Kecil Tetapi Bermakna
Pagi tadi, saya mendapat sedikit asma. Semasa baru terasa lelah di dada, saya sedang menidurkan si kecil berusia 11 bulan. Suami yang berada di samping perlahan-lahan bangun untuk mengambil inhaler tanpa saya memintanya berbuat demikian. Tersentuh juga hati saya dengan usaha yang kelihatan kecil itu. Namun ia sungguh bermakna buat saya sebagai isteri.
*********
Sydney Tahun 2007
Saya sarat hamil anak kelima waktu itu. Oleh kerana bermastautin hanya 3 bulan, kami tidak membeli kenderaan. Stesen keretapi terdekat kira-kira 700 meter dari kediaman. Suatu hari, kami pulang dari membeli belah. Oleh kerana cuaca yang sejuk ditambah kehamilan yang sarat, kaki mudah kekejangan. Saya berjalan seperti kura-kura. Kaki sangat berat untuk melangkah. Jarak yang tidak sampai 1 km itu pun dirasakan sangat jauh.
Suami membawa barangan dan 3 orang anak berusia 7, 4 dan 2 tahun. “Abbas temankan ummi ye…” pinta suami kepada anak sulung kami yang berusia 8 tahun waktu itu. Abbas berjalan perlahan kerana menemani saya sambil membawa sedikit barang yang ringan. Semakin lama, langkah kaki makin perlahan. Kadang-kadang saya berhenti kerana tidak tahan kaki kekejangan.
Suami pula harus segera tiba di rumah kerana salah seorang anak kami mahu ke bilik air. Apabila sudah hampir ke rumah, Abbas segera menaiki tangga menuju ke pintu, “Ummi mana Abbas…???” tanya suami tatkala melihat Abbas keseorangan di muka pintu. Saya yang masih berada di bawah waktu itu terdengar kebimbangan suami tersebut. Ya Allah! Satu perasaan terharu menyelinap ke lubuk hati. Betapa sikap prihatin tersebut menyentuh lembut hati seorang isteri. Manakan tidak. Sampai ke hari ini saya masih mengingatinya dan bagai terdengar-dengar pertanyaan yang penuh kasih sayang itu.
***********
Tindakan atau reaksi spontan suami yang melambangkan kasih sayangnya pada isteri dan usaha membantu isteri di rumah tanpa dipinta realitinya sangat memberi kesan ke dalam hati isteri. Kesannya berbeza jika suami membantu dengan permintaan isteri.
Pertolongan yang kecil tetapi amat bermakna bila ia dilakukan secara sukarela, atas sikap prihatin yang tinggi dan empati. Meskipun saya sepenuh masa berada di rumah namun kerja-kerja sebagai suri realitinya tidak pernah habis. Apatah lagi saya memperuntukkan sedikit masa untuk berkarya melalui penulisan. Jika saya yang berada dirumah mendambakan pertolongan suami tanpa dipinta, saya fikir isteri-isteri yang berkerjaya lebih-lebih lagi memerlukannya. Apatah lagi jika isteri yang berkerja atas permintaan suami atas alasan mengukuhkan ekonomi keluarga.
Bila berbicara isu ini, saya terkenangkan Rasulullah s.a.w yang memegang jawatan sebagai Presiden Madinah, seorang rasul, panglima perang, seorang suami, seorang bapa dan pelbagai tanggungjawab lagi namun masih sempat meringankan tangan menolong isteri di rumah. Ciri-ciri kepimpinan asas pada Rasulullah s.a.w jelas terserlah melalui wataknya memimpin rumahtangga.
Saya perhatikan suami berusaha meneladani Rasulullah s.a.w dalam hal begini. Kadang-kadang dia jahit sendiri baju atau seluarnya yang koyak. Banyak kadang juga, dia menggosok sendiri pakaiannya, pakaian saya dan anak-anak sekali. Ketika yang lain, dia menolong sediakan sarapan dan pelbagai kerja rumah lagi. Hati isteri manalah yang tidak ‘sejuk’ bila suami berusaha menjadi seperti Rasulullah s.a.w.
Cuma saya suka mengulangi, kerjasama yang dihulurkan secara sukarela memberi kesan yang sangat berbeza dibandingkan suami membantu selepas diberitahu isteri. Inilah juga yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.
Al-Aswad bin Yazid berkata, aku bertanya kepada Aisyah r.a, “Apakah yang dilakukan oleh Nabi s.a.w. di rumahnya? Aisyah menjawab,”Beliau melakukan tugas keluarganya [iaitu membantu urusan rumahtangga]. Apabila beliau mendengar azan, beliau pun keluar [untuk bersolat]”.
~Hadis direkodkan Al-Bukhari dalam Kitab Nafkah, Pelayanan Suami untuk Isteri (4944)~
Rumahtangga Rasulullah s.a.w adalah rumahtangga bahagia. Jadi terasa benar kebahagiaan itu tatkala suami isteri berusaha, malah berlumba-lumba mengikut sunnah Rasul dalam membina rumahtangga.
Alhamdulillah.
Kita adalah apa yang kita usahakan.
(✿◠‿◠) ♥
* Entry ini merupakan kesinambungan entry bertajuk, “Komunikasi Dengan Isteri Cara Rasulullah s.a.w”
Ummu Abbas
10 Rabiul Awwal 1433H
1.09am
Melbourne
=( … yer kan kak….
walaupun perkara kecil.. sekecil2 perkara.. mmg terharu sgt2….
kadang2 … sampai termenung..
melihat beliau yg tidak pernah menjahit.. menjahit.. tak pernah masak..memasak.. mengosok baju sendiri.. dan etc
syikin dalam pantang pun beliau jaga… dari segenap segi… bila tumpah darah … Allah… dah tk larat langsung nak bergerak… darah tumpah berlambak2 beliau yg kesat… dengan juraian air mata syikin kata ” jangan… jangan .. ” tak sanggup nak tengok dia membersihkan darah2.. sedih sgt2… walau pun bg orang mungkin kecil… tp.. sangat2 besar bagi kita..para isteri =(
Alhamdulillah.. Allah hadiahkan hadiah yg begitu indah buat para isteri..
Assalamualaikum,
Benar sekali.
“Kesannya berbeza jika suami membantu dengan permintaan isteri.”
Terasa berbunga2 setiap kali suami membantu tanpa disuruh.