Ditakdirkan suatu hari, seseorang datang kepada kita dan menyatakan, “Saya ingin berzina.” Apakah respon kita terhadapnya?
Mungkinkah kita akan mengatakan, “Haram hukumnya. Bukankah Quran sudah berpesan agar jangan dekati zina… apatah lagi berzina… bla…bla…”
Atau, “Tidak malukah kamu… orang lain jika mahu berzina, buat sahaja senyap-senyap.”
Atau, “Kamu akan dikenakan hukuman sebat 100 rotan jika belum bernikah dan direjam dengan batu sampai mati, jika kamu sudah bernikah.”
Atau, “Haram. Ia termasuk salah satu dosa-dosa besar.”
Realitinya hari ini, pernahkah seseorang meminta izin membuat maksiat dari seorang yang lain? Pengalaman saya sendiri, individu yang mengaku sudah berzina dan mahu bertaubat itu adalah. Jika minta izin kerana baru mahu melakukannya, belum lagi setakat ini. Minta dijauhkan Allah.
Sebuah kisah benar [kira-kira lebih 1000 tahun yang lampau]…
Pada suatu hari, seorang pemuda datang mengadap seorang tokoh agama dan masyarakat di zamannya lalu berkata, “Tuan, aku memohon izinmu untuk berzina”.
Orang ramai yang ada bersama tokoh itu mengherdik pemuda itu, “Pergilah! Pergilah!”
Tokoh itu berkata kepada pemuda itu tanpa mempedulikan herdikan orang ramai di sekitarnya, “Marilah hampiri diriku…”
Pemuda itu pun menghampiri tokoh tersebut kemudian dia duduk.
Tokoh itu bertanya, “Apakah kamu suka jika ibumu dizinai?”
Pemuda itu menjawab, “Demi Allah, aku tidak suka! Allah menjadikan diriku sebagai tebusanmu.”
Tokoh itu lantas mengulas, “Begitu juga orang lain tidak akan suka jika ibunya dizinai.”
Tokoh itu berkata lagi, “Apakah kamu suka jika anak perempuanmu dizinai?”
Pemuda itu menjawab, “Demi Allah, aku tidak suka! Allah menjadikan diriku sebagai tebusanmu.”
Tokoh itu lalu berkata, “Begitu juga orang lain tidak suka jika anak perempuannya dizinai.”
Beliau bertanya lagi, “Apakah kamu suka jika adik beradik perempuanmu dizinai?”
Pemuda itu menjawab, “Demi Allah, aku tidak suka! Allah menjadikan diriku sebagai tebusanmu.”
Tokoh itu menjelaskan, “Begitu juga orang lain tidak suka jika adik beradik perempuannya dizinai.”
Beliau bertanya lagi, “Apakah kamu suka jika ibu saudara sebelah ayahmu dizinai?”
Pemuda itu menjawab, “Demi Allah, aku tidak suka! Allah menjadikan diriku sebagai tebusanmu.”
Tokoh itu berkata, “Begitu juga orang lain tidak suka jika ibu saudara sebelah ayahnya dizinai.”
Beliau bertanya lagi, “Apakah kamu suka jika ibu saudara sebelah ibumu dizinai?”
Pemuda itu menjawab, “Demi Allah, aku tidak suka! Allah menjadikan diriku sebagai tebusanmu.”
Tokoh itu berkata, “Begitu juga orang lain tidak suka jika ibu saudara sebelah ibunya dizinai.”
Perhatikan pula bagaimana kaedah komunikasi yang dizahirkan tokoh agama yang tidak asing lagi di sisi kita, Rasulullah s.a.w terhadap pemuda tersebut. Rasulullah menggunakan pendekatan yang sesuai dengan situasi pemuda itu. Oleh kerana pemuda itu sudah memahami hukum berzina dalam Islam dan akibatnya, maka Rasulullah s.a.w tidak perlu mengulangi perkara yang ia sudah ketahui. Sebaliknya Rasulullah s.a.w menggunakan pendekatan lojik akal dan menyentuh emosi.
Rasionalnya, apa yang diharamkan oleh Islam, kita juga tidak suka jika ia dilakukan oleh orang lain terhadap diri kita. Sebagai contoh; pencuri tidak suka barangnya dicuri. Perompak mana yang suka barangnya dirompak pula orang lain. Pengumpat mana yang suka dirinya diumpat. Adakah pembunuh suka dirinya dibunuh?
Rawatan Jiwa Dengan Doa
Akhirnya, setelah memberi penjelasan yang bernas lagi tepat, pemuda itu kelu tidak dapat berkata apa-apa lagi. Rasulullah s.a.w meletakkan tangan beliau di kepala anak muda itu lalu berdoa “Ya Allah, ampunilah dosa-dosanya, bersihkanlah hatinya, dan jagalah kemaluannya.”
Sejak hari itu, anak muda tersebut tidak pernah sedikit pun menoleh kepada perbuatan zina. Kisah di atas dinukilkan semula dari hadis yang direkodkan oleh Imam Ahmad.
Dapat difahami dari perbuatan Rasulullah s.a.w ini, bahawa Baginda bukan sahaja memberikan kekuatan hujjah akal yang melunakkan emosi, bahkan menggunakan senjata doa bagi membantu menguatkan keimanan pemuda tersebut.
Kasih Sayang Allah Pada HambaNya.
Abdullah bin Abbas r.a. melaporkan bahawa Rasulullah s.a.w berkata, “Sesungguhnya Allah mencatat segala hasanat (kebaikan) dan sayyiat (kejahatan) kemudian menjelaskan keduanya. Maka sesiapa yang berniat akan melakukan kebaikan lalu dikerjakannya maka dicatat untuknya sepuluh hasanat. Mungkin ditambah hingga tujuh ratus kali ganda atau lebih dari itu. Apabila ia berniat mahu melakukan sayyiat (kejahatan) lalu tidak dikerjakannya maka Allah mencatat baginya satu hasanat. Sekiranya niat itu dilaksanakannya maka ditulis baginya satu sayyiat.”
Hadis direkodkan oleh Bukhari dan Muslim.
Ummu Abbas
1.03am, Melbourne.
29 Zulhijjah 1432H/25 November 2011
terbaik TN
SUNGGUH TERKESAN DI HATI….
subhanallah dari cara rasul yang sangatbersahaja…