Hujan Air Batu Sebesar Bola Pingpong

Bismillah.

Pepatah ada menyatakan, ‘Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik negeri sendiri’.  Apa yang saya dan famili saksikan semalam menyaksikan bahawa kami mengalami ‘Hujan air batu di negara orang’ dan banyak juga yang ‘lebih baik’ di sini dibandingkan dari negara sendiri.  Dunia akhir zaman menyaksikan banyak perkara menjadi terbalik.  Eh… saya sedang bicara isu realiti, bukan sengaja menukar pepatah tersebut.  Cuba lihat foto-foto di bawah.  Kami mengalami fenomena hujan air batu di musim panas semalam.  Waktu ini kami berada di atas ‘train’.  Biasalah, setiap kali hari Krismas di sini, pengangkutan awam adalah percuma ke mana-mana sahaja dalam Negeri Victoria.  Entry mengenainya menyusul selepas ini, insya Allah.

Hujan ais sedang turun di stesen keretapi Moreland, Melbourne.
Air batu berwarna putih salju.
Saiz air batu ada sebesar bola pingpong.

Dalam perjalanan pulang dari Pantai Brighton semalam, tatkala sampai di Moreland, tiba-tiba kami dihujani air batu yang begitu kuat bunyinya.  Masya Allah!  Subhanallah yang menjadikan alam ini dan segala pergerakannya.  Kami teruja melihat air batu berketul-ketul melantun-lantun bila menimpa atap dan sebagainya.  

Ramai yang berada di atas ‘train’  tidak melepaskan peluang merakam gambar.  Pada mulanya saya menyangka ia fenomena biasa di sini.  Lagi pun kami baru bermastautin setahun lebih di Melbourne.  Setelah diselidiki, rupa-rupanya fenomena hujan air batu di musim panas agak luar biasa.  Ia mendapat liputan berita-berita di Australia.  Jika hujan air batu di musim dingin, ia biasa saya alami semenjak di Jordan.  Itu pun saiznya lebih kecil.

Suatu hari, saya dalam perjalanan dari kedai roti.   Tiba-tiba hujan air batu berserta ribut menampar-nampar muka.   Memang sakit bila terkena pipi.  Nasib baik saya memakai purdah.  Jadi tahanlah sedikit rasa sakitnya.  Itupun saya masih cuba melindunginya dengan helaian mafla yang sentiasa dipakai ketika musim dingin.    Dalam keadaan begini, payung adalah satu alat yang tidak efektif kerana biasanya ia akan patah ditiup angin kencang dan kita juga tetap basah kuyup.

Hujan ais ini pada mulanya berlaku di Moreland dan Coburg.    Alhamdulillah, cermin kereta kami yang diletakkan di kawasan parking terbuka tidak retak dan pecah.  Ketika kami sampai di rumah yang jaraknya kira-kira 5 km dari Coburg, kawasan rumah masih kering menandakan tiada hujan turun.  Kira-kira 10 minit selepas itu, barulah kedengaran berdentum-dentum hujan air batu menimpa atap rumah.  Ia turun dengan lebat diserta guruh dan kilat.  Nasib baik juga kereta sudah diparking di dalam garaj, alhamdulillah.  Ada cermin kereta yang retak dan ada atap rumah yang pecah di tempat lain.

Persembahan slaid ini memerlukan JavaScript.

 

Tidak lupa saya berdoa kepada Allah swt agar menyelamatkan kami dari segala malapetaka.  Saya bimbang juga kerana sudah banyak peristiwa bala menimpa umat sempena penganut Kristian menyambut Hari Krismas.  Semalam pula betul-betul hujan ais ini turun di waktu tengahari 25 Disember yakni antara waktu Zohor dan berlanjutan sehingga selepas Asar.   Sudah terlalu banyak peringatan-peringatan dari Allah datang akhir-akhir ini agar umat manusia kembali kepada Deen al-Hanif.  Peringatan-peringatan yang datang dalam bentuk akibat perbuatan manusia itu sendiri mahu pun berbentuk bencana alam.

Sementara menunggu Asar, saya membuka al-Quran.  Masya Allah… bergementar hati  tatkala melihat surah yang akan dibaca bernama al-Ra’d.  Maksudnya ialah ‘Guruh’.  Ayat-ayat yang dibaca ialah dari ayat 1 hingga ayat 18.

Ayat 11 hingga 15 dari surah Al-Ra’d berbunyi,

[11]
Bagi setiap individu ada malaikat yang menjaganya silih berganti dari hadapan dan dari belakangnya, yang mengawasinya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah.  Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.  Apabila Allah bermaksud  menimpakan  bala bencana

kepada sesuatu kelompok (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat  melindungi mereka selain daripadaNya.

[12]
Dia lah yang memperlihatkan kilat yang menakutkan (dari panahan petir),

kepada kamu,  serta memberi harapan (dengan turunnya hujan); dan Dia yang menjadikan awan tebal yang berat (dengan air).
[13]
Bertasbihlah guruh dan malaikat serta memujiNya, kerana takut kepadaNya.  Dia lah juga yang mengirim petir, lalu Dia mengenakan  panahannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya.  Dan mereka yang ingkar itu membantah (serta mendustakan Rasul) mengenai perkara yang berhubung dengan Allah (dan kuat kuasaNya) Walhal  Dia Amat keras azab seksanya.

[14]
Hanya bagiNya seruan kebenaran.  Orang-orang yang meminta kepada selainNya, tidak akan dapat memberikan sesuatupun kepada mereka, seolah-olah orang yang menadah kedua tapak tangannya kepada air supaya sampai ke mulutnya, padahal air itu sudah tentu tidak akan sampai kepadanya. Dan tiadalah doa orang-orang kafir itu melainkan berada dalam kesesatan.
[15]
Kepada Allah jualah sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi bersujud, sama ada secara sukarela atau terpaksa.  Demikian juga bayang-bayang mereka pada waktu pagi dan petang.

Masya Allah.  Benarlah kata-kata Allah swt.

Saya cuba upload video hujan air batu yang turun di belakang rumah kami namun tidak dapat.  Suami ada sertakan video tersebut di blognya di sini.  Boleh lihat hujan air batu melantun-lantun dan bunyinya yang membingitkan.

Ummu Abbas

6.15pm/ 1 safar 1433H

Melbourne

4 thoughts on “Hujan Air Batu Sebesar Bola Pingpong

Add yours

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: