Saya ada persoalan di sini, saya bekerja cafe dan waktu solat zohor di sini 11.57am. Masalah yg saya hadapi ialah pada pukul 12-2pm ialah peak hours cafe di mana ramai pelanggan, dan cafe hanya ada 3 pekerja termasuk saya, jadi semasa waktu puncak itu kami bekerja dan bekerja dan bekerja kerana ramai pelanggan. Saya selalunya menunaikan zohor setelah keadaan reda pada pukul 1.30 atau 2pm.
Begitu juga asar di sini pukul 3.10pm. Pada waktu ini sekali lagi waktu puncak di mana ramainya pelajar “break” dan datang ke cafe. Dan saya akan solat pada pukul 3.45 atau 4… Kiranya saya telah menetapkan waktu solat saya pada waktu yang ditulis diatas kerana kesulitan meninggalkan cafe pada awal waktu solat.
Pandangan:
Harus solat pada waktu yang telah ditentukan untuk diri sendiri kerana itulah yang terbaik untuk situasi yang telah disebutkan. Ini adalah kerana Faizah masih berkesempatan solat dalam waktunya yakni solat Zohor dalam waktu Zohor dan solat Asar dalam waktu Asar.
Sekiranya waktu puncak itu akan berlarutan sehingga waktu solat berikutnya, maka wajib meninggalkan kerja buat sementara waktu untuk menunaikan solat dalam waktunya.
Kemuncak hiburan bagi setiap mukmin ialah solat. Solat adalah saat berbicara dengan kekasih abadi.
Solution (harap kak Nur bagi nasihat).
1) Saya mengambil masa untuk naik dan turun dari rumah untuk bersolat (Rumah di tingkat 5, cafe di 1st floor). Jadi saya terfikir solution saya ialah membawa telekung ke cafe dan boleh bersembahyang di awal waktu, kadangkala 11.57am tidaklah sesibuk mana, sempatlah saya solat hanya mengambil masa 10-15min dari mengambil wuduk, solat dan bersiap semula.
Tetapi masalahnye tiada tempat yg sempurna di dalam cafe… ada satu tempat sebesar 1 meter persegi (sedang elok untuk solat) di belakang pintu, jarang dipijak orang dan kering. Saya pernah bersolat di situ sekali (kerana keadaan memaksa saya harus “standby” for VIP) dan dialas plastik hitam yg bersih masih baru, dan letak sejadah diatasnya.
Untuk pengetahuan kak Nur setiap hari lantai dicuci bersih sebelum habis kerja. (atau bagaimana saya harus menyucikan lantai itu, kerana saya tidak pasti jika lantai itu telah dipijak dengan kasut yg bernajis pada pagi hari pada masa pekerja datang kerja) Saya tidak mahu perasaan was-was tentang kebersihan timbul bila saya mula bersolat.
Jadi apa pandangan kak Nur tentang tempat solat di dalam cafe yg kering (keseluruhan cafe termasuk kitchen juga kering, tapi menjadi tempat laluan utama), jarang dipijak org. Kerana saya ada terbaca jika bersolat dihutan pilihlah tempat yg bukan laluan utama. Adakah ia boleh diapply dalam kes saya? Dan tempat ini sedikit terbuka, staff yang lain boleh nampak saya solat (semua pekerja perempuan)..
Solat di tempat laluan dalam bazar membeli-belah. Sumber: iorichee
Pandangan:
Boleh ditunaikan di kedua-dua tempat yakni di rumah sendiri atau di dalam kafe sebagaimana yang telah disebutkan. Walaubagaimana pun, jika berkesempatan solat di rumah sendiri maka ia adalah lebih baik kerana;
1) Kebersihannya lebih terjamin kerana kita sendiri yang memastikan kebersihan di dalam rumah adalah menurut syarak.
2) Solat di rumah sendiri adalah lebih baik bagi wanita berbanding di masjid. Apatah lagi di tempat awam yang terbuka. Walaupun semua pekerja adalah perempuan, dibimbangi ada lelaki ajnabi yang masuk ketika kita sedang solat kerana tempat tersebut sendiri adalah kawasan umum. Rasulullah s.a.w berkata,
Janganlah kamu melarang isteri-isterimu untuk pergi ke masjid walaupun rumah-rumah mereka adalah lebih baik bagi mereka.
Hadis direkod oleh Abu Dawud.
Hadis ini bermaksud tempat terbaik untuk wanita bersolat ialah di rumahnya sekira dia mampu berbuat demikian. Jika wanita itu berada dalam perjalanan jauh atau di tempat kerja, maka solatlah di mana-mana tempat yang bersih dan memilih tempat yang agak tersorok dari pandangan umum sekiranya mampu berbuat demikian.
Semasa ke Sydney, Kak Nur solat di mana sahaja apabila masuk waktunya. Ini adalah kerana di Sydney, surau dan masjid jarang ditemui. Waktu solat Zohor, Asar dan Maghrib pada musim dingin juga pendek. Jadi Kak Nur solat di ruang tertentu yang jarang dipijak orang seperti di tepi jalan laluan pejalan kaki (atas rumput), di padang (atas rumput), di stesen keretapi, dalam keretapi dan lain-lain.
Bagaimana kita mahu mengetahui adakah sesuatu tempat itu bernajis atau tidak adalah mudah yakni dengan mengecam dua perkara; pertama dari segi rupa bentuknya. Kedua adalah baunya. Jika tidak didapati rupa bentuk, warna dan tiada bau, maka tempat itu dianggap bersih dan sah melakukan solat. Kita tidak perlu lagi membuat andaian-andaian perkara yang tidak kita ketahui sebelumnya kerana andaian adalah perkara yang tidak diyakini. Sedangkan mengecam sifat-sifat najis itu adalah perkara mudah dilakukan dan diyakini.
Alternatif yang lebih mudah sekiranya benar-benar ingin solat di awal waktu ialah;
Mengambil wuduk sebelum masuk waktu solat (yang mana waktu tersebut dikatakan agak lapang)dan memakai pakaian menutup aurat sepenuhnya. Jadi apabila masuk waktu solat, solat boleh segera ditunaikan tanpa perlu memakai telekung solat lagi.
Jika pakaian kerja yang dipakai sekarang tidak memenuhi syarat menutup aurat, Kak Nur cadangkan agar Faizah buat permintaan dari majikan untuk mengubah suai pakaian sedia ada agar memenuhi syarat hijab. Dari segi warna pakaian seragam masih boleh dikekalkan. Yang perlu diubah hanyalah potongannya sahaja.
Saya bersungguh2 ingin solat di awal waktu tetapi 2 waktu solat ini membantutkan azam saya ini, dan saya risau jika solat di pertengahan waktu dan akhir waktu, jika Allah takdirkan ajal saya pada awal waktu, saya missed solat itu… Saya selalu berdoa semoga saya dilindungi Allah selalu Kak Nur, sentiasa dalam keadaan yg diredhai Allah.
Pandangan:
Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana Faizah menyambut cintaNya yang telah mencampakkan rasa mahu menunaikan solat di awal waktu. Allah itu Maha Mengetahui apa yang terdetik di hati dan keazaman yang ditanamkan dalam diri. Namun kadang-kadang terdapat halangan untuk kita melaksanakan keinginan kita itu. Dalam situasi yang sedang dihadapi sekarang, Kak Nur ingin berkongsi firman Allah swt yang berbunyi,
Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.
Surah al-Baqarah: 286.
Lihatlah betapa Allah itu tidak berkira dengan perkara yang tidak mampu dilakukan oleh para hambaNya. Sekadar niat dan keazaman sahaja, pahala sudah diberikan.
Abu al-Abbas, yakni Abdullah bin Abbas bin Abdul Muttalib r.a memberitahu dari Rasulullah s.a.w. dalam suatu riwayat yang diceritakan dari Tuhannya – (hadis sebegini disebut Hadis Qudsi) telah berkata,
Sesungguhnya Allah Ta’ala mencatat semua kebaikan dan keburukan, kemudian menerangkan mengenainya – yakni apa yang termasuk hasanah dan apa yang termasuk sayyiah.
Maka sesiapa yang berniat mengerjakan kebaikan, kemudian tidak jadi
melakukannya, Allah yang Maha Suci dan Maha Tinggi mencatatnya sebagai suatu kebaikan yang sempurna di sisiNya. Sesiapa berniat mengerjakan kebaikan kemudian melakukannya, Allah mencatatnya sebagai sepuluh kebaikan di sisiNya, sampai menjadi tujuh ratus kali ganda, bahkan dapat berganda dengan lebih banyak.
(Seterusnya) sesiapa yang berniat mengerjakan keburukan kemudian tidak
jadi melakukannya, Allah Ta’ala mencatatnya sebagai suatu kebaikan yang sempurna di sisiNya dan sesiapa yang berniat mengerjakan keburukan kemudian melakukannya, Allah Ta’ala mencatatnya sebagai satu keburukan saja di sisiNya.
(Muttafaq ‘alaih)
Melalui hadis Qudsi di atas, kita dapat mengenal Allah lebih mendalam bahawa Allah sentiasa membuka ruang yang tersangat luas untuk manusia berusaha mengumpul amalan yang baik. Dalam masa yang sama, Allah menyempitkan ruang untuk manusia mengumpul catatan buruk di sisiNya. Namun kebanyakan manusia seringkali cuba memenuhi ruang yang sempit itu dengan meninggalkan keluasan rahmat Allah pada hambaNya.
Kak Nur berharap ayat dan hadis yang disertakan di atas dapat menjadi hiburan kepada Faizah.
Faizah masih lagi boleh berusaha memenuhi hasrat menunaikan solat 5 waktu di awal waktu dengan memohon petunjuk dariNya. Mungkin Allah akan memperkenankan hasrat tersebut melalui majikan yang boleh bertolak ansur atau Faizah menukar kerjaya yang lebih mesra solat suatu hari nanti.
Apa pun, keuzuran syarak tetap ada untuk setiap insan dalam menunaikan kewajipannya sebagai hamba. Apabila disebut uzur syarie, maka ia bermaksud Allah sendiri telah reda apabila kita mengamalkan rukhsah yang diberikan.
Apa yang penting sekarang ialah kita sentiasa menambah ilmu pengetahuan agama agar kita tahu bahawa setiap tindakan kita berada atas landasan keredaanNya.
bagaimana sekiranya waktu kerja saya tiada waktu rehat untuk solat. saya seorang guru tuisyen. biasanya solat zahor dan asar tidak dapat saya lakukan kerana kelas saya mula pukul1 hingga pukul730. pada masa yang sama, saya bekerja di private chinese school yang tiada kemudahan tempat untuk bersolat. bagaimana?
Pada pandangan saya, beberapa langkah berikut perlu diambil;
1. Minta kelonggaran dari pihak sekolah untuk menunaikan solat ketika tiba waktunya. Secara normalnya, saya lihat dari sudut kemanusiaan pun, tidak wajar seseorang disuruh bekerja terus menerus dari pukul 1 – 7.30pm… kira-kira 6 jam setengah bekerja tanpa rehat.
2. Jika pihak sekolah tidak boleh bertolak ansur, berhenti kerja di situ dan cari kerja lain. Bab-bab solat ni kita harus bertegas dan jangan gadaikan prinsip dunia akhirat ini semata-mata untuk dunia semata. Insya Allah, jika kita mengutamakan keredaan Allah, Allah akan gantikan rezeki yang lebih baik. Percaya dan yakinlah pada janji-janji Allah… kerana Allah itu tidak pernah memungkiri janji-janjiNya.
assalamualaikum..saya selalu was-was dengan tempat solat walaupun di rumah..mungkin saya tidak mengetahui cara-cara membersihkan lantai mengikut syarat. saya selalu merasakan bahawa di lantai rumah terdapat najis hukmi dan sentiasa merasakan bahawa ada rakan-rakan yang tidak membersihkan kakinya selepas ke tandas dengan betul. was-was saya makin menebal apabila tinggal bersama rakan-rakan non muslim. apa pandangan kak nur?sekiranya terdapat najis hukmi, bagaimana cara untuk membersihkan mengikut syarak? Lantai rumah terlalu besar dan saya takut air mengalir ke tempat lain
bagaimana sekiranya waktu kerja saya tiada waktu rehat untuk solat. saya seorang guru tuisyen. biasanya solat zahor dan asar tidak dapat saya lakukan kerana kelas saya mula pukul1 hingga pukul730. pada masa yang sama, saya bekerja di private chinese school yang tiada kemudahan tempat untuk bersolat. bagaimana?
assalamualaikum..saya selalu was-was dengan tempat solat walaupun di rumah..mungkin saya tidak mengetahui cara-cara membersihkan lantai mengikut syarat. saya selalu merasakan bahawa di lantai rumah terdapat najis hukmi dan sentiasa merasakan bahawa ada rakan-rakan yang tidak membersihkan kakinya selepas ke tandas dengan betul. was-was saya makin menebal apabila tinggal bersama rakan-rakan non muslim. apa pandangan kak nur?sekiranya terdapat najis hukmi, bagaimana cara untuk membersihkan mengikut syarak? Lantai rumah terlalu besar dan saya takut air mengalir ke tempat lain