‘Terperangkap’ di Luar Kereta

Strawberry di Cameron Highland

Sabtu, 9 Muharram 1431H/ 26 Disember merupakan hari terakhir permusafiran kami selama 4 hari 3 malam.  Perjalanan dari Kota Bharu-Cameron Highland-Ipoh-Kuala Lumpur-Kota Bharu itu begitu memberi manfaat buat kami sekeluarga.

Pagi Sabtu  itu, saya berkemas untuk check -out hotel dan sempat menghadiri sesi akhir seminar anjuran PAPISMA.  Sesi pembentangan resolusi hangat seperti mana perbahasan hasil ceramah Dr Mujahid Yusof pada malam sebelumnya.   Kami check-out kira-kira jam 2 petang.  Singgah di Hospital Selayang, suami melawat YB Ustaz Wan Ismail Wan Jusoh, ADUN Melor.

Dari Hospital Selayang, kami bertolak pulang ke Kota Bharu.  Akibat kepenatan, saya tertidur.  Tidak lama terlelap, saya terkejut tatkala suami membelok kereta masuk ke stesen minyak Petronas berhampiran tol Gombak.  Hujan lebat turun mencurah-curah. 

Tidur yang sekejap terganggu menyebabkan emosi saya turut terganggu.  Sedikit rasa marah mula mengusik hati.  Semasa suami parking di tempat teduh, saya terpandang seorang lelaki memegang keropok untuk dijual ‘by hand’.  Saya tahu, dia akan menuju kepada kami memandangkan dia memang mencari pelanggan di area stesen minyak itu.  Emosi yang sedia terusik tadi mula menggesa hati agar mengelakkan diri daripada penjual keropok itu.

“Haruskah aku beli kerana simpati atau menolaknya…”

Tidak mahu melayan persoalan yang datang, saya terus mengambil alih tempat memandu tanpa mahu menoleh ke arah penjual keropok.  Dia berjubah paras lutut, berkain pelikat dan memakai kopiah.  Suami dan anak-anak turun dari kereta dan masuk ke kedai.  Ada yang mahu ke bilik air.  Tinggal Aqil berusia 2 tahun bersama saya.  

Meskipun cuba mengelak, saya sempat lihat lelaki itu mengangkat-ngangkat keropoknya ke arah saya.  Saya tidak mengendahkannya.  Mood saya masih kurang baik.  Namun saya merasa seperti bersalah berbuat demikian.  Ini kerana ada bungkusan keropok udang mentah yang menjadi kegemaran anak-anak.  Kalaulah saya mampu bersabar seperti Nabi Zulkifli.

Kenapa saya menolak untuk membelinya?

“Belilah untuk membantunya…” hati berbisik.

Oleh kerana kawasan parking di tempat teduh sudah penuh, suami meminta saya buat satu pusingan dan tunggu di kawasan terbuka.  Baru sahaja saya parking kereta di bawah curahan hujan lebat, suami menelefon meminta saya isi petrol terlebih dahulu.  Hmm… satu hal lagi.  Saya bermujahadah untuk tidak merungut.   Kemudian membuat pusingan semula untuk masuk ke bahagian pam mengisi petrol.  Ada masa saya berjaya dalam mujahadah.  Banyak masa juga saya tewas.  Allah sebaik-baik pengampun kepada kesalahan dan kelemahan diri saya.  Yang penting, saya berusaha… dan bukan terus menyerah kalah pada nafsu ammarah sendiri.  Apatah lagi sengaja pula menurut kehendaknya yang lebih cenderung pada perkara negatif.

Kenderaan memang tidak henti-henti keluar masuk di stesen minyak yang besar itu.  Maklumlah ada Dunkin Donuts, bilik air yang selesa, kedai runcit dan sebuah lagi restoran yang saya lupa namanya.

Berhenti di pam bahagian tepi menghadap lebuh raya.  Selepas membuka penutup tangki minyak,   saya keluar dan menutup pintu kereta.  Aqil sedang menonton vcd kartun.

Kemudian suami datang bersama anak-anak yang lain.  Saya meminta izin ke bilik air.  Tatkala mahu membuka pintu kereta untuk mengambil sedikit wang dan sapu tangan, didapati pintu berkunci.  Alamak… Aqil sudah mengunci pintu kereta.  Cermin kereta memang tertutup rapat semuanya. 

Saya dan suami memanggil Aqil dan menunjukkan tangan ke arah kunci automatik meminta Aqil menekannya.  Aqil hanya memahami dari bahasa isyarat yang digunakan.  Dengan usianya baru 2 tahun 5 bulan, Aqil belum pandai bercakap tetapi boleh memahami percakapan orang.   Aqil cuba membuka pintu namun tidak berjaya.  Entah, apa yang ditekannya… kami tidak nampak.

Kemudian abang-abangnya datang dari pintu sebelah kiri, Aqil berpindah ke pintu sebelah kiri dan cuba membuka dari sana… pun tidak berjaya.  Baru kami nampak, Aqil menarik pembuka pinta kereta tanpa membuka kuncinya.  Abangnya berpindah ke pintu bahagian belakang sebelah kiri, Aqil mengikut dan cuba membuka pintu lagi…hal yang sama dilakukan. 

“Lemah betullah… macam ni…” suami berkata dengan sedikit nada marah.

Pertama kali mendapati pintu berkunci, saya dahulukan sangka baik dengan Allah.  Keadaan ini tidak disengajakan.

Suami mahu memarahi saya kerana membiarkan Aqil mengunci kereta.

“Nor tidak menyuruh dia kunci kereta.  Aqil belum pandai bercakap.  Lagipun Nor masih di sini (di sisi kereta).  Dia yang kunci sendiri mungkin sebab biasa melihat abang-abangnya mengunci kereta bila Nor keluar”.

Setelah mendengar penjelasan, suami diam sahaja.   

“Berdoalah… minta Allah permudahkan,”  saya mencadangkan.

“Ya Allah, permudahkanlah urusan kami,” saya berdoa dalam hati sambil memanggil Aqil ke pintu belakang sebelah kanan pula.  Aqil datang dan berusaha membukanya… seperti biasa… memang tidak berjaya.

Suami menunjukkan permainan di bahagian hadapan sambil meminta Aqil ke depan pula.  Aqil kelihatan boring lalu bermain sendiri.  Dia tidak lagi melayan kami.

Pening agaknya.  Kasihan dia.  Umi, Abi dan abang-abangnya memanggilnya dari 4 penjuru.

Abang-abang dan kakaknya mula kepenatan.   Kami akan pulang ke Kota Bharu.  Perjalanan jauh akan ditempuhi.

Pelbagai usaha cuba diikhtiarkan; menelefon kawan, adik namun kami tiada idea juga untuk membuka pintu kecuali melalui Aqil sahaja.

Terfikir untuk mencari orang yang pandai membuka dengan dawai tetapi siapa?  Hanya pencuri dan perompak yang biasa dengan kerja-kerja seperti itu.  Kunci pendua berada dalam beg di dalam kereta. 

Puas menunggu, tiba-tiba kelihatan Aqil mengambil handphone dalam beg dan menghulurkannya kepada saya. 

Mana boleh ambil, dik…cermin pun tertutup.  Biasanya jika ada bunyi sms atau panggilan, Aqil akan mengambil handphone dan menyerahkannya kepada saya.

Dia mengetuk-ngetuk cermin kereta dengan handphone.  Mendapati saya tidak dapat menerimanya, Aqil bermain kamera handphone.   Dia kembali bermain sendiri tanpa mempedulikan kami yang ‘terperangkap’ di luar kereta.  Wajahnya kelihatan ‘gabra’ juga namun dalam keadaan tidak begitu mengerti, Aqil tidak mampu berbuat apa-apa.  Suami yang sedang tension duduk-duduk bersama anak-anak di tepi pam.   Saya cuba bertenang dan yakin setiap yang berlaku ada hikmahnya.

Untuk tidak membuang masa, saya pergi ke bilik air dan masuk ke kedai.  Semasa melihat-lihat di dalam kedai, hati saya lebih tenang kerana jauh dari wajah-wajah tension suami dan anak-anak.

Saya teringat, Aqil pernah bermain bahagian kunci manual kereta semasa kereta sedang bergerak dan pandai menariknya.  Apalah yang saya mampu lakukan dalam keadaan anak kecil tidak boleh berfikir dan tidak pula mampu memahami banyak lagi percakapan dan arahan.

“Ya Allah, bantulah kami.  Gerakkanlah hatinya untuk bermain-main di bahagian kunci kereta,” saya berdoa lagi penuh harapan dan penuh keyakinan kepada Allah yang menguasai hati-hati manusia.  Berdoa dalam hati sahaja tanpa menadah tangan.  Benda yang dicari tidak dijual, saya lalu keluar menuju ke arah kereta semula. 

Sudah banyak kenderaan masuk dan keluar.   Banyak juga  mata yang semata-mata tengok.  Penjual keropok tadi yang sudah lama memerhatikan kami mendekati dan bertanya.  Kami menjelaskan situasi yang dialami. 

Saya berusaha memanggil Aqil semula.   Kelihatannya Aqil memang menekan kunci automatik namun tenaganya yang lemah tidak berdaya membuatkan kunci terbuka.  Belas hati saya melihatnya yang kecil dan lemah.  Saya terus berharap pada Allah yang Maha Membantu.

Teringat pada pesan Nabi s.a.w agar meminta bantuan dari Allah walau untuk mencari tali kasut yang hilang.

Tiba-tiba bunyi ’ klik ‘ yang agak kuat menandakan kunci sudah terbuka, kami cepat-cepat menarik tombol pintu bimbang terkunci semula.  Akhirnya Aqil benar-benar menarik kunci manual yang dia biasa bermain dengannya.  Takdir Allah sudah tiba untuk kami menyambung perjalanan semula.

Alhamdulillah, syukur ya Allah.  Engkaulah yang membantu kami.  Mungkin suami dan penjual keropok tadi turut mendoakan.  

Penjual keropok dan seorang lagi rakannya turut mengucapkan syukur.  Dia menghulurkan keropok kepada kami. 

“Ambillah bang, tanda kesyukuran”, saya berkata kepada suami.  Akhirnya juga, hati saya terbuka untuk membeli keropok tersebut.

Suami saya mengambil sebungkus keropok udang.

“Sebungkus RM15.  Kalau ambil dua bungkus, saya bagi RM20 sahaja.  Ambillah bang, saya nak habiskan barang ni… nak balik ke sempadan pula”.  Rupa-rupanya penjual keropok itu muslim dari Selatan Thailand.

“Ambil dualah bang.  Nanti boleh beri sebungkus pada Kak Siti di Sg Koyan”.  Kami memang bercadang singgah di Sg Koyan kerana ada jemputan kenduri dari bekas staf suami. 

Sambil menghulurkan bayaran, saya beritahu lelaki penjual keropok, “Ini tanda syukur ya… tolong doakan perjalanan kami selamat”.

Lelaki itu dengan senang hati mendoakan kami.

Fikir Zikir

Melepasi tol Gombak, tidak berapa lama bergerak, kami melihat kereta kemalangan di pinggir kiri lebuhraya.  Inilah agaknya antara hikmah Allah ‘menangguh’ perjalanan kami dengan cara dikehendakiNya.

Saya bertanyakan anak-anak, “Siapa yang tolong kita?”

“Allah!”  mereka menjawab beramai-ramai.

“Alhamdulillah… tahu pun”.

Abbas  menyalahkan saya yang keluar meninggalkan Aqil keseorangan dalam kereta.

“Kenapa Umi keluar?”  itulah antara kata-katanya.

Ada juga yang mahu marah pada Aqil.

Saya berusaha menjelaskan,”Tiada siapa-siapa yang salah dalam hal ini.  Ummi keluar sebab Ummi patuh pada Abi yang meminta Ummi mengisi petrol.  Ummi juga tidak suruh Aqil kunci kereta sebab Ummi tahu Aqil belum boleh bercakap dan Ummi juga bukan pergi jauh.

Allah yang gerakkan Aqil untuk mengunci kereta dalam keadaan boleh sahaja Allah tetapkan Aqil untuk terus menonton vcd.  (Lazimnya, Aqil memang asyik menonton vcd kegemarannya).

Bila pintu terkunci tadi, Ummi sudah terfikir tentu ada hikmahnya.  Tengoklah kemalangan tadi, mungkin Allah mahu mengelakkan mudarat   seperti ini menimpa kita.

Allah juga mahu kita berdoa.  Allah sangat suka mendengar doa hamba-hambaNya namun jarang sekali di kalangan hambaNya yang suka meminta dariNya.  Kita akan berdoa bila rasa susah.  Semasa senang, jarang kita mahu berdoa.

Kita boleh bertanyakan manusia sebagai ikhtiar tapi dahulukan Allah dengan berdoa padaNya.  Kemudian baru kita minta pertolongan manusia.” 

Jalan sememangnya licin kerana hujan lebat terus mencurah.  Seketika, di jalan yang agak curam menurun, kereta kami hampir sangat terlanggar kereta di bahagian depan kerana ABS rosak.  ABS sangat memainkan peranan  di jalan licin seperti ini.  Walau suami menekan brek dengan kuat, kereta kami masih menggelonsor ke depan.  Alhamdullillah, kami masih diselamatkan Allah.

“Setiap keadaan zahir yang negatif  menimpa kita, belum tentu hakikatnya rugi bagi kita.   Ada kebaikannya yang Allah mahu berikan namun kita belum nampak.  Apa yang penting ialah bersangka baik dengan Allah.  Justeru itu kita perlu cuba bertenang menghadapi situasi yang tidak menyenangkan kita.  Kita tidak akan marah bila kita bertafakkur sedikit tentang kejadian yang sedang di alami.

Allah mahu beri sesuatu pada kita.  Tinggal lagi, kita mahu fikir atau tidak”.

Kemudian, kami melihat satu lagi kemalangan di sebelah kanan. 

Suami terdiam tanpa mengucap sepatah kata mendengar ‘ulasan’ saya terhadap peristiwa yang dialami.

Saya merasa sebak.  Merasa sungguh terkesan dengan peristiwa kecil namun signifikan.  Melalui ujian ini juga, Allah menyampaikan rezekiNya kepada penjual keropok itu.  Maha suci Allah dari segala kekurangan.

Betapa peristiwa sekecil ini menjana hubungan hati saya dengan Allah.  Allah ingatkan saya agar berdoa kepadaNya.  Allah juga mahu saya bersikap ihsan dengan penjual keropok.  Tidak salah saya tidak mahu membeli kerana dari sudut fikah, jual beli harus berlaku dengan konsep ‘al-Taradiy’ yakni saling meredai.  Tidak boleh memaksa atau mendesak orang membeli dan tidak boleh pula membeli kerana terpaksa.  Namun dari sudut akhlaknya,  Allah mahu menyuburkan sikap ihsan yang mana saya telah membeli dua bungkus keropok sebagai tanda syukur.   

Allah juga telah memberi tarbiyah kepada anak-anak saya melalui ulasan hasil tafakkur dan zikrullah pada peristiwa.  Alhamdulillah, anak-anak saya mendengar dengan baik. 

Benar, musafir itu memberi 1001 ilmu dan didikan bagi mereka yang mahu berfikir walau pada perkara yang kecil.  Buat anak-anak yang belum mampu berfikir jauh, sebagai ibubapa, kitalah yang bertanggungjawab memandu mereka kepada peningkatan iman dan taqwa di hati.

Jika kita kurang sabar, suka marah-marah dan tidak mahu berfikir, ilmu yang Allah mahu berikan secara cash akan berlalu begitu sahaja.  Bukan kita sahaja yang rugi, setiap orang yang bersama kita turut rugi terutama anak-anak yang perlu dibimbing.

Ya Allah…berikanlah ilmu yang dapat menambahkan ketaqwaan di hati kami.

Ya Allah…ampunilah dosa-dosa di atas kejahilan dan kelemahan kami.

Ya Allah…kembalikanlah kami kepadaMu dengan belas kasihanMu sebagaimana Engkau hidupkan kami dengan rahmatMu.

Amin…ya Rabbal ‘alamin.

Ummu Abbas

12.24pm

11 Muharram 1431H

3 thoughts on “‘Terperangkap’ di Luar Kereta

Add yours

  1. alhamdulillah….

    nice story…
    bersangka baik atas segala ketentuanNYA, kerna pasti ada hikmah disebaliknya..

  2. sy rasa tersentuh hati baca risalah ni…..saya akan berdoa slalu agar mto sy x terkunci….untuk masuk ke dalam enjin…amin ya rabbal alamin

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: