Bercakap loghat Kelantan dengan guru berbangsa Inggeris

Bismillah.

Tulisan di bawah merupakan catatan lama pada September 2014 iaitu selepas kami ‘back for good‘ dari permusafiran ilmu di bumi kangaru. Ia salah satu siri penulisan Travelog Iman untuk majalah Era Muslimah. Semoga tulisan yang sudah diedit dari versi asalnya ini bermanfaat untuk semua pembaca.

Bilingualism – The Benefits Of Mastering More Than One Language
Mampu bercakap menggunakan pelbagai bahasa satu kelebihan.

Anakku, oh Anakku!

Cikgu, saya mahu pergi toilet”.  Itu antara dialog awal salah seorang anak dengan guru berbangsa Inggeris.  Mujur guru itu sempat menangkap perkataan ‘toilet’, jadi dia faham apa yang murid barunya ini mahukan.  Beberapa ketika , bila terdesak, anak yang seorang itu bantai sahaja cakap loghat Kelantan dengan guru sehingga guru pula bertanyakan pelajar Melayu yang sudah lama bersekolah di situ beberapa perbendaharaan Melayu.  Kami tergelak melihat gelagat berani si anak itu.  “Kita datang sini mahu belajar Bahasa Inggeris.  Jadi terbalik , guru pula terpaksa belajar Bahasa Melayu”, gurau saya pada suatu hari. 

Nasib baik, sekolah Belle Vue Park, Glenroy itu mesra pelajar asing serta tidak mensyaratkan memasuki kelas Bahasa Inggeris (BI) dahulu sebelum ke sekolah. Bagi anak-anak penulis, ada kelas khas untuk belajar Bahasa Inggeris dalam waktu persekolahan biasa. Mungkin disebabkan sekolah itu sudah biasa menerima pelajar asing.  Jadi guru-guru sudah berpengalaman  menghadapi kerenah mereka.  Lazimnya selepas 3 bulan, anak-anak warga asing sudah mampu memahami bahasa pertuturan mereka dan juga mula berkomunikasi dengan bahasa tempatan. 

Sesetengah sekolah di Melbourne ada yang mensyaratkan pelajar-pelajar asing memasuki kelas Bahasa Inggeris terlebih dahulu sebelum mereka dapat belajar secara penuh.  Sesetengah pelajar mungkin sudah terdedah dengan penggunaan Bahasa Inggeris dari kedua ibubapa namun anak-anak penulis tidak begitu.

Bahasa Alat Dakwah Terpenting

Kami menggunakan loghat Kelantan penuh di rumah.  Adalah penting bagi anak-anak menguasai ‘bahasa ibunda’ kedua ibubapa serta keturunannya.  Dari aspek dakwah, berdakwah menggunakan bahasa masyarakat yang mereka berada di dalamnya adalah penting supaya kata-katanya mudah difahami serta dihayati.  Ini yang diperhatikan dari ramai guru dan juga tok guru-tok guru yang ajarannya mudah diterima masyarakat.  Paling penting, teladan ini didapati dari utusan Allah iaitu Nabi Muhammad s.a.w yang mana Baginda s.a.w berdakwah dengan standard bahasa bangsanya pada waktu itu.  Malah al Quran itu sendiri mukjizatnya pada kesusasteraan Arab yang mencabar minda ramai pakar bahasa dan sasterawan Arab di zaman tersebut.  Kemukjizatan bahasa Al Quran dan kandungannya akan kekal sehingga hari kiamat.  Di dalam Surah al-Syura ayat 7, Allah S.W.T menyebut yang bermaksud, “Dan sebagaimana Kami tetapkan engkau hanya penyampai, Kami wahyukan kepadamu Al-Quran dalam Bahasa  Arab, supaya engkau memberi peringatan dan amaran kepada (penduduk) “Ummul-Qura” dan sekalian penduduk dunia di sekelilingnya, serta memberi peringatan dan amaran mengenai hari perhimpunan (hari kiamat) – yang tidak ada syak tentang masa datangnya; (pada hari itu) sepuak masuk syurga dan sepuak lagi masuk neraka”.  

3 orang anak penulis (3 paling kanan) bersama rakan-rakan di sekolah tahun 2013.

Jarang-jarang sekali saya gunakan Bahasa Arab dengan anak-anak sekadar memperkenalkan bahasa al-Quran tersebut.  Suami langsung tidak menggunakan Bahasa Inggeris walaupun itu bahasa pengantar yang digunakan semasa belajar peringkat ijazah.  Juga bahasa pengantar sebagai pensyarah perubatan. Dari sini, dapat dilihat untuk menguasai sesuatu bahasa itu, lebih baik tinggal bersama atau sentiasa berkomunikasi dengan masyarakat empunya bahasa itu sendiri.  Jika belajar secara teori tanpa praktikal, ia akan hilang begitu sahaja.  Sama seperti pengalaman penulis belajar Bahasa Arab selama 6 tahun di sekolah menengah, tatkala kali pertama menjejakkan kaki ke Jordan, tidak mampu menanggapi lafaz ucapan oleh warga Arab kecuali setelah meminta mereka mengucapkan satu persatu dalam bahasa fushah.

Bahasa Arab Lebih Baik Dari Bahasa Inggeris

Saya boleh berbahasa Inggeris sedikit-sedikit sahaja”.  Itu ayat biasa yang digunakan apabila berdepan dengan warga Australia.  Bimbang mereka bercakap banyak yang menyebabkan saya bertambah tidak faham. “Oh… awak bercakap bagus sahaja”,  lazimnya mereka respon begitu.  Masyarakat di sini sudah terbiasa mendorong orang lain untuk lebih yakin diri dengan ucapan-ucapan positif.  Biar pun kita menyedari hakikat diri.  Dalam kes ini, saya sendiri tahu tahap kemampuan diri berbahasa Inggeris.  Oleh kerana menjadi surirumah sepenuh masa di samping menulis secara sambilan, saya jarang berkomunikasi dengan masyarakat tempatan kecuali kebanyakannya berlaku ketika berurusan jual beli. 

Suatu hari, saya memberitahu seorang teman berbangsa Inggeris yang telah memeluk Islam, “Bantu saya untuk perbaiki Bahasa Inggeris”.  Pada masa itu, kami bertemu di rumah seorang sahabat berbangsa Melayu yang sudah menetap di sana.  Kami sama-sama menziarahi sahabat yang baru dikurniakan cucu itu. 

Oh, tiada apa pada Bahasa Inggeris.  Bagus awak tahu Bahasa Arab.  Bahasa Arab adalah lebih baik kerana ia satu bahasa yang kaya”, ujar teman itu.   Tetamu pada hari itu terdiri dari pelbagai bangsa.  Dengan Ummu Bilal berketurunan Algeria itu saya berkomunikasi menggunakan Bahasa Arab.  “Sudah tentu sebab ia bahasa Al- Quran namun penting juga saya tahu berbahasa Inggeris untuk berkomunikasi dengan masyarakat di sini dan berdakwah.  Apa maksud awak Bahasa Arab bahasa yang kaya?”, saya berkata dengan nada teruja. 

Teks Bahasa Arab apabila diterjemahkan ke Bahasa Inggeris, ia memerlukan banyak perkataan untuk menterjemahkan satu perkataan Arab.  Tiada satu perkataan Bahasa Inggeris yang tepat untuk menterjemahkan satu perkataan Arab.  Sebaris ayat dalam Bahasa Arab memerlukan beberapa halaman untuk diterjemahkan ke Bahasa Inggeris.  Buku berbahasa Arab yang senipis ini pun boleh menjadi setebal ini bila diterjemahkan”, jelas beliau lagi sambil menggayakan dengan tangannya.  

Oh begitu maksud awak.  Samalah jika diterjemahkan ke Bahasa Melayu, memerlukan banyak perkataan untuk terjemahkan Bahasa Arab dan buku terjemahannya juga berganda tebalnya dari teks asal.” Teringat pula banyak buku-buku terjemahan Bahasa Melayu dari Bahasa Arab yang ketebalannya berganda dari buku asal.  Salah satunya Kitab Tafsir Fi Zhilaalil Quran (Di Bawah Naungan al Quran) terjemahan Indonesia yang dibeli suami sebanyak 12 jilid.  Itu pun tulisan yang disusun di dalamnya agak padat.  Sedangkan saya memiliki teks asal berbahasa Arab sebanyak 6 jilid sahaja dengan jarak susunan huruf dan perkataan lebih selesa dibaca.  “Suami berbangsa Arab namun sayangnya saya tidak mampu berbahasa Arab.  Saya berharap dapat berbahasa Arab dengan lebih baik”, ujar teman itu lagi.

Tidak Hina Jika Tidak Mampu Menguasai Bahasa Asing

Berdasarkan suasana sekeliling dan sistem pendidikan negara yang ada pada hari ini, ramai yang merasa rendah diri kerana tidak mampu berbahasa Inggeris.  Saya juga pernah merasa begitu.  Namun bila dunia lebih luas diterokai, kita dapati negara-negara maju realitinya terdiri dari negara-negara yang memartabatkan bahasa ibunda ke tahap tertinggi untuk masyarakat mereka.  Contohnya negara Jepun.  Mereka menggunakan sepenuhnya Bahasa Jepun di dalam negara untuk apa jua urusan namun bangsa mereka yang menjuarai banyak teknologi terbaru hari ini.  Mereka tidak berbangga dengan Bahasa Inggeris.  Tidak pula merasa hina kerana kebanyakan mereka tidak tahu berbahasa Inggeris.  Ini mentaliti masyarakat yang tidak terjajah oleh bahasa asing.  Mereka lebih faham belajar menggunakan bahasa ibunda.  Justeru itu, mereka mampu menguasai ilmu yang dipelajari serta menterjemahkan ilmu ke dalam kehidupan.  Bahkan menjadi pelopor pula kepada tamadun dunia moden.

Simplicity is Possible in a Multi-Lingual, Omni Channel Support World -  Microsoft Translator Blog

Rasulullah  S.A.W sendiri tahu dan menguasai satu bahasa sahaja iaitu Bahasa Arab namun Islam tetap tersebar kepada semua bangsa manusia pelbagai bahasa di serata dunia.  Kebolehan menguasai lebih satu bahasa Allah anugerahkan pada golongan tertentu supaya masyarakat dunia boleh berkomunikasi antara satu sama lain.  Ia merupakan fardu kifayah untuk menyampaikan dakwah.  Apabila sekumpulan orang tertentu mengetahui bahasa kaum lain untuk kemudahan berhubung, maka sudah terangkat kewajiban sebahagian besar masyarakat tersebut.   Justeru itu, kepada sesiapa yang mampu dan memiliki kebolehan menguasai bahasa asing, digalakkan kepada mereka mendalaminya.  Kepada yang tidak mampu, berusaha fokus kepada menguasai bahasa ibunda supaya dakwah dapat disampaikan secara lebih berkesan.

Berbahasa dengan baik dan tersusun merupakan sunnah para nabi dan rasul.  Pelbagai bahasa yang wujud di dunia merupakan salah satu tanda kebesaran dan kekreatifan Allah dalam penciptaan-Nya.  Setiap bangsa terpelihara jati diri mereka dengan bahasa masing-masing. 

Bahasa Jiwa Bangsa.

#BahasaAlatDakwah
#BahasaAlatKomunikasi

Edited 1.10 am

16 Rabi’ul Akhir 1443H/November 21 2021

Teratak Jaya, Negeri Cik Siti Wan Kembang

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: