Posted in Gadisku, Islamika

Lantunan Wahyu Membuahkan Pernikahan

Suatu hari, si ibu menziarahi kenalan yang sama-sama menyintai dakwah ke jalan Allah. Sebelumnya bukan dia tidak biasa dengan keluarga tersebut. Sering juga dia melawat keluarga berkenaan. Namun hari itu dirasakan kelainan yang menusuk jiwa. Alunan merdu yang sedang membaca wahyu Allah itu menyapa hatinya untuk mengetahui siapakah gerangan empuya suara.

Lantas ahli keluarga memberitahu ia kepunyaan sekuntum bunga yang berada di taman Asy-Shuli. Namanya seindah dan selembut suaranya iaitu Lathiifah. Dalam hatinya mula terdetik rasa kagum pada keluarga Asy Shuli yang menghidupkan suasana keislaman di dalam rumahtangga mereka. Akhlak mereka terpancar dari suluhan-suluhan wahyu Allah dan sunnah Nabi s.a.w.

Bukan sekadar itu, si ibu berkesempatan menunaikan solat berjemaah dan beramah mesra dengan keluarga Asy Shuli. Akhirnya, si ibu bertemu juga dengan pemilik suara yang mengalunkan al-Quran tadi. Indahnya cahaya wajah Lathiifah memancarkan sinar keimanan yang sangat kuat… menggambarkan dirinya seorang yang beriman dan bertaqwa kepada Allah dengan setulusnya. Wajah yang mendamaikan itu tidak mudah dilupakan oleh si ibu. Si ibu bertambah yakin dengan persekitaran yang baik keluarga Asy –Shuli dan kesolehahan puteri mereka.

Si ibu tidak lama menyimpan rasa berkenannya dia pada calon menantu untuk anak kesayangannya. Segera dia menyampaikan hasrat pada suami tercinta dan sang putera yang soleh. Mereka bermusyawarah untuk sama-sama mencapai reda Allah. Sang putera yang soleh sememangnya memiliki sikap mulia dan hormat pada orang tuanya. Tidak susah untuk dia memberikan persetujuan. Baik pada pandangan orang tuanya yang soleh itu, baiklah pula pada dirinya.

Tidak lama berselang masa sejak peristiwa ‘lantunan alunan wahyu Allah’ itu, sang putera bersama ibunya kembali ke rumah penuh barakah itu untuk melamar ‘si mawar solehah’. Saat itu, seluruh yang hadir merasa gembira menerima sebuah lamaran dari jejaka soleh yang menafkahkan diri di jalan dakwah.

Jejaka itu bukan sebarang jejaka. Jejaka itu berusaha berdampingan dengan Rasulullah s.a.w dari segala aspek yang ada pada Khatamul Anbiya’ itu. Dia mencontohi Nabi Muhammad pada aqidahnya, akhlaknya dan syariatnya. Maka terbentuklah seorang jejaka hebat yang punya kekuatan peribadi yang luar biasa. Pada akhirnya, selepas ruhnya pulang ke pangkuan Ilahi barulah dia dinobatkan sebagai mujaddid abad ke 19. Jejaka itu tidak lain tidak bukan adalah al-Syahid Hassan al-Banna.

Fikir-fikirkan…

Lontaran kisah di atas adalah untuk sama-sama kita merenungi akan diri kita sendiri khususnya buat remaja lelaki dan perempuan di usia keemasan mereka sekarang.

Muda hanya sekali.

Setiap detik yang berlalu tidak akan kembali.

Bagaimana pertemuan kita dengan jodoh kita? Adakah ianya dipenuhi barakah dan ketaatan atau dikelilingi maksiat?

Bagaimana cara kita dipertemukan bergantung kepada cara kita mengisi kehidupan sehari-hari…

Bagaimana rumahtangga bakal dilayari bergantung kepada pandangan kita terhadap kehidupan dan bagaimana kita membentuk diri sendiri.

Hassan al-Banna dan keluarganya merupakan salah satu contoh kehidupan yang mendekati kehidupan Rasulullah s.a.w bersama ahli bait.

Dari 2 buah buku

Alhamdulillah, saya menemui 2 buah buku yang sungguh bernilai isinya. Buku pertama yang saya beli ialah ‘Persembahan Cinta Isteri Hassan al-Banna’. Buku ini merupakan sambungan kepada buku ‘Cinta di Rumah Hassan al-Banna’. Saya agak terkilan kerana belum menemui buku pertama yang sudah lama saya ingin membelinya. Buku ‘Cinta di Rumah Hassan al-Banna’ akhirnya saya temui di Pesta Buku Islam Antarabangsa yang diadakan di Balai Islam, Kota Bharu pada 20 Jun 2010.

Kisah pertemuan Imam Hassan al-Banna dengan isterinya saya tulis semula dalam versi Bahasa Malaysia yang dipetik dari buku ‘Persembahan Cinta Isteri Hassan al-Banna’.

Ummu Abbas
9.09am
10 Rejab 1431H

Advertisements

Pengarang:

Seorang isteri, ibu, permaisuri rumah, anak kepada Ma dan Abah yang masih hidup, penulis dan da'ie, insya Allah. Menyintai ilmu yang mendekatkan diri kepada Allah.

2 thoughts on “Lantunan Wahyu Membuahkan Pernikahan

  1. salam..k.nur pesta buku islam tu 20 jun je ke?? teringin gak na beli buku yang kedua tu..:)

    Wsalam Mimi, Pesta buku tu kalau tak silap, seminggu jugalah. Dah habis dah pun…


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s