Posted in MyDiary

Travelog Muslimah

Semasa Kecilku.

 

“Kenapa keretapi bergoyang ni, Nur yang goncang ye?”

 

Toksu menegur saya yang sedang berjalan dalam keretapi.  Saya tersipu-sipu malu.  Toksu ialah nenek tiri sebelah Ma.  Pada waktu itu datuk sebelah Ma yang saya panggil Cik masih ada.

 

Sebenarnya Toksu mengusik agar saya duduk diam-diam dan tidak berjalan ke sana ke mari.  Dia bimbang saya terjatuh.

 

Kami akan ke Kamunting tempat di mana Paksu bekerja.  Paksu satu-satunya adik Ma sebapa.  Ma anak tunggal seibubapa.  Paksu bekerja sebagai warder yakni pegawai penjara.

 

Kami menaiki keretapi dari Kuala Lumpur menuju Ipoh.  Itulah antara kenangan melancong semasa kecil yang masih saya ingat.

 

Sejak kecil, saya dibiasakan bermusafir oleh Abah dan Ma.  Kali kedua ialah semasa menghantar Abang Zul di Lapangan Terbang Subang pada tahun 1979.  Abang Zul merupakan abang sulung dan paling suka memanjakan saya.  Abang Zul akan melanjutkan pelajaran di Oklahoma, USA.

 

Peperiksaan Penggal 1 di Darjah 1, saya mendapat nombor 1.  Saya masih ingat hadiah yang Abang Zul berikan iaitu sebuah kotak pensel berwarna pink yang cantik dilengkapi peralatan menulis di dalamnya.  Ia adalah antara kenangan paling manis semasa kecil.

 

Pada waktu itu, saya sudah pandai membaca dan menulis.  Saya sering menjadi jurutulis untuk Ma.  Saya menulis surat dalam aerogram.  Aerogram lebih  murah namun isi kandungan surat adalah terhad. Ma tidak tahu membaca dan menulis rumi.  Ma hanya tahu membaca tulisan jawi dan membaca al-Quran.  Ma akan menyatakan satu persatu apa yang ingin diberitahu kepada Abang Zul, lalu saya menuliskannya bulat-bulat tanpa mengubah ayat Ma.  Dalam usia begitu, manalah saya pandai mengedit-edit ayat orang lain.  Agaknya berkat menulis untuk Ma semasa kecil, akhirnya saya jadi penulis sekarang ini:).

 

Saya sering berbalas surat dengan Abang Zul.  Paling saya ingat kandungan surat untuk Abang Zul ialah  lirik lagu Kereta Kecil Warna Merah yang diminta Abang Zul.

Bapaku pulang dari kota
Bapaku belikan kereta
Kereta kecil warna merah
Boleh ku bawa ke sekolah

Pom pom pom pom pom…
Pom pom pom pom…
Kereta kecil ku berbunyi
Marilah adik mari naik
Boleh ku bawa jumpa nenek”

 

 

Saya bertuah tinggal di negara pelbagai kaum seperti Malaysia ini.  Banyak jenis perayaan ada di Malaysia dan ianya diraikan oleh kerajaan.  Kerajaan tidak pernah lupa mengucapkan selamat kepada setiap kaum sempena perayaan mereka.  Saya pun terikut-ikut untuk mengucapkan hal yang sama setiap kali menulis surat kepada Abang Zul.

 

“Gong Xi Fa Cai”

 

“Selamat Hari Deepavali”

 

“Merry Cristmast”

 

“Selamat Hari Raya Puasa”

 

“Selamat Hari Raya Korban”

 

Inilah antara ucapan yang saya coretkan di akhir ayat dalam surat sempena perayaan yang sedang disambut.

 

Sehinggalah saya mendapat surat dari Abang Zul memberitahu bahawa saya tidak perlu memberi ucapan perayaan kaum lain untuknya. Ops…!

 

Ooo…begitu, baru saya faham.

 

Abang Zul mendapat angin kesedaran Islam di USA.

 

***************

Coretan di atas adalah sedikit pendahuluan cerita dalam buku Travelog Muslimah.  Alhamdulillah, selepas melalui perbincangan demi perbincangan dengan Tuan Ikram, bekas Editor PTS Millennia, akhirnya saya tewas dengan rasional dan hujjah yang dikemukakan kenapa saya harus menulis buku ini.

 

Catatan ini sekadar makluman kepada pengunjung blog yang tidak mempunyai akaun Facebook tentang aktiviti saya sekarang.  Biasanya, apabila saya mula fokus menyiapkan buku, hambatan masa semakin kuat mengejar sehingga pelbagai idea menulis entry dan meng’up date’ blog tertangguh begitu sahaja.  Saya seorang ibu kepada 6 orang anak yang berusia 12, 11, 8, 6, 4 dan 10 bulan.  Dalam masa yang sama, sayalah permaisuri rumah dan seorang isteri.  Tahu-tahu saja rutin seorang isteri, surirumah dan ibu yang tidak pernah habis.  Diselangi pula dengan kondisi kesihatan yang agak kurang baik… Maka saya mohon maaf atas segala kelemahan dalam melayani segala persoalan di dalam blog ini dan juga di dalam Facebook.

 

Apa yang baik datangnya dari Allah.

 

Ummu Abbas

26 Safar 1433H

5.00pm/Summer (Sekarang belum masuk waktu Asar)

Melbourne.

Advertisements

Pengarang:

Seorang isteri, ibu, permaisuri rumah, anak kepada Ma dan Abah yang masih hidup, penulis dan da'ie, insya Allah. Menyintai ilmu yang mendekatkan diri kepada Allah.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s