Tengahari tadi, abang saya telefon dari Johor.

Saya sudah dapat mengagak apa yang akan diberitahu.

“Nur, hari Khamis  ini, Abang akan nikah”.

“Kalau begitu, tidak mengapalah. Harap Abang dapat jaga kedua-duanya dengan baik selepas ini”, nasihat saya sebagai seorang adik (ha..ha..ha..). Selepas Abang yang akan berkahwin seorang lagi itu, saya ada dua orang lagi abang.

Mahu ucap tahniah…teringat pada kakak ipar. Macam mana perasaannya sekarang. Lagi dua hari, dia bakal berkongsi suami.

Saya juga teringat ibu yang masih tidak setuju untuk menerima menantu kedua dari seorang anak lelakinya yang ini. Insya Allah, lama-kelamaan nanti… sejuk juga hati dia. Ibu ada rasional dia sendiri yang saya hormati.

Awal tahun 2009, abang dapat PhD di bidang arkitek.

Awal tahun 2010, abang dapat isteri lagi.

Abah bagaimana pula?

Setelah dipujuk-pujuk, akhirnya Abah reda.

Hal ini bukan sehari dua diusahakan.

Sudah lebih setahun rasanya.

Saya puji sikap abang yang bertanggung jawab dan ‘gentleman’. Bukan sekali dia berjumpa dengan bakal mertua baru. Dua tiga kali jugalah, dia merendah diri bertamu di rumah orang tua itu. Menampakkan kesungguhannya. Menzahirkan sikap tanggungjawabnya.

Dia mengaku, pada awalnya… macam biasalah, bukan mudah masyarakat mahu menerima hal ini secara terang-terangan. Namun, dia yakin dengan apa yang ingin dilakukan… dan dia bertindak secara matang serta berhemah dan sabar menunggu masa yang sesuai. Bukannya kahwin koboi… macam yang ramai orang buat sekarang.

Anak dara orang dibuatnya macam anak sendiri.

Anak arnab anak naga
Naga suka menyembur api
Kalau bapak tak izin juga (ajuk cara P Ramlee bercakap)
Susah-susah, ku bawa lari

(Petang) Baru tadi, saya teringat kakak ipar. Macam mana dia sekarang? Dua tiga kali juga kami berbincang hal ini lama dulu. Dia mahu tahu pandangan agama mengenai situasi yang dialami.

Saya terus telefon dia, “Akak apa khabar?”

“Akak baru balik dari sekolah ni”.

“Boleh ke Nur nak bercakap sekejap? Atau Akak masih penat?”

“Eh..boleh..boleh… Ada apa Nur”.

“Macam mana sekarang? Lagi dua hari Abang akan akad nikah?”

Terdengar suara tergelak di hujung handphone.
(Eh… gelak pula dia).

Mahu buku ini, lawat http://pts.com.my/

“Ooo… ok.. Akak rasa ok sekarang. Entah kenapa, hari ini Akak rasa tenang sahaja. Baru bercakap dengan Abang melalui telefon. Dia cakap sedang shopping untuk beli barang hantaran.”

“Alhamdulillah, kalau begitu. Ikut sahaja rasa hati yang tenang itu”.

“Ha… betullah. Akak pun hairan, kenapa hari ni rasa ok pula. Rasa biasa sahaja. Kawan-kawan di sekolah asyik menghasut agar Akak jangan benar Abang nikah lagi”.

“Akak jawab apa pada mereka?”

“Aku tak apa-apa, yang kamu sibuk-sibuk ni mengapa? Bukan luak pun suami kahwin lagi…ha..ha”

“Betul tu Akak. Kita ikut je apa yang hati kita rasa tenang. Jangan dengar cakap orang yang suka menghasut”.

“Betul tu Nur. Lagi pun Mama pesan, buat mudah-mudah je. Lebih baik dekatkan diri pada Allah. Usia kita pun makin bertambah. Sudah dekat dengan kematian. Tidak perlu terlalu berharap pada suami”.

Mama ialah ibu kandung kepada kakak ipar saya.

“Bila Allah jadikan sesuatu hukum, tentu ada hikmah di sebaliknya. Allah itu adil. Jika kita rasa berat, suami akan rasa lagi berat sebenarnya… sebab tanggungjawab dia akan bertambah”, saya menokok sedikit info buat kakak ipar.

“Akak ingat pada sikap bertanggungjawab Abang, sebab tu Akak rasa ok. Akak pun kena ikhlas dengan dia”.

“Setuju. Nur pun nampak Abang seorang yang bertanggungjawab”.

“Agak-agak Abang nak tinggal berapa hari dengan isteri baru selepas akad nanti. Maksud Nur, Abang tahu tak bila nak mulakan giliran?”

“Entah… Akak pesan kat dia, selepas nikah tu, hari Jumaat tu, duduk sana dulu tapi hari Sabtu kena pergi KL untuk ambil anak”.

“Ooo… kalau begitu tidak mengapalah. Bukan apa, ada kawan Nur yang suaminya kahwin lagi tahun lepas, suami dia hanya tinggal 3 hari dengan isteri baru, kemudian mulakan giliran. Walhal,isteri baru tu anak dara. Anak dara tempoh bersama suami selepas akad ialah seminggu. Kalau janda, 3 hari”, saya cuba menjelaskan.

“Itu kiraan biasa yang diberikan oleh ulama. Bergantung pada keadaan jugalah”, tokok saya lagi.

Bakal madu kakak ipar saya ialah janda beranak dua berketurunan Cina. Kalau tidak silap, ibunya Cina dan bapanya Melayu.

“Nur nak kongsi pengalaman kawan Nur yang suaminya baru kahwin lagi tu. Kalau suaminya terleka sedikit di rumahnya, dia akan ingatkan suaminya agar pulang ke rumah isterinya seorang lagi. Anak sulungnya perempuan yang baru di Tingkatan Satu juga akan turut menghalau bapanya agar pulang ke rumah ibu tirinya. Memang sepatutnya macam tulah. Isteri-isteri kena bantu suami untuk berlaku adil. Usahlah berebut suami pula”.

[Amboi… sedap pula saya mengingatkan. Belum kena batang hidung sendiri… sedap sahaja cakap. Betul ke begitu… saya sendiri lebih mengenali diri sendiri.]

Sebenarnya, dalam memperkatakan tentang hukum Allah, kita perlu ketepikan perasaan sendiri. Biar pun perkara itu kita sendiri tidak mengalaminya. Sama ada, kita sendiri mampu menghadapinya atau tidak, itu perkara kedua. Yang penting, kita bersikap amanah dengan ilmu Allah.

[Berasap pula kat dalam bilik ni. Ada orang fogging kat luar rumah. Terpaksa tutup hidung sekejap.]

“Ok Nur. Terima kasih telefon Akak”.

Kami mengakhiri perbualan.

Sedang menaip entry ini, Abah telefon tanya tentang peruntukan pusaka. Kemudian Abah tanya, “Abang dah beritahu Nur pasal dia nak nikah lagi?”

“Dah. Tadi dia dah telefon”.

“Ni Afifah nak bercakap sekejap”.

Afifah adalah adik bongsu saya.

“Kak Nur, Abang telefon Fifah tadi… dia cakap Fifah adalah adik beradiknya yang terakhir dia telefon dan bagitau dia nak nikah dua hari lagi. Fifah cakap dah tahu dari Ma. Lepas tu, Abang cakap dia nak beritahu sendiri juga pada adik-beradik. Kemudian Fifah bercakap dengan Abang Kamal melalui telefon dan bergurau dengan dia, ‘bertambahlah lagi satu kakak ipar Abang Kamal’,” cerita Afifah sambil tergelak.

“Ha a… kan. Adik beradik lelaki kita semua dah kahwin, kemudian nak bertambah kakak ipar lagi… ha..ha..ha”, kami sama-sama tergelak.

Ajaibnya kuasa Allah yang mengubah hati-hati manusia. Pada awalnya, melihat pada situasi yang ada, bermula dari Abah sendiri, Ma, saya, adik-beradik perempuan semuanya tidak mahu menerima kakak ipar baru. Adik beradik lelaki tidak tahu sangat akan hal ini kecuali abang sulung. Abang yang akan berkahwin lagi adalah anak ketiga. Jadi dia hanya pernah berbincang dengan abang sulung. Yang kedua adalah kakak.

Setelah hampir tiba saat ijab bakal dikabulkan, hati kami berubah sedikit demi sedikit. Itulah pentingnya lelaki bersikap memimpin dengan sabar, berhemah, jujur, bertanggungjawab, berterus-terang dan ikhlas. Sampai waktunya yang sesuai, Allah tetap akan membantu menyediakan suasana harmoni yang diingini.

Jika kita suka membelakangi Allah dalam banyak perkara, maka tiada lagi kekuatan yang akan diperolehi dalam melakukan sesuatu tindakan.

Abang saya bukanlah lulusan agama namun banyak mengingati tanggungjawab yang akan dipersoalkan di akhirat kelak. Dia mungkin banyak kekurangan dari sudut pengetahuan agama, namun keikhlasan membantunya untuk berani berhadapan dengan risiko.

Wanita pula mudah alah dengan sikap tanggungjawab dan amanah seorang lelaki. Bila mereka menyaksikan sendiri ‘kejantanan’ seorang lelaki, yang keras akan jadi lembut. Bukankah Melayu ada pepatah, “Sekeras-keras kerak nasi, lembut juga bila direndam air”.

Catatan ini sebenarnya masih terlalu ringkas bagi sebuah kisah sebegini. Ia hanya penghujung pengalaman seorang lelaki yang akan bernikah lagi. Permulaannya, bukan hanya sebulan lepas atau 5 bulan lepas. Ranjaunya juga bukan sekadar kemuncup di jalanan. Namun perlu tahan menadah telinga (dengan isteri, anak-anak yang sedang remaja, ma dan abah), perlu tahan berhujjah (dengan saya la ..ha..ha.. tapi bukan saya seorang; dengan kadi, abah dan ma juga) dan sabar menunggu apa jua takdir yang sudah termaktub di sisi Allah.

Ada pengalaman yang menyentuh perasaan semasa saya berdialog dengan Abang suatu ketika dahulu. Dialog tentang poligami inilah. Saya terkesan dengan kejujurannya dan mengenepikan egonya demi sebuah kebenaran.

Semoga semuanya diberkati Allah.

وَإِنْ خِفْتُمْ أَلاَّ تُقْسِطُواْ فِي الْيَتَامَى فَانكِحُواْ مَا طَابَ لَكُم مِّنَ النِّسَاء مَثْنَى وَثُلاَثَ وَرُبَاعَ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلاَّ تَعْدِلُواْ فَوَاحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ذَلِكَ أَدْنَى أَلاَّ تَعُولُواْ

Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.

 

 

Ummu Abbas
11 Safar 1431H
6.33pm

11 respons kepada “Abang mahu nikah lagi”

  1. Husin Husaini Avatar

    Salam akak…pada mulanya agak suspen jugak baca tajuk entri ini…rupanya2 abg kandung akak.hehe…..sy suka baca nasihat mama kak ipar akak tu.amat bermakna sekali ” Lebih baik dekatkan diri pada Allah. Usia kita pun makin bertambah. Sudah dekat dengan kematian. Tidak perlu terlalu berharap pada suami”. kata2 ini menjadi perangsang dan motivasi utk redha dgn ujian berpoligami…tp bkn mudah kan….oohh!,btl2 kena mujahadah perasaan kan sbg wanita…suami bkn milik isteri tapi milik Allah.Semoga kak ipar akak tabah dan kuat….

    Wa’alaikum salam, Dah agak dah… tajuk tu akan buat orang suspen… Tapi kalau betul-betul kena pada diri sendiri, sedih juga rasanya. Hi…hi.. 🙂 Moga Abang akak tu pun kuat berdoa untuk isteri-isteri dan anak-anak. Terima kasih atas doa Husin Husaini. Amat bermakna sekali buat kakak ipar akak tu. Moga dimakbulkan Allah.


  2. nik Avatar
    nik

    sungguh tenang kakak ipar akak tu.. tapi saya rasa, sebelum tu mesti banyak ranjau dan dugaan kan? dan saya juga rasa kagum dengan keputusan dan tindakan abang akak yg ‘gentleman’ . malah pilihan dia adalah janda beranak 2. mungkin pandangan saya agak berbeza kalau pilihan dia adalah anak dara. kalau anak dara, saya mungkin akan tertanya-tanya adakah anak dara tu benar2 ikhlas memilih abang akk tu atau kerana kesenangan hidup nanti.
    sedikit sebanyak luka dihati kakak ipar akk tu tak terlalu pedih kerana pilihan dia adalah janda.
    cuma saya tertanya, kakak ipar akk tu penah bersua ke dengan bakal madu dia tu..

  3. wfaiziah Avatar

    La…ingatkan abg zakuan yang nak kawin lagi!
    terkejut kita tadi…:)
    kalau husband k nur nak tambah lagi mcmn yer??? 🙂

  4. ibusumaiyah Avatar

    Salam…

    entry kali ni terasa benar sentuhannya kepada jiwa perempuan saya……jiwa isteri yang kenkadang takut juga jika ditimpa dengan ujian sebegini. Namun saya amat berharap diberi kekuatan yang luar biasa jika ia berlaku juga…

  5. Kak Nisha Avatar

    Assalamualaikum semua,

    Tahniah akak ucapkan buat kak ipar Ummu Abbas. Bukan senang nak dapat hati yang tenang. Kalau akak pun, tak taulah macam mana. Perlukan mujahadah. Kalau kita terus ingatkan Allah, insyaAllah hati kita akan sejuk. Apa-apa pun Allah yang utama, sudah tentulah redha Allah yang ingin kita cari kan?

    Wassalam

  6. ummuabbas Avatar

    Wa’alaikum salam wbh,

    Nik, kakak ipar sudah dua kali berjumpa dengan bakal madu. Suami dia yang suruh jumpa sendiri.

    Wan, ….? ? ? ……. (Tidak tahu kemampuan diri. Hanya Allah yang tahu 🙂 )

    Ibu Sumayyah, yakin jodoh ketentuan milik Allah dan Allah tidak akan beri bebanan yang tidak mampu kita tanggung. Tenanglah selalu…

    Kak Nisha, moga Allah pilih kita sebagai hamba yang diredaiNya walau apa ujian yang menimpa.

  7. haizad Avatar
    haizad

    moga perngorbanan yang dilakukan tidak dipersiakan….tahniah pada kakak ipar awak kerana begitu kuat menghadapi dugaan berat bagi seorang wanita. perjalanan masih panjang moga terus diberi kekuatan.

    Terima kasih Haizad atas doanya. Saya harap kakak ipar saya akan baca harapan positif dari saudara.


  8. dupahang Avatar

    Perkahwinan adalah ketentuan Ilahi yang tak dapat kita merobahnya.

    Apa salahnya jika keadilan dapat dijelmakan seperti tuntutan Allah.

    Benar.. tiada salahnya jika keadilan dapat dilaksanakan. Jika pasti tidak dapat berlaku adil selepas kahwin, suami hanya perlu mengekalkan satu isteri seperti asal. Atau Islam beri alternatif kepada mana-mana isteri yang dianiaya untuk melakukan fasakh. Islam memang Adil.


  9. Abu Huzaifah Avatar
    Abu Huzaifah

    terima kasih usth. atas catatan ini.Kalau ada perkara yang elok ..teruskan perkongsian dengan para penziarah.mohon izin untuk letakkan alamat blog usth dalam pautan ana.Syukran jazilan

    La syukran ‘ala wajib. Dipersilakan.

  10. Jasmin Avatar

    suka baca artikel ni… terima kasih atas perkongsian ini..
    tak dinafikan isu poligami nih menjadi isu sensitif dlm masyarakat kita.. seolah menjadi kesalahan besar apabila seorang lelaki mengemukakan hasrat ingin pligami…
    seingat saya.. diawal perkenalan dgn suami.. isu ini juga pernah dibincangkan dan hingga kini kadang2 tajuk ini juga menjadi bahan perbualan kami…
    saya masih dgn prinsip yg sama dulu… bahawa tidak sama sekali menolak poligami.. cuma andai saya telah dipilih oleh ALLAH untuk menjadi salah seorang hambaNYA yang diuji begini.. maka pasti ALLAH akan sertakan kekuatan dlm diri ini.. sesungguhnya DIA lebih mengetahui & mengenali hamba2-NYA

    suka dgn ayat nih “Jika kita suka membelakangi Allah dalam banyak perkara, maka tiada lagi kekuatan yang akan diperolehi dalam melakukan sesuatu tindakan”.

Tinggalkan komen

Saya Ummu Abbas

Selamat datang ke blog saya :) Tempat saya berkongsi secebis ilmu dan pengalaman. Semoga bermanfaat.

Let’s connect