“Cunnya dia!”

Bismillah.

Ketawa begini layak untuk kanak-kanak yang belum baligh.

Suatu hari di Beijing… (2010)

 

Gadis itu bernama Maggie.  Maggie menjadi pemandu pelancong kami di Beijing.  Maggie merupakan salah seorang gadis China di Kota Beijing. Dia fasih berbahasa Melayu Indonesia.

Maggie sedikit mengeluh ketika menyambut kami di Lapangan Terbang Tianjin.

“Kenapa lambat?”

“Maafkan kami, kami singgah di bilik air sebelum melintasi imigresen.  Ada yang mahu ke bilik air dan mengambil wuduk.”

“Oh… tak apa-apa”

Perjalanan dari Tianjin ke Beijing kira-kira 2 jam menaiki bas.  Jaraknya 112km.  Sepanjang perjalanan itu, saya berkenalan sedikit sebanyak dengan Maggie.

Maggie tidak menganut apa-apa agama pada asalnya.  Dia sama seperti kebanyakan penduduk China yang masih terkesan dengan fahaman komunis yang tidak beragama.  Sekarang dia menganut agama Kristian.

Maggie seorang yang peramah, sopan dan bersungguh-sungguh melayani keperluan kami sepanjang kami berada di sana.

Setiap hari, Maggie akan sentiasa memberi penerangan mengenai tempat-tempat yang dilawati.  Kadang-kadang dia bercerita pengalamannya membawa pelancong yang lain.

Semasa memberi penerangan, Maggie akan berdiri mengadap kami.  Kadang-kadang kami bertanya apa-apa yang dilihat dan juga mengenai hal ehwal setempat.  Nasib baik waktu itu musim dingin.  Jadi meskipun Maggie tidak bertudung, namun pakaiannya masih boleh dikategorikan sopan bagi penganut Kristian sepertinya.

Kadang-kadang juga, kami mengajar Maggie istilah-istilah Bahasa Malaysia yang agak berbeza dengan istilah Bahasa Indonesia yang digunakannya.

Suatu hari, satu perkara yang menarik hati mencatat kenangan manis di dalam memori travelog saya.  Maggie bercerita seperti biasa secara santai dan harmoni.  Sekali, salah seorang dari kami menerangkan satu istilah Bahasa Indonesia yang memberikan maksud lain jika digunakan dalam
Bahasa Malaysia.  Maggie tidak dapat menahan gelak.  Sambil ketawa, Maggie menutup mulut dengan tangannya.  Biasanya dia tergelak kecil sahaja.

Masya Allah!

Saya terpegun menyaksikan fitrah malu seorang wanita yang masih tersisa pada gadis Kristian itu.  Kebanyakan anggota rombongan kami adalah lelaki.  Hanya 3 orang perempuan dari 13 orang.   Bukankah gadis yang bersikap sepertinya kelihatan begitu ‘cun’?

Suatu hari di sekolah… (Akhir 80-an)

“Datuk aku beritahu, tidak elok bagi gadis-gadis bergelak ketawa di tepi-tepi jalan”, ujar seorang sahabat saya suatu hari.

Sahabat saya itu, Adlina sentiasa berulang alik ke sekolah dihantar oleh datuknya.  Datuknya berkata demikian selepas melihat gadis-gadis sekolah yang berselisih dengannya bergelak ketawa  sesama mereka di pinggir-pinggir jalan.  Sekolah kami sekolah agama.  Zaman saya bersekolah menengah ialah akhir tahun 80-an.  Itu dulu.

 

Muslimah kampus    (90-an)

 

Kami sedang bermesyuarat.  Kaedah yang kami gunakan pada masa itu ialah meletakkan tabir antara ahli mesyuarat syabab (pemuda) dan akhawat (pemudi).  Menjadi amalan kami di kalangan akhawat untuk menahan gelak jika ada sesuatu yang lucu terjadi.   Kami ketawa sesama kami tanpa mengeluarkan suara.   Syabab tidak mengapa jika suara gelak mereka kedengaran.

Suatu ketika, terjadi perkara lucu.  Seorang muslimah tidak dapat menahan gelaknya lalu pecah suaranya ketawa.  Salah seorang syabab menyampuk dengan nada selamba, “Haa.. pecah tempayan budu!”  Tiba-tiba sahaja muslimah itu berhenti dari ketawa seraya menutup mulutnya dengan rasa malu.

Gadis Melayu di pinggir air terjun… (awal 2000 an)

 

Ahli usrah mengadakan  “family day” di satu kawasan air terjun terkenal di Kelantan.

Suatu ketika, kami terdengar suara nyaring gadis-gadis bergelak ketawa nun berada jauh dari kami.

Salah seorang remaja lelaki yang berada berhampiran kami waktu itu berkata, “Eeei… takutnya aku… macam hantu!”

 

 

Gadis Melayu Musim Kedua… (2009)

 

Saya sempat mengikuti sedikit rancangan Gadis Melayu musim kedua.  Tujuan untuk mengetahui kriteria apa penerbit siri tersebut titik beratkan pada Gadis Melayu.

Pada satu segmen, gadis-gadis itu disuruh menjual di tepi jalan.  Terdapat satu adegan, gadis-gadis Melayu itu (bukan semua) ketawa terbahak-bahak.  Mulut ternganga luas.  Aduhai… gadis Melayu!

 

Rasulullah s.a.w… (Lebih 1400 tahun yang lalu)

 

Melihat wajahnya yang sering tersenyum sudah tentu membahagiakan hati.  Ditambah pula air muka beliau yang jernih dan bersinar terang dihiasi cahaya ketaqwaan.  Ketawa Rasulullah hanyalah berupa senyuman.  Paling tinggi pun,  hanya menampakkan deretan gigi beliau yang rapi serta gusi saat tertawa.  Ketawa Rasulullah s.a.w memiliki karisma, tidak mengeluarkan suara dan tidak terbahak-bahak.

Jabir bin Samurah r.a. berkata, “Rasulullah saw. tidak pernah tertawa selain dari senyuman.” (dilaporkan oleh Ahmad dan Al Hakim).

Dia termasuk orang yang paling banyak tersenyum di antara manusia, juga yang paling baik jiwanya di antara mereka.  Thabrani melaporkan hadis ini dari Abu Umamah.

Dia juga tidak pernah menceritakan sesuatu, kecuali dengan tersenyum.  Hadis dilaporkan oleh Ahmad.

Ibnu Abbas r.a menyifatkan Rasulullah sebagai orang yang paling banyak tersenyum dan menangis.

Aisyah ra. pernah ditanya seseorang,

Bagaimana keadaan Rasulullah saat berada dirumahnya?” Aisyah menjawab, “Beliau adalah orang yang paling lemah lembut, paling murah hati dan beliau tidak berbeza dengan salah seorang lelaki di antara kalian.  Hanya saja beliau banyak tertawa yang berupa senyuman.”

Hadis dilaporkan Ibnu Sa’d dan Ibnu Asakir.

Abu Sa’id berkata, “Nabi s.a.w  sangat pemalu daripada seorang gadis dalam pingitannya.”  Hadis direkodkan oleh Bukhari.

Imran bin Hushain  r.a melaporkan bahawa  Nabi s.a.w  berkata, “ Malu itu tidak datang kecuali dengan membawa kebaikan.   Direkodkan oleh Bukhari.

“Malu dan amanah adalah perkara yang mula-mula sekali hilang dari dunia ini, sebab itu mintalah dengan Allah untuk kedua-duanya.”  Direkodkan oleh Bukhari.

Ketawa dan menangis adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah.  Allah berkata di dalam surah al-Najm, ayat 43,

 “Dan bahawa Dia-lah yang menjadikan orang tertawa dan menangis.”

Rasulullah s.a.w merupakan manusia ideal yang sempurna sifat-sifatnya sehingga dijadikan teladan bagi kita semuanya, sebagaimana firman Allah di dalam surah al-Ahzab, ayat 21,

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) rasulullah itu suri teladan yang baik bagi kalian (yaitu) bagi orang-orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.”

 

Cara ketawa dan senyuman pilihan kita?

Sifat malu menambah nilai anggun bagi wanita.

Malu perhiasan utama kaum wanita

Sekarang, melihat para gadis muslimah, ibu-ibu muslimah bahkan aktivis muslimah ketawa besar dengan mulut ternganga luas adalah perkara
biasa.   Kalau sesama mereka di tempat tertutup, boleh tahan lagi.  Namun apa yang berlaku ialah di khalayak ramai yang wujud bersama mereka para lelaki ajnabi.

Muslimah yang indah menarik itu akan menahan suara gelak mereka agar tidak kedengaran pada pendengaran ajnabi.  Apatah lagi untuk ketawa dengan mulut ternganga luas.

Muslimah pemalu itu secara automatik akan menutup mulutnya yang terbuka sekiranya tidak dapat menahan gelak di hadapan ramai.  Jika dia sudah memakai purdah, maka purdahnya itu sudah memadai menutup mulutnya.

Betapa cunnya seseorang gadis atau wanita yang masih terpelihara dalam fitrahnya yang suci yakni pemalu.  Jika Rasulullah s.a.w digambarkan lebih pemalu dari anak gadis yang berada dalam pingitan, maka siapalah kita untuk bersikap lebih sudu dari kuahnya?

NOTA;

Tulisan ini didedikasikan buat diri penulis sendiri yang merasa begitu payah berusaha membentengi diri dengan sifat malu di dunia yang penuh
fitnah ini.

Persekitaran yang semakin mengikis rasa malu,  jika tidak diberi peringatan, dibimbangi akan merobohkan prinsip, “Jadilah seperti ikan di laut.  Tetap tawar walau airnya masin”.

Aku mencari jatidiriku sebagai hamba yang diredai Allah.

Ummu Abbas

17 Syaaban 1432H

18 Julai 2011

12.47pm/Melbourne

9 thoughts on ““Cunnya dia!”

Add yours

  1. Salam, Kak Nur.. saya doakan buku travelog Kak Nur cepat terbit. Nanti saya nak baca sebelum tidur 🙂

    Wsalam Ha, Jazakumullah atas doanya.


  2. Salam.K.Nur.syukran di atas peringatan.Baru tahu bahawa perasaan malu yg ada pada diri saya ni belum cukup lgi untuk menjadi hamba yg diredhai Allah.

    Wsalam. Malu pada diri K Nur pun belum cukup lagi. Sama-samalah kita tambah perisa malu kita ye… insya Allah.

  3. Assalamualaikum Kak Nor,
    Sukar sy nk jelaskan. tp Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT sy diberi peluang mengenali blog Kak Nor melalui seorang kakak yang amatlah saya hormati. Ironi, sy merasa dekat dengan entry ini..dan amatlah malu dengan diri sendiri. Tidak mempunyai perasaan malu pernah menjadi satu kebanggaan buat diri saya. Kerana berani mendongak dada dan lantang bersuara. 😦 sy ingin berubah, tetapi kesalahan lampau seakan menyekat. Malu, malu pada diri sendiri, malu pada Allah.

    Terima kasih Kak Nor… 🙂 doakan sy ye!

    Wa’alaikumsalam warahmatullah. Alhamdulillah. Sama-sama kita berubah ke arah lebih baik. K Nur pun malu juga bila ingat kesalahan lampau tapi lebih malu lagi jika tidak berusaha untuk berubah. Satu je K Nur ingat, Allah Maha Pengampun dan suka melihat kita menjadi hamba yang lebih baik. Insya Allah, K Nur tulis satu entry mengenai hal ini.

    Wassalam.

  4. alhamdulillah,jumpa blog ni
    sebenarnya sy student
    sy ditugaskan utk membuat wordpress
    sgt nervous
    sbb sy ni takla pndai sgt it
    minta tunjuk ajar…
    syukran ya..

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: