Catatan Melbourne 1

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah atas nikmat kurniaan Ilahi yang memberi kesempatan kepada saya sekeluarga untuk menitip pengalaman hidup di Melbourne.  Tentu banyak hikmah yang mahu dikurniakan kepada saya sebelum saya dipanggil bertemu denganNya.

Allah menetapkan sesuatu perkara sesuai dengan diri kita walaupun mungkin kita sendiri tidak begitu menyukainya pada awalnya.  Justeru, bersangka baik dan berusaha berlapang dada apabila dihamparkan ujian hidup.  Mutiara berkilau indah  hanya dapat dijamu mata setelah menyelam ke dasar lautan, dibawa naik ke atas dan dipecahkan kerangnya.   Iya benar, mutiara kehidupan yang indah juga hanya dapat dinikmati oleh mereka yang sanggup menyelam ke lautan cinta Ilahi, bertahan dengan ujian hidup dan dipecahkan panggilan nafsu syahwat yang tidak baik.

Menjelang Ramadan 1432H, memberi makna hampir setahun sudah kami bermastautin di Bumi Koala ini.  Seribu makna sejuta hikmah sedang dikutip hari demi hari.

Ketibaan kami di lapangan terbang antarabangsa Melbourne disambut cuaca dingin musim sejuk yang menyelimuti.    Akibat tersalah mengisi borang, kami terkandas agak lama di bahagian imigresen.  Seperti biasa, saya membuka purdah semasa berada di atas kapalterbang  sehingga melepasi imigresen.   Ia adalah untuk memudahkan urusan.   Semasa berada di Jordan dulu, muslimah berniqab akan membuka purdahnya semasa melintasi hudud (sempadan) Arab Saudi bila mahu ke Tanah Suci, sama ada melalui jalan darat atau jalan laut.   Ia merupakan satu keperluan yang mengharuskan muslimah berniqab membuka niqabnya.    Bezanya pada masa itu, kami hanya membuka purdah di hadapan pegawai yang memeriksa pasport kami sahaja.

Di bahagian ketibaan, kelihatan dua orang berwajah Melayu sedang menunggu kami.    Kami mengenali Ustaz Haznizul namun pada waktu itu dia belum tiba di airport.    Dia mewakilkan Ustaz Nushi dan Yahya untuk menyambut kami.  Isteri Ustaz Haznizul merupakan junior saya di Maahad Muhammadi (P).    Nurhafilah menyambung pelajarannya di peringkat PhD sejak tahun 2008 di Universiti Melbourne.  Setelah suami bertaaruf, rupa-rupanya Ustaz Nushi juga merupakan junior saya di Jordan dahulu.  Saya hanya tahu namanya tetapi tidak kenal tuannya.  Ustaz Nushi satu ‘bacth’ dengan Abu Saif, pendakwah selebriti itu.

Kemudian baru dapat tahu,  Yahya pula merupakan anak bekas majikan.  Bapanya, Encik Shakur pernah mengupah saya menjadi salah seorang editor Transkripsi Tafsir Tuan Guru Nik Abdul Aziz.   Waktu itu saya baru pulang dari Jordan.  Saya menjadi editor sambilan.  Selepas waktu sekolah, saya akan ke pejabat kira-kira 3 hari seminggu.

Masya Allah!  Kecilnya dunia ini.  Ke mana pun kita pergi, ada sahaja bertemu dengan kenalan atau kenalan atas kenalan.

Rumah Transit di Melbourne

Kami dibawa ke Malaysia Hall Melbourne.  Ustaz Haznizul merupakan Pembantu Warden di situ.  Semasa catatan ini dibuat, jawatan tersebut sudah berpindah tangan.  Ustaz Haznizul bertugas buat kali terakhir pada 15 Julai 2011.  Mereka akan pulang ke Malaysia akhir Ogos nanti.

Sebelum datang, kami diberi pilihan mendapatkan penempatan sementara sama ada di Malaysia Hall atau rumah transit.   Rumah transit ialah rumah pelajar post-grad yang pulang bercuti ke Malaysia.

Sepanjang perjalanan, saya menikmati pemandangan kota Melbourne yang dipenuhi dengan ‘hutan konkrit’.  Pelbagai desain (design) replika moden menghiasi bandar ini.  Tahun 2007, kami pernah singgah sekejap pada waktu malam di Melbourne ini yakni dalam perjalanan pulang dari Adelaide ke Sydney.  Jadi saya tidak tahu wajah sebenar Melbourne.  Kami sempat melawat rumah Dr Monica, kenalan suami semasa Dr Monica dijemput menyampaikan ceramah di sebuah hotel di Kelantan.    Dr Monica bertugas di Royal Children’s Hospital, Melbourne  antara hospital kanak-kanak terbaik dunia.

Pada mulanya, suami membuat keputusan tinggal di Malaysia Hall sementara kami mendapat rumah sewa sendiri.  Ia untuk menjimatkan kos.   Namun baru sekerat hari berada di Malaysia Hall,  saya merasa tidak selesa berlamaan di sana.  Bukan kerana biliknya, tetapi kerana kurang privasi bagi seorang muslimah seperti saya dan juga ruang untuk anak-anak bermain yang terhad.

Dengan anak-anak kecil yang sedang lasak seramai 5 orang, kami menyewa dua bilik berhadapan.  Oleh kerana anak-anak asyik keluar masuk dari bilik mereka ke bilik saya, saya tiada peluang membuka tudung dan berehat.  Pintu tidak boleh dikunci sedangkan lorong yang memisahkan bilik kami menjadi laluan awam.  Bilik air juga berkongsi di luar.  Jadi perlu menutup aurat dengan lengkap untuk ke bilik air.

Anak-anak kecil mula kelaparan.  Saya dan suami bersahur di atas kapalterbang dan meneruskan puasa walaupun ada rukhsah untuk berbuka.  Alhamdulillah, dengan adanya kenalan di sini, mereka banyak membantu kami mendapatkan penginapan dan mencari makanan sementara.

Ummu Abbas

27 Shaaban 1432H/28 Julai 2011

11.33am


3 thoughts on “Catatan Melbourne 1

Add yours

  1. Salam ummu.boleh tanya kenapa memilih untuk sambung phd di melbourne?mengapa
    tidak di sydney atau united kingdom?apa keistimewaan sambung di sana?nak minta
    pandangan kalau dahulu ambil master dalam pengajian ilmu wahyu uia pengkhususan
    ilmu hadis,apa agak-agaknya bidang yang sesuai bagi phd ya?berminat untuk sambung di
    oversea tapi masih mencari tempat yang sesuai

  2. assalamua’laikum saudari. Maafkan saya kerana tiba-tiba bertanya. Boleh saya tahu, adakah pemakaian purdah semasa di airport Malaysia (KLIA) dibenarkan? Dan bilakah masa-masanya kita perlu membuka purdah semasa di airport Malaysia? Saya berharap saudari dapat menjawab persoalan ini untuk saya ya. Jazakillahukhairan. 🙂

    Wa’alaikum salam warahmatullah. Boleh je…:) Buka purdah semasa cek pasport dengan pihak imigresen sahaja. Afwan.

  3. yeke akak? Alhamdulillah….gembira sangat. Terima kasih banyak2 kakak. Jazakillahukhairan. Moga Allah sentiasa merahmatimu dan keluarga. Aminnn. 😀

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: