Tip Melatih Anak Berbahasa Asing

Suatu hari, kami menerima tetamu yang baru pulang dari Melbourne.  Mereka menetap di Kuantan, Pahang.  Oleh kerana kedatangan mereka agak mengejut, kami menjemput mereka makan di salah satu restoran yang masyhur di Kubang Kerian.  Selepas makan-makan, baru kami bawa ke rumah.

Saya, Izzah dan anak-anak perempuan duduk di satu meja.  Rancaklah kami berbual walau baru setahun dua berpisah.  Kami balik dulu kerana suami sudah selesai pengajiannya di Monash University, kampus Parkville.  Sedang kami berbual-bual, tiba-tiba kami tertarik kepada perbualan dua orang anak yang sedang rancak bersembang juga iaitu anak sulung Izzah yang berusia kira-kira 4 tahun dan anak bongsu saya, Aleeya berusia 5 tahun.   Kami sama-sama mendiamkan diri dan memberi perhatian kepada perbualan mereka yang tiada satu pun perkataan Melayu digunakan. 

Pelbagai bahasa yang wujud membuktikan Allah Maha Kreatif, Maha Berkuasa dan Maha Bijaksana

Anak Izzah sempat memasuki kelas tadika di sana.  Dia hanya tahu berbahasa Inggeris (BI).  Itu perkara biasa disebabkan dia pun baru berada di Malaysia. Yang menghairankan saya ialah bagaimana Aleeya yang belum di hantar ke mana-mana tadika boleh melayan kawan barunya dengan ‘speaking’ penuh dalam BI.  Walau empat orang abang dan seorang kakak Aleeya sempat bersekolah di Melbourne namun mereka hanya bercakap loghat Kelantan bila berada di rumah.  Dalam artikel saya sebelum ini, telah diceritakan kami hanya menggunakan loghat Kelantan bila berada di rumah.  Jarang-jarang sekali kami menggunakan BI sepanjang bermastautin di sana.

Selepas itu, saya beritahu suami, “Bang, Aleeya dah fasih berbahasa Inggeris.  Tak perlu lagi hantar ke tadika berbahasa Inggeris.  Lagi pun mahal nak bayar RM500 sebulan.”    Sebelum sesi persekolahan tahun 2016, suami meminta saya survey yuran sebuah tadika yang menitik beratkan penggunaan Bahasa Inggeris untuk mendaftar anak bongsu kami.  3 orang abang dan seorang kakak Aleeya semuanya kami hantar ke PASTI berdekatan rumah.  Abang Aleeya yang kelima sahaja yang tiada pengalaman belajar di PASTI kerana kami bermastautin di Melbourne.  Kami tidak mendaftar Aleeya di tadika beryuran RM500 itu memandangkan Aleeya juga belum mahu ke sekolah.

Selepas kejadian mendengar Aleeya ‘speaking’ dengan fasih, pada tahun 2017 iaitu semasa Aleeya berusia 6 tahun, kami meneruskan tradisi menghantar anak ke PASTI sama seperti abang-abang dan kakaknya.  PASTI itu pun di belakang rumah sahaja.  Ia memudahkan saya menghantar dan mengambil Aleeya dengan berjalan kaki.  Masa dan petrol pun jimat.     

Bagaimana Aleeya Menguasai Bahasa Inggeris?

Saya cuba mengingati di mana dan bagaimana Aleeya mendapat Bahasa Inggerisnya.  Saya terkenang semula sewaktu Aleeya masih bayi, sahabat saya Hafilah, pelajar PhD jurusan undang-undang di University of Melbourne menyarankan,

“Kak Nur, buka je channel ABC Kids untuk Aleeya tengok.  Channel kanak-kanak tu bagus sebab cerita-cerita yang disiarkan menggunakan bahasa Inggeris standard”

Aleeya ketika berusia setahun setengah di ruang tamu rumah di Melbourne. Ini bukan kebiasaan dia menonton dari jarak dekat ye... Kebetulan dia berdiri dekat TV, saya snap fotonya.

Saya tidak perlu menunggu lama untuk beramal dengan nasihat tersebut.  Tambahan pula ia ibarat ‘nanny’ yang membantu saya menguruskan rutin harian di rumah tatkala si anak ralit dengan cerita-cerita di TV.  Namun seperti biasa, saya bertindak sebagai  ‘Lembaga Penapis’ apa-apa sahaja cerita yang akan ditonton anak-anak.  Dapur di rumah sewa kami berkonsep separuh terbuka ke ruang tamu atau ruang famili yang dijadikan ruang menonton dan bermain. Faktor ini memudahkan saya memantau keadaan anak di ruang tamu sambil membuat kerja-kerja rumah.

Aleeya dilahirkan di Melbourne awal musim luruh (Mac 2011) dan kami pulang pada penghujung tahun 2013.  Jadi Aleeya baru berusia 2 tahun lebih.  Belum sempat ke tadika di Melbourne.  Juga masih dalam tempoh bertatih untuk bercakap membina ayat-ayat yang lebih panjang.  Itu pun dalam loghat Kelantan, bahasa komunikasi kami di rumah. Sewaktu abang-abang dan kakaknya ke sekolah, Aleeya hanya bersama saya sepenuh masa di rumah.  Aktiviti rutin di luar rumah untuk Aleeya dalam tempoh tersebut ialah ketika mengambil vaksin secara berkala, ketika mengikuti saya menghadiri acara-acara sekolah anak-anak yang lain dan kuliah mingguan di Masjid Preston serta acara mingguan ke pasar.

Aleeya berusia 1 tahun 9 bulan ketika menenami abangnya dalam rombongan tadika Bell Vue Park ke sebuah ladang.

Itulah latar belakang pembelajaran Bahasa Inggeris Aleeya.  Selepas pulang ke Malaysia, saya meneruskan memasang cerita-cerita kegemaran Aleeya di ABC Kids dengan membeli VCD atau menonton di Youtube.  Saya turut mendedahkan pembelajaran Bahasa Arab kepada anak-anak melalui buku-buku cerita atau nasyid kanak-kanak atau cerita-cerita di Youtube namun ia tidak sekonsisten bahasa Inggeris yang digunakan secara lebih meluas di Malaysia.

Aleeya berusia 2 tahun 4 bulan ketika menghadiri program memasak di tadika abangnya.

Bahasa Alat Ibadah: Bahasa Jiwa Bangsa

Di zaman maklumat berada di hujung jari, mengetahui dan memahami bahasa asing adalah satu keperluan terutama bahasa-bahasa yang dijadikan bahasa komunikasi antarabangsa seperti bahasa Arab, Inggeris, Perancis dan lain-lain.  Ibu bapa boleh niatkan pembelajaran bahasa asing di kalangan anak-anak sebagai wasilah mereka menguasai lebih banyak ilmu yang hanya ditulis dalam bahasa asing.  Juga memahamkan anak-anak supaya menjadikan bahasa tersebut sebagai alat menyampaikan dakwah.  In syaa-Allah, semua itu akan menjadi ibadah bila objektifnya adalah untuk meninggikan kalimah Islam di mata dunia. 

Semoga dengan niat yang baik itu, anak-anak kita dijauhkan Allah swt daripada sifat sombong dan berbangga dengan bahasa asing melebihi bahasa tempatan, bahasa bangsa sendiri yang menjadi nadi kepada sesuatu bangsa.

Aleeya berusia 2 tahun 7 bulan di sekolah abang-abangnya.

Tip Melatih Anak Menguasai Bahasa Asing

Berdasarkan pengalaman membesarkan Aleeya, saya ringkaskan panduan untuk ibu bapa melatih anak berbahasa asing seperti berikut:

1.  Sekiranya berpeluang bermastautin di luar negara, pastikan anak-anak belajar di sekolah tempatan dan bergaul dengan pelajar tempatan.

2.  Sekiranya kita mampu berbahasa asing, gunakan bahasa-bahasa tersebut semasa berkomunikasi dengan anak-anak secara bergilir-gilir dengan bahasa ibunda. 

3.  Menjadikan cerita-cerita di media elektronik sebagai alat mendapatkan bahasa dengan cara:

  • Menggalakkan anak-anak menonton cerita-cerita dalam bahasa yang kita mahu anak-anak menguasainya seperti bahasa Arab, Inggeris, Mandarin, Korea, Jepun dan sebagainya sejak mereka bayi.
  • Memastikan cerita yang ditonton mempunyai nilai serta menekankan moral yang baik.
  • Memastikan anak-anak konsisten menonton setiap hari dalam jadual yang ditetapkan. 

4. Memahamkan anak-anak tujuan utama mempelajari bahasa asing adalah sebagai alat komunikasi, alat mendapatkan ilmu dan berdakwah secara lebih meluas.

5. Menghantar anak-anak belajar secara formal ke kelas-kelas bahasa supaya mereka dapat memahami serta menguasai tatabahasa standard.

# DenganDakwahUmmahBerubah

#BahasaAlatDakwah

Ummu Abbas

25 Rabi’ II 1443H/1 Dec 2021 | 2am

Teratak Jaya,

Negeri Cik Siti Wan Kembang

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

Atas ↑

%d bloggers like this: