
Islam itu Rigid?
Gadis itu bernama Molen [Nama sebenar]. Suatu hari, dengan berseluar jeans, berblouse melepasi punggung dan bertudung… saya lepak-lepak di biliknya bersama Ummi Rosiah. Molen tinggal sebilik dengan rakannya seorang muslimah ‘non-hijabi’. Seorang lagi ‘roomate’ Molen ialah gadis Austria beragama Kristian, sama seperti Molen.
Mereka bertiga ialah ‘classmate’ Ummi. Ummi yang mengajak saya menziarahi mereka. Saya apa lagi… memang berminat berkomunikasi dengan non-muslim selagi ada peluang menyampaikan Islam.
Untuk sesi ziarah ini, Allah telah berikan peluang yang baik kepada saya menjelaskan Islam melalui praktikal. Apa yang telah berlaku ya?
Sebaik kami duduk, kami bertaaruf ringkas. Seusai taaruf, Molen bertanya, “Apa yang awak dengar?”
“Lagu”. Jelas saya sedangkan ‘earphone walkman’ masih di telinga. Ini hanyalah ziarah santai-santai kami dalam kawasan asrama. Bukannya ziarah formal ke rumah kawan. Jalan-jalan dari bilik ke bilik.
Riak wajah Molen kelihatan sedikit terperanjat. Melihat reaksi demikian, saya juga rasa terkejut sedikit dan tertanya-tanya. Gadis manis dari Sweden itu teruja untuk bertanya lanjut.
“Boleh saya tanya sedikit…”
“Iya… boleh sahaja”
“Saya pernah bertanya orang Arab di sini, adakah Islam membenarkan mendengar hiburan seperti lagu-lagu. Mereka kata tidak boleh sama sekali. Lalu saya fikir Islam itu agak keras. Bagaimana kamu pula boleh mendengar lagu?”
“Apa yang saya belajar, Islam mengharuskan mendengar lagu dengan syarat liriknya bagus dan tidak melalaikan dari mengingati Allah. Manakala alat muziknya pula terhad kepada duf dan tabla”. Saya memberitahu pendapat yang masyhur tentang alat muzik sambil tersenyum.
Pada masa itu, memang heboh jugalah di Fakulti Syariah tempat saya belajar mengenai khilaf fuqaha’ hukum menggunakan alat muzik selain duf. Pernah sekali seminar mengenainya diadakan di fakulti kami. Dalam menjawab soalan Molen, saya tidak perlu memanjangkan perkara tersebut. Alhamdulillah, Molen sendiri tidak pula bertanya mengenai hukum menggunakan alat muzik lain. Saya kira, penerangan mengenai harusnya mendengar lagu yang baik itu sudah menepati isu yang dikemukakan.
“Cubalah dengar ini…” Saya memasang semula ‘walkman’ dan menghulurkan ‘earphone’ kepada Molen. Kebetulan pada masa itu, lirik lagu Raihan berbunyi,
“My heart is loving you…
my heart is just for you…
knowing you Allah…
I will try to get close to you…”.
Bolehlah Molen faham liriknya.
Hakikatnya, Allah jua yang memudahkan usaha dakwah kami. Saya tidak sengaja ‘pause’ pada lagu berbahasa Inggeris Raihan itu. Saya juga tidak merancang untuk menjadikan ‘walkman’ dan lagu itu sebagai bahan dakwah. Semuanya aturan Allah untuk Molen sendiri yang disampaikan melalui kami. Allah yang maha mengetahui apa yang Molen masih keliru mengenai Islam dan Allah mahu menyempurnakan hidayahNya melalui cara ini.
Lihatlah betapa lemahnya usaha kita dalam menyampaikan hidayah kepada manusia tetapi Allah menyempurnakannya dengan cara yang dikehendakiNya. Subhanallah… Masya Allah!
“Nur, sebenarnya Molen ini sudah banyak mengkaji pasal Islam. Tinggal lagi beberapa perkara yang dia masih keliru. Dia mahu bertanya lagi tu… boleh ye Nur. Nur beritahu dari sudut ilmunya, biar Ummi yang terjemahkan padanya”. Ummi memang fasih berbahasa Inggeris. Ini pun satu bentuk pertolongan Allah sebenarnya. Juga peluang berkongsi pahala menyampaikan Islam, insya Allah. (Jika saya sendiri fasih berbahasa Inggeris, nanti saya bolot pahala sorang-sorang… hehe… )
Oh begitu. Rupa-rupanya Molen sudah tahu banyak juga pasal Islam. Saya dengan rasa senang hati bersetuju melayan lagi pertanyaan Molen.
Hudud juga Rigid?
“Satu lagi yang saya fikir Islam itu rigid kerana Islam ada hukuman hudud. Boleh jelaskan?”
“Hudud adalah jenis hukuman yang ditentukan untuk kesalahan-kesalahan tertentu sahaja. Syarat-syarat untuk membolehkan hukuman hudud dilaksanakan kepada pesalah juga ketat. Jika tidak cukup syaratnya, hukuman hudud tidak boleh dilaksanakan. Kadang-kadang ia berpindah kepada hukuman taazir sahaja. Hukuman hudud adalah adil untuk pesalah dan juga mangsa disebabkan jenis jenayahnya yang berat.
Contoh kesalahan mencuri. Ia harus cukup kadar nisabnya. Individu itu mencuri dengan sengaja, bukannya kerana tekanan atau disebabkan situasi yang mendesak. Pernah di satu masa di zaman Umar r.a, hukuman mencuri ditangguh buat sementara waktu kerana situasi rakyat yang susah. Situasi tersebut menimbulkan syubhat.
Contoh yang lain pula, seorang hamba ditangkap kerana mencuri harta tuannya. Lalu dia dibawa untuk diadili Umar. Apabila disiasat, hamba itu memberitahu sebab dia mencuri kerana tuannya tidak memberi makan yang cukup. Umar al-Khattab lantas memberi peringatan kepada si tuan, “Jika aku dapati hambamu ini mencuri lagi kerana engkau tidak memberi makan yang cukup kepadanya, akan ku potong tanganmu”.
Molen menganggukkan kepalanya. Dia kelihatan berpuas hati dengan penjelasan saya. Seronok juga melihat Ummi bersungguh-sungguh menterjemahkan ke Bahasa Inggeris. Alhamdulillah, saya boleh faham semula penjelasan Ummi tetapi tidak mampu mengungkapkannya sendiri dalam Bahasa Inggeris.
Dialog di atas berlaku kira-kira 15 tahun yang lalu. Gadis Austria itu turut mendengar perbualan kami. Dia tidak bangun dan meninggalkan kami. [Saya lupalah namanya tapi foto saya memakai niqab bersamanya di hadapan asrama masih dalam simpanan.]
Kembali ke Agama Fitrah
Apabila yang kusut dirungkaikan, yang buntu dipecahkan dan yang keliru diluruskan, tiada sebab untuk seseorang yang masih waras berfikir dan ikhlas dalam pencariannya menolak lagi kebenaran di depan mata. Alhamdulillah, tidak berselang lama selepas itu, Molen memeluk Islam di sebuah masjid ditemani Ummi dan beberapa muslimah yang lain. Ummi menceritakan Molen memakai tudung ketika mengambil syahadah. Ini membuktikan dia sebenarnya sudah memahami tuntutan berhijab itu. Namun selepas itu dia membukanya semula kerana masih mahu merahsiakan keislamannya pada pengetahuan umum. Bukan apa, dia mahu mengelakkan keluarganya tahu dia memeluk Islam dari orang lain. Dalam situasi ini, sememangnya Islam belum memberati seseorang yang baru memeluk Islam untuk mengamalkan secara drastik semua yang diketahuinya.
Fasa-fasa awal keislaman seharusnya ditekankan ilmu fardu ain dan amalan asas terlebih dahulu seperti solat dan puasa. Amalannya boleh ditingkatkan selaras dengan peningkatan ilmu aqidah dan keimanan di dalam hati.
Molen memilih nama Islam tetapi saya lupa nama Islamnya. Penghujung musim panas, saya dan Ummi mengiringi Molen yang akan menaiki teksi ke lapangan terbang Queen Alia. Kami masih ada kelas hari itu. Sempat dihulurkan sekeping note Dinar Jordan buat saudara baru saya dalam Islam. Kami bersalam dan memeluknya sambil mendoakan agar Molen istiqamah dan tabah menghadapi segala ujian sekembalinya dia ke Sweden.

Saya pulang ke Malaysia kira-kira setahun selepas itu. Suatu hari saya menerima poskad dengan visual laut membeku. Ia dari Molen. Laut membeku wujud di Sweden. Ia berlaku pada musim sejuk. Saya sangat gembira menerimanya kerana pertama, saya tahu Molen masih Islam. Kedua dia selamat di sana. Dia mengucapkan terima kasih atas perhatian yang diberikan. Molen lebih tua dari saya kerana waktu itu dia sudah bergelar graduan dan bekerja (kalau tidak silap). Dia ke Jordan kerana mahu belajar Bahasa Arab pada musim panas selama 3 bulan. Saya ingin membalas kiriman tanda kasih dan ingat itu namun sayangnya, Molen mungkin terlupa mencatat alamatnya di poskad itu.
Hanya doa yang saya mampu kirimkan buat Molen. Saya tidak tahu apa perkembangannya sekarang. Semoga Allah tetapkan hatinya dalam Islam dan mengembalikan dia ke sisiNya dalam keadaan yang paling diredaiNya.
Antara Molen dan Melayu [Sebahagiannya]
Molen yang belum Islam itu sekadar tertanya-tanya apabila melihat Islam diberi pelbagai persepsi.
Molen yang belum Islam itu mahu bertanya bila didapati seolah-olah ada hukum atau perundangan Islam kelihatan seperti keras.
Molen yang lahir dalam famili yang belum Islam itu keluar mencari Islam.
Molen yang membesar di kalangan non-muslim itu berhijrah menjejak cahaya kehidupan.
Molen yang bijak itu mencari jalan agar kebuntuan terungkai.
Akhirnya sirnalah kebatilan dan nyatalah kebenaran ISLAM nan indah lagi sempurna itu. Islam sempurna kerana datang dari Yang Maha Sempurna.
Melayu [Sebahagian] yang dilahirkan diiringi azan dan iqamah pula seperti segan dengan Islam.
Melayu [Sebahagian] yang membesar dengan ibubapa muslim dan masyarakat muslim mula mencaci ajaran Islam tatkala mereka dewasa. [Moga mereka bertaubat. Amin]
Melayu [Sebahagian] yang diberi nikmat hidup dalam cahaya, mencari kegelapan…
Melayu [Sebahagian] malas bertanya apa yang mereka tidak faham…
Melayu [Sebahagian] terus mengulas isu yang bukan bidang mereka…
dalam tulisan mereka…
di TV yang kononnya milik mereka…
dan gunakan nikmat teknologi IT untuk buat video…
Video yang memperlecehkan hukum Allah, sedangkan Allah yang meminjamkan nikmat teknologi IT kepada manusia…
Hanya mereka yang tidak berapa sempurna cara berfikir dan menilai akan menyatakan Islam itu tidak sempurna atau sebahagian hukum Islam itu tidak sesuai dengan manusia dan zaman. [Minta dijauhkan Allah.]
Akhirnya pudarlah cahaya, kelamlah kehidupan mereka [Moga mereka bertaubat. Amin]
Punah iman mereka…
Gugur akidah mereka…
Terkeluar mereka dari Islam kerana menghina hukum Islam… [Moga mereka bertaubat. Amin- dan mengisi sisa hidup dengan belajar tentang Islam]
Ya Allah, tetapkan hati-hati kami dalam keimanan kepadaMu.
NOTA: Apa yang tercatat dalam latar pengalaman di atas adalah berdasarkan pengetahuan penulis pada masa itu… dan mana yang ingat sahaja ya… Mungkin ada yang terkurang dan ada yang terlebih, astaghfirullah. Moga Allah ampunkan. Jika pembaca mengetahui fakta sebaliknya, boleh kemukakan di ruangan komen. Bantuan anda didahului dengan ucapan jazakumullah.
Ummu Abbas
23 Muharram 1433H
Melbourne.
sgt menarik…terutamanya ulasan “melayu” di bahagian bawah artikel….
semoga kita akan terus menerima hidayah ALLAH SWT