Pra -Kredit Akaun CINTA

Oh ya… sebelum Farah menerima lamaran Syam, Farah pernah dilamar beberapa orang pemuda. Dari situ, Farah bertambah yakin kepada Allah bahawa hamba yang mentaati perintahNya pasti tidak disia-siakanNya. Farah tidak pernah ber’cowok’. Justeru jika ada lelaki yang meminatinya, mereka terus menghulurkan lamaran. Bukan lagi mengutus cinta untuk bermain-main. Bila terasa jemu, ditinggalkan begitu saja.

Pantang bagi Farah menjalin hubungan sekadar untuk ‘test market’. Farah juga merenung hikmah yang semakin hari semakin indah untuk dihayati. Hikmah suruhan dan larangan Allah hanya dapat diresapi tatkala kita menunaikan tuntutanNya.

    Zaki berkempen mengatakan ayam goreng KFC itu sedap dan lazat setelah merasainya.

    “Firdaus, sedaplah ayam goreng KFC ini. Sudahlah lazat, berkhasiat pula”.

    Jika Firdaus hanya mendengar kempen itu tetapi tidak cuba meletakkan ayam itu di lidahnya, adakah dia dapat merasai kelazatan ayam KFC?

    Tidak, bukan?

Begitulah syariat Allah sama ada berbentuk suruhan dan larangan, keindahan dan kemanisannya tidak akan dinikmati kecuali oleh para hamba yang mengamalkannya.

Seorang sahabat Farah, Anisa juga gadis yang pandai menjaga maruah diri pernah dilamar kira-kira 50 orang lelaki. Dari lelaki Melayu, Mat Salleh, Arab dan pelbagai bangsa lagi. Al Maklum, Anisa belajar di UIAM. Anisa memakai jubah dan bertudung labuh tetapi bijak dan aktif di kampus. Berwajah sederhana namun kecantikan yang paling ketara wujud pada Anisa ialah memiliki hati yang jujur dan ikhlas kepada Allah. Apabila hati baik, maka ia melahirkan akhlak yang baik juga. Akhlak yang baik itulah aura cinta yang paling kuat memikat hati mana-mana insan normal. Akhlak yang baik merupakan kecantikan hakiki seorang gadis.

    Bunga ros bunga raya
    Disusun cantik di atas para
    Paras jelita sifatnya sementara
    Ia kan layu dimamah usia.

    Lawa sungguh si bunga matahari
    Berkembang mekar di tepi perigi
    Baik budimu memikat hati
    Akhlak menawan dibawa mati

    Apabila engkau mengejar akhirat, dunia memburumu.
    Apabila engkau mengejar dunia, dunia lari darimu dan akhirat juga menjauhimu.
    Apabila engkau terlalu berharap pada kasih lelaki, mereka akan lari darimu.
    Apabila engkau mengharapkan cinta Allah, ramai lelaki jujur akan melamarmu.

Cabaran Semasa Bertunang

Usaha Farah memiliki zuriat yang soleh terus cuba dimantapkan dengan memelihara hubungan semasa bertunang. Farah pastikan mereka hanya berbincang perkara yang perlu dan dalam suasana syariat dipelihara.

Suatu hari, Syam menelefon Farah meminta Farah singgah di tempatnya bekerja dalam perjalanan balik ke Pantai Timur. Pada masa itu Farah bekerja di Kuala Lumpur. Syam beritahu tidak sempat lihat Farah semasa ke rumah tempohari.

Farah berterus terang dengan Syam, “Saya tidak biasa singgah di tempat yang tidak dikenali dan tiada siapa yang saya kenali di sana”.

“Tidak mengapa, carilah seorang teman dan kita boleh bertemu di rumah sepasang suami isteri yang boleh dipercayai”.

“Hmm, setakat ini tiada siapa yang dapat menemani saya. Maaf, saya tidak dapat tunaikan permintaan itu”.

Farah menjawab dengan tegas. Bagi Farah, apabila dia mengutamakan syariat Allah, maka Allah akan memelihara dirinya dari sebarang risiko yang tidak diingini.

Syam masih lelaki ajnabi buat Farah. Farah tidak mahu sewenang-wenangnya merungkai barakah dalam pertunangan dengan perkara yang melanggar batas syariat.

Syam hanya mahu berjumpa di rumah pasangan yang sudah berkahwin. Bukannya mengajak Farah keluar berdua-duaan. Namun Farah tidak dapat mengadakan mahram menemaninya dalam perjalanan jauh untuk ke tempat Syam berkerja.

Syam tidak lagi memujuk. Syam menghormati pendirian Farah.

Kemudiannya, Syam sendiri yang datang ke KL untuk menemui Farah. Syam berkunjung ke rumah seorang sahabatnya yang mana isterinya merupakan sahabat Farah.

Semasa Syam memberitahu akan berkunjung ke KL, Farah maklumkan dulu kepada ibu dan ayah di kampung. Ayah sebagai wali dan ibu mengizinkan.

Pertemuan Kali Kedua

Syam dan Farah duduk di ruang tamu ditemani Ustaz yang menjadi tuan rumah. Isterinya berada di dapur. Farah dan Syam berbincang perkara-perkara berkaitan perkahwinan dan beberapa prinsip hidup. Pada mulanya, Farah bercadang membuka purdah namun kerana segan kepada Ustaz, Farah tidak meneruskan niatnya. Kalau isteri Ustaz yang menemani, bolehlah Farah buka purdah.

