Antara cabaran berada di Melbourne ini ialah memilih pendidikan agama terbaik untuk anak-anak. Alhamdulillah, memang ada sekolah-sekolah Islam yang ditubuhkan oleh komuniti muslim di sini namun bayarannya sememangnya mahal untuk kami yang bukan warganegara. Paling kurang perlu mengeluarkan belanja Rm15k setahun untuk seorang anak.
Kelas-kelas fardu ain hujung minggu juga ada namun setelah meneliti silibusnya, mengambil kira yuran bulanan serta waktu menghantar dan mengambil anak-anak pada hujung minggu, saya membuat keputusan untuk mengajar sendiri anak-anak di rumah. Impaknya rutin bertambah padat dengan tugasan baru.
Jika di Malaysia, anak-anak dihantar ke sekolah agama sejak di sekolah rendah. Memang banyak beban mengajar agama kepada anak-anak terangkat. Tinggal lagi saya perlu memastikan ilmu itu dihayati dalam kehidupan seharian, bukan sekadar dihafaz dan dijawab di dalam peperiksaan sahaja.
Anak Sulung di Ambang Remaja
Tahun ini, anak sulung mula memasuki sekolah menengah. Oleh kerana usaha menghantar ke sekolah agama terhalang dek ketidak mampuan kami, maka saya semakin serius memikirkan cara mengajar anak-anak di rumah secara berkala dan tetap. Sebelum ini saya meminta mereka membaca sendiri buku-buku teks agama sekolah SRI Aman dulu. Selepas mereka membaca, saya meminta mereka menerangkan semula apa yang difahami dan bertanya apa yang tidak difahami.
Silibus pendidikan Tingkatan Satu sekolah Yayasan Islam Kelantan sudah pun berada di tangan, alhamdulillah. Ia dipesan khas dari adik yang mengajar di sekolah kelolaan YIK. Sebagai permulaan saya mahu ulangkaji dulu pelajaran lepas kepada Abbas dan Azzam.
Teks Aqidah
Saya memulakan dengan subjek Aqidah- intipati utama manusia dijadikan. Teks panduan yang digunakan ialah Buku Aqidah Tahun 6 di SRI Aman (silibus MUSLEH).
Buku Aqidah Tahun 6 menjadi pilihan kerana tajuk permulaannya ialah pengertian kalimah Syahadah. Dua orang anak lelaki menjadi murid. Yang sulung menginjak usia 13 tahun dan yang kedua, menginjak usia 12 tahun.
Kenapa Islam?
Sebelum mula memberi syarahan tajuk, saya mahu menguji kefahaman mereka berkenaan Islam secara umum dahulu.
Saya: Kenapa Abbas dan Azzam berada dalam agama Islam?
Abbas: Sebab Allah suruh.
(Azzam masih berfikir)
Saya: Betul! Bagus, Ummi suka sebab Abbas dapat faham dengan baik. Ia memberi maksud kita berada di dalam Islam bukan kerana dilahirkan oleh ibubapa Islam tetapi kerana Allah sendiri yang memerintah demikian.
Ingat lagi Ummi cerita, sesungguhnya agama yang diterima di sisi Allah hanyalah Islam.
Abbas tersenyum sementara Azzam menanggukkan kepala tanda faham.
Mudahnya mengajar hanya dua orang murid. Saya boleh fokus memandang reaksi mereka berdua semasa mengajar.
Islam Dianuti Dengan Faham
Saya mahu memastikan anak-anak menganuti Islam dengan kefahaman yang betul, bukan kerana ikutan tanpa berlandaskan fakta.
Saya: Ok, sekarang kita sudah tahu kenapa kita berada dalam agama Islam. Rukun pertama sebagai syarat seseorang itu menganut Islam ialah mengucap Syahadah. Abbas cuba ucap kalimah syahadah.
Abbas mengucap dua kalimah syahadah diikuti oleh Azzam. Saya membetulkan makhraj sebutan yang masih kurang tepat terutama pada makhraj huruf ‘Ha’.
************
Nota: Doodle Dakwah di atas merupakan imaginasi Nor Abdullah, ahli usrah online saya tatkala melihat coretan saya di Page Facebook. Memang bagus imaginasi dia untuk dikartunkan # sebab sebenarnya umminyamengajar di rumah tak pakai tudung pun..hehe..Ini yang ‘best’ jadi guru pada anak-anak sendiri…pakaian gaya bebas# Umminya mengajar pula duduk gaya santai.. duduk atas katil anak-anak… Azzam duduk di kiri Umminya di atas katil dan Abbas duduk atas kerusi pusing-pusing #Nasib baik kefahamannya tidak berpusing…# depan umminya.
Selepas menunjukkan Doodle di atas kepada anak-anak, Abbas berkata, “Ummi, Abbas seorang sahaja yang jawab begitu. Azzam senyap je …”
“Oh ye ke… Ummi lupa”
Jadi untuk catatan dalam entry ini, ia sudah diperbetulkan semula dibandingkan catatan dalam Page. Jazakillah buat Dik Nor Abdullah atas lakaran di atas.
Wassalam.
Ummu Abbas
12.25am
17 Rabi’2 1433H
Melbourne
Assalamualaikum kak Nur..Alhamdulillah suka mengetahui aktiviti harian akak bersama anak-anak.Ingatan buat diri ini andai berpeluang yang sama, InsyaAllah.
Belajar dan mengajar ilmu agama bukanlah hanya di sekolah semata.Patut diterapkan dalam rumah juga..Perlu diadakan majlis ilmu dalam institusi keluarga itu sendiri.
Bismillah.. alhamdulillah.. assalamualaikum wbt kak nur ^^, Syukran.. atas ilmunya..dapat la saya simpulkan…sungguh betapa pentingnya ilmu agama yang perlu ada dalam diri seseorang ibu dalam mendidik anak2 tambahan apabila keluarga tercampak jauh di negara asing .