam melihat seseorang duduk di sebelah dekat kepalanya. Adam bertanya,’ Siapa engkau?’
’Seorang perempuan.’
Adam terus bertanya,’ Kenapa kamu dicipta?’
‘ Agar kamu merasa tenang denganku.’
Malaikat pula bertanya Adam,’Siapakah namanya?’
Adam memberitahu,’Hawa.’
Mereka ingin tahu lagi,’Kenapa namanya Hawa?’
Adam menerangkan,’Kerana ia dicipta dari sesuatu yang hidup.’
Hawa dijadikan dari tulang rusuk Adam. Itulah yang dimaksudkan Adam bahawa Hawa dicipta dari sesuatu yang hidup. Sesuatu yang hidup itu ialah diri Adam sendiri. Sedangkan asal Adam ialah tanah kering yang mati.
Adam dinikahkan oleh Allah sendiri dengan Hawa.
Saya pernah melihat satu filem Hindi yang mana satu dialog oleh sang hero (Salman Khan) mengatakan dia tidak suka berkahwin dan hanya mahu mempunyai teman-teman wanita. Bila ditanya alasannya, Salman menjawab bahawa Adam juga tidak bernikah dengan Hawa.
Dialog sebegini jika tidak diteliti akan merosakkan fikiran anak-anak muda yang jahil. Jika Adam tidak bernikah dengan Hawa, maka semua manusia yang ada hari ini merupakan anak-anak zina. Nauzubillah. Betapa dangkalnya dialog yang tanpa merujuk kitab pun, jauh daripada lojik Adam tidak bernikah dengan Hawa. Apa yang kita tidak tahu hanyalah bagaimana Adam bernikah kerana waktu itu tiada lagi manusia lain yang akan menjadi imam dan saksi.
Gadisku, dunia pertama mu yang sempit dan gelita.
Zuriat Adam dan Hawa mula dilahirkan sejak mereka dipindahkan dari syurga ke dunia. Anak pertama dilahirkan kembar, lelaki dan perempuan. Anak kedua juga dilahirkan kembar, lelaki dan perempuan.
Sudah ku kisahkan asal usul ibu pertama manusia. Jika ibu pertama yakni Hawa asalnya dari tulang rusuk Adam, bagaimana pula asal usul kita sebagai zuriat keturunan moyang kita Adam dan Hawa.
Maha suci Allah yang menciptakan kejadian yang hebat-hebat. Gadisku, kita dititipkan di alam yang gelap gelita dan sangat sempit. Rahim bonda kita yang saiznyanya lebih kurang sebesar telur ayam itulah Allah jadikan ‘qarar’ (tempat menetap) yang teguh. Allah maha baik, bukan? [Air mataku menitis saat ku menulis ayat ini…sebak tidak dapat kubendung mengenangkan tahap syukurku yang tidak seberapa kepada zat yang maha baik padaku.]
Gadisku,
Dunia moden hari ini bertambah maju sehingga terdapat ilmu asal-usul kejadian manusia yang diberi nama ilmu embriologi. Ilmu ini membincangkan perkembangan janin di dalam kandungan. Al-Quran merintis ilmu embriologi semenjak lebih 1400 tahun dahulu namun manusia hanya dapat menyaksikan kebenarannya setelah alat mikroskop berjaya dicipta. Ia dapat digunakan untuk melihat organisma atau zarah-zarah halus yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar.
Allah memberitahu kita melalui ayat 1 Surah al-Nisa’ tentang kejadian wanita,
يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُواْ رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالاً كَثِيرًا وَنِسَاء وَاتَّقُواْ اللّهَ الَّذِي تَسَاءلُونَ بِهِ وَالأَرْحَامَ إِنَّ اللّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًا
Maksudnya:
Wahai manusia, takutlah kamu kepada Tuhanmu yang menjadikan kamu dari diri yang satu dan menjadikan isteri daripadanya; dan daripada keduanya berkembang biak laki-laki dan perempuan yang banyak. Dan takutlah kepada Allah yang kamu minta-meminta dengan namaNya, dan (takutlah untuk memutuskan) silaturrahim. Sesungguhnya Allah (sentiasa) mengawasi kamu.
Pada permulaan sperma bapamu dan ovum ibumu bertemu, kejadianmu sama sahaja dengan lelaki. Ini menunjukkan persamaan taraf antara lelaki dan wanita sejak permulaan mereka menjadi zigot. Banyak ayat yang menceritakan tentang asal kejadian manusia dan perkembangan transformasi yang dialami semenjak sperma lelaki bercantum dengan ovum perempuan. Tiada satu pun daripada ayat-ayat tersebut yang menceritakan akan adanya perbezaan unsur kejadian lelaki dan wanita. Inilah asas fitrahmu yang mana hak-hak asasi kaum wanita adalah sama dengan lelaki.
Hanya terdapat beberapa ayat yang menyinggung bagaimana jenis kelamin ditentukan semasa di dalam kandungan. Dr Maurice Bucaille (1994) telah menafsirkan ayat-ayat tersebut secara saintifik dan mendalam di dalam bukunya, Asal Manusia Menurut Bibel, al-Quran Dan Sains.
Ayat 45 – 47 Surah al-Najm dan ayat 36-40 Surah al-Qiyamah pula menceritakan bagaimana Allah membentuk jenis lelaki dan perempuan dari satu unsur yang sama iaitu daripada `nutfah lelaki’ (gamet lelaki) yang bercampur dengan ‘nutfah perempuan’ (gamet perempuan) ketika ia ditumpahkan ke dalam rahim. Beberapa ayat lain pula menceritakan bahawa Allah S.W.T menciptakan setiap sesuatu itu berpasang-pasangan termasuk manusia. Antaranya Surah al-Dhariyat (51): 49, Surah al-Ra‘d (13): 3, Surah Yasin (36): 36, Surah al-Najm (53): 45-46, Surah al-Qiyamah (75): 39, Surah al-Zukhruf (43): 12, Surah al-Nahl (16): 72 dan Surah al-Rum (30): 21. Kewujudan manusia secara berpasangan itu adalah dari asal yang sama yakni asal Adam dan Hawa serta seluruh manusia dari tanah yang hina. Allah menceritakan hal tersebut di dalam Surah al-Mu’minun (23): 12-14 dan Surah al-Hajj (22): 5.
Fenomena penentu jantina anak datang dari sperma telah berjaya dibuktikan oleh kajian saintifik yang mana terdapat unsur pembeza antara jutaan sperma di dalam mani lelaki. Dr Muhammad ‘Ali Albar (1995) menulis di dalam bukunya, Khalq al-Insan bayna Tibb wa al-Qur’an bahawa sperma yang membawa sifat lelaki terdapat bintik terang di bahagian kepala. Manakala sperma yang membawa sifat perempuan adalah sebaliknya. Ia juga dapat dibezakan dengan sifat yang dibawa oleh kedua jenis sperma tadi yang mana sperma lelaki bergerak lebih pantas daripada sperma perempuan.
Gadisku, saat sperma itu dihantar ke rahim ibumu, jenis sperma yang berjaya bercantum dengan ovum ibu itulah yang akan menentukan jantina bayi yang bakal dibentuk sehingga dilahirkan. Inilah yang dimaksudkan dengan ‘apabila nutfah dipancarkan’ iaitu daripada mani lelaki.
Tahukah Gadisku, tatkala sperma yang tiada bintik terang itu berjaya menyentuh ovum, tika itulah engkau mula tercipta.
Situasi ini selaras pula dengan penemuan saintifik yang mendapati lelaki mempunyai dua jenis kromosom iaitu kromosom X dan kromosom Y. Sedangkan wanita hanya mempunyai satu jenis kromosom sahaja iaitu kromosom X. Perkara inilah yang membezakan antara lelaki dan wanita yang mana dengan faktor tadi, lelaki memainkan peranan penting dalam menentukan jantina anak. Manakala pihak perempuan tidak berperanan untuk menentukan jantina kerana mempunyai sejenis kromosom sahaja.
Ayat-ayat yang membicarakan tentang perkembangan bayi di dalam kandungan seperti ayat 12 hingga 14 Surah al-Mu’minun telah disentuh secara umum merangkumi bayi lelaki dan bayi perempuan.
Insya Allah, bicaraku mengenai susur galur kita sebagai wanita akan bersambung lagi guna kita mengenal siapakah yang maha hebat disebalik semua penciptaan ini. Subhanallah. Masya Allah!
Tidakkah dirimu mahu berfikir dan menumpahkan cintamu hanya padaNya?
Ummu Abbas
7.11am
4 Zulhijjah 1430H
ada kata malaikat sbg wali& saksi perkahwinan A&H
ada kata H bukan dr tulang rusuk A
ada kata syurga di mana A & H tiggal itu di bumi;di satu taman tanah tinggi
bgnama dgn cerita israiliat tlg perjelaskan!
salam.boleh ana copy artikel ini? syukran
bahan yg amat berguna..semoga saudara dirahmati ALLAH.
salam,
aku tertinggal tahun untuk memjawab ;(
hanya 3 ugama sahaja yang berasal dari dari “langit” erti daripada Tuhan Pencipta Alam. 2 daripadanya telah hancur yahudi dan kristian hanya tinggal Islam. Tapi sayangnya Islam berpecah kepada 73 ;( Erti 72 tu memanglah sesat…janganlah diikutkan!
Nabi bersabda, “Kamu akan mengikut jejak langkah orang-orang sebelummu sejengkal sejengkal dan sehasta sehasta sehingga kamu akan menuruti mereka walaupun mereka memasuki lubang-lubang biawak.” Sahabat bertanya: “Siapakah mereka itu ya Rasulullah?” Nabi menjawab: “Yahudi dan Nasara, siapa lagi.” (Riwayat Muslim)