
Pra Lawatan Ke Beijing 2010
Persiapan pakaian musim dingin anak-anak disediakan sekadarnya. Semasa ke Cameron Highland pada 24 Disember 2009, terjumpa gerai (pasar malam) menjual pakaian musim dingin. Jadi saya terus beli untuk anak-anak yang belum memilikinya. Sebahagiannya, masih ada pakaian musim sejuk semasa tinggal di Sydney yang boleh dipakai. Pakaian yang dijual agak murah harganya. Sehelai ‘winter coat’ kanak-kanak lebih kurang RM40. Jika dibeli di supermarket, harganya tidak kurang RM100 kecuali bila ada jualan murah. Bila dicek, rupa-rupanya ‘Made in China’. Patutlah…
Jika mahu lebih jimat, beli sahaja di kedai bundle. Kami beli di kedai bundle semasa mahu ke Sydney, Mei 2007.
Pengalaman tinggal di Jordan,negara 4 musim banyak membantu saya menyediakan pakaian yang sesuai untuk anak-anak. Alhamdulillah.
Sesetengah ibubapa mungkin merasa sukar membawa anak-anak yang ramai bermusafir jauh. Begitu juga dengan kami. Namun sikap ikhlas dan mahu anak-anak belajar sesuatu dari permusafiran ini membuatkan kami berusaha membawa anak-anak bersama. Lagi pula, kami sudah biasa menghadapi pelbagai situasi anak-anak dalam perjalanan jauh. Yang berbeza hanya bilangan anak yang bertambah. Susah memang susah untuk mengawal mereka yang masih kecil dan lasak. Namun daripada menyusahkan keluarga terutama orang tua di kampung, lebih baik kami yang susah kerana mengasuh dan mendidik mereka.
Cukuplah ibubapa kita menanggung keperitan kerana membesarkan kita.
Makan minum pakai kita sejak bayi…
Sakit demam jatuh bangun kita…
Pendidikan kita…
Kerenah dan ragam kita…
Bila mereka sudah tua, tenaga mereka semakin lemah dan sewajarnya kita berusaha meringankan beban mereka. Bukannya menambah beban ke atas jasad yang semakin uzur dimamah usia.
Seboleh-bolehnya kami berusaha untuk tidak tergolong dalam kelompok yang disebut Nabi s.a.w sebagai tanda hampir kiamat, iaitu anak-anak menjadikan kedua ibubapa sebagai babu mereka (amah atau seperti orang gaji).
Setakat ini, kami tiada pilihan untuk meninggalkan anak-anak semasa bermusafir kerana semua anak dijaga sepenuh masa oleh ibu kandung mereka sendiri. Saya suka juga punya pembantu namun rasa kurang selesa bila ada ‘orang luar’ dalam rumah menyebabkan saya menahan diri dari memiliki pembantu sepenuh masa. Lagi pun kami kurang mampu.
Anak-anak yang sudah besar dan boleh mengurus diri sendiri boleh sahaja ditinggalkan namun selagi mampu, kami tetap membawa mereka bersama. Jarang sekali kami tinggalkan anak-anak di rumah datuk mereka kerana nenek mereka tetap perlu menyediakan makanan untuk mereka. Hanya bila terdesak dan mendapat persetujuan dari datuk dan nenek, baru kami tinggalkan anak-anak. Biasanya saya memilih masa adik perempuan berada di rumah. Jadi adik boleh menolong menengokkan anak saudaranya.
Kemungkinan selepas ini, mereka perlu berdikari untuk melihat negara orang.
Banyak berjalan… jauh pandangan…luas pergaulan…
Insya Allah…

Berapa Kos Ziarah Beijing?
(Manual ringkas untuk mereka yang berhasrat melawat Beijing)
Sesuai dengan motonya, ‘now everyone can fly’, syarikat penerbangan murah Air Asia memang benar-benar membantu golongan sederhana seperti kami. Suami tangkas ‘booking’ tiket ke China sebaik Air Asia membuka penerbangan ke Tianjin. Hanya RM300 untuk satu orang tiket pergi dan balik dari KB-KL-Tianjin-KL-KB. Ia ditempah awal setahun dari tarikh penerbangan yang dipilih iaitu pada Januari 2010.
Risiko menempah penerbangan murah ini ialah ia akan ‘burn’ jika kita mendapat halangan pada tarikh tersebut. Penerbangan tidak boleh diubah ke tarikh lain. Harga tiket juga adalah sama untuk dewasa dan kanak-kanak. Perlu sediakan sedikit bajet untuk kos barang kargo dan juga ‘shopping’ di atas ‘flight’ nanti. Biasanya suami membuat bayaran awal untuk beg kargo dan juga tempahan makanan dan minuman. Setelah membayar kos tambahan tersebut, ia masih murah sebenarnya dibandingkan harga tiket biasa.
Beg yang mahu disimpan di ruangan kargo perlu dibayar RM15/beg. Jika semasa ‘check- in’, perlu dibayar RM15/kg. Tempahan makanan kami ambil set dewasa 3 dan set kanak-kanak 3. Si kecil 2 tahun hanya perlu menumpang makanan kami atau berkongsi dengan abang-abang dan kakaknya. Itu pun selalunya tidak habis juga dimakan.
Tianjin terletak kira-kira 120km dari Beijing. Jika menaiki keretapi ekspress, perjalanan memakan masa 30 minit dan 1 jam 30 minit dengan bas. Jika jalan sibuk dan licin, mungkin memakan masa 2 jam dengan bas.
Dari Ziarah Famili menjadi Rombongan Bersama Staf
Selepas menempah tiket, barulah kami ‘survey’ mengenai bagaimana jadual lawatan kami di sana. Memandangkan kebanyakan warga China tidak tahu berbahasa dengan bahasa lain kecuali bahasa ibunda mereka sendiri, kami tiada pilihan kecuali menempah pakej lawatan melalui agensi pelancongan. Sebelum ini, kami berjalan di Medan dan Bangkok menggunakan perkhidmatan warga tempatan yang boleh membantu. Kami membuat perjanjian awal mengenai bayaran perkhidmatan dan jadual kami bebas untuk berjalan di sana. Setakat ini, alhamdulillah… urusan kami dipermudahkan Allah melalui pemandu musafir yang mesra dan mudah memberi kerjasama dengan baik.
Tempoh setahun sebelum tarikh bertolak membuatkan kami tidak tergesa-gesa untuk bersetuju dengan tawaran mana-mana agensi. Kami mempunyai masa yang panjang untuk meneliti kelebihan dan kekurangan pakej yang ditawarkan.
Kemudahan internet dimanfaatkan sepenuhnya, suami membuat tinjauan tempat-tempat menarik untuk dilawati. Ia juga perlu disesuaikan dengan selera anak-anak juga. Suami membuat senarai program kami di sana;
1. Zoo Panda (Panda Zoo)
2. Kota Larangan (The Forbidden City).
3. Ski Resort
4. Tembok Besar China (The Great Wall)- Antara 7 binaan ajaib di dunia.
5. Halal Peking Duck.
Ini adalah antara senarai yang dicadangkan sejak awal semasa menghubungi agensi pelancongan. Kami membuat satu surat dan menghantar melalui faks dan email kepada lebih 5 agensi. Ada yang memberi maklum balas. Ada yang tidak.
Pakej yang ditawarkan bermula dari lebih RM2000/seorang sehingga RM700/seorang. Pakej yang bernilai lebih RM2000 mungkin termasuk harga tiket. Kami tidak bertanya lanjut kerana ada syarikat yang menawarkan harga lebih ekonomi. Kami mula berbincang dan berurusan dengan agensi yang menawarkan harga paling rendah untuk perjalanan 7 hari 6 malam di Beijing.

Saya tidak ketinggalan menghubungi waris (kerabat yang ada hubungan kekeluargaan) yang juga mempunyai agensi pelancongan yakni Al Quds Travel. Al-Quds Travel dikenali dengan servisnya yang bagus meskipun lazimnya pakej yang ditawarkan sedikit mahal dari yang lain. Bagi kami, kami utamakan syarikat yang menawarkan pakej yang sesuai dengan bajet yang ada dan juga servis yang diberikan.
Bagai pucuk dicita ulam mendatang, akhir tahun 2009, Al-Quds mengadakan promosi sempena ulangtahun syarikat ke 10.
- Al Quds Travel Welcome You :-
- “AL QUDS TRAVEL FAIR 09”
- Date : 10,11,12 December 2009
Time : 10.30 am – 10.00 pm
Venue : Ruang Legar KB Mall K.Bharu
Organizer : Al Quds Travel Sdn Bhd
Official Radio : THR Gegar FM
- Tel No : 609-747 9999
- Diskaun hebat untuk semua
pakej pelancongan!!!
Pakej lawatan di Beijing dibuka bermula dari RM290 untuk 5 hari 4 malam. Kami segera menghubungi Al-Quds dan berbincang mengenai harga pakej untuk 7 hari 6 malam. Akhirnya Al-Quds memberikan harga RM380/seorang dengan syarat minimum perserta dewasa ialah 10 orang.
Keluarga kami seramai 7 orang dikira 4 dewasa termasuk anak yang berusia 11 dan 10 tahun. 2 orang lagi anak mendapat potongan harga 85% dari harga dewasa menjadikan jumlahnya RM323/seorang. Si kecil 2 tahun dikecualikan. Jadi kami perlu mencari sekurang-kurangnya 6 orang lagi peserta bagi mencukupkan 10 orang dewasa. Jika kurang dari 10 orang, harga pakej lebih RM600/seorang.
Sebenarnya semasa menempah tiket, kami mewar-warkan juga kepada beberapa orang adik beradik jika mereka mahu turut serta. Namun dua orang kakak mengajar di sekolah. Jadi sukar untuk mereka mendapat cuti di awal tahun persekolahan. Mahu membawa kedua ibubapa, kami tidak mampu.
Akhirnya tanpa pengetahuan saya, suami mengiklankan lawatan kami kepada staf di jabatannya, Jabatan Mikrobiologi. Allah sudah takdirkan rezeki untuk kami dan anggota rombongan yang lain, 4 orang staf menyatakan keinginan mereka untuk turut serta. Seorang staf membawa isterinya. Sementelah pula pada waktu itu, Air Asia sekali lagi membuat tawaran tiket murah ke Tianjin berharga RM720 pergi dan balik KB-KL-Tianjin-KL-KB. Sedangkan waktu berbaki lebih kurang sebulan dari tarikh bertolak. Meskipun begitu, harga tiket mereka sudah menjadi lebih 2 kali ganda harga tiket kami. Peserta terakhir rombongan ini menyatakan persetujuannya namun jualan murah sudah habis tempohnya. Jadi harga tiketnya ialah RM1300 pergi dan balik KB-KL-Tianjin-KL-KB.
Demikianlah manual mengenai kos perjalanan satu rombongan berlainan harga. Ia berlaku tanpa dirancang. Saya berharap dari tulisan ini, mereka yang berminat mengadakan lawatan ke luar negara dapat merancang dengan lebih sistematik dan ekonomi buat semua anggota.
Kos lain yang diperlukan ialah;
1. Visa ke China – RM90.
2. Passport – bagi mereka yang belum memilikinya harga passport antarabangsa 32 mukasurat ialah RM100 untuk tempoh 2 tahun. Kanak-kanak harganya lebih rendah. Boleh lihat di sini http://www.imi.gov.my/index.php/en/services/citizens/103-mohon-pasport-malaysia .
3. Perbelanjaan membeli pakaian musim dingin jika lawatan pada musim dingin. Atau pinjam sahaja dari keluarga atau rakan-rakan yang menyimpannya. Lagi pun kita hanya akan menggunakannya untuk sementara waktu sahaja.
4. Bajet untuk tip pemandu pelancong sebanyak ><RM10 sehari/seorang atau USD2/sehari/seorang. [RM10 x 7 hari = RM70].
Pakej yang ditawarkan sudah termasuk penginapan, pengangkutan, makan minum 3 kali sehari dan tiket masuk ke tempat lawatan.
Purata keseluruhan kos untuk keluarga kami ialah RM1000/seorang tidak termasuk si kecil 2 tahun. Untuk anggota lain, perbezaannya bergantung pada harga tiket yang dibeli sahaja.
Peringatan; Semua perbelanjaan yang telah disebutkan di atas akan berubah menurut situasi ekonomi semasa.
Alhamdulillah, urusan kami dipermudahkan Allah. Akhirnya anggota rombongan genap 10 dewasa dan 3 kanak-kanak.
Ummu Abbas
12.57pm
7 Rabiul Awwal 1431H







Tinggalkan komen