Bukan sahaja Syam tidak berjaya melihat Farah, Farah sendiri segan mengangkat muka untuk menatap wajah tunangannya yang duduk setentang di kerusi di hadapannya. Aduh… malu seorang gadis begitu menebal.

Hanya sekali itu Syam dan Farah bertemu sepanjang tempoh bertunang. Farah dan Syam sama-sama berusaha menjaga syariat kerana mahukan rumahtangga yang dibina diberkati sepanjang hayat. Kali pertama adalah semasa Syam berkunjung ke rumah Farah untuk mengenalinya.

Sebenarnya, berapa kali mahu bertemu itu adalah berdasarkan keperluan. Islam tidak menghadkan jumlah pertemuan. Islam hanya meletakkan panduan agar mereka yang bertunang bertemu ditemani mahram dan terdapat perkara yang mahu dibincangkan.

Keberkatan dalam rumahtangga itu amat Farah harapkan untuk kebahagiaan mereka berdua dan sebagai asas mendidik anak-anak nanti. Farah percaya apa yang mereka lakukan hari ini akan memberi kesan kepada zuriat yang bakal dilahirkan.

Mereka pernah berbincang melalui telefon hanya dua tiga kali. Meskipun bercakap melalui telefon, ada orang yang menemani Farah. Ia disyariatkan agar tidak berlaku perkara lagha dan melampau batas antara dua insan yang belum sah hubungannya. Bila ada yang menemani, kita akan merasa malu untuk bercakap berlebih-lebih.

Malu sebahagian dari iman.

Alhamdulillah, urusan penyatuan Farah dan Syam mudah sahaja memandangkan keluarga kedua-dua belah pihak juga suka kepada yang mudah dan ringkas. Tiada majlis pertunangan secara khusus. Seusai lamaran diterima, keluarga kedua belah pihak mula berbincang tentang tarikh pernikahan. Lebih kurang dua bulan bertunang, mereka disatukan di majlis yang sungguh sederhana.

Islam itu memudahkan.

Nabi pernah berkata, “Permudahkanlah dan jangan menyusahkan”.

Tempoh dua bulan itu cukup-cukup untuk tempoh merisik, menentukan tarikh, memaklumkan kepada imam dan persiapan kenduri yang sederhana. Sederhana bagi Farah bukan seperti sederhana Siti Nurhaliza. Majlis Farah mungkin 100 kali ganda lebih kecil dari majlis perkahwinan Siti Nurhaliza.

Farah mempunyai prinsip, jika sudah ada yang berkenan di hati, maka pernikahan akan dilangsungkan terus. Jika belum mahu bernikah lagi, lebih elok ditangguhkan dulu pertunangan. Jika ada jodoh, akan ketemu lagi. Jika tiada, maka kedua-dua belah pihak bebas mencari pasangannya tanpa terikat dengan tunang.

Rupa-rupanya Syam juga berpendirian sedemikian. Mereka sebenarnya mahu mengelakkan fitnah dan tidak mahu melayan perasaan hati sepanjang tempoh pertunangan. Bertunang lama-lama juga kurang elok kerana ia terdedah kepada orang yang dengki dan perubahan sikap tunangan itu sendiri.

Selepas menerima lamaran Syam, barulah Farah membelanjakan sedikit cinta untuk bakal suaminya. Itulah yang dimaksudkan oleh hadis Nabi s.a.w yang bermaksud,

Apabila Allah menitipkan rasa cinta dalam diri seseorang (lelaki), maka hendaklah dia melihat kepadanya (wanita). Sesungguhnya perkara itu akan lebih mengeratkan hubungan antara keduanya

Mukaddimah mawaddah dan rahmah perlu ada sebelum akad dilangsungkan. Perasaan kasih pada seseorang yang ingin dijadikan pasangan hidup itulah menjadi pra kredit cinta!

Ummu Abbas
12.47am
21 Muharram 1431H

3 thoughts on “Pra -Kredit Akaun CINTA

Add yours

  1. Salam kak ummu , alhamdllh dh selesai ke artikel ttg farah ni?..insyllah ,moga2 ia dpt mjadi panduan bt smua pembaca yg sentiasa mharapkan redha Allah,t’utama bt diri ini .Untuk mDAPATkan yg t’baik, moga2 dpt BUAT yg tbaik..
    * sy sentiasa t’nanti2 artikel dr kak ummu, bila sy melawati blog akak…byk pengisian & pengajaran yg sy dpt t’utama bt sy yg kurang b’ilmu ini. syukran jazilan ya ukhti… moga2 Allah terus mberkati akak sekeluarga, amin…

  2. Slm ya ukhtie…alhamdulillah dan syukran pada akak masukkan entri ni.banyak sangat pengajaran yang boleh sy dapat..menjadi tazkirah buat diri yang alpa.akak doakan sy jua,mg sntiasa terpimpin dengan pimpinan ar-Rahman..syukran jazilan ya ukhtie….

    Wa’alaikum salam wbh,

    Husin Husaini yang dikasihi Allah,

    Allah sentiasa menyayangi hamba-hambaNya…

    Cuma kasih sayang Allah itu jarang bersambut dari hamba-hambaNya…

    Moga kita senantiasa berada di bawah lembayung rahmah Ilahi.

    Amin.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: