Assalamu’alaikum semua,

Lazimnya apabila saya fokus menulis buku, masa saya begitu suntuk untuk meng-update blog.  Saya sedang mengedit buku Fikah Perubatan setebal 264 halaman.  Buku ini ditulis oleh 4 penulis.  2 pakar perubatan dan 2 pakar Fiqh dan Usul Fiqh.  Saya diminta menyiapkan suntingan buku akhir November 2009.  Bukan mudah mengedit tulisan orang lain yang berbagai ragam.  Di bawah ini, merupakan sebahagian tulisan saya dari buku tersebut.  Mungkin akan ada perubahan lagi dalam edisi cetakan.  Insya Allah, saya akan mewar-warkan buku ini setelah siap sepenuhnya.  Tolong doakan agar Allah memudahkan urusan saya.  Jazakumullah.

Ummu Abbas

11.50am

18 Zul Qi’dah 1430H

 

Kaedah Solat Wanita yang Sakit Hendak Bersalin.

Saya membuat rumusan berkenaan solat wanita yang sakit hendak bersalin ini berdasarkan pengalaman sendiri.  Sebagai muslim yang sedar akan tanggungjawab menunaikan solat, sudah tentu saya dan anda mahu menunaikan solat yang terbaik dan mengikut waktunya.  Namun di sana, terdapat situasi yang kita belum pernah alami dalam menunaikan solat.  Melalui pengalaman, ilmu digali dan penyelesaian dicari.  Hasilnya inilah yang dapat saya kongsi bersama kaum wanita khususnya.  Kaum lelaki juga perlu perihatin terhadap solat wanita yang hampir dengan mereka seperti isteri.  Beri bantuan dan sokongan kepada mereka untuk menunaikan kewajipan yang satu dan asas ini.

Memang terdapat wanita yang menemui ajal di saat melahirkan anak, maka menunaikan solat dalam waktunya hendaklah dititik beratkan  meskipun sakit tidak terperi.  Selagi akal waras dan lidah masih mampu membaca al-Quran, maka wajarlah kita bersyukur dengan fokus pada menunaikan ibadah fardu setakat terdaya.

Insya Allah, kehidupan kita akan senantiasa ceria dan bahagia di sisi Allah.

Saya nukilkan dalam bentuk cerita agar lebih praktikal dan mudah difahami.  Jika terdapat sebarang kesilapan dalam memberi pendapat ini, sebarang teguran amat dialu-alukan. Jazakumullah.

***************

Pada pukul 12 tengahari, Aminah merasa sakit tanda hendak bersalin. Dilation (bukaan serviks) Aminah pada waktu itu 5cm. Aminah berkejar ke hospital dan segera dimasukkan ke bilik bersalin. Sakit Aminah semakin kerap menandakan bukaan serviks semakin luas. Bayi dalam perjalanan keluar dari alam rahim. Darah juga mula membasahi kain dan katil.

Dalam menahan sakit itu, azan Zohor berkumandang. Aminah teringin menunaikan solat namun doktor tidak mengizinkan Aminah bangun kerana bimbangkan keselamatan Aminah dan bayi.

Dalam keadaan begini, bagaimana Aminah mahu berwuduk? Sekitar tempat Aminah berbaring dikotori darah dan air kencing. Selain tempat yang kotor, Aminah juga perlu membersihkan diri dan pakaiannya terlebih dahulu. Namun Aminah sudah tidak mampu untuk bangun melakukan semua itu sendiri. Tiada pula orang yang akan membantu Aminah. Sakit bersalin hanya Allah yang tahu. Tiada kata yang dapat menggambarkan kesakitan itu. Seluruh tenaga dikerah dan seluruh urat saraf ditarik-tarik bagi sebuah nyawa yang amat berharga.

Allah maha pengasih, apa yang dialami Aminah dikira situasi darurah yang mengharuskan perkara yang dilarang. Aminah harus solat secara baring tanpa membersihkan diri, tempat dan berwuduk. Aminah juga tidak harus menangguhkan waktu solat kerana Aminah memang akan bersalin bila-bila masa. Darah yang mengiringi anak nanti dikira darah wiladah atau nifas. Nifas atau wiladah merupakan hadas besar bagi wanita. Justeru Aminah haram menunaikan solat sepanjang tempoh nifas.

Allah tidak membebani hamba-hambaNya kecuali apa yang termampu dilakukan. Ayat 286 dari surah al-Baqarah menjadi hujjah keharusan tersebut,

لَا يُكَلِّفُ اللّٰهُ نَفْسًا اِلَّا وُسْعَهَا‌ؕ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ‌ؕ

Maksudnya: Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.

Walaubagaimanapun, Aminah harus berusaha terlebih dahulu memenuhi tuntutan syarak yang asal untuk menunaikan solat.  Sebagai contoh: Sekiranya Aminah mampu mengelap darah dengan tisu atau kain bersih daripada badannya di tempat dia berbaring, maka Aminah perlu lakukan itu.  Jika Aminah mampu membuang alas yang kotor itu, maka Aminah juga perlu lakukannya walaupun tidak dapat mencari alas yang bersih sebagai ganti. Lebih baik Aminah solat di atas katil tanpa alas dan kotor sedikit dibandingkan bersolat di atas alas yang sememangnya digunakan untuk menadah kotoran secara langsung.

Solat Baring
Contoh solat secara berbaring. Jika boleh baring mengiring, baring mengiring di atas rusuk kanan.

Kemudian, Aminah harus menggunakan air untuk berwuduk.  Mintalah segelas atau sebotol air kecil dan basuh atau ratakan air pada anggota wuduk yang wajib yakni muka, tangan hingga ke siku, sebahagian kepala dan kaki. Basuhan atau sapuan itu dilakukan sekali sahaja yakni bilangan wajib. 

Bagi menutup auratnya, memadai Aminah berselimut yang menutupi seluruh badannya hingga ke kaki dan bertudung lengkap atau meletakkan kain yang dililit menutupi rambut.  Kemudian Aminah boleh bersolat dalam keadaan baring.

Wallahua’lam.

16 respons kepada “Solat Wanita Sakit Hendak Bersalin”

  1. ummufateh Avatar
    ummufateh

    Akk melalui pengalaman ini, alhamdulillah bersalin di kohilal, jururawat dan bidan amat membantu, menghulurkan besen dan menjirus menyantuni akk untuk berwuduk. akk solat duduk bersila di atas katil labour room walaupun dah buka 8 cm klu tak silap akk. akk solat asar dalam keadaan menggigil kerana kesakitan yang amat sangat.

    Apa yang diperhatikan kebanyakan ibu yang sedang sakit untuk bersalin ramai yang tidak solat berdasarkan darah yang telah keluar, mereka keliru. Perlu diberi penerangan bahawa darah itu adalah darah fasad, atau istihadah selagi tidak keluar bayi, kewajipan solat belum terangkat. wallahualam.

    Terima kasih kak. Info yang sangat membantu. Insya Allah, penerangan akan dilanjutkan.


  2. binturohanah Avatar
    binturohanah

    assalamualaikum,

    kak nur terima kasih untuk artikel ini,
    saya pelajar perubatan.
    alhamdulillah, saya dah di minggu terakhir di posting obstetric dan gynaecologi, di sini sewaktu di wad antenatal (wad sebelum bersalin) boleh dikatakan kebanyakan akan menunaikan solat apabila tiba waktunya, dan keadaannya sangat lain ketika di wad bersalin, kebanyakan ibu-ibu yang dihantar ke wad bersalin saiz bukaan jalan (cervix) adalah 3 cm dan keatas. ibu-ibu hanya mampu berbaring di atas katil. sepanjang pemerhatian saya (oncall dr pukul 6ptg sampai 6 pagi)jika mereka di masukkan ke wad bersalin pada waktu asar ,paling minimun waktu untuk bersalin ialah waktu isyak dan ada yang sampai waktu subuh baru dia bersalin.
    hospital tempat saya belajar ini, membenarkn suami untuk menemani isteri sepanjang tempoh bersalin. Alhamdulillah, diberi kekuatan untuk menegur atau memperingati para suami yang menunggu para isteri tentang waktu solat sudah pun tiba. sebaiknya mereka patut menunaikan solat dahulu, sementara menunggu si isteri bersalin, tetapi saya terlepas pandang bagi pihak si isteri. tidak pula saya memberitahu atau menolongnya untuk menunaikan solat.
    selepas membaca artikel ini, baru saya perasan yng tanggungjwb saya masih tak terlaksana untuk pesakit saya.
    tambahan lagi, saya akui, kefahaman orang sekeliling saya tentang hukum fiqh ini sangat cetek. termasuk diri saya.
    kadang-kadang bila kefahaman ada, tetapi kekuatan tiada, nothing will happen too.
    itu sahajalah,
    yang dapat saya kongsikan.
    terima kasih sekali untuk artikel ini,
    mohon untuk di copy untuk tatapan sahabat2 perubatan saya yang lain.

    Iya… Kak Nur setuju pihak perawat membantu mengingatkan pesakit mereka tentang solat. Terutama wanita yang sakit mahu bersalin.

  3. milla Avatar

    Betul tu Nur…brdsrkan pengalaman akk takde perawat yg mengingatkan pesakit utk solat apabila masuk waktu…beringat sendiri. Bantuan dari suami atau perawat mmg amat diperlukan pada masa2 mcm ni…

    Kak Milla, bukan sahaja tidak mengingatkan… kita minta bangun untuk solat pun dia tidak benarkan. Kemudian ditinggalkan kita bersendirian tanpa ada usaha membantu kita untuk solat. Mungkin mereka belum faham akan tuntutan solat bagi wanita yang sakit hendak bersalin. Harapnya selepas ini, lebih ramai yang sedar dan faham.


  4. sahabat fillah Avatar
    sahabat fillah

    salam kak nur,

    penting posting kak nur ni.

    saya rasa perlu perleraikan lagi kekeliruan ttg kewajipan solat ketika sakit ini dalam dua situasi – sbb ada ibu2 ini yg keluar ketulan darah dahulu samada sehari ataupun bbrp jam sebelum pecah air ketuban dan ada juga yg tak keluar ketulan darah tetapi terus pecah air ketuban. pengalaman saya anak sulung keluar ketulan darah dulu 18 jam sebelum bersalin dan bukaan cuma baru 3 cm dan pengalaman kedua pecah air ketuban terus dan bukaan terus 7cm.

    saya rasa ramai keliru ttg ketulan darah yg keluar samada sehari dua dan diiringi dengan sakit bersalin

    harap kak nur boleh tolong jelaskan lagi hal ini. jzkk

    Insya Allah, sahabat fillah. Terima kasih atas info yang diberi. Ia membantu Kak Nur menghuraikan lagi permasalahan ini.


  5. ummukifah Avatar
    ummukifah

    salam kak nor,

    jazakillahu khair atas artikel yg sangat penting ni. Kalau buku fiqh tu dah siap, jangan lupa war2kan ye.

  6. al-atiff Avatar

    salam kak nor. terima kasih atas info yang amat2 berguna ini. semoga ibu2 dapat memanfaatkannya..

  7. al-atiff Avatar

    izinkan saya letakkan iinfo ini di blog saya agar ianya boleh dikongsi dengan lebih lagi oleh rakan2 lain.. terima kasih..

    Dipersilakan. 🙂


  8. aisha humaira Avatar
    aisha humaira

    salam,

    akak, saya berterima kasih atas kiriman blog diatas. krn selama ini ia menjadi masalah bg kami (muslim medical student) utk memberikan maklumat dan jawapan yg betul kepada para ibu. harap akak dapat sertakan sekali dalil2 yg berkaitan.
    salam.

  9. mama_kifah Avatar
    mama_kifah

    salam kak nur,

    jazakillahu khair atas perkongsian ini. buku fiqh perubatan tu dah siap? nak beli..:)

    Wsalam. Mama Kifah, belum diterbitkan. Insya Allah akan dimaklumkan perkembangan mengenainya.


  10. white Avatar

    Assallammualaikum, akk.. ermm, untuk pengetahuan akan sy sedang pregnant almost 5 months.. Tapi, sy ni kurang menitikberatkan bab solat.. Akk tolong sy macam mana nak ubah sikap sy ni… n bagi tips untuk memudahkan bersalin n mengurangkn kesakitan ketika bersalin… sy berumur 22thn.. sy berkahwin pd usia yang muda.. so, banyak yang perlu sy belajar… sy nak jadi seorang ibu yang terbaik untuk bakal bayi yang sy lahirkan nanti… plz akak…..

    Wa’alaikum salam. Insya Allah, akak cuba respon secepat mungkin.


  11. Mazni Mulberry Avatar

    Assalamu’alaikum…terima kasih untuk info yg benar2 saya perlukan ini.

  12. nur ckn Avatar
    nur ckn

    tersentuh hati saya membaca artical di atas..betapa solat itu penting untuk kita sebagai umat islam..sy sedang mengandung (38 weeks)dan hanya tunggu masa utk bersalin, InsyaAllah, setelah membaca artical di atas sy akan solat jua dlm ape keadaan, semoga Allah memberi kekuatan kepada saya dan dipermudahkan bersalin nanti..Terima kasih di atas perkongsian ilmu ini.

  13. duraz Avatar
    duraz

    salam..
    terima kasih sbb dr anak yg sulong lg saya tertanya2..anak sulong saya sakit & keluar darah selama 3 hari sebelum bersalin..masa 2 saya nak sembahyang..tp agak was2 sbb ada darah..saya ada bertanya pd mak saya tp dia x mampu nak bg jawapan..anak yang kedua saya tiada tanda2 nak bersalin & overdue seminggu..situasi yg sama saya nak sembahyang & tanya nurse di situ..tp jawapannya juga mengelirukan saya sbb dia berkata doktor & nurse sentiasa cek bukaan untuk memepercepatkan tanda2 kelahiran..jika sesuatu dimasukkan ke dlm faraj wajib utk mandi sebelum sembahyang..tambahan lg saya & suami hanya mampu utk pergi ke hospital kerajaan..suami tiada disisi utk menolong saya kecuali bila hendak bersalin..

  14. NORAINI MOHAMED Avatar
    NORAINI MOHAMED

    Alhamdulillah…tanpa dijangka saya terbaca artikel kak nur..saya kini masuk minggu ke 36, kali ini sy bakal melahirkan anak yang kelima, semoga Allah menguatkan saya untuk menunaikan suruhanNYA walau dalam apa jua keadaan sekalipun…YA ALLAH, ampuni segala kesilapan masa lalu ku akibat kejahilanku sendiri…Amin..Buat Kak Nur, berbanyak2 terima kasih atas artikel ini….Semoga Allah sentiasa merahmati setiap langkahmu..Amin.

  15. Aziah Avatar
    Aziah

    Alhamdulillah sy tercari2 info ttg solat ketika hampir bersalin.. terfikir juga.. boleh ke aku solat dalam keadaan hampir bersalin.. Allah lorongkan sy ke blog akak.. terima kasih atas perkongsian.. semoga mendapat manfaat utk yg membaca dan juga yang menulis

  16. Arfah Avatar
    Arfah

    Salam, maaf bertanya..sy sangkakan xperlu bersolat sekiranya tanda bersalin keluar..masyaAllah..sy dah berdosa..sy perlu qada solat yg tertinggal..utk pengetahuan,pd masa itu blan Ramadhan,dn sy juga telah tidak berpuasa kerana disuruh minum air..maknanya sy faham disini bahawa perempuan perlu bersolat selagi belum anak diahirkan..melakukan yang wajib dan mudah dikala sakit dan tidak mampu untuk bergerak..terima kasih banyak atas ilmu ini….

Tinggalkan komen

Saya Ummu Abbas

Selamat datang ke blog saya :) Tempat saya berkongsi secebis ilmu dan pengalaman. Semoga bermanfaat.

Let’s connect