Bismillah.
Di bawah adalah sebahagian catatan buku Travelog Muslimah yang dalam proses pembikinan dengan sedikit penambahan. Penambahan adalah khusus untuk perkongsian bersama pembaca blog. Moga bermanfaat kepada sesiapa yang memerlukan.
Ummu Abbas
2 Jumada 1 1433H
6.57pm
Melbourne
~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Disambut Dingin Bayu Musim Luruh
Terasa sepoi-sepoi bahasa kedinginan bayu musim luruh menyapa wajah di sebalik purdah sebaik menjejakkan kaki di Amman. Nasib baik pakai purdah, kedinginan kurang menyengat kulit wajah. Ini kali pertama menjejakkan kaki ke sebuah benua para rasul dan nabi. Ketibaan di Amman disambut oleh kakak-kakak senior. Semuanya berjubah dan bertudung labuh. Alhamdulillah, sejuk mata memandangnya.
Pelajar baru perempuan diraikan kakak-kakak. Manakala pelajar baru lelaki disambut abang-abang. Suasana pergaulan terkawal. Batas ikhtilat antara lelaki dan wanita dapat dijaga. Hati kami juga menjadi tenang. Ketenangan akan terlimpah di sanubari jika sempadan-sempadan Allah dapat dijaga. Sempadan atau hudud Allah ialah perkara yang diharamkanNya.
Perjalanan dengan bas dari Lapangan Terbang Queen Alia ke penempatan pelajar di bandar Amman kira-kira 45 minit. Pemandangan di sepanjang jalan nyata jauh berbeza dari Malaysia. Jika di Malaysia, suasana menghijau menguasai suasana. Di sini, padang pasir nan tandus menjadi santapan mata. Secara zahirnya ia agak menjemukan. Namun saya percaya sejuta hikmah tersembunyi di sebaliknya.
Taklimat ringkas kepada pelajar baru diberikan di dalam bas. Satu ketika, seorang pelajar baru lelaki diminta berucap. Saya masih ingat antara ungkapan indah pelajar tersebut, “Antara perkara menarik buat saya di sini ialah jika dulu, kita hanya membaca mengenai buah Tin dan Zaitun di dalam al-Quran. Maka hari ini, saya berasa gembira kerana berpeluang melihat buah yang disebut al-Quran itu di depan mata”.
Subhanallah dan alhamdulillah. Segala syukur hanya untukNya yang memberi rezeki kami memijakkan kaki di Bumi Anbiya’. Sebelumnya, kami hanya belajar sejarah para nabi dan rasul di sekolah atau menatapnya lewat tulisan yang digarapkan di dalam buku-buku. Sekarang kami berpeluang merasai suasana geografi dakwah para rasul dan nabi ribuan tahun yang lampau. Bentuk muka buminya sahaja tampak ada unsur mendidik jiwa serta melatih jasmani menjadi tahan lasak.

Hampir memasuki Amman, baru kelihatan rumah-rumah pejal berbentuk kotak. Semua bangunan dibina daripada batu-batu konkrit. Tiada rumah kayu seperti yang masih banyak terdapat di kampung. Pelajar baru ditempatkan sementara di rumah senior. Saya bersyukur kerana ditempatkan di rumah senior satu sekolah dahulu, Kak Nik Farhan namanya. Sekarang Kak An menjadi pensyarah di Universiti Putra Malaysia.
Kedinginan beransur menghilang tatkala menyantap hidangan panas dan lazat masakan kakak-kakak. Rumah pertama yang menyambut saya ialah Bait Mubarak yang terletak di Sweileh.
Bait Mubarak bermaksud ‘Rumah yang diberkati’ merupakan nama rumah tersebut. Menjadi kebiasaan pelajar Malaysia di sana memberi nama rumah agar mudah dikenali. Kampung ”Sweileh’ pula merupakan isim tasghir dari perkataan ‘soleh’. Maksudnya Kampung ‘Orang-orang Baik’.
islam itu indah